Memaparkan catatan dengan label puisi lada hijau. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label puisi lada hijau. Papar semua catatan

Khamis, 3 September 2009

SUSAH?


Kenapa susah sangat?
Berkali-kali cuba,
Salah,
Berkali-kali buat,
Silap,
Akal jadi beku,
Fikir sampai buntu,
Apa yang kurang?
Tak tahu,
Idea?
Tak kering,
Cara?
Tak haram,
Usaha?
Tak padam,
Niat?
Tak pesong,
Doa?
Tak henti,
Tukang sorak?
Tak ramai,
Tukang ejek?
Berlonggok,
Hah!
Dah jumpa pun jawapan,
Taklah susah sangat,
Ikhtiar lagi sampai dapat!

Jumaat, 21 Ogos 2009

SEDIH?

Sedih,
Kau sedih bila tak punya ramai teman?
Syukurlah,
Kerana kau belum punya ramai musuh.

Sedih,
Kau sedih bila hidupmu sunyi?
Syukurlah,
Kerana kau dapat berdendang dengan detak jantungmu sendiri.

Sedih,
Kau sedih bila kata-katamu disekat?
Syukurlah,
Kerana kau bukannya tak punya peluang untuk bersuara lagi.

Sedih,
Kau sedih bila usahamu asyik bersua kegagalan?
Syukurlah,
Kerana kau masih belum gagal untuk mencuba.

Sedih,
Kau sedih bila hartamu tak mewah?
Syukurlah,
Kerana kau belum dipaksa untuk mengemis.

Sedih,
Kau sedih bila sihatmu dilanda sakit?
Syukurlah,
Kerana kau punya masa lagi untuk bertaubat.

Khamis, 30 Julai 2009

DIA DATANG LAGI



Dia datang lagi,
Setelah lama menghilang,
Dulu hanya bisikan,
Kini berbeza,
Datangnya berbentuk,
Samar-samar namun kehangatan terasa,
Alunan suara manjanya,
Menegur diri yang tidak mahu percaya,
Tentang kehadirannya,
Yang mahu menatih diri ini keluar,
Dari petak lamunan hitam,
Ruang persembunyian hakiki,
Bila kemurungan,

Khuatir menjadi-jadi,
Bila langkahnya mendekat,
Khayalkah?
Atau itu memang benar-benar dia,
Yang dulu meninggalkan diri ini,
Bersembunyi dibalik dinding,
Sendiri menghitung waktu,
Diam-diam menanti jiwa pulih,
Dalam tempoh yang cukup lama,

Pandangan berterabur,
Melihat dia tersenyum,
Keliru,
Takut,
Menerpa serentak,
Tiada arah untuk berlari pergi,
Terpaksa membatu biarpun tak rela,
Terus dia memaut,
Menangkap dan memeluk,
Selesa,
Tapi keraguan menghalang menikmatinya,

Jeritan dibalasnya dengan satu bisikan padu,
Perlahan tapi menusuk,
Katanya,
Aku semangatmu yang dulu,
Usah kau takut denganku,
Jika kau nekad dan percaya,
Akan aku temani kau seumur hayatmu,
Bukan seperti dulu,
Bila kau sendiri menolakku,
Lari dan bersembunyi di sini,
Mari,
Ikut aku,
Keluar dari sini dan bersama di sana.

Isnin, 27 Julai 2009

DISAKITI HATI YANG DISAKITI

Kelmarin,
Hati ini disakiti,
Oleh hati yang disakiti hati ini,
Semalam,
Dua hati saling mengubati,
Dengan ramuan insaf agar tidak mati,
Hari ini,
Berikrar dari hati ke hati,
Untuk tidak mengulangi,
Esok,
Enggan menyakiti dan disakiti hati,

Biarpun ditikam lagi berkali-kali,
Dan bila-bila,

Akan sentiasa berhati-hati,
Di saat meniti bicara hati.



Selasa, 14 Julai 2009

SUSAHNYA NAK CAKAP



Pipi merah-merah,
Kulit kebas-kebas,
Duduk tak senang,
Berdiri pun lemah,
Mata melilau,
Lari dari renungan,
Jantung berdetak,
Dada berdebar,
Kerongkong tersekat,
Lidah melekat,
Suara nak keluar,
Mulut tak bagi,
Rasa nak pengsan,
Pitamnya tidak,
Berdehem dua tiga kali,
Menjeling berkali-kali,
Susahnya nak cakap,
Aku cinta kamu!

Ahad, 12 Julai 2009

JALAN TERBAIK



Terperangkap di dua simpang terbaik,
Patutkah sinar mentari dipetik,
Atau cahaya bulan dibelek,
Kata putusku dah tunggang-terbalik,
Tak tahu mana yang elok dan mana yang baik,
Dah tak terdaya lagi menilik,
Kerana seri mentari membuatku cantik,
Bayang bulan membuatku celik,
Memaksa aku yang tak serik-serik,
Untuk membuat pilihan terbaik,
Nada nafas semakin sesak dan pelik,
Bila cakap orang mula menjentik,
Hasut orang mula menyuntik,
Dan kewarasan aku bertambah jelik,
Oh, Tuhan! Tolaklah aku ke jalan terbaik,
Agar aku mampu bernafas balik.

Jumaat, 3 Julai 2009

AKU

Aku,
Merasa dengan jari,
Meraba dengan mata,
Mendengar dengan hati,
Menghidu dengan kata,

Aku,
Berjalan dengan mimpi,
Berlari dengan realiti,
Merangkak dengan teliti,
Menari dengan sepi,

Aku,
Memburu dengan derita,
Membina dengan gelita,
Berjanji dengan cinta,
Bernafsu dengan harta,

Aku,
Berbeza dengan dia,
Berjauhan dengan mereka,
Berhutang dengan budi,
Berniat dengan pasti.

Selasa, 30 Jun 2009

TIGA NAMA TAKDIR

Berkali-kali aku tertanya,
Tentang tiga nama takdirku,
Rezeki, jodoh dan ajal,
Tahap mana kedudukanku?
Adakah aku di tempat paling bawah,
Di antara semua kejadian Tuhan?

Rezeki,
Berapa nilai rezekiku?
Adakah senilai titisan darah,
Atau senilai titisan peluh?
Semua mahukan darah,
Tak siapa inginkan peluh,
Tapi, di mana lubuk rezekiku?
Di sini atau di sana?
Seorang diri di sini,
Atau beramai-ramai di sana?
Mereka minta murah rezeki,
Aku pula mahu rezeki yang mahal,
Keterlaluankah aku?
Bukankah maksudnya serupa?

Jodoh,
Ini memang berat,
Keliru pun ada,
Bila aku duduk,
Mereka bilang jodoh harus dicari,
Bila aku bangun,
Mereka bilang jodoh itu di tangan Tuhan,
Bila aku duduk semula,
Mereka bilang mesti berusaha,
Bila aku bangun semula,
Mereka bilang mesti jual mahal,
Gila!
Bukan mereka,
Tapi aku!
Baru mereka pujuk,
Suruh aku sabar,
Kata mereka,
Setiap yang hidup ada pasangan,
Ada jodohnya,
Kata aku,
Mungkin jodohku dah tak ada,
Dah dimakan bumi,
Sebelum sempat menemui aku,
Gila!
Balas mereka serentak.

Ajal,
Hanya Tuhan yang tahu,
Ya, itu aku akur,
Tak pernah aku persoalkan,
Cuma kadang-kadang,
Akal logikku menyongsang,
Mungkinkah rezekiku melimpah-ruah,
Tatkala tubuhku berselimutkan kain putih,
Mungkinkah jodohku akan muncul,
Tatkala tubuhku dijolok ke liang lahad,
Menakutkan?
Tidak!
Kalau itu noktah tiga nama takdirku,
Aku redha.

Rabu, 24 Jun 2009

JAHAT DIA DAN JAHAT AKU

Jahatnya dia
Mengikat aku
Dengan keprihatinan
Memasung aku
Dengan kesetiaan
Memperdaya aku
Dengan kata sumpah
Kalimah suci kepercayaan


Jahatnya dia
Menutup mataku
Dikala mengecam
Menekup mulutku
Disuruh diam
Menyumbat telingaku
Ditegah mendengar
Lurus telunjuknya
Menyuruhku patuh
Bengkok kelinkingnya
Agar aku terkait sama
Dengan cara halus
Dia memerangkap
Hinggaku terjerat
Meronta-ronta
Menolak hakikat sebenar


Jahatnya dia
Menyuap aku
Dengan rezeki muslihat
Kenyang mindaku
Dengan tipu helah
Yang salah aku benarkan
Yang benar aku salahkan
Bergurindam dia
Menepuk belakangku
Menyendawakan aku
Dengan angin bisikan
Sayup menghembus keberanianku
Keberanian yang songsang
Menentang yang lemah
Memijak yang kalah


Jahatnya dia
Melucut pingat ketaatan
Setelah semuanya terikat
Jahilnya aku terpukau
Menyempurnakan segala
Susun atur
Agenda jahatnya
Menghalau penggugat
Kedudukannya
Sesudah luput jampi pukaunya
Aku kebingungan
Memerhati keadaan sekeliling
Terduduk aku tertunduk
Hiba
Sepi
Kesal
Argh... jahat dia, jahat lagi aku!

Rabu, 17 Jun 2009

KATANYA ... JELASKU ...

Katanya mahu mengubah dunia
Fikirku perlukah dunia diubah
Kiraku dari mana ke mana harus ubah
Tanyaku jujurkah dia dalam mengubah
Jelasku dia sendiri tidak pantas berubah

Katanya mahu membetulkan yang salah
Fikirku perlukah salah itu dibetul
Kiraku dari mana ke mana harus betul
Tanyaku jujurkah dia dalam membetul
Jelasku dia sendiri tidak pernahnya betul

Katanya mahu mengkritik yang silap
Fikirku perlukah silap itu dikritik
Kiraku dari mana ke mana harus kritik
Tanyaku jujurkah dia dalam mengkritik
Jelasku dia sendiri menolak bila dikritik

Katanya mahu membela nasib orang
Fikirku perlukah nasib orang dibela
Kiraku dari mana ke mana harus bela
Tanyaku jujurkah dia dalam membela
Jelasku dia sendiri tidak layak dibela

Katanya mahu membuktikan segala yang benar
Fikirku perlukah benar itu dibukti
Kiraku dari mana ke mana harus bukti
Tanyaku jujurkah dia dalam membukti
Jelasku dia sendiri memutar-belitkan segala yang terbukti

Katanya aku bebal dan bingai
Fikirku mungkin lantas tersenyum menyeringai
Kiraku bukan semua aku pandai
Tanyaku patutkah aku memandai-mandai
Jelasku cukuplah kau memandirkan si Malang dan menjeninkan si Luncai!

Khamis, 11 Jun 2009

KENAPA SOMBONG SANGAT?

Kenapa sombong sangat?
Sampai tak boleh kena tegur
Bangkang sikit dah bertekak
Leher berurat-urat
Tangan di pinggang bercekak
Tak boleh kata tidak
Takkan nak ikut saja
Aku juga punya suara
Mana boleh dengar kau saja melalak
Macam ini keraslah aku kalau tak mengelak
Kena serang sampai mengerang
Dan dipaksa tunduk pada telunjuk kengkang


Kenapa sombong sangat?
Sampai tak boleh tegur aku
Bila aku tegur dulu
Kau buat tak tahu
Macamlah aku ini batu sungai
Hijau dek lumut dan kulat
Tak ada nilai macam emas berkilat
Kau jangan lupa
Masa aku senang
Duit aku juga kau tala
Bukan nak mengungkit
Tapi jenis macam kau
Memang padan hal ini dibangkit


Kenapa sombong sangat?
Sampai mengelak bila ditegur
Bukannya aku nak minta apa-apa
Aku cuma nak bermesra
Macam dulu-dulu
Masa aku senang kau susah
Masa aku berjenaka kau terbahak-bahak
Masa aku mengusik kau senyum lebar-lebar
Masa aku bersedih kau nangis-nangis (heh)
Sekarang, bila bayang-bayang pun tak sudi temankan aku
Kau pun terang-terang angkat kaki
Depan-depan kau koyak wasiat sahabat
Tapi tak apa
Roda sentiasa berputar
Sekejap di atas sekejap di bawah
Jadi, sementara aku di bawah
Kau teruslah menyombong
Jangan sampai mata pandang ke bumbung
Kaki terperosok ke lombong!

Jumaat, 5 Jun 2009

TUNJUK PANDAI

Bila yang berkasih tunjuk pandai
Nafsu diturut selera dicanai
Tahu-tahu benih haram tersemai
Pucat-lesi bila cinta terlerai
Si panjang akal ajak berdamai
Si pendek akal buang zuriat ke sungai
Yang ini pula merpati bebal nak tunjuk pandai
Dah elok sah istihar cerai
Padah bila yang wajib jadi lalai
Mulalah anak-anak bersepah terabai
Paling teruk dia yang tertekan anak pula kena cabai


Bila yang berkuasa tunjuk pandai
Negara merdeka terjual tergadai
Bangsa berdaulat berulat tersadai
Maruah diri terkoyak terbarai
Tak sedar musuh datang beramai-ramai
Bawa senjata sambil melambai
Bangunan gah hancur-berkecai
Rakyat lintang-pukang sembunyi dibalik pokok serai
Dan bila semua dah mati terkulai
Isi perut habis terburai
Baru nak berhenti tunjuk pandai.

Isnin, 1 Jun 2009

RINDU BISU

Saat terbuai dek hembusan bayu
Minda khayal terjenguk silamku
Jiwa nyilu ditiup sayu
Aliran darah sejuk membeku
Dalam sedar realiti dan sejarahku bersatu
Apa khabar kau di situ?
Adakah kau juga seperti aku?
Sering teringat di antara waktu
Tentang kita yang pernah cemburu
Tak kenal putus asa tika memburu
Berlumba-lumba menjadi sesuatu
Membuktikan siapa yang lebih mampu
Hingga terlupa yang menang bakal jadi arang berabu


Makin diingat makin terpilu
Tanpa sedar mula tersendu
Mengenangkan takhta akal dah dikuasai raja nafsu
Hati yang lembut mengeras serupa batu
Diam-diam aku tersangat malu
Berubah sikap sampai begitu
Sambil meraung aku menyeru
Tidak mahu lagi seperti itu


Lantas aku mengibar bendera kalah dulu
Meninggalkan medan serang dengan langkah lesu
Ramai ketawa lihat aku berundur dan berlalu
Mereka bertepuk serta berlagu
Gendang ejekan tak henti-henti dipalu
Sempat mereka bekalkan hempedu
Memang pahit tapi ku telan satu-satu
Biarlah semangat juangku lelap beradu
Asal aku tak lagi menyakiti dan menyekutu
Apa yang aku mahu cuma maafmu
Sebetulnya aku sedang sangat merindu
Kini aku sendirian meniti jalan berliku
Usah kau ke sini membantu
Kerana aku lebih suka membisu
Mencari ruang baru yang sangat bisu.

Ahad, 31 Mei 2009

KATILKU YANG SEMPIT

Memang kau sempit!
Tak dapat ku susun
Bantal-bantal sebelah-menyebelah
Harus ditindih himpit-menghimpit
Antara satu sama lain
Tilammu pula semakin padat menipis
Rupamu juga tak seberapa
Hanya bentukan daripada besi hitam
Kadang-kala akal nakalku mengusik
Tukar kau dengan yang baru
Biar selesa tidurku


Eh, jangan risaulah!
Takkan ku ganti kau
Dengan yang baru
Selagi aku tak berteman
Kau tetap bersamaku
Lagipun, aku bukannya pelupa
Banyak bakti kau padaku
Kaulah yang mendukungku
Tiap kali diri ini terlena
Tempat aku berkisar bila insomnia
Masih ingat lagi
Hari yang mana aku kesedihan
Kau menerimaku dalam dakapan
Erat hingga ratapku tak kedengaran


Ya... ya... aku ingat!
Kau juga tempat aku menulis dan membaca
Denganmu juga aku berhubung dunia luar
Melalui komputer riba ini
Cukuplah, terlalu banyak jasamu
Hingga aku segan
Terima kasih katilku yang sempit
Masih kau larat menampung
Berat badanku yang tak terhingga ini... ha ha ha!




Sabtu, 30 Mei 2009

BULAN DAN BINTANG-BINTANGNYA

Dalam leka aku merenung bulan
Memuji keindahannya di malam hari
Kagumku terhenti ditepuk kesedaran
Rupanya bulan tidak terang dengan sendiri
Cahayamu hanya pinjaman
Dari keikhlasan luhur sang mentari


Teralih pula pandanganku ke bintang-bintang yang berkerdipan di langit
Berebut-rebut mendekati bulan yang angkuh kesombongan
Agar kedudukan sama teguh biarpun sumbangan sinar hanya sedikit
Tidak apa diperlekehkan bulan asal ada habuan
Lantas menyalakan lagi bulan dan bintang-bintangnya untuk terus menipu di langit.

Khamis, 28 Mei 2009

TIDAK SALAH

Kata mimpi... tidak salah berangan
Kata angan... tidak salah mencuba
Kata cuba... tidak salah membuat
Kata buat... tidak salah berusaha
Kata usaha... tidak salah bersungguh
Kata sungguh... tidak salah berdoa
Kata doa... tidak salah mengharap
Kata harap... tidak salah menghalang putus asa mematahkan hati...