Memaparkan catatan dengan label novel lada hijau. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label novel lada hijau. Papar semua catatan

Isnin, 19 Oktober 2009

KISAH MEREKA 6

KISAH 6 - MEREKA BELUM SERASI LAGI

Bunyi ketukan pintu membantutkan bacaan Joe. Sebelum bangun untuk membuka pintu bilik, sempat Joe menyelitkan pen dicelah buku. Menandakan muka surat bacaan yang terhenti. Fikir Joe adiknya Aki yang mengetuk tetapi sebaik terkuak luas daun pintu kelihatan Jasmin yang berdiri di hadapannya sambil menatang pinggan berisi beberapa potong buah oren yang tersusun rapi.

“Maaf mengganggu. Min bawakan ini.” Piring di tangan dihulur Jasmin berserta senyuman manis. Malangnya tiada ucapan terima kasih. Hanya sebuah wajah tanpa senyuman saja yang membalas usaha baik Jasmin untuk merapatkan tali saudara yang baru terikat. Pintu ditutup setelah piring disambut. Macam biasa Jasmin terpinga-pinga seorang diri di muka pintu. Dia menghela nafas hampa sambil mencongak kalau-kalau ada lagi silap yang terselit dalam usahanya untuk mengeratkan siratulrahim. Langkah lemah Jasmin ditemani setiap helaan nafas hampanya. Tapak demi tapak dia menuju ke arah anak-anak tangga. Entah bila agaknya saudara-saudara tirinya itu akan menerima kehadirannya di dalam rumahnya sendiri. Berbagai cara sudah dicuba untuk mengambil hati mereka namun tidak berhasil.

Langkah Jasmin terhenti bila dia terasa ada sesuatu yang memaksanya berbuat begitu. Perlahan Jasmin menoleh ke belakang. Terus matanya terbuntang luas lantas tersengih bila dilihat Joe sedang berdiri di muka pintu bilik. Cepat Jasmin berpatah balik mendekati Joe. “Kenapa? Nak oren lagi ke?” Dengan penuh rasa teruja Jasmin bertanya. Joe yang pada mulanya berdiri perlahan-lahan duduk melutut. Kepalanya tunduk sambil kedua-dua tangan menekan perut. Titik-titik peluh mula terbit satu-persatu di dahi Joe.

“Eh, kenapa ni?” Jasmin ikut sama melutut. Dia cuba memandang muka Joe yang masih menundukkan kepala sambil menekan-nekan perut. “O... o... oren... oren... lupa... perut ni... alah. Kamu punya pasal lah!” Pada akhir ayat yang terputus-putus itu Joe menengking. “Hah?" Jasmin terkedu. Pada masa yang sama dia cuak. Usaha baiknya telah mengundang malang pada Joe. Lain yang diharap lain yang jadi. Joe rebah. Bergolek ke kiri dan kanan kerana tidak dapat menahan kepedihan di perut. Kulit mukanya semakin merah, titisan peluhnya semakin banyak dan badannya mula menggeletar menahan sakit. Mujur Jasmin tidak panik tatkala melihatkan keadaan Joe sebegitu. "Habis tu macam mana ni? Ada ubat tak?" Soal Jasmin. Joe menggeleng. "Tolong, bawa saya ke klinik." Keadaan cemas itu akhirnya memaksa Joe untuk mengalah. Dia terpaksa meminta pertolongan daripada Jasmin memandangkan yang lain tiada di rumah. Puan Salbiah dan Encik Dali masing-masing belum pulang dari pejabat. Aki pula tanpa pengetahuan keluarga keluar bekerja di restoran Pak Harun setiap malam. "Cepatlah, nak tunggu mati ke baru nak tolong?" Joe cuba mengekalkan keegoan bagi menutup rasa malu. Dalam keadaan terpinga-pinga Jasmin memapah Joe menuruni anak tangga.

“Eh, nak bawak sampai mana ni?” Tanya Joe bila Jasmin terus memapahnya keluar dari rumah menuju ke pintu pagar. “Klinik.” Balas Jasmin. “Jalan kaki?” Tanya Joe. Cepat Jasmin mengangguk. Terus Joe mengeluh. “Perut ni tengah sakit menyucuk. Mana larat nak jalan?” Joe menyapu keseluruhan mukanya dengan tapak tangan kanan. Menahan kesakitan juga geram. “Sengaja nak kenakan saya kan?” Joe mula menuduh. Jasmin mengeleng. “Sukalah buat saya macam ni kan?” Joe menyapu mukanya lagi. Dalam hati dia beristighfar berkali-kali. Supaya geramnya tidak bertukar marah lantas menelan kesabarannya. “Mana ada. Min takde niat nak buat abang Joe macam ni. Min tak tau abang Joe alah dengan buah oren. Hmm... tapi, kenapa abang Joe makan jugak kalau dah tau alah.” Tiada sebarang jawapan yang diterima. Hanya kedengaran bunyi keluhan Joe menahan sakit. Dalam diam Joe terpaksa akur yang kesilapan sebenar datang dari dirinya sendiri. Mana mungkin Jasmin tahu yang perutnya alah dengan buah-buahan yang masam sedangkan dia sendiri tidak pernah memberi peluang untuk Jasmin mengenali dirinya dengan lebih dekat.

“Nak pegi klinik ke tidak ni?” Tanya Jasmin bila Joe lama mendiamkan diri. “Klinik tak jauhlah. Dekat depan tu je.” Jasmin memandang Joe yang diam seribu bahasa. “Nak ke tak?” Jasmin minta kata putus. “Perut ni sakit lagilah!” Joe menengking. “Kalau sakit, jomlah cepat kita pegi klinik.” Jasmin menarik tangan Joe. “Kamu tak sakit senanglah cakap. Nak kena jalan kaki pulak lagi. Silap-silap mati tengah jalan!” Bisa yang menyucuk-nyucuk di perut membuatkan tutur kata Joe agak kasar. Melihatkan keadaan Joe yang semakin derita menahan sakit di perut, Jasmin megambil keputusan untuk berdiam sahaja. Tidak mahu berbalas kata lagi. Menjadikan keadaan sunyi seketika. “Nak tunggu papa ngan mama balik ke?” Jasmin bersuara semula. Joe terus diam. Cuma riak mukanya saja yang membuktikan dia masih dalam kesakitan lagi. "Janganlah macam ni. Biar Min papah abang Joe. Kita jalan perlahan-lahan ya." Jasmin cuba memujuk Joe lagi. Suaranya dilunakkan seboleh mungkin dalam proses memujuk itu sambil kedua-dua tangan kedap memaut lengan dan bahu Joe. Sebaik mungkin dia memapah Joe dengan kemas. Mengerah tenaga agar larat dia menampung berat badan Joe masa berjalan nanti. “Dah... dah... tak payah nak pegang-pegang.” Joe menolak bantuan Jasmin. Dengan perlahan dia mengatur langkah. Kedua-dua tangannya masih menekan-nekan perut. Hati Jasmin lega bila abang tirinya itu sudah mula berganjak dari kedegilan.

Di klinik Jasmin sabar menanti Joe yang sedang dirawat doktor. Biarpun lega setelah berjaya sampai tetapi rasa bersalah sekejap-sekejap menghantui diri. Buah oren yang diberinya untuk mengambil hati telah menyebabkan saudara tirinya itu kesakitan. Hampir lima belas minit dirawat, barulah kelibat Joe kelihatan melangkah keluar dari bilik doktor. Jasmin bingkas bangun sebaik terpandang Joe yang sedang menghampirinya. “Tak pe. Saya boleh jalan sendiri.” Joe menarik tangannya apabila Jasmin cuba memapah. Mereka duduk sementara menunggu giliran untuk mengambil ubat. Sesekali Jasmin menoleh ke arah Joe yang duduk di sebelahnya. “Sakit lagi?” Tanya Jasmin walaupun pasti yang soalannya itu tidak akan berjawab. “Maaf... Min betul-betul tak tahu.” Cubaan Min masih gagal apabila Joe terus diam membisu. “Syed Johan!” Mereka segera bangun menuju ke kaunter ubat sebaik nama Joe dipanggil. “Semuanya tujuh puluh lapan ringgit.” Ingatkan semuanya telah selesai tetapi kedua-dua mereka tergamam sebaik menyedari yang tiada seorang pun dari mereka membawa duit mahupun telefon bimbit. Sekali lagi mereka berdua terpaksa menunggu kerana tiada pilihan. Menunggu kehadiran Encik Dali dan Puan Salbiah. Itupun setelah mereka berdua menebal muka merayu-rayu agar dibenarkan mengguna telefon di klinik tersebut.

Keadaan rumah Encik Dali dan Puan Salbiah kecoh seketika malam itu. Aki mengamuk sebaik saja mendapat tahu tentang kejadian yang berlaku ke atas abang kesayangannya. Teruk Jasmin dimarahi Aki dan seperti biasa Puan Salbiah akan melindungi Jasmin. Ini menambahkan lagi kebencian Aki terhadap Jasmin. Aki tidak henti-henti menyalahkan Jasmin walaupun berkali-kali Encik Dali memohon maaf di atas kesalahan yang tidak disengajakan anak gadisnya itu. Kemarahan Aki hanya reda setelah dipujuk abangnya. “Sudahlah dik. Abang tak apa-apa pun.” Joe mententeramkan emosi adiknya sebaik masuk ke dalam bilik. Aki yang sedang duduk di tepi katil tunduk tanpa berkata apa-apa. Dia cuba meredakan kemarahannya dengan menarik nafas panjang berulang-kali. Joe melutut sambil memandang Aki. “Janganlah macam ni dik. Jangan cepat marah. Apa pulak mereka fikir nanti.” Joe mengingatkan adiknya. Dia khuatir sekiranya Aki berterusan bersikap dingin dan marah-marah begini akan membuatkan adiknya itu dibenci. Aki mengangkat kepalanya perlahan-lahan. Wajah abangnya direnung dalam. Dia kasihan melihatkan abangnya yang terheret bersama sikap marahnya itu. Aki sendiri keliru dengan emosinya. Sejak tragedi malang yang menimpa keluarganya perasaan marah terlalu cepat menguasai dirinya. Joe menatap wajah si adik. “Kenapa dik?” Tanya Joe apabila Aki merenung mukanya tanpa berkata apa-apa. Aki hanya menggeleng.

“Sakit lagi?” Setelah lama merenung akhirnya Aki bersuara. Joe tersenyum sebaik adiknya mula bercakap. “Tak lagi.” Jawab Joe sambil membetulkan kedudukannya. Kali ini dia duduk di atas lantai sambil bersandar di tepi katil adiknya. “Dik, kebelakangan ni adik selalu tak ada kat rumah? Abang tengok, lepas maghrib je adik keluar. Adik pergi mana?” Aki tergamam mendengarkan soalan Joe. Malam itu adalah malam ke empat dia bekerja di restoran Pak Harun. “Bang, kalau adik cakap, janji jangan beritahu mama ya.” Joe kehairanan dengan permintaan adik kesayangannya itu. Aki pula yang tadi duduk di atas katil kini sedang bersila di lantai mengadapnya. “Apa dia?” Tanya Joe. “Janji dulu.” Pinta Aki. “Ya la... ya la.” Aki tersenyum sebaik mendengar jawapan Joe. “Adik kerja part time.” Beritahu Aki sambil berbisik di telinga abangnya. “Apa?” Aki segera menekup mulut Joe. “Kenapa? Adik tak cukup duit ke? Kenapa tak minta abang je? Kenapa mesti kerja? ” Joe merendahkan nada suaranya. Aki menggeleng. Otaknya ligat mencari sebab. “Kalau kerja dan balik lewat malam macam ni bila masanya kamu nak belajar? Tak letih ke? Tak mengantuk ke kat sekolah nanti?” Joe tak henti-henti menyoal. “Abang... tenang.” Aki memegang kedua-dua bahu Joe. Membuatkan abangnya itu terdiam. Joe tidak suka dengan tindakan adiknya bekerja part time.

Setelah lama otaknya ligat mencari alasan Aki mula bersuara. “Adik kerja bukan sebab duit.” Aki menipu abangnya dalam keadaan terpaksa. Riak wajahnya cuba dikawal agar sentiasa tenang. “Adik nak tenteramkan perasaan adik ni. Rumah ni panas untuk adik. Buat masa ni adik nak elak dari selalu bertembung dengan mama, Pak Cik Dali dan Jasmin.” Aki menyambung helahnya. “Abang tahukan, setiap kali adik bersama mereka pasti sesuatu yang tak diingini berlaku. Sekurang-kurangnya bila adik sibuk bekerja, adik dapat lupakan seketika marah adik ni pada mereka. Abang pun tak sukakan kalau adik abang ni asyik marah-marah?” Aki menunjukkan air muka menagih simpati. Walaupun dia kesal kerana menipu tetapi apakan daya. Dia terpaksa bagi mengelakkan perkara sebenar diketahui.

“Tapi... kalau mama dapat tahu macam mana?” Joe khuatir. “Kalau mama tanya ke mana adik pergi setiap malam, nak jawab apa?” Joe menyambung soalan. Sekali lagi otak Aki ligat mencari jawapan. “Hah! Abang cakap saja yang adik ada kelas malam. Lagipun mama tu selalu sibuk. Selalu balik lewat. Dia bukannya sedar pun sama ada adik balik atau tidak.” Pandai Aki mereka alasan demi alasan. Joe hanya diam mendengar kata-kata adiknya. “Tapi... abang tak sukalah adik kerja malam.” Joe masih ragu-ragu untuk membiarkan adiknya bekerja. “Baiklah, macam ni. Adik cuba kerja sebulan je. Lepas hati adik ni dah tenteram dan tak marah-marah lagi, adik berhentilah.” Aki berusaha mendapatkan kepercayaan Joe. Aki berani membuat jaminan kerana dia bekerja hanya semata-mata hendak membayar hutang. Dia akan berhenti sebaik hutangnya dengan Yan selesai. Sepanjang tempoh itu dia berdoa agar rahsia sebenar dia bekerja tidak sampai ke pengetahuan sesiapa terutama mamanya.

“Baiklah kalau macam tu. Tapi kalau adik tak tahan, tak perlu tunggu sampai sebulan tau. Berhenti je. Ada banyak cara lain untuk tenteramkan fikiran. Abang tak nak pelajaran adik merosot sebab semua ni.” Joe mengingatkan adiknya sebelum keluar dari bilik. Aki hanya tersenyum mengangguk. Lega hatinya setelah berjaya mendapatkan kepercayaan abangnya.

Dua malam sudah berlalu sejak Joe dikejarkan ke klinik. Seperti biasa Joe menghabiskan masa di bilik menelaah pelajaran. Sesekali matanya mengerling ke arah jam. Selagi Aki tidak pulang hatinya tidak tenteram. Walaupun sudah seminggu adiknya itu bekerja malam kerisauan masih bermain-main di hatinya. Dia bimbang dengan keselamatan Aki yang pulang seorang diri lewat tengah malam. Pernah dia menyuarakan untuk menemani adiknya itu bekerja tetapi dihalang Aki. Kerisauan Joe diganggu oleh bunyi ketukan pintu. Pintu bilik dibuka. Dia ni lagi. Joe mengeluh dalam hati sebaik melihat Jasmin berdiri di muka pintu. “Maaf... Min bawa ini.” Tiga potong tembikai susu yang tersusun di atas pinggan dihulurnya. “Nak kenakan saya lagi?” Jerkah Joe. Daun pintu ditutupnya. Jasmin terpaku sambil memegang pinggan berisi tembikai susu yang tidak bersambut. Nampaknya mereka semakin membenci aku. Keluh Jasmin. Apa lagi cara yang harus dilakukan agar dia diterima oleh saudara-saudara tirinya itu.

Semakin dia cuba untuk dekat semakin jauh mereka darinya. Berbagai cara mereka lakukan demi mengelak dari terserempak dengannya. Aki lewat malam baru pulang sementara Joe terus berkurung di dalam bilik selepas makan malam. Tinggal dia seorang diri seperti selalu. Tiada beza seperti sebelumnya. Sama dengan keadaan semasa papanya masih menduda. Fikirnya dengan kehadiran saudara-saudara tirinya itu kesunyiannya akan terisi. Namun segala-galanya tidak berjalan seperti yang diimpikan. Jasmin duduk di atas sofa yang bertentangan dengan bilik Joe. Suis televisyen 29 inci ditekannya. Sebaik televisyen itu terpasang dia mencapai sepotong tembikai susu yang pada mulanya hendak diberikan kepada Joe tetapi ditolak. Mulutnya mengunyah-ngunyah sambil matanya terpaku di kaca televisyen. Tiada apa lagi perkara berfaedah yang boleh dilakukannya sementara menunggu papa dan mamanya pulang dari pejabat. Kerja sekolah sudah diselesaikannya petang tadi. Dapur pun sudah dikemas sebaik selesai makan malam. Sesekali matanya mengerling pada pintu bilik Joe. Kunyahannya terhenti apabila Joe membuka pintu dan menuju ke arahnya.“Pekak ke?” Jasmin terkelip-kelip memandang muka Joe yang serius. Joe mencapai alat kawalan jauh yang terletak di atas meja dan memperlahankan suara televisyen. Joe kembali masuk ke bilik meninggalkan Jasmin. “Terima kasih sebab bawa saya ke klinik tempoh hari.” Belum sempat Jasmin membalas, Joe terus menutup pintu. Sekali lagi Jasmin hampa juga hairan. Apa tujuan Joe keluar dari bilik tadi? Hendak marah atau berterima kasih? Jasmin kebingungan seorang diri.

Sebaik menutup pintu tadi Joe terus berbaring di atas katil. Perasaan serba-salah menerjah ke dalam diri. Tidak patut dia melayan Jasmin sebegitu rupa. Apatah lagi bila memikirkan tindakan Jasmin membantunya tempoh hari. Walaupun ia terjadi gara-gara buah oren yang diberikan Jasmin, Joe tahu yang adik tirinya itu tidak sengaja malah tidak tahu langsung tentang alahan perutnya. Kalau dia sendiri yang tidak gopoh pasti semua itu tidak berlaku. Joe tahu yang Jasmin berkali-kali cuba untuk beramah-mesra dengannya. Dia juga sedar yang Jasmin cukup bersabar dengan sikap mereka adik-beradik. Pernah terlintas difikirannya untuk menerima Jasmin apabila mengenangkan layanan Jasmin terhadapnya. Namun hasratnya terhalang tiap kali memikirkan tentang Aki. Pasti Aki akan marah dan jauh hati padanya. Tidak! Dia tidak sanggup menghadapi semua itu. Biar seburuk mana perangai Aki, itulah satu-satu adik kesayangannya. Dia percaya, adiknya akan berubah seperti dulu setelah emosi adiknya itu kembali tenang dan dia akan sabar menunggu tanpa sebarang rungutan.

Badan Joe tersentak. Dalam lamunan tadi rupanya dia terlelap. Matanya segera menangkap jarum jam. “Dah dua belas suku.” Joe bingkas bangun dari katilnya. Dijengahnya ke tingkap. Malam semakin pekat. Segera dia keluar menuju ke bilik Aki untuk menjenguk sama ada adiknya itu sudah pulang atau tidak. Jasmin dilihatnya tertidur di atas sofa dengan televisyen masih terpasang. Tanpa dihiraukannya Joe terus menuju ke bilik Aki yang bersebelahan dengan biliknya. Setelah beberapa kali diketuk masih tiada jawapan. Tombol pintu Aki dipulasnya. Pintu tersebut ditutup semula setelah mendapati Aki tiada di dalam bilik. Sekali lagi dia memandang Jasmin yang sedang lena di atas sofa. Dengan perlahan dia mematikan suis televisyen. Jasmin masih nyenyak. Tembikai susu di atas meja tinggal sepotong. Joe melangkah masuk ke biliknya. Tidak lama kemudian dia keluar semula sambil tangannya memegang selimut. Dengan berhati-hati dia menyelimuti adik tirinya itu. Jasmin mengeliat selesa. Matanya masih terpejam. Sebelum Joe menuruni anak tangga sekali lagi dia menoleh memandang Jasmin.

Aki masih belum pulang. Begitu juga Encik Dali dan Puan Salbiah tetapi itu tidak merisaukan dirinya. Sejak dulu lagi mamanya sudah biasa pulang lewat. Mamanya membuka perniagaan sebagai wakil stokis pada satu syarikat jualan langsung sejak Aki berumur lima tahun. Papa Dhaninya pula jarang berada di rumah. Selalu ke luar negeri atas urusan kerja. Sebagai abang dialah yang menemani adiknya sementara kerja-kerja rumah diuruskan oleh orang gaji yang diupah kedua orang tuanya. Joe keluar menuju ke arah buaian di halaman rumah. Sambil berbuai dia menanti kepulangan Aki. Hatinya tidak henti-henti mendoakan keselamatan adiknya. Kelibat Aki melegakan hati Joe. Segera dibuka pintu pagar kecil di sebelah pintu pagar utama untuk adiknya. “Kenapa lambat?” Tanya Joe sebaik selesai mengunci semula pintu pagar. “Pelanggan ramai malam ni. Inikan malam Ahad. Esok cuti.” Jawab Aki sambil mengeliat membetulkan urat-uratnya. Aki tidak segera masuk ke rumah sebaliknya duduk di buaian tempat Joe menunggunya tadi. Joe mengikut dari belakang. “Abang tak perlulah tunggu adik tiap malam.” Tegur Aki sebaik Joe duduk mengadapnya di atas buaian. “Risaulah. Abang nak jemput, adik tak bagi.” Joe memandang adiknya. “Kan adik dah cakap. Budak-budak kat restoran tu temankan adik sampai kat simpang depan tu.” Sekali lagi Aki mengingatkan abangnya. Joe memandang adiknya tanpa berkata apa-apa.

“Adik bawak sotong goreng tepung.” Aki mengeluarkan bekas polisterina warna putih dari plastik yang dibawanya. “Abang suka makan ni kan?” Aki membuka bekas tersebut lalu dihulurkan kepada abangnya. Joe tergelak kecil akan gelagat Aki yang cuba mengambil hatinya dengan sotong goreng tepung itu. Dengan sudu plastik yang tersedia ada, Joe menyuap satu-persatu sotong goreng tepung ke dalam mulutnya. Memang kegemaran Joe meratahnya tanpa nasi. “Abang janganlah risau sangat. Adik tahu jaga diri. Jangan sebab adik, abang pulak tak cukup tidur.” Joe tidak membalas kata-kata Aki sebaliknya mulutnya sibuk mengunyah. “Ish, kalau ya pun takkan makan sorang!” Tegur Aki lalu berpindah duduk di sisi abangnya. Joe tergelak. Dia mengusik dengan mengacah-ngacah sudu berisi makanan itu kepada Aki. “Sikitlah!” Kesunyian malam itu pecah dengan gelak tawa mereka dua-beradik. Tanpa disedari gelagat mereka diperhatikan Jasmin dari beranda tingkat atas sebaik dia terjaga dari tidur yang tidak sempurna. Kain selimut Joe masih menyelubungi tubuhnya. Dari paras bahu hingga ke bawah. Saja Jasmin berselubung begitu bagi mengelakkan kesejukan angin malam. Kegembiraan dua-beradik itu dapat dirasai Jasmin. Dalam tidak sedar hatinya terhibur walaupun dengan hanya memandang dari jauh. Di masa yang sama Jasmin merasakan dia terasing di rumahnya sendiri.



nantikan sambungannya minggu hadapan...

Isnin, 31 Ogos 2009

KISAH MEREKA 5

KISAH 5 - MEREKA TERPERANGKAP DAN MEMERANGKAP

Sesekali Adib mengerling jarum jam tangannya. Pagi itu dia bangun lebih awal dari biasa. Sebaik selesai menunaikan solat subuh dia terus bersiap untuk ke sekolah. Jam enam empat puluh lima minit pagi Adib sudahpun terpacak di tempat yang dijanjikan. Penat berdiri dia bertinggung. Lenguh bertinggung dia berdiri. Sekali lagi dia mengerling ke arah jam tangan. Baru pukul enam lima puluh lima minit pagi. Sudah hampir sepuluh minit dia menunggu di simpang itu. Adib mengeluh dan bertinggung semula. Pusingan saat dirasakannya amat perlahan. Tepat jam tujuh barulah kelibat Aki muncul dan menamatkan penantiannya. Dia bingkas bangun sambil membetul-betulkan baju dan seluarnya. Jari-jemarinya menyisir-nyisir rambut hadapan yang lurus lembut menutupi dahi sebelah kanan.

“Assalammualaikum,” tegur Aki sebaik menghampiri Adib. “Waalaikumussalam,” jawab Adib sambil tersenyum meleret. “Dah lama tunggu?” Tanya Aki. “Eh, taklah. Baru je sampai ni.” Jawab Adib spontan. Sedangkan sudah hampir lima belas minit dia di situ. “Err, kenapa dengan mata kamu?” Adib mula menyedari akan mata Aki yang agak sembab sebaik sahaja Aki mengangkat muka memandang tepat ke arahnya. “Jom! Nanti lambat,” sengaja soalan Adib dibiarkan Aki.

Mereka berdua beriringan menuju ke sekolah. “Kurang tidur ke malam tadi?” Adib cuba meneka. Aki masih mendiamkan diri. Cuma sesekali dia menggosok-gosok matanya. “Jangan gosok. Nanti tambah bengkak,” kata-kata Adib membuatkan Aki tersenyum. Prihatin jugak si lembut ni. Puji Aki dalam hati.

Adib memberikan senyuman apabila Aki sesekali menoleh ke arahnya. “Awak tak de kawan lain ke?” Tiba-tiba Aki menyoal. Langkah Adib terhenti. “Yalah, sebelum ni awak gi sekolah ngan siapa?” Tanya Aki sambil memperlahankan langkahnya agar seiringan dengan Adib.

“Sendiri.” Adib menjawab pendek dan menyambung langkahnya semula. “Sendiri? Kenapa? Tak de orang nak kawan ngan awak ke? Perangai awak teruk sangat ya?” Aki mengusik. Adib tersenyum. Walaupun kata-kata Aki itu berbaur sindiran namun tidak sedikit pun Adib terasa. Kini kawan yang baru dikenalinya itu sudah mula berbalas cakap dengannya. Berbeza dengan keadaan semalam, hanya dia seorang saja yang sibuk bercerita.

“Awak nak kenal ngan kawan-kawan saya ke?” Aki terpaku mendengarkan soalan Adib. “Kenapa diam? Tadi nak tahu sangat.” Giliran Adib pula menyindir apabila soalannya tadi tidak dijawab. “Petang ni senang tak?” Adib terus menyoal. “Lepas sekolah nanti, ikut saya balik. Saya tunjukkan pada awak ngan siapa saya berkawan.” Perasaan serba-salah mula menyelubungi diri Aki. Patutkah dia menerima pelawaan Adib? Kawan yang baru dua hari dikenalinya. Itulah, siapa suruh sibuk sangat nak tahu dengan siapa si lembut ni berkawan. Aki memarahi dirinya sendiri.

“Adib, awak serius ke nak kenalkan saya pada kawan-kawan awak?” Kerisauan Aki menjadi-jadi. Fikirnya Adib akan lupakan hasrat itu tetapi sangkaan Aki jauh meleset. Sebaik saja loceng akhir sessi pagi berbunyi Adib terus mengingatkan Aki tentang pelawaannya pagi tadi. “Ya la. Nanti awak tahulah saya ni teruk ke tidak. Kenapa? Takut? Alah... saya bukannya nak ajak awak buat benda yang bukan-bukan. Saya cuma nak jawab soalan-soalan yang awak tanya pagi tadi. Itu je.” Jawapan Adib yang berhias dengan senyuman seribu makna membuat hati Aki berbelah bagi. “Cerita je tak boleh ke?” Aki masih was-was. “Nak ikut ke tak?” Tanya Adib. Aki bingung. Sama ada mahu ikut atau tidak. Entah kenapa dia memberi anggukan setuju bila lama direnung Adib. Mungkin kerana tidak mahu kawan barunya itu terasa. Adib tersenyum. Membiarkan Aki mengikut langkahnya dalam seribu keraguan.

“Jemput minum,” Fizi menghulurkan segelas air kepada Oly. “Eh, terima kasih. Baik hati awak.” Walaupun sedikit hairan, Oly menerima minuman yang dihulurkan. Setelah menyedut beberapa kali, dia meletakkan gelas tadi di sebelah mesin kira-kira sambil tersenyum pada Fizi yang tersengih- sengih memandang. “Fizi tak minum sekali?” Oly mengajukan soalan bila Fizi masih mengeliang-ngeliut di hadapannya. “Eh, takpe... dah minum kat belakang tadi.” Fizi menjawab sambil tangannya mengelap-ngelap meja kaunter tanpa sebab. “Pak Long rasa bukan meja kaunter ni yang patut kamu lap.” Pak Harun menepuk bahu Fizi dari belakang. Dengan muka cuak Fizi menoleh memandang Pak Harun. Yan yang sedang mengelap meja memerhatikan mereka bertiga. Padan muka. Nak menggatal tak kena tempat. Aku adik dia yang penat gila ni tak dikasinya air... yang dok tercongok kat kaunter tu pulak yang dia sibuk-sibuk. Yan mengejek Fizi dalam hati bila niat abangnya hendak mengurat Oly dihalang teguran Pak Harun. Sedang Yan mengejek dan merungut sendirian tiba-tiba perhatiannya teralih pada kelibat yang baru melangkah masuk ke dalam restoran.

“Ayah...” Adib menghulurkan salam sambil mencium tangan Pak Harun sebaik melangkah masuk ke dalam restoran. Perkara yang sama dilakukannya pada Oly dan Fizi. Namun bukan kelibat Adib yang mencuri perhatian Yan tetapi seorang gadis yang berjalan masuk bersama Adib.

“Ini Aki. Kawan sekolah Adib. Aki, ini ayah saya. Ini Fizi sepupu saya dan itu kakak saya Oly.” Aki menghulurkan salam kepada Pak Harun, Fizi dan Oly. “Hah, abang Yan! Mari saya kenalkan kawan baru saya ni.” Seperti pucuk dicita ulam mendatang bila namanya dipanggil Adib. Dia bertekad, kali ini peluang kedua takkan dilepaskan untuk mendapatkan semula duitnya. Kain buruk di tangan dihempas Yan ke atas meja.

Berderau darah Aki bila Yan menuju ke arahnya. Mukanya pucat serta-merta. Apa yang mamat ni buat kat sini? Kecil betul dunia ni. Macam mana aku boleh terserempak lagi dengan dia? Hati kecil Aki terus berkata-kata. Jantungnya berdegup semakin kencang tatkala Yan semakin hampir dengannya. Mata Aki melilau mengelak dari renungan tajam Yan.

“Aki, ini Yan. Sepupu Adib. Adik abang Fizi.” Suara Adib menyentakkan Aki. Yan sudah pun berdiri betul-betul di hadapannya. “Saya Aki.” Dalam keadaan teragak-agak dan suara tersekat-sekat, Aki menghulurkan salam kepada Yan. Salamnya disambut dengan gengaman yang agak keras.

“Mari, jemput duduk. Kamu nak minum apa? Minuman panas atau sejuk?” Pelawaan Fizi mematahkan hasrat Yan untuk bersuara. Aki terasa kembali aliran darah di urat-urat mukanya. “Err... limau... limau ais.” Pucat di muka Aki beransur hilang namun suaranya masih tersekat-sekat. “Yan, pergi ambik air untuk tetamu kita ni. Suruh Azam buat sedap-sedap tau!” Perintah Fizi. Lagaknya tak ubah seperti tuan empunya restoran. Tanpa banyak soal, Yan menuju ke dapur.

“Eh, air untuk siapa tu?” Tegur Azam kehairanan apabila melihatkan Yan membancuh sendiri air minuman sebaik tiba di dapur. “Adib bawak kawan dia. Kat depan tu. Biar saya bancuh air ni. Azam pergilah kenalkan diri. Kitaorang semua dah kenal.” Habis sahaja ayat Yan, Azam terus begerak ke bahagian hadapan restoran. Sejak berpindah, adiknya tidak pernah membawa pulang walau seorang kawan sekalipun. Membuatkan Azam teringin benar berjumpa dengan kawan baru Adib itu.

Salam Azam disambut Aki dengan senyuman. “Hah! Mereka ini semualah kawan-kawan saya.” Adib memandang Aki. “ Awak tipu! Ini keluarga awak.” Aki tidak puas hati dengan jawapan Adib. “Kenapa? Keluarga sendiri tak boleh jadi kawan ke? Esok giliran awak pulak kenalkan saya pada kawan-kawan awak.” Geli hati Adib melihatkan Aki tersipu-sipu malu dikelilingi ahli keluarganya. Pelanggan-pelangan yang sedang menjamu selera sesekali mengerling ke arah mereka semua.

“Saya baru pindah kat sini. Mana ada kawan lagi.” Nada suara Aki rendah. Baru dia sedar yang Adib cuba mengenakannya. “Sudah Adib.” Pak Harun menegur anak lelakinya apabila melihatkan perubahan pada air muka Aki. “Maafkan anak Pak Cik. Dia memang macam ni, suka mengusik.” Pak Harun cuba menenangkan anak gadis yang sedang duduk di hadapannya itu.

“Kamu tinggal di kawasan ni jugak ke?” Tanya Pak Harun. Aki mengangguk. “Saya baru pindah kat Jalan Merbok,” beritahu Aki. “Jalan Merbok? Yang mana satu rumah kamu?” Pak Harun terus menyoal. “No. 33,” jawab Aki pendek. “ No. 33?” Ulang Pak Harun. “Itukan rumah Pak Cik Dali kawan ayah.” Azam tepat meneka. “Betul kamu tinggal kat situ? Apa hubungan kamu dengan dia?” Pak Harun cuba mendapatkan kepastian. Aki memandang satu-persatu wajah yang mengelilinginya sebelum menjawab, “Dia ayah tiri saya.”

“Jadi, kamu ni adik Joe ya? Kita orang jumpa dia kat masjid ari tu... ngan Pak Cik Dali.” Tekaan Azam tepat lagi. Aki tercengang. Kini sah baginya yang dunia ini benar-benar kecil. “Jemput minum.” Tiba-tiba Yan muncul membawa minuman. “Yan, kau buat air ke jerang air? Lama betul.” Lawak basi Fizi tidak diendah Yan. Matanya terus merenung Aki. “Hah, minumlah.” Pelawa Pak Harun. Aki sedaya-upaya mengelak matanya dari bertembung dengan renungan tajam Yan. Gelas di hadapannya dicapai. Air limau ais itu dikacau-kacaunya dahulu dengan penyedut minuman sebelum disedut.

Yan yang merenung tajam ke arah Aki dari tadi tiba-tiba tersenyum sinis. “Macam mana? Sedap tak?” Tanya Yan dengan sopan-santunnya. Dalam keadaan terkedu dan terpaksa, Aki menelan air limau ais yang baru disedutnya itu. Bodoh punya mamat. Kau kenakan aku depan dia orang ni semua ya. Menggigil Aki menahan marah kerana terpaksa menelan air limau ais yang dibancuh Yan dengan garam.

“Sedap. Pandai awak buat air.” Aki cuba menahan kemasinan yang masih melekat ditekaknya. Seboleh-boleh dia mempamerkan senyuman mesra. “Makan tengah hari di sini ya. Yan, sediakan hidangan untuk tetamu kita ni.” Arah Pak Harun. “Eh, tak pe. Tak payah susah-susah. Lagipun saya tak boleh lama kat sini. Saya kena balik.” Cepat Aki menolak pelawaan Pak Harun. Hakikatnya perut Aki sedang mendidih kelaparan. Namun dia tidak mahu terkena lagi. Entah apa pula yang bakal dimasukkan ke dalam makanannya itu nanti.

“Kalau ya pun, habiskanlah minuman tu dulu. Tak elok membazir tau.” Yan terus berlagak sopan. Menambah kegeraman di hati Aki. “Betul tu. Habiskanlah minuman tu dulu. Bila-bila senang singgahlah lagi.” Pak Harun mengiyakan kata-kata Yan. “Anggaplah kami ni semua kawan-kawan kamu. Jangan malu-malu.” Oly pula cuba beramah. Dengan senyuman kelat Aki menghabiskan air limau aisnya dengan satu nafas. Sejurus isi dalam gelas tersebut kosong disedut, Aki bangun bersalaman dan melangkah keluar meninggalkan “kawan-kawan” yang baru dikenalinya itu.

“Aki, tunggu!” Belum jauh Aki melangkah meninggalkan restoran, namanya diteriak seseorang. Dilihatnya Adib berlari-lari anak menghampirinya. “Dah puas tipu saya?” Sindir Aki sebaik Adib berhenti di hadapannya. “Awak marah?” Tanya Adib. “ Taklah, saya suka.” Aki terus menyindir. Melepaskan geram yang ditahannya dari tadi sewaktu dikelilingi keluarga Fizi. Sebab Adib, dia berjumpa semula dengan Yan. Sebab Adib juga, dia kena minum air limau ais bercampur garam.

“Saya tak tipu. Saya ikhlas ngan awak. Merekalah kawan-kawan saya. Kalau awak nak tahu, saya baru setahun lebih je kat sini. Belum ada kawan lagi. Yang ada pun teman-teman sekelas dan ahli-ahli kelab sejarah yang selalu ketawa dan ejek saya tiap kali saya bercakap. Saya nak cuba nasib je berkawan ngan awak. Sebab awak orang baru kat sini. Itupun kalau awak sudi. Maaflah kalau awak tak suka semua ni.” Adib yang tidak tahu punca kemarahan Aki menerangkan maksud hatinya dengan panjang lebar. Aki hanya diam berpeluk tubuh mendengar alasan kawan barunya itu. Membuatkan Adib rasa tambah bersalah. Dengan berat hati dia meninggalkan Aki bila kata-katanya tidak dihiraukan. Cuma kedua-dua mata Aki sahaja yang berulang-ulang memandangnya dari atas ke bawah. Menambahkan lagi kehibaan hati Adib yang jelas terpampang di wajah.

Memang sah si lembut ni sensitif. Baru acah sikit dah nak terasa. Perli Aki dalam hati. “Hei, kawan!” Jerit Aki. Langkah Adib terhenti. Dia menoleh ke arah Aki. “Esok jangan lupa tunggu saya kat tempat yang sama jam tujuh. Kalau lambat saya tinggal!” Aki sempat mengusik dalam memujuk. Serentak itu juga rasa hiba di hati Adib lenyap. Melahirkan bunga kegembiraan. Lantas dia terlompat-lompat manja seorang diri. Aki membiarkan sahaja Adib sendirian meraikan kegembiraan itu. Langkahnya yang terhenti tadi disambungnya semula.

Tersenyum-senyum Aki bila mengenangkan semula kata-kata Adib tadi. Nasib kaulah Aki, berkawan ngan si lembut. Aki mengejek dirinya sendiri. Sekurang-kurangnya, dia dah ada tempat lain untuk dituju selepas tamat waktu sekolah. Dari pulang terus ke rumah dan berdua-duaan dengan Jasmin, lebih baik dia bersama Adib. Lagipun abangnya Joe selalu pulang lewat. Paling kurang dalam pukul lima petang baru Joe pulang dari kolej.

“Dah gila ke? Senyum sorang-sorang.” Sekali lagi langkah Aki terhenti. Dia menoleh kiri dan kanan. Mencari suara yang menegurnya itu. “Awak!” Jerit Aki sebaik menoleh ke arah suara yang mengganggu lamunannya tadi. “Limau ais campur garam. Awak nak bunuh saya ke?” Bentak Aki. Yan segera meluru ke arah Aki lalu menariknya berlindung dibalik dinding agar perlakuannya tidak dapat dilihat oleh orang yang lalu-lalang di situ.

“Lepaskan saya!” Aki meronta. Dia terus lari sebaik gengaman Yan pada tangannya terlepas. “Larilah! Biar aku cerita kat Adib siapa kau sebenarnya!” Yan mengugut. Kata-kata Yan tadi menghalang hasrat Aki untuk melarikan diri. Tidak! Adib tak boleh tahu. Kalau Adib tahu nanti, Pak Harun dan yang lain-lain pun tahu. Mereka semua kenal ayah tiri aku. Tak mustahil abang juga akan tahu. Tidak! Ini tak boleh jadi. Aku tak nak sesiapa pun tahu. Aki terfikir sejenak kebarangkalian yang bakal berlaku jika Yan menceritakan segala-galanya pada Adib.

“Jangan!” Aki berlari semula ke arah Yan. “Tolonglah, jangan ceritakan pada sesiapa.” Aki mencabut keegoannya. Dalam keadaan terdesak dia merayu agar Yan tidak menceritakan tentang kejadian dia mencuri di Sogo.

Yan tergelak kecil tatkala melihat Aki beriya-iya merayu agar dia merahsiakan segala-galanya. “Hmm... tau pun takut.” Perli Yan. Meluat Aki melihat Yan yang tidak mengendahkan rayuannya itu.

“Aku nak duit aku balik.” Yan bersuara sebaik gelaknya reda. Riak cemas semakin terukir di wajah Aki. Bagaimana dia hendak mendapatkan wang sebanyak itu? Hendak diminta pada mamanya, hubungan mereka agak dingin kebelakangan ini. Lebih-lebih lagi apabila mengenangkan pertengkaran antara dia dan mamanya yang baru meletus malam tadi. Tak sanggup dia hendak menebal muka. Minta pada abang pula, pasti kena soal macam-macam.

“Oii! Dengar tak?” Tempik Yan apabila soalannya tidak berjawab. “Saya tak de duit,” balas Aki. “Hmm... tak nak bayarlah ya. Lepas ni jangan marah kalau semua tau...” Yan bertindak meninggalkan Aki yang ketandusan ikhtiar untuk membayar hutang.

“Nanti!” Aki berlari menahan Yan. “Tolonglah! Jangan buat saya macam ni.” Aki mengoncang-goncang lengan Yan. Lengan tersebut segera dilepaskannya apabila Yan merenung tajam.

“Nak bayar ke tak?” Soal Yan. “Saya boleh bayar tapi bukan sekarang,” jawab Aki. “Jangan main-main ngan aku,” nada suara Yan keras. Geram dengan gadis yang berdiri di hadapannya itu. “Saya nak bayar tapi sekarang saya takde duit.” Aki cuba menerangkan pada Yan agar faham akan keadaannya.

“Bagilah saya masa.” Pinta Aki walaupun dia tidak pasti sama ada dapat mengumpulkan duit sebanyak RM 299.50 itu atau tidak. Setiap bulan dia hanya menerima RM 100 untuk duit saku. Ini bermakna mulai sekarang dia terpaksa mengikat perut di sekolah. Itupun memakan masa selama tiga bulan baru cukup untuk dia membayar hutang tersebut.

“Berapa lama nak kena tunggu?” Tanya Yan. “Beri saya masa tiga...,” Aki menunjukkan tiga jari tangannya. “Tiga hari? Baik.” Yan terus bersetuju. “Eh! Bukan. Tiga... tiga bulan.” Aki segera membetulkan tekaan Yan. “Tiga bulan? Kau ingat aku bodoh? Kau nak larikan? Kau jangan memain ngan aku. Hmm... nampaknya kau tak serius langsung nak bayar balik duit aku tu. Maaflah kalau lepas ni keluarga kau tahu yang anak gadis mereka pencuri.” Tanpa membuang masa Yan terus meninggalkan Aki.

Geram betul Aki melihatkan sikap Yan yang tidak henti-henti mengugutnya. “Oii, bodoh! Gunalah otak sikit! Saya ni kan budak sekolah. Mana nak cari duit sebanyak tu. Bagi jelah saya masa.” Akhirnya geram Aki terlepas. Dari tadi dia cuba menahan geram, melupakan keegoannya hingga sanggup merayu meminta simpati. Namun dirasakan sia-sia bila rayuannya tidak diendah langsung.

Berdesing telinga Yan tatkala dirinya digelar bodoh. Sekali lagi dia berpusing dan meluru ke arah anak gadis yang menggelarkan dirinya bodoh itu. Ketakutan mula menyelubungi diri Aki. Dia cuba hendak lari namun kakinya seperti melekat di jalan bertar itu.

“Sebulan. Aku beri kau masa sebulan.” Tegas Yan sebaik tangannya mencapai lengan kiri baju sekolah Aki. “Tak boleh. Saya tak cukup duit. Saya perlukan masa tiga bulan untuk kumpul duit sebanyak tu. Tolonglah faham. Jangan desak saya lagi. Saya janji akan bayar semula duit awak tu.” Sekali lagi Aki cuba merayu.

“Tapi kenapa sampai tiga bulan? Lama tu...” Yan terus menyoal tanpa melepaskan Aki. “Setiap bulan saya dapat seratus ringgit untuk duit saku. Nanti saya bayar awak guna duit tu. Sebab tu saya perlukan masa tiga bulan.” Terang Aki mengharap Yan memahami keadaannya.

Lama Yan mendiamkan diri. Sedikit demi sedikit gengamannya pada lengan baju Aki terlerai. Aki membetul-betulkan lengan bajunya yang berkedut. Wajah Yan yang berkerut memikirkan sesuatu diperhatikannya. Aki tertanya-tanya apa yang sedang difikirkan oleh lelaki di hadapannya itu. “Macam mana? Setuju?” Aki cuba mendapatkan kepastian setelah agak lama Yan mendiamkan diri.

“Hello...,” Aki melambai-lambaikan tapak tangannya di muka Yan. “Apa ni?” Yan mula bersuara apabila pandangannya terganggu. “ Saya tanya, setuju ke tak? Saya janji akan bayar dalam masa tiga bulan.” Aki mengulangi semula kata-katanya tadi.

“Hmm... tiga bulan... lama tu.” Yan masih tidak puas hati. Tiga bulan adalah satu jangka masa yang agak panjang baginya. Fikirnya berbagai kemungkinan boleh berlaku dalam tempoh masa itu.

“Habis tu, awak ada cara lain?” Aki cuba mencabar Yan. Sempat dia menjeling sambil berpeluk tubuh. “Rasanya ada. Tadi aku terfikir satu cara untuk kau bayar balik duit aku dalam tempoh satu bulan.” Yan memberi pandangan sambil menghadiahkan senyuman sinis pada Aki. “Macam mana?” Dahi Aki berkerut kehairanan melihatkan senyuman yang terukir di bibir Yan.

“Berapa yang kau ada sekarang?” Tanya Yan. “Hah?” Aki kabur. “Kau kata tadi setiap bulan kau terima seratus ringgit. Bagi aku seratus tu dulu,” arah Yan. “Err... tapi saya dah guna duit tu. Tak sampai seratus pun, cuma ada lapan puluh lima ringgit je,” Aki cuba memberi alasan.

“Bagi aku duit tu cepat!” Yan benar-benar serius. Dia tidak mahu terlepas peluang lagi untuk mendapatkan duitnya semula. Hendak tak hendak Aki mengeluarkan wang yang dimaksudkan dari beg duitnya. Berat hati Aki untuk menyerahkan wang saku tapi apakan daya bila memikirkan rahsianya akan terbongkar jika tidak memenuhi permintaan tersebut.

Wang yang dihulurkan segera diambil Yan. Aki hanya memerhatikan saja gelagat Yan mengira-ngira wang itu. “Err... boleh tak amik lapan puluh dulu?” Pinta Aki. Kiraan Yan terhenti. Wang kertas bernilai RM 5 dihulurkannya kepada Aki. “Sekarang baki hutang kau pada aku tinggal dua ratus sembilan belas ringgit lima puluh sen dan kau mesti selesaikan dalam masa satu bulan. Ikut aku sekarang. Aku akan tunjukkan kau caranya.” Tanpa berfikir panjang Aki mengikut Yan dari belakang. Dia tertanya-tanya apakah yang sedang bermain difikiran Yan.

“Hah, Yan. Kau dari mana ni?” Tegur Fizi sebaik Yan melintas di hadapannya. “Buang sampah,” jawab Yan pendek. “Eh, Aki. Ada barang tertinggal ke?” Tanya Fizi kepada Aki yang sedang berdiri di belakang Yan. “Err...,” Aki kebuntuan jawapan untuk soalan Fizi. Dia sendiri tertanya-tanya mengapa Yan membawanya berpatah balik ke restoran. Apakah sebenarnya rancangan Yan?

“Aki... tak balik lagi?” Kali ini Adib pula menegurnya. Aki semakin cemas. Adakah dia akan dikenakan Yan sekali lagi? Mungkinkah Yan akan memalukannya dengan menceritakan segala-galanya. Tidak! Tidak dapat dibayangkannya bagaimana anggapan Adib terhadapnya bila tahu perkara sebenar. Bagaimana pula dia hendak berhadapan dengan keluarganya jika perkara ini tersebar? Betapa sedih abangnya nanti setelah dapat tahu yang adiknya seorang pencuri. Fikiran Aki berkecamuk dengan kemungkinan yang akan berlaku sekiranya mereka semua tahu yang dia pernah mencuri.

“Pak Long,” Yan menegur Pak Harun yang sedang berehat di meja sambil membaca surat khabar. Melihatkan Yan berbisik-bisik dengan Pak Harun membuatkan Aki bertambah risau. Mahu saja dia lari meninggalkan restoran tersebut.

“Betul ke apa yang Yan beritahu pada Pak Cik?” Tanya Pak Harun sebaik saja mendekati Aki yang serba tak keruan. Aki tergamam. Soalan Pak Harun menyesakkan nafasnya. Dia bersedia untuk lari sekiranya terjadi sebarang kemungkinan. Dalam kesesakan nafas itu matanya sempat memandang Yan yang sedang tersenyum sinis di belakang Pak Harun.

“Beritahu apa ayah?” Tanya Adib. Nafas Aki semakin sesak. “Yan kata kamu nak kerja part time kat sini.” Kata-kata Pak Harun membuatkan Aki terkedu seketika. Sedikit demi sedikit nafasnya kembali teratur. Kerisauan di hati beransur hilang namun geramnya pada Yan semakin menebal. Pandai betul mamat ni kenakan aku. Jadi ini rupanya rancangan dia. Tak pasal-pasal aku kena kerja kat sini pulak. Gerutu Aki sendirian. Kecil saja matanya memandang Yan. Rasa hendak diterkam saja tetapi hasratnya itu terbatal apabila difikirkan yang rahsianya masih elok tersimpan. Walaupun terasa dirinya diperangkap, dengan perlahan Aki mengangguk.

“Betul ke Aki? Kenapa tak beritahu tadi?” Adib cuba mendapatkan kepastian walaupun Aki sudah menjawab dengan satu anggukan. “Tadi dia tak tahu. Bila terbaca kertas iklan kat depan tu, baru dia tahu yang Pak Long nak cari pekerja lagi,” Yan segera mencelah. Aki yang sedang terpinga-pinga mencari jawapan terus mengiyakan kata-kata Yan. “Pak Cik boleh ambil kamu bekerja tapi kamu mesti minta izin orang tua kamu dulu,” Pak Harun memberi peringatan. Sekali lagi Aki mengangguk.

Setelah segalanya dipersetujui, Aki meminta izin untuk pulang. Mulai esok dia akan mula bekerja di restoran itu pada sebelah malam. Pak Harun akan membayarnya sebanyak RM 250 sebulan. Cukup-cukup untuk membayar baki hutangnya kepada Yan. Sewaktu melangkah keluar restoran, Aki sempat menjeling ke arah Yan yang tersenyum-senyum seorang diri. Aki tahu, Yan sedang mentertawakannya dalam hati. Tunggu kau. Bila aku dapat peluang nanti, aku gelakkan kau balik. Perasaan dendam pada Yan mula terbit di hati Aki.


nantikan sambungannya minggu hadapan...

Isnin, 24 Ogos 2009

KISAH MEREKA 4

KISAH 4 - MEREKA MULA BERTEGUR - SAPA

Selesai mengunci pintu restoran, Oly berlari anak menghampiri Fizi, Yan dan Azam yang sedikit jauh ke depan. Langkahnya dipercepatkan agar dapat berjalan seiringan. Mereka akan pulang dengan berjalan kaki kerana restoran tersebut berada di dalam kawasan kejiranan mereka dan jarak antara restoran dan rumah tidak jauh. Setiap hari mereka akan pulang untuk berehat selama empat jam sebelum memulakan operasi di sebelah malam. Pak Harun pula pada waktu rehat begini akan keluar untuk menyelesaikan urusan-urusan yang lain.

“Malas betul nak sambung kerja malam ni,” Fizi mengeliat sambil menanggalkan bajunya sebaik tiba di rumah. Dia menuju ke dapur. Mencari air untuk diminum bagi menghilangkan dahaga. Azam pula terus naik ke tingkat atas. Setibanya di bilik tidur, Azam tidak membuang masa lantas mencapai tuala dan terus ke bilik air. Yan seperti biasa berkurung di bilik sementara menunggu gilirannya untuk mandi. Dia, Fizi dan Azam berkongsi sebuah bilik air. Bilik air tersebut mempunyai dua pintu di antara biliknya dan Azam. Terdapat tiga buah bilik tidur semuanya di tingkat atas. Di mana yang satu lagi adalah bilik Adib. Dia tidak perlu berkongsi kerana ada bilik mandi di bilik tidurnya itu.

Di tingkat atas itu juga terdapat sebuah ruang tamu tempat bersantai. Namun ruangnya tidaklah seluas ruang tamu utama di tingkat bawah. Ruang santai tersebut di hias ringkas dengan sofa panjang berwarna hijau muda dan dua buah kerusi rotan serta hamparan yang diperbuat daripada buluh. Terdapat beberapa bantal kecil berwarna-warni di atas hamparan buluh itu. Televisyen pula di sudut kiri ruang tamu, terletak di atas sebuah almari berpintukan kaca. Bersebelahannya ada sebuah rak kecil yang diperbuat daripada rotan yang penuh dengan buku dan majalah yang tersusun rapi. Terdapat sebuah replika kereta lumba di atas rak buku tersebut. Dinding yang bercat kuning air pula digantung dengan beberapa keping gambar yang berbingkai. Gaya susunannya di dinding seakan sedang bercerita tentang rentetan kenangan keluarga yang menghuni rumah tersebut. Oly jarang ke tingkat atas kerana biliknya dan Pak Harun terletak di tingkat bawah. Kalau di tingkat atas kebanyakan perabotnya berasaskan rotan, berlainan pula di tingkat bawah. Kebanyakan perabot-perabot di situ diperbuat daripada kayu jati. Mengikut citarasa tuan empunya rumah iaitu Pak Harun.

Sementara yang lain-lain masih di tingkat atas, Oly yang berada di tingkat bawah baru sahaja selesai membancuh air kopi untuk minum petang. Pisang goreng yang dibelinya semasa dalam perjalanan pulang tadi dihidangkan di meja makan bersama seteko air kopi panas. “Mana yang lain kak?” Tegur Adib. Potongan pisang abu goreng dicapai, digigit dan dikunyahnya. Beg sekolah yang digalas diletakkan di atas kerusi sebelum duduk. “Ada kat atas tu. Lambat kau balik hari ni.” Oly mencapai sebiji cawan dan menuang air kopi untuk adiknya. “Gi MPH cari buku.” Adib mengambil satu lagi pisang goreng di piring. “Sorang?” Tanya Oly pendek. Adib hanya mengangguk. Sibuk menghembus kopi panasnya. “Naper tak ajak kawan-kawan temankan? Kan ayah dah pesan banyak kali. Nak pergi mana-mana bagitau dulu. Jangan pergi sorang-sorang.” Oly mula membebel. Adib mengalihkan perhatiannya dari Oly dengan menghirup kopi panasnya sikit-sikit. Oly yang kebengangan beredar membiarkan Adib menikmati minum petang seorang diri bila bebelannya tidak mendapat tindak-balas dari si adik.

“Minum sorang nampak.” Azam yang muncul dari belakang menarik kerusi dan duduk di hadapan Adib. Teguran Azam hanya dibalas dengan senyuman kerana mulut Adib sibuk mengunyah. “Bang, hari Ahad nanti kita gi KLCC nak?” Bicara Adib sebaik mulutnya lega untuk berkata-kata. “Hmm boleh gak... abang pun tak gi mana-mana,” Azam menghirup air kopi yang baru dituangnya. “Hah, Yan... meh minum skali,” ajak Azam sambil menuang kopi. Yan yang baru turun terus menuju ke ruang makan lalu duduk di sebelah Adib. Azam menghulurkan kopi yang dituangnya itu kepada Yan. Kopi tersebut disambut dengan kemas. “Bang, Ahad ni kita orang nak gi KLCC. Abang nak ikut?” Pelawa Adib. Yan tidak segera menjawab sebaliknya menikmati dahulu air kopi panasnya. “Boleh gak. Abang pun teringin nak ke sana. Selama ni asyik tengok dalam TV je,” Yan mencapai teko dan menambah lagi air kopinya ke dalam cawan. Mereka bertiga terus rancak berbual kosong di meja makan sementara menunggu Fizi yang belum turun-turun lagi.

Seperti dirancang, pagi-pagi lagi mereka sudah bersiap. Azam, Adib, Yan, Fizi dan Oly mengambil keputusan untuk ke KLCC dengan menggunakan perkhidmatan LRT. Beriya-iya Fizi meminta mereka menunaikan hasratnya untuk menaiki LRT. “Hah, inilah KLCC yang selalu kita tengok dalam TV tu Yan.” Kata Fizi sebaik melangkah keluar dari LRT yang berhenti di tingkat bawah KLCC. Yan hanya diam. Malas hendak dilayan perangai abangnya yang kadang-kadang terlebih mengada-ngada dan macam budak-budak.

“Hah, dah tahu ni, lain kali boleh pergi sendiri,” Oly memandang Fizi. “Pergi sendiri? Tak de masalah tapi lagi best kalau Oly temankan,” Fizi terus mengada-ngada. Oly hanya tersenyum. Kadang-kadang perangai Fizi yang selamba dan tak tahu malu itu menghiburkannya. “Kita pergi tengok pakaian dulu,” ajak Azam. Langkahnya mendahului yang lain. Yan dan Adib mengikut dari belakang sementara di belakang mereka pula Oly leka mendengar Fizi yang tidak habis-habis bercakap.

Fizi tanpa di ajak terus mengikut Oly ke bahagian menjual pakaian wanita. Meninggalkan Yan bersama Azam dan Adib. Terpaksalah Yan dengan sabar menunggu Azam dan Adib memilih pakaian. Sekali-sekala Yan menyelak-nyelak beberapa pakaian yang tergantung berdekatan dengannya walaupun tidak menarik perhatian langsung. Dalam dia leka membelek, seorang gadis melintas di hadapannya. Sekilas pandang susuk tubuh yang membelok dan membelakanginya itu mengingatkan kembali Yan pada kejadian yang berlaku sebulan yang lalu. Sewaktu dia dan Fizi mengikut Pak Harun membeli-belah di Sogo. Susuk tubuh yang semakin jauh dari pandangan mata diekori Yan. Semakin dekat dia mengekori, semakin jauh dia meninggalkan abang dan sepupu-sepupunya yang lain.

“Hei, apa ni?” Jerit Aki apabila seseorang memegang tangannya sewaktu tiba di tingkat tiga KLCC. Disebabkan terkejut kakinya tersandung anak tangga escalator. Mujur tangan yang memegang menyelamatkan dirinya dari terjatuh. “Apa ni? Awak siapa? Lepaskan saya!” Aki cuba melepaskan tangannya dari gengaman tersebut tetapi dia terus ditarik ke tepi. “Lepaskan saya!” Aki menarik kuat tangannya. Gengaman tersebut terlepas. “Gila ke?” Marah Aki sambil mengurut-ngurut pergelangan tangannya. Orang ramai yang berlegar-legar di sekeliling tidak mengendahkan mereka.

“Awak siapa? Apa awak nak?” Aki terus menyoal. “Aku nak duit,” Yan mula bersuara setelah disoal bertubi-tubi. “Duit? Ooo... nak mencuri ya. Kalau berani ambillah, saya jerit nanti,” cabar Aki. “Aku bukan pencuri. Aku nak duit aku balik,” Yan menerangkan tujuannya. “Duit awak? Hei, duit apa pulak ni? Saya tak pernah berhutang ngan awak. Saya tak kenal awak pun,” Aki kehairanan. Adakah lelaki dihadapannya ini gila atau ini salah satu taktik baru untuk mencuri?

“Kau memang tak kenal aku pun, tapi aku ingat lagi muka kau. Kau yang langgar aku ari tu. Pastu tinggalkan beg kau sampai aku tertangkap. Aku pulak kena bayar barang yang kau curi!” Terang Yan panjang lebar dengan suaranya sengaja di keraskan bila menyebut perkataan curi. Kening Aki berkerut mengingatkan semula kejadian yang dimaksudkan. Jadi inilah orang yang menghalang laluannya sewaktu dia cuba melarikan diri di Sogo tempoh hari.

“Hmm... itu bukan salah saya. Nasib awaklah. Siapa suruh awak halang laluan saya?” Aki membela diri. Tanpa membuang masa Aki bergerak meninggalkan Yan tetapi terus dihalang. Yan menarik semula Aki ke tepi dinding. “Jangan main-main ngan aku,” Yan mengertak. Aki terkedu seketika. Adakah lelaki di hadapannya itu akan mencederakannya. Setelah agak lama merenung tajam, Yan mengangkat tangan kirinya dan memegang bahu Aki. “Saya cuma nak duit saya balik. Itu saja...,” Yan merendahkan suara sambil menarik nafas panjang. Kata ganti diri ‘aku’ digantikannya dengan ‘saya’. Aki sedikit tenteram bila Yan menukar nada percakapan. Dia pasti lelaki di hadapannya itu tidak berniat untuk mencederakannya. Yan pula mula merasakan yang dia punya peluang untuk mendapatkan duitnya kembali bila riak wajah Aki mula menunjukkan keselesaan. Namun sikap degil Aki betul-betul mencabar kesabaran Yan. “Saya takkan bayar. Kalau saya nak bayar, tak payah saya susah-susah mencuri. Tepi!” Aki menepis tangan yang masih memegang bahunya itu.

Geram di hati Yan tidak dapat ditahan lagi. Kini dia memegang pula kedua-dua bahu Aki. Kali ini agak kuat cengkamannya. Mengeliat Aki disebabkan cengkaman keras Yan. “Kenapa ni?” Serta-merta Yan melepaskan kedua-dua bahu Aki bila dia ditegur seseorang dari belakang. “Abang!” Aki terus meluru mendapatkan Joe yang berdiri di belakang Yan. Dengan perlahan Yan berpusing. Bertentang pandang dengan seorang lelaki yang memerhatikannya dengan penuh kehairanan. Gadis tadi dilihatnya memeluk erat lengan kiri lelaki itu. Geram hatinya tatkala melihatkan senyuman sinis gadis yang seakan menyindir dan mencabar keberaniannya.

“Encik ada masalah?” Sekali lagi Joe menyoal apabila soalan pertamanya tidak dijawab. “Aku nak...,” belum sempat Yan menghabiskan ayatnya tiba-tiba kedengaran satu pengumuman bergema diseluruh ruang legar KLCC. “PERHATIAN! ENCIK SUFIYAN ADIK KEPADA HASFIZI. BERSELUAR JEANS BIRU DAN BERKEMEJA PUTIH BERLENGAN PENDEK. SILA KE KAUNTER PERTANYAAN SEKARANG. ABANG ANDA SEDANG MENUNGGU!” Yan pasti pengumuman tersebut ditujukan kepadanya. Tanpa menghabiskan ayat, Yan terus berlari meninggalkan Joe dan Aki.

“Siapa budak tu dik? Apa yang dia nak?” Tanya Joe sejurus Yan hilang dari pandangan matanya. “Hmm... err... tak ada apa-apa. Cuma nak tanya tandas kat mana,” Aki cuba berselindung. Dia tidak mahu Joe tahu perkara sebenar. “Mari...,” Aki memimpin Joe beredar dari situ. Joe masih ragu-ragu. Dia tidak puas hati dengan jawapan Aki. Mustahil disebabkan tandas, budak lelaki tadi boleh berani memegang bahu adiknya. Lagipun bukankah mereka tadi berada di tepi pintu masuk ke tandas. Tambah meragukan lagi, kenapa pula Aki tergagap-gagap bila menjawab pertanyaannya?

Hmm... Sufiyan. Bisik Aki di dalam hati. Rasa bersalah mula menyelubungi dirinya walaupun dia lega bila rahsianya yang hampir terdedah masih elok tersimpan.

“Mana kau pergi?” Tanya Fizi sebaik Yan muncul di kaunter pertanyaan. Azam, Oly dan Adib turut berada di situ. “Tempat ni besar. Bukan macam kedai runcit. Kau jangan memandai-mandai. Apa abang nak bagitau kat mak ngan kakak kat kampung tu kalau kau hilang nanti.” Bebel Fizi bagaikan adiknya seorang kanak-kanak berusia enam tahun.

Gelak tawa memenuhi ruang tamu rumah Pak Harun. Terbatuk-batuk Pak Harun menahan gelaknya mendengarkan peristiwa yang berlaku siang tadi. “Abang ni... panik sangat. Saya bukannya budak-budak lagi. Buat malu je. Satu KLCC tahu nama saya,” jelas Yan. Pak Harun bingkas bangun dari sofa sebaik ketawanya habis. “Sudahlah, mari bersiap. Kita sembahyang Isyak di masjid malam ni,” ajak Pak Harun. Tanpa berlengah mereka semua beredar ke bilik masing-masing untuk bersiap.

“Assalammualaikum!” Sapa Encik Dali. “Waalaikumussalam,” Pak Harun menjawab. Mereka bersalaman di hadapan pintu pagar masjid. “Apa khabar kau sekarang Dali? Yalah, sejak berkahwin ni?” Tanya Pak Harun sambil menepuk bahu Encik Dali. “Alah, biasa-biasa saja. Mari saya kenalkan. Ini Syed Johan, anak tiri saya.” Encik Dali menunding ibu jari ke arah anak tirinya lantas Joe menghulurkan salam pada Pak Harun sebaik dikenalkan Encik Dali. Salamnya turut disambut Azam, Fizi dan Adib. Joe terpaku tatkala memandang wajah Yan. Inilah budak yang dia jumpa bersama adiknya siang tadi. Lama juga Joe dan Yan berpandangan antara satu-sama lain. Salam yang bertaut masih belum terlepas.

“Joe.” Tersentak Joe dipanggil Encik Dali. Serta-merta salamnya dengan Yan putus. “Ini Oly, yang itu Adib dan di sebelahnya tu Azam. Mereka ni semua anak Pak Harun. Hmm... yang berdua ni...,” Encik Dali memandang Pak Harun. Setahunya Pak Harun cuma ada tiga orang anak.

“Mereka berdua ni anak saudara saya. Ini Hasfizi dan yang itu...,” belum sempat Pak Harun menghabiskan ayat, Joe mencelah, “Sufiyan kan?” Pak Harun, Encik Dali, Fizi, Azam, Oly dan Adib berpandangan antara satu sama lain. Yan hanya membisu. “Bukankah kamu yang hilang di KLCC siang tadi?” Mendengarkan kata-kata Joe, tanda tanya dibenak kepala mereka terjawab kecuali Encik Dali yang tidak tahu hujung pangkal. Joe masih memandang tepat ke muka Yan.

“Tengok Fizi. Betul kata Yan. Sebab kamu, semua orang yang datang KLCC siang tadi dah tahu nama dia.” Derai tawa terhambur keluar sebaik Pak Harun menghabiskan ayatnya. Encik Dali yang masih kabur dengan maksud Pak Harun hanya tersenyum kosong. Joe dan Yan tidak mengendahkan keadaan sekeliling. Mereka saling bertukar pandangan antara satu sama-lain. Pandangan Joe berselirat dengan seribu pertanyaan sementara pandangan Yan terikat dengan satu rahsia. Joe rasa tidak senang selagi tidak tahu apa sebenarnya yang diinginkan oleh Yan dari adiknya. Yan pula khuatir kalau-kalau Joe membuka mulut mengenai sebab kehilangannya di KLCC siang tadi.

“Selamat sejahtera Puan Latifah!” Ruang kelas tingkatan 4 Jiwa bergema dengan ucap selamat sebaik guru kelas melangkah masuk. Setiap pelajar saling berpandangan antara satu-sama lain. Siapakah gadis yang sedang berdiri di sisi kiri guru mereka? “Baiklah, hari ini kelas kita menerima kedatangan seorang pelajar baru. Sila perkenalkan diri,” Puan Latifah mempersilakan pelajar yang sedang berdiri di sebelahnya itu. “Assalammualaikum dan selamat sejahtera. Nama saya Syarifah Sakinah Binti Syed Dhani,” Aki memperkenalkan dirinya. “Saya harap anda semua dapat menerima kehadiran saya di sini,” sambung Aki.

“Panjang nama kamu. Saya panggil Sakinah saja ya,” Aki mengangguk. “Tempat kamu di sebelah Suhaidib ya.” Puan Latifah menunjuk ke arah yang dimaksudkan. Secara kebetulan hanya meja di sebelah Adib sahaja yang kosong. Adib berdiri sebaik namanya disebut Puan Latifah. Aki menuju ke meja barunya. Beberapa pelajar memandang Adib sambil tersenyum-senyum. Ada yang mengenyit mata ke arah Adib. Biarpun Adib nampak tersipu-sipu bila diusik rakan-rakan kelas namun Aki sedikit pun tidak menunjukkan sebarang riak. Dia terus duduk memandang ke arah papan hitam sebaik menyandarkan begnya di kerusi. Riak mukanya kosong. Manis tidak masam pun tidak.

Separuh jadual pembelajaran pada hari itu sudah pun selesai sejurus loceng rehat berbunyi. Tidak kira pelajar itu lama atau baru pasti akan mengorak langkah ke kantin bila loceng rehat kedengaran. Seperti yang lain-lain Aki juga turut beratur sementara menunggu gilirannya membeli makanan tiba. Dia terus mendapatkan tempat duduk di tengah-tengah ruang kantin sebaik selesai membeli semangkuk mi udang dan segelas sirap. Sedang Aki menikmati mi udang, telinganya menangkap satu suara yang memanggil-manggil namanya. Semakin lama suara tersebut semakin jelas. Dia menoleh ke belakang. Air mukanya berubah. Meluat melihatkan susuk tubuh yang sedang berdiri di belakangnya itu. “Dah dapat kawan baru?” Tanpa dipelawa Jasmin melabuhkan punggungnya di sebelah Aki. Soalannya tidak berjawab. Aki terus menikmati mi udangnya. “Kalau belum, Min boleh kenalkan Aki pada kawan-kawan Min. Kami makan di meja belakang tu,” pelawa Jasmin sambil mengunyah roti sardin.

Aki terus menghirup mi udang. “Hmm... Min jumpa kawan-kawan dulu ya. Nanti bila dah habis makan, joinlah kami,” Jasmin bangun. Melangkah perlahan meninggalkan Aki yang tidak mengendahkannya. Usia Jasmin lebih setahun dari Aki. Pelajar tingkatan lima dan mengikuti kelas aliran Sains. Sejak dari sekolah rendah hinggalah ke menengah pelajarannya sentiasa cemerlang. Dengan keputusan membanggakan setiap kali peperiksaan namanya sentiasa tersenarai antara pelajar terbaik sekolah.

Hari pertama di kelas, Aki lebih banyak mengelamun. Ada ketika kedengaran dia mengeluh kecil. Adib yang duduk di sebelah sesekali mencuri pandang ke arahnya dengan ekor mata. Loceng berbunyi menandakan berakhirnya sessi pagi. Aki menggalas beg sekolahnya lalu melangkah keluar dari kelas.

“Sakinah!” Jerit Adib. Langkah Aki terhenti. Adib merapati Aki. “Err... sebenarnya saya nak tanya, Sakinah dah sertai mana-mana kelab di sini?” Tanya Adib. “Belum. Kenapa?” Jawab Aki pendek. “Saya Bendahari Kelab Sejarah di sekolah ni.” Adib memperkenalkan dirinya. “Jadi?” Aki tidak menunjukkan kemesraan. “Kalau Sakinah berminat, ikutlah saya pergi daftar nama. Petang ni kelab kami adakan mesyuarat,” Adib mempelawa.

“Hmm... tak minat sejarahlah,” Aki menolak. “Oh, takpe... saya tak paksa. Mungkin Sakinah boleh fikirkan dulu,” Adib memberi cadangan. “Hmm... tengoklah,” Aki berlalu meninggalkan Adib. Belum jauh jarak Aki dari Adib, Jasmin pula muncul di hadapannya. “Aki, meh balik sama-sama,” ajak Jasmin. “Aku belum nak balik lagi. Err... Suhaidib tunggu!” Langkah Adib terhenti. Dia menoleh dan kelihatan Aki berpatah balik mengejarnya. “Jom, saya nak daftar jadi ahli,” Aki menarik tangan Adib. Keliru Adib dibuatnya. Cepat betul dia ni ubah fikiran. Fikir Adib dalam hati.

Hampir dua jam Aki terseksa barulah mesyuarat ahli Kelab Sejarah selesai. Dia terpaksa mendaftar semata-mata untuk mengelak dari Jasmin. Akibatnya dia terperangkap dalam kelab yang tidak diminatinya langsung. “Macam mana? Seronok?” Tanya Adib. “Hmm... boleh tahan,” Aki melemparkan senyuman hambar. “Baru hari pertama. Nanti bila kamu dah betul-betul terlibat dengan aktiviti kami, pasti seronok. Percayalah...,” Adib cuba menyuntik semangat.

Adib dan Aki jalan beriringan. Setiba di depan pintu pagar sekolah, langkah mereka terhenti. “Macam mana awak balik?” Tanya Adib. “Jalan kaki,” Aki menjawab pendek. “Tinggal di mana?” Tanya Adib lagi. “Taman Sangkar,” jawab Aki tanpa memandang muka Adib. “Eh, saya pun tinggal kat situ. Rumah saya kat Jalan Pipit. Awak?” Adib tidak menyangka yang mereka tinggal di kawasan perumahan yang sama. Muka Aki berubah. Fikirnya setelah selesai mesyuarat yang membosankan itu dia boleh membebaskan dirinya daripada Adib. “Jalan Merbok,” Aki cuba menyembunyikan kebengangannya.

“Dah terlanjur rumah kita berdekatan, apa kata kalau kita balik sama-sama?” Cadang Adib. Argh!!! Aki menjerit dalam hati. Mereka berjalan tanpa sebarang bicara. Sesekali kedengaran Adib bercerita tetapi disebabkan tiada tindak balas, Adib memendekkan ceritanya.

Setiba di simpang Jalan Merbok, Aki menghentikan langkah. “Okay, sampai sini je.” Beritahu Aki. Belum sempat Adib membalas, Aki membelok ke simpang menuju ke rumahnya. “Awak tak suka saya ya?” Soalan Adib menghentikan langkah Aki. Dia sedar, sikap dinginnya itu mungkin membuatkan satu-satu kawan yang baru dikenalinya kecil hati. Dengan perlahan Aki memusingkan badan. Langkahnya lemah menghampiri Adib.

“Maaflah, kalau saya menyusahkan awak,” kata Adib sebaik mata Aki bertentang dengan matanya. Sensitif jugak si lembut depan aku ni. Aki berkata dalam hati. Tiba-tiba terukir senyuman di wajah Aki. Senyuman yang benar-benar ikhlas.

“Siapa kata saya tak suka awak? Esok pukul tujuh pagi kita jumpa kat sini. Kita gi sekolah sama-sama. Macam mana?” Terkejut Adib dengan pelawaan Aki. “Err... betul ke atau Sakinah cuma...,” belum habis bercakap ayat Adib dipotong, “Mulai esok panggil saya Aki je. Lagi satu, bahasa tu jangan formal sangat. Macam baca buku teks je. Ingat, kalau lambat saya tinggal. Saya balik dulu. Jumpa lagi esok!” Aki melambai sebelum meninggalkan Adib.

“Err... Adib!” Jerit Adib. “Apa?!” Disebabkan jarak mereka agak jauh, Aki tidak dengar apa yang cuba dikatakan kawan barunya itu. “Adib... panggil saya Adib!” Jerit Adib. “Okay!” Balas Aki sambil menunjuk ibu jarinya.

Pada hari yang sama juga Joe meneruskan pembelajarannya di kolej swasta Cosmopoint cawangan Kuala Lumpur. Dia adalah pelajar sepenuh masa Diploma Jualan Dan Pemasaran. Hari itu dia agak lewat tiba di kelas. Kurang arif dengan masa dan jarak dijadikan alasan kelewatannya. Kalau dia tahu bas dari rumah barunya ke kolej akan tiba setengah jam sekali, tentu dia keluar awal. Berbeza dengan adiknya yang terpaksa menyesuaikan diri di sekolah baru, Joe menjalani harinya seperti biasa kerana dia bukannya pelajar baru di situ. Dia kini berada di semester akhir.

Malam itu mereka sekeluarga makan bersama. Encik Dali dan Puan Sabiah cuba melengangkan kerja di pejabat pada hari itu agar mereka dapat pulang sebelum jam tujuh dan menikmati makan malam bersama anak-anak. Dalam keadaan terpaksa Aki juga turut serta setelah tiga malam dia makan di biliknya seorang diri. “Hmm, macam mana anak-anak mama hari ini?” Tanya Puan Salbiah sambil menceduk lauk ke pinggan. Sunyi, tiada jawapan yang diterima. Biarpun teruja hendak menceritakan segala aktivitinya pada hari itu, Jasmin terpaksa kunci mulutnya kerana dia pasti soalan Puan Salbiah tidak ditujukan kepadanya.

“Joe,” tegur Puan Salbiah apabila pertanyaannya tidak dijawab. “Biasa-biasa je mama,” jawab Joe. “Kamu pulak macam mana?” Puan Salbiah memandang Aki. Tanpa mengendahkan pertanyaan mamanya Aki terus mengunyah. Puan Salbiah merenung Aki. Sakit dadanya menahan marah melihatkan sikap Aki. Keadaan di ruang makan menjadi sunyi kembali. Sesekali Puan Salbiah memandang Encik Dali suaminya dan Jasmin anak tirinya.

“Sedap betul lauk malam ni,” pujian Encik Dali memecahkan kesunyian di ruang makan. Bekas air basuh tangan dicapainya. “Kalau sedap, kenapa tak tambah lagi?” Soal Puan Salbiah manja. “Saya dah tambah dua kali. Awak tu yang tak perasan.” Encik Dali menjirus air ke tangan kanannya. “Yalah mama. Biasanya papa tak makan banyak. Mama memang pandai masak,” Jasmin mencuri peluang bercakap. “Kalau macam tu kamu kenalah makan banyak sikit.” Sambil tersenyum Puan Salbiah menambah lauk ke pinggan anak tirinya walaupun tidak diminta.

Aki meluat melihat mamanya yang tidak henti-henti mengambil hati Encik Dali dan Jasmin. Bekas air basuh tangan yang di letak kembali Encik Dali di sauk Aki. Dia bingkas bangun sebaik selesai membasuh tangan. “Aki! Angkat pinggan kamu tu ke sinki. Malam ni kamu mesti tolong mama basuh pinggan. Asyik Jasmin saja yang tolong,” tegur Puan Salbiah. Kali ini dia bertekad untuk menegur Aki yang tidak sudah-sudah bersikap dingin. Joe memandang mamanya. Di hati dia berdoa agar tidak berlaku apa-apa yang tidak diingini. Seperti biasa dia pasti tersepit di antara mama dan adik kesayangannya itu. “Aki! Kamu dengar tak apa yang mama suruh?” Puan Salbiah meninggikan suaranya apabila Aki cuba beredar dari situ tanpa mengendahkan arahannya.

“Kenapa mama ni?” Akhirnya Aki bersuara. “Dulu Aki tak perlu buat semua ni. Kita ada orang gaji.” Menggigil Puan Salbiah melihatkan sikap Aki yang semakin biadab terhadapnya.

“Itu dulu. Sekarang ni kamu menumpang. Cuba kamu sedar diri tu sikit. Papa dah buang kamu! Kamu bukan macam dulu lagi. Kamu dah tak ada apa-apa. Jadi jangan nak mengada-ngada. Mama dah lama sabar dengan sikap kamu. Mama masih boleh sabar kalau kamu biadab dengan mama tapi tidak dengan papa Dali dan Jasmin. Ini rumah mereka. Kamu kena hormat mereka! Kamu tak malu ke tunjuk perangai macam ni depan mereka?”

Menyirap darah Aki mendengarkan kata-kata Puan Salbiah. “Bukan Aki yang nak tinggal kat sini. Mama yang paksa,” Aki terus berdegil. “Kalau tak di sini, kamu nak tinggal di mana? Tepi jalan? Dalam longkang? Syarifah Sakinah! Sedarlah diri tu sikit. Kamu cuma tinggal nama saja, selain tu kamu dah tak ada apa-apa! Kamu anak terbuang! Papa kamu dah buang kamu!” Perasaan marah Puan Salbiah tidak terbendung lagi. Joe terkedu mendengarkan kata-kata mamanya.

“Mama yang salah. Mama curang pada papa. Semuanya sebab mama. Aki malu ada ibu macam mama!” Tamparan Puan Salbiah terus hinggap ke pipi Aki. “Sal!” Jeritan Encik Dali menyedarkan Puan Salbiah. Keadaan kembali sunyi. Puan Salbiah terduduk. “Joe, bawa adik kamu ke atas. Min, kamu kemaskan semua ni,” arah Encik Dali. Joe menarik tangan adiknya.

“Apa yang saya dah buat?,” Puan Salbiah menangis di bahu suaminya. En. Dali memeluk isterinya. Sementara Jasmin mengemas meja makan, Encik Dali membawa isterinya ke ruang tamu. “Sudahlah, sayang. Jangan ikutkan rasa marah. Dia masih mentah lagi. Kita tak boleh paksa dia. Berikan dia masa untuk terima saya dan Jasmin. Yang penting kita dapat hidup dalam satu keluarga. Saya dan Jasmin tak kisah kalau dia perlu ambil masa satu atau sepuluh tahun sekalipun untuk terima kami.” Encik Dali memujuk Puan Salbiah.

“Dia makin biadab. Dulu dia tak macam ni,” Puan Salbiah terus menangis. “Biarkan. Jangan berkasar dengannya,” Encik Dali mengesat air mata isterinya. “Janji dengan saya. Jangan paksa dia lagi. Jangan marah-marah dia. Saya dan Jasmin akan cuba ambil hati dia. Saya percaya, dia bukan sengaja hendak bersikap biadab,” Encik Dali mengingatkan Puan Salbiah.

“Saya dah penat dengan karenah dia bang. Tengoklah, saya cuma minta dia angkat pinggan dan tolong saya di dapur saja tapi dia cakap macam-macam pulak.” Puan Salbiah cuba memancing simpati suaminya. “Macam ni lah. Biar abang upah pembantu rumah untuk tolong kamu ya.” Encik Dali bertindak mencari jalan penyelesaian. Dia tidak lagi menggaji pembantu rumah sejak Jasmin pandai berdikari dan tahu memasak sendiri. Hal-hal mengemas rumah, Encik Dali serahkan pada pekerja syarikat pembersihan yang diupahnya untuk datang mengemas setiap dua minggu sekali. Kesedihan Puan Salbiah reda sejurus Encik Dali bercadang untuk mengambil pembantu rumah. Tidak perlulah lagi dia bertungkus-lumus membuat kerja-kerja rumah yang jarang dilakukannya sejak dulu.

Rasa kasihan menyelubungi hati Joe. Dia buntu. Bagaimana caranya untuk dia mendapatkan semula adiknya yang dulu seorang yang penyayang, periang, dan manja. Kini menjadi pemarah, biadab dan sensitif. Namun kasihnya terhadap Aki masih belum pudar. “Dik,” Joe memanggil perlahan adiknya yang sedang menangis. Aki yang sedang meniarap sambil menekup mukanya dengan bantal perlahan-lahan memusingkan badan. Joe terus memeluk apabila adiknya bangun dan bersila di atas katil. “Sudah dik, mama tak sengaja. Jangan nangis lagi. Abang tak boleh tengok adik nangis. Maafkan abang dik. Abang tak dapat tolong adik tadi.” Dalam tidak sedar air mata Joe mengalir. Dengan perlahan Aki meleraikan pelukan Joe. Air mata Joe dikesatnya. Pipi Joe diciumnya. “Maafkan adik. Adik janji, takkan buat abang nangis. Adik sayang abang. Cuma abang je yang adik ada sekarang ni. Abang pun janji jangan tinggalkan adik ya. Mesti slalu sokong adik tau.” Aki mengingatkan Joe. “Ya, abang janji.” Sekali lagi mereka berpelukan.


nantikan sambungannya minggu hadapan...

Isnin, 17 Ogos 2009

KISAH MEREKA 3

KISAH 3 – MEREKA KERAS HATI

“Terima kasih. Sila datang lagi.” Ucap Oly kepada seorang pelanggan sebaik memulangkan duit baki. Macam biasa, restoran Pak Harun pasti dipenuhi pelanggan di antara jam dua belas setengah hingga tiga setengah. Waktu inilah ramai yang datang untuk makan tengah hari. Hidangan pula disediakan dalam bentuk bufet. Pelanggan-pelanggan datang dan melayan diri sendiri. Sambil menjamu selera mereka berbual-bual dengan rakan-rakan lain yang makan semeja. Selesai makan masing-masing akan membawa sekeping kertas kecil bertulis harga ke kaunter. Mereka akan membayar mengikut jumlah yang telah ditulis.

Sebelum ini tugas menulis harga dilakukan oleh Azam tetapi kini diambil - alih oleh Fizi sementara Yan ditugaskan untuk mengangkat dan mengutip pinggan-pinggan dan cawan-cawan kotor. Pak Harun pula yang dulu seorang diri menguruskan dapur kini dibantu oleh Azam. Dengan kehadiran Fizi dan Yan operasi di restoran Pak Harun sedikit lancar.

Sudah sebulan Fizi dan Yan bekerja. Waktu kerja mereka bermula dari awal pagi lagi. Jam lima mereka berempat sudah pun berada di pasar borong. Pak Harun biasa melanggan bahan-bahan mentah di situ. Fizi, Yan dan Azam yang mengikut sama membantu mengangkat dan memasukkan barang-barang tersebut ke dalam van. Menurut Pak Harun, kalau datang awal pagi dapatlah dia membeli bahan-bahan mentah dengan harga yang murah. Setelah selesai memborong, mereka terus menuju ke restoran dan memunggah barang-barang melalui pintu belakang. Masing-masing sudah arif dengan tugas sendiri. Mereka bekerja tanpa berkata apa-apa. Cuma sesekali terdengar gelak tawa mengisi ruang dapur restoran tiap kali mereka terhibur dengan lawak spontan Fizi.

Jam tujuh setengah pagi, mereka sudah mula menyiang dan membasuh bahan-bahan mentah berpandukan arahan daripada Pak Harun. Jam sembilan pagi, barulah Oly tiba sambil membawa sarapan yang disediakannya dari rumah. Sudah menjadi tugasnya memastikan rumah dalam keadaan bersih dan kemas sebelum datang membantu yang lain di restoran. Mereka berhenti menyiang dan membasuh sebaik Oly menghidangkan sarapan. Sementara menunggu yang lain mengalas perut, Oly yang sudah bersarapan di rumah terus mencapai penyapu dan mop berserta baldi berisi air untuk membersihkan lantai di bahagian hadapan restoran yang dipenuhi dengan susunan meja dan kerusi.

Jam sepuluh pagi, Pak Harun sudah mula memasak mengikut menu yang telah disusunnya. Azam dan Oly membantu sementara Fizi dan Yan mengelap dan menyusun bekas-bekas untuk mengisi lauk-pauk. Jam sebelas setengah pagi, satu-persatu hidangan diangkat dari bahagian dapur dan disusun di atas meja hidangan. Setiap bekas mempunyai lilin yang dinyalakan api di bawahnya bagi memastikan lauk-pauk sentiasa panas.

Tepat jam dua belas tengah hari restoran dibuka untuk pelanggan. Oly sudahpun bersedia duduk di kaunter menunggu kehadiran pelanggan sehinggalah restoran mereka ditutup pukul empat petang.

Berbeza pula pada sebelah malam. Setelah empat jam berehat, restoran mereka beroperasi semula hingga jam dua belas tengah malam. Kali ini lain pula caranya. Pak Harun hanya akan memasak makanan yang dipesan oleh pelanggan-pelangannya saja. Tiada lagi hidangan dalam bentuk bufet. Bagi mempercepatkan kerja, Oly dan Azam turut menjadi tukang masak di dapur sementara Adib menjaga kaunter menggantikan tempat kakaknya. Tugas Fizi dan Yan tetap sama. Begitulah rutin hidup mereka setiap hari.

“Ayah nak ke bank kejap. Jaga kedai.” Pesan Pak Harun kepada anak perempuannya. Oly hanya mengangguk. Jam menunjukkan pukul tiga petang. Keadaan restoran agak lengang. “Pak Long nak ke mana tu?” Tanya Fizi sambil memegang sebatang mop. “Bank,” balas Oly pendek. Fizi menyambung semula kerjanya mengemop lantai. “Fizi, mana Yan?” Soal Oly sebaik menyedari hanya Fizi seorang diri mengemop lantai. “Buang sampah. Kenapa? Rindu ke?” Tanya Fizi mengusik.

Oly hanya membalas dengan jelingan. “Tanya sikit boleh?” Oly meminta kebenaran. Fizi menoleh ke arah Oly. Badannya sedikit membongkok dengan kedua-dua gengaman kedap memegang tangkai mop. “Kenapa Yan lain? Tak macam Fizi?” Tanya Oly sambil berjalan ke arah Fizi. Dia menarik dan duduk di kerusi. Berdekatan dengan tempat Fizi mengemop. “Yan tu peliklah. Tak banyak cakap. Habis kerja terus masuk bilik. Tak bercampur orang.” Komen Oly panjang lebar. “Ooo... suka orang yang banyak cakap ya. Macam abang?” Jawab Fizi berseloroh. “Ish, Fizi ni. Jawablah betul-betul.” Oly mencubit lengan Fizi.

Fizi menoleh kiri dan kanan sebelum menarik kerusi dan duduk di sebelah Oly. Mukanya didekatkan sedikit ke telinga Oly. Gaya orang hendak berbisik. Oly bersedia untuk mendengar jawapan walaupun sedikit menyampah dengan gaya Fizi melengah-lengahkan jawapan. Sekejap membetulkan rambut. Sekejap membetulkan baju. Sekejap berdehem membetulkan suara. Tapi masih belum ada jawapan yang dibisikkan. “Lepas tutup kedai nanti kita kuar jalan-jalan nak? Gi dating...,” bisik Fizi bersahaja. “Hei, orang tanya lain dia jawab lain!” Pantas Oly menepuk bahu Fizi lalu bangun menuju ke kaunter semula. Meninggalkan Fizi ketawa terhenjut-henjut seorang diri.

Jam sudah pun menunjukkan pukul satu setengah pagi. Fizi yang baru selesai berbual-bual kosong dengan Azam di ruang tamu tingkat atas berjalan menuju ke biliknya untuk tidur. “Apa yang kau tenung tu Yan?” Tegur Fizi setelah masuk ke dalam bilik tidur. Yan terkejut. Dengan pantas dia memasukkan kedua-dua jam tangan ke dalam beg berwarna merah jambu yang dimilikinya secara tidak sengaja.

“Apa je la kau ni Yan. Abang tengok kau ni lain macam je sejak datang sini.” Fizi menarik bantal di sisinya. “Lain apa pulak bang?” Balas Yan sambil mendekati Fizi. “Yalah, kau menyendiri je. Bercampur la ngan dia orang. Kita ni menumpang. Tak elok la kalau asyik berkurung je.” Fizi merebahkan badannya di atas katil sementara Yan duduk di sebelah. “Mana ada bang. Saya okay je ngan mereka. Ngan Pak Long, ngan Azam, ngan Adib...,” jelas Yan. “Hmm ... dengan Oly?” Pintas Fizi. Kening sebelah kirinya ternaik mengiring soalan.

Yan terdiam. Memang benar, dia kurang selesa dengan Oly. Lebih tepat lagi dengan perempuan. Dia tidak sedar sejak bila perasaan kurang selesa itu muncul. Yang dia tahu nasibnya kebelakangan ini selalu malang bila bersama perempuan. Dengan kejadian di kampung yang masih menjadi igauan ngeri, ditambah pula kejadian dirinya hampir ditangkap polis, membuatkan Yan menjadi serik dengan perempuan. Mata Fizi terkelip-kelip memandang adiknya yang khayal mengelamun. Dia masih menunggu jawapan. Kerap sangat dia ditanya tentang sikap adiknya itu. Siang tadi Oly dan baru sebentar tadi, sebelum dia masuk ke bilik tidur, Azam sempat mengajukan soalan yang serupa. Mungkin Oly yang suruh tanya agaknya. Sedangkan dia sendiri tidak pasti apa yang membelengu diri Yan.

Walaupun sikap dia dan Yan amat ketara tetapi adiknya itu tidaklah sependiam sekarang masa di kampung dulu. Dengan semua orang dia ramah bertegur-sapa biarpun tak banyak cakap. Rindu kampung kot budak ni. Entah-entah kejutan budaya. Hati Fizi mengagak bila adiknya masih mengelamun tanpa jawapan. Yan tiba-tiba bingkas bangun sebaik fikirannya keluar dari lingkaran lamunan. Dia mematikan suis lampu dan merebahkan badan di sisi abangnya setelah seluruh ruang bilik menjadi hitam. Fizi pula terus terkelip-kelip dalam kegelapan dengan seribu satu tekaan rambang.

Keesokan harinya seperti biasa restoran dibuka. Dalam kesibukan menjalankan tugas masing-masing, kelihatan sebuah kereta pacuan empat roda Toyota Unser berwarna keemasan meluncur laju melintasi hadapan restoran sebelum membelok ke kanan memasuki Jalan Merbok. Setibanya di destinasi, Unser tersebut berhenti betul-betul di hadapan sebuah banglo. Selang beberapa minit, pintu pagar dibuka secara automatik dan Toyota Unser tersebut terus dipandu masuk.

“Kita dah sampai. Inilah rumah baru kita,” Puan Salbiah bersuara sebaik mematikan enjin. “Mari,” ajak Puan Salbiah. Sebaik dia turun dari kereta, seorang gadis berlari mendapatkannya. “Mama!” Jasmin memeluk Puan Salbiah. “Hai, sayang... mari mama kenalkan kamu pada anak-anak mama.” Puan Salbiah memimpin tangan Jasmin menuju ke keretanya. “Eh, kenapa tak turun lagi ni?” Puan Salbiah mengetuk cermin kereta.

“Hai sayang... hmm, kenapa ni?” Tegur Encik Dali sambil memeluk pinggang Puan Salbiah dari belakang. Dia yang baru muncul adalah pemilik banglo tersebut, ayah kepada Jasmin. “Papa, mereka tak nak turun.” Adu Jasmin sambil merangkul tangan kanan Encik Dali.

Encik Dali tersenyum. “Kamu tak pelawa mereka turun...,” usik Encik Dali. “Sudah, mama dah ajak,” balas Jasmin manja.

“Err... abang, ajak Jasmin masuk dulu. Biar saya pujuk mereka,” minta Puan Salbiah. “Baiklah sayang. Perlahan-lahan... jangan paksa mereka,” nasihat Encik Dali sebelum masuk ke dalam rumah.

Sebaik saja kelibat Encik Dali dan Jasmin hilang dari pandangan, pantas tangan Puan Salbiah membuka pintu belakang keretanya. Dalam keadaan menahan marah, Puan Salbiah berkata, “Apa kena dengan kamu berdua ni?” Kecil mata Puan Salbiah merenung anak-anaknya. “Mama kata turun... turunlah. Jangan tunjuk perangai kat sini. Jangan cuba nak malukan mama ya.” Menggigil Puan Salbiah menahan marah melihatkan karenah anak-anaknya.

“Kamu berdua bukan budak-budak lagi. Joe, ajak Aki turun... cepat.” Puan Salbiah mengawal suara agar tidak terpamer kemarahan. Dia tidak mahu mengejutkan keluarga barunya yang sedang menanti di dalam rumah. Seboleh-boleh Puan Salbiah cuba untuk menunjuk dan mengekalkan imej yang baik di mata suami baru dan anak tirinya. Sesekali Puan Salbiah mengerling ke muka pintu utama rumah Encik Dali bagi memastikan yang perbualan antara dia dan anak-anaknya tidak kedengaran hingga ke dalam rumah.

“Ini bukan rumah kita!” Bentak Aki. “Diam... jangan tinggikan suara. Kamu nak malukan mama ya?” Puan Salbiah merenung Aki. “Baik, ikut suka kamulah,” Puan Salbiah terus berlalu meninggalkan mereka yang masih berkeras tidak mahu turun.

“Abang rasa, elok kita turun,” Joe mula bersuara sebaik mamanya masuk ke dalam rumah. Aki hanya mendiamkan diri. “Ini bukan rumah kita,” Aki mengulangi semula kenyataannya setelah lama mendiamkan diri. Joe serba-salah. Dia tersepit di antara kehendak mamanya dan kedegilan adiknya. “Kita kena terima dik. Mama dan Pak Cik Dali dah bernikah dan kita kena ikut mereka,” Joe cuba memujuk. “Aki tak nak tinggal kat sini. Aki nak balik. Aki nak balik rumah papa. Rumah papa kita,” Aki terus berkeras. “Papa tak sayangkan kita lagi. Dia tak nak terima kita,” Joe cuba menyedarkan adiknya.

“Semuanya mama punya pasal!” Tuduh Aki. “Tapi papa pukul mama. Aki tak ingat ke?” Joe menyoal. “Papa pukul mama sebab mama jahat!” Aki mempertahankan tindakan papanya. “Adik! Tak elok cakap macam tu. Baik atau jahat, dia tetap mama kita. Kita tak ada pilihan,” suara Joe agak tinggi. Aki terdiam. Joe menarik nafas panjang sebelum menyambung kata-katanya. “Jangan macam ni dik,” Joe merendahkan suaranya sambil memeluk Aki.

“Benda dah jadi. Kita kena belajar terima kenyataan. Kalau boleh, abang pun tak nak mama kahwin lain. Tapi apa yang kita boleh buat dik?” Pujuk Joe. “Abang tahukan... mama buat papa marah dan benci kita semua,” Aki menangis dalam pelukan abangnya. Joe hanya membisu. Di dalam hati dia mengiyakan segala kata-kata adiknya. Memang mama mereka yang bersalah. Membuatkan papa tersayang hilang sabar dan menghalau mereka anak-beranak. Kalau ikutkan hati hendak saja dia memberontak dan lari meninggalkan mamanya yang menjadi punca utama keluarga bahagianya musnah tapi apakan daya, dia masih tidak mampu untuk hidup berdikari lebih-lebih lagi berpisah dengan adik kesayangannya Aki.

“Pak Cik tahu, kamu berdua masih sukar untuk menerima Pak Cik dan Jasmin sebagai keluarga, tapi sebagai tuan rumah, Pak Cik tak boleh biarkan tetamu terus berada di luar,” tiba-tiba Encik Dali muncul di pintu kereta. Joe dan Aki tersentak.

“Kamu menangis?” Tanya Encik Dali. Aki menundukkan muka sambil mengesat-ngesat air matanya. Joe dengan perlahan turun dari kereta dan menghulurkan salamnya kepada Encik Dali. Salamn Joe disambut dengan pelukan Encik Dali. Joe tergamam. Adakah pelukan tersebut ikhlas atau lakonan semata-mata? “Mari, kamu berdua tentu letihkan,” pelawa Encik Dali sambil menoleh ke arah Aki yang masih terpaku di dalam kereta.

Joe menarik perlahan tangan adiknya. Akhirnya Aki akur. Dengan perlahan dia turun dari kereta. Pintu kereta ditutup Encik Dali. “Mari, barang-barang kamu berdua semalam lagi dah sampai. Semuanya ada di bilik kamu. Nanti papa tunjukkan,” Encik Dali cuba bermesra. “Awak bukan papa saya.” Aki merenung tajam ke arah Encik Dali. “Maaf, maafkan Pak Cik,” Encik Dali merendah diri.

Sejak tengah hari tadi Aki terus berkurung di dalam bilik barunya. Mengelamun jauh di atas katil sambil memeluk patung beruang panda, hadiah harijadi daripada papanya dua tahun yang lalu. Papa... papa kat mana? Bisik hati Aki. Tanpa disedari, air matanya mengalir. Lamunan terus membawanya mengimbau kembali tragedi yang melanda keluarganya.

“Jadi, mereka bukan anak saya? Bukan darah daging saya? Sampai hati awak tipu saya!” Bertubi-tubi Encik Dhani menyoal Puan Salbiah. “Selama ni anak-anak yang berbin dan berbintikan saya bukan dari benih saya sendiri?” Encik Dhani terus mendapatkan kepastian daripada isterinya. Jari telunjuknya menunding-nunding ke arah Joe dan Aki yang sedang berpelukan dan menggigil ketakutan. Tidak pernah mereka lihat Encik Dhani dalam keadaan begitu marah.

“Awak yang bersalah. Awak yang menyebabkan saya terlanjur!” Puan Salbiah menyalahkan suaminya. Tidak mahu mengalah. “Saya kesunyian!”

“Perempuan tak guna!” Tanpa disedari, tamparan Encik Dhani hinggap di pipi Puan Salbiah. “Sembilan belas tahun awak tipu saya. Selama ni anak-anak yang saya peluk dan sayang sebenarnya anak awak dengan jantan-jantan lain! Hasil perbuatan terkutuk awak!” Encik Dhani cuba menerkam Puan Salbiah. Marahnya tidak tertahan-tahan lagi.

“Papa, jangan!” Joe melepaskan Aki yang berada dalam pelukan dan terus meluru ke arah Encik Dhani. Dia cuba menghalang. Papanya dipeluk kuat. “Lepaskan aku anak haram! Jangan panggil aku papa!” Joe tersungkur ditolak. “Papa, kami anak papa. Joe dan Aki anak papa. Mama... bagitau papa, Joe dan Aki anak papa. Anak mama dan papa,” Joe merayu.

“Papa, Aki sayang papa. Aki anak papa,” Aki merangkul tangan Encik Dhani. “Bukan, kau bukan anak aku!” Encik Dhani mengoncang-goncang bahu Aki sebelum menolaknya ke arah Puan Salbiah. “Itu mama kau!” Sayang Encik Dhani terhadap anak-anaknya hilang sekelip mata setelah mengetahui kedudukan sebenar.

Segalanya terdedah apabila Encik Dhani mengalami kemalangan dan kehilangan banyak darah. Semasa dia bertarung nyawa di bilik kecemasan, Joe dan Aki gagal menjadi penderma darah untuknya. Setelah berjaya diselamatkan dan pulih, persoalan demi persoalan bermain difikiran Encik Dhani mengenai kegagalan kedua-dua anaknya menjadi penderma. Dalam diam dia mula menyiasat sehinggalah malam itu, segala-galanya terbongkar. Tanpa mengendahkan rayuan anak-anaknya Encik Dhani menceraikan Puan Salbiah dan menghalau mereka tiga beranak. Sejak itu Aki terus terputus hubungan dengan papa kesayangannya. Encik Dhani pula membawa diri entah ke mana.

Empat bulan selepas bercerai, Puan Salbiah bernikah dengan Encik Dali. Seorang duda yang telah sepuluh tahun kematian isteri. Jasmin Dalia satu-satunya anak hasil perkongsian hidup dengan arwah isterinya. Kesunyian Puan Salbiah terubat setelah mengahwini Encik Dali tetapi tidak anak-anaknya. Jiwa mereka terus menderita, bukan sahaja kerana penceraian tetapi kerana gelaran anak haram yang diberikan oleh papa tersayang.

“Dik,” Joe menepuk bahu Aki. Lamunan Aki terhenti. “Abang,” Aki terus merangkul Joe. Patung beruang panda yang dipeluknya terlepas bergolek jatuh ke lantai. “Betul ke kita ni anak haram?” Suara Aki tengelam-timbul dalam tangisan. Air mula bergenang di mata Joe. Dia faham. Cukup faham dengan kesedihan adiknya. Papa yang selama ini tempat mereka bermanja menghalau mereka begitu sahaja. Dihina dan dikeji tanpa pembelaan. Gedung kasih sayang yang terbina runtuh sekelip mata. Tiada lagi papa untuk mereka bermanja dan mengadu. Hanya mama tempat mereka bergantung hidup. Seorang mama yang hanya mementingkan diri. Mengejar kebahagian sendiri tanpa mengendah rintihan hati anak-anak.

“Aki tetap adik abang. Biarlah papa bencikan kita. Buang kita, asalkan kita berdua tetap bersama. Kita kena bersabar dik. Abang janji, bila abang dah mampu suatu hari nanti, abang akan bawa adik pergi jauh dari sini. Kita mula hidup baru. Hanya abang dan adik.” Joe menanam harapan di hati adik kesayangannya.

“Abang, Aki nak cuba cari papa lagi. Aki nak pujuk papa. Aki tahu, papa kalau marah sekejap je. Aki percaya, satu hari nanti papa mesti terima kita semula,” Aki bersungguh-sungguh menyatakan harapannya.

“Hai, bual apa tu? Macam mana... selesa tak dengan bilik ni?” Joe dan Aki terkejut dengan sapaan Jasmin. Entah bila masanya Jasmin terpacul di muka pintu. Aki yang tidak senang dengan sikap Jasmin bingkas bangun. “Kau tak reti hormat orang ke? Curi dengar perbualan kami...,” Aki menolak bahu Jasmin. Tolakan tadi menyebabkan Jasmin terundur ke belakang. “Aki... jangan,” Joe melarang. Dia tidak mahu kejadian yang tidak diingini berlaku disebabkan panas baran adiknya. Lagipun Jasmin anak tuan rumah dan mereka adik-beradik hanya menumpang.

Aki merenung tajam ke arah Jasmin. “Maaf... Min tak bermaksud nak mengganggu, cuma papa dan mama suruh Min ajak kamu berdua turun. Kita minum petang bersama,” Jasmin menerangkan tujuan sebenar.

“Beritahu mereka, kita orang tak lapar,” tegas Aki lalu terus menutup pintu. Jasmin terkedu seorang diri di luar bilik. Setelah agak lama menanti, Jasmin bergerak menuju ke anak tangga. Sebaik dia menuruni anak tangga ketiga, pintu bilik Aki terbuka. Langkah Jasmin terhenti. Dia menoleh, dilihatnya Joe melangkah keluar. Pintu bilik ditutup. Joe menghampiri Jasmin. “Maaf, adik saya tak bermaksud nak sakitkan hati awak,” Joe cuba melindungi adik kesayangannya.

Jasmin tersenyum. “Takpe... saya faham. Hmm... mari kita turun. Papa dan mama dah lama tunggu,” Jasmin cuba mempelawa sekali lagi. Tanpa membalas senyuman Jasmin, Joe menggeleng. “Takpe... terima kasih je. Saya tak lapar. Cuma letih. Saya nak berehat,” Joe terus meninggalkan Jasmin dan menuju ke biliknya. Sekali lagi Jasmin terkedu. Pelik dengan sikap dua-beradik itu.

“Geram betul saya dengan perangai budak-budak tu. Mereka tak tahu nak bersyukur. Saya kahwin dengan awak supaya kehidupan mereka lebih terjamin.” Puan Salbiah melepaskan geramnya sambil menyiat kuih donat lantas menyuap ke mulutnya. Encik Dali menghirup tehnya dengan tenang. Sebaik meletakkan cawan dia bersuara, “Biarlah... berikanlah mereka masa. Dalam hal ini kita tak boleh memaksa.”

“Kalau Jasmin boleh terima saya, kenapa mereka tak boleh? Susah sangat ke nak terima awak sebagai papa mereka?” Puan Salbiah memandang suaminya. Encik Dali hanya tersenyum. “Sayang, Jasmin tu dah sepuluh tahun dahagakan kasih-sayang seorang ibu tapi anak-anak awak tidak. Papa mereka masih hidup lagi. Tentu sukar untuk mereka terima saya secara mendadak,” terang Encik Dali sambil menggengam tangan Puan Salbiah.

“Hah, mana Joe dan Aki?” Tanya Encik Dali kepada Jasmin yang sedang menuruni anak tangga. Jasmin terus menuju ke meja makan, menarik kerusi dan duduk di sebelah Puan Salbiah. “Mereka tak lapar. Mereka letih dan nak rehat dulu,” Jasmin menjawab sambil menuang air teh ke dalam cawannya. Petang itu Puan Salbiah buat pertama kalinya menikmati hidangan minum petang bersama keluarga baru tanpa kehadiran anak-anak yang sedang merajuk atas tindakannya berkahwin sekali lagi.

nantikan sambungannya minggu hadapan...

Isnin, 10 Ogos 2009

KISAH MEREKA 2

KISAH 2 – MEREKA BERTEMU DI KL

Di ruang makan kelihatan lauk-pauk terhidang memenuhi sebuah meja. Meja makan yang boleh memuatkan lapan orang. Seorang gadis menuju ke arah meja tersebut. Air oren yang baru dibancuhnya diletakkan di sudut meja, bersebelahan gelas-gelas yang telah disusun rapi. Sesekali dia memanjangkan lehernya. Matanya tidak henti-henti memandang ke luar tingkap. Dia menuju ke dapur semula. Seminit kemudian dia muncul semula membawa tudung saji. Lauk-pauk yang terhidang tadi ditutupnya dengan tudung saji tersebut.

Matanya mengerling ke arah jam dinding di ruang makan. Jarumnya menunjukkan pukul lapan empat puluh lima minit malam. Hatinya mula risau. Kenapa ayahnya tak sampai-sampai lagi? Semalam ayahnya bertolak ke kampung untuk menjemput anak-anak Mak Usunya. Puas Oly memujuk supaya dapat ikut sama tetapi tidak dibenarkan. Sebaliknya dia disuruh menjaga restoran. Hari ini restoran ditutup awal setelah mendapat keizinan daripada ayahnya semalam. Alasannya untuk menyediakan makan malam bagi menyambut kehadiran dua orang sepupunya itu. Namun, sehingga kini mereka masih belum muncul-muncul. Ini yang membuatkan Oly tidak senang duduk.

“Cuba telefon ayah lagi Adib. Kakak risaulah.” Perintah Oly sebaik saja dia muncul di ruang tamu. “Dah telefon, tapi tak dapat. Bateri habis agaknya,” jawab Adib yang sedang meniarap di ruang tamu. Matanya tidak berganjak dari kaca televisyen. Oly menuju ke muka pintu, menjengah-jengahkan kepalanya. “Kau tak risau ke Dib?” Tanya Oly bila melihatkan adiknya leka menonton. “Nak risau apa?” Mata Adib masih ketat pada rancangan yang ditontonnya.

“Dah dekat pukul sembilan. Mereka tak sampai-sampai pun.” Oly menghenyakkan punggungnya di atas sofa. “Alah, Kedah ngan KL kan jauh. Sekejap lagi sampailah tu. Akak ni risau sangatlah.” Adib mula merasakan tontonannya diganggu oleh kerisauan kakaknya. Dia membetulkan kedudukan badannya. Kali ini dia mengiring ke sebelah kiri sambil tangan kanan menongkat kepala.

“Akak tahulah. Tengah hari tadi akak telefon ayah. Dia kata mereka akan sampai dalam pukul tujuh. Sekarang dah nak pukul sembilan.” Oly cuba menerangkan punca kerisauannya. “Kak oii… ni KL. Mungkin ayah lambat sebab jammed. Kita tunggu jelah.” Adib mengagak. Oly masih tidak senang dengan jawapan adiknya. “Azam mana?” Dia cuba mengalihkan kerisauannya dengan bertanya tentang abangnya pula.

Laa… Abang Azam dah pulak. Adib merungut di dalam hati. “Dia ada kat bilik belakang tu. Tengah kemas untuk tetamu kita.” Walaupun rasa terganggu, Adib menjawab juga pertanyaan kakaknya. “Kamu tak tolong?” Oly tidak henti menyoal. Argh, tolonglah. Aku nak tengok TV ni. Tolonglah berhenti menyoal kak oii! Jerit Adib dalam hati.

TIT! TIT!

Bunyi hon menyentakkan mereka dua-beradik. Sejurus pintu pagar terbuka, Pak Harun memandu masuk. Enjin dimatikan sebaik saja kenderaan pacuan empat rodanya masuk ke dalam garaj yang muat untuk dua buah kereta.

“Assalammualaikum!” Pak Harun memberi salam sebaik saja tiba di muka pintu. “Waalaikummussalam. Ayah lambat! Ayah buat kami risau je.” Oly meluahkan kerisauannya sambil menyambut beg pakaian dari tangan Pak Harun. “Kak Oly ni yang risau tak tentu pasal.” Adib mengadu sambil bersalaman dengan kedua-dua sepupunya. Pak Harun tersenyum melihatkan telatah anak-anaknya.

“Jalan jammed. Ada lori terbalik dekat lebuhraya Karak tadi. Ayah nak telefon, tapi bateri pulak habis.” Pak Harun menerangkan sebab kelewatannya. “Mari Pak Long kenalkan. Inilah anak-anak Pak Long, Suhaili dan Suhaidib. Suhaili tengah tunggu jawapan bagi permohonannya untuk sambung belajar di luar negara dalam bidang perundangan. Adib pula masih belajar dalam tingkatan empat. PMR lepas dia dapat 7A je. Itupun sebab kena paksa belajar. Pemalas sikit budak ni.” Pak Harun memperkenalkan anak-anaknya kepada Fizi dan Yan. Senyuman kelat terukir di wajah Fizi. Terasa rendah sungguh dirinya kalau hendak dibandingkan dengan kedua-dua sepupunya itu.

Oly menghulurkan salam perkenalan. “Hmm ... mana satu Hasfizi, mana satu Sufiyan ni?” Oly cuba meneka. Walaupun mereka sepupu tetapi mereka tidak pernah bersua muka. Kalau tidak kerana ayahnya mencari pekerja, tentu sampai bila-bila mereka tidak akan mengenali antara satu-sama lain. Semua adalah gara-gara keputusan ayahnya membawa mereka adik-beradik berpindah ke luar negara 14 tahun dulu.

Sejak mendapat peluang pekerjaan di Jerman, Pak Harun dan keluarganya tidak pernah pulang ke Malaysia lagi. Kesedihan yang ditanggungnya selepas kematian isteri membuatkan dia meninggalkan tanah air untuk memulakan hidup baru bersama anak-anaknya. Sehinggalah di hari persaraan, hatinya tiba-tiba tergerak untuk pulang. Pusara isterinya yang telah lama ditinggalkan mula dirinduinya. Kini sudah hampir setahun enam bulan dia dan anak-anak menetap di Kuala Lumpur.

“Saya Fizi dan yang ini Yan. Tak sangka saya ada sepupu secantik awak.” Fizi cuba beramah-mesra. Yan hanya menjeling. Malas hendak dilayan perangai abangnya yang tidak pernah berubah itu. “Ish, mana ada... biasa je.” Oly merendah diri. Adib mencebikkan bibir. Perasanlah tu. Dia mengejek kakaknya di dalam hati. “Hmm... kamu berdua mesti belum makan lagi. Oly dah sediakan makan malam tau. Marilah,” pelawa Oly. “Rajinnya, tapi Fizi nak mandi dululah sebelum makan. Bila badan dah segar baru selera makan bertambah.” Fizi meminta keizinan.

“Betul tu. Ayahpun nak pergi mandi dulu. Adib, tunjukkan bilik mereka. Lepas mandi nanti bolehlah kita semua makan.” Pak Harun menuju ke biliknya. Azam yang baru muncul melemparkan senyuman dan menghulurkan salamnya kepada Fizi dan Yan.

Deraian ketawa memecah ruang makan rumah Pak Harun. Fizi memang cepat menyesuaikan diri. Kisah-kisah lucunya di kampung mencuit hati mereka semua yang sedang menjamu selera. Yan seperti biasa mendiamkan diri. Membiarkan saja gelagat abangnya itu. Baginya juadah makan malam yang sedang dinikmatinya itu lebih menarik perhatian.

“Besar rumah Pak Long ni.” Fizi memuji rumah Pak Longnya sebaik saja hilai tawa mereka reda. “Biasa-biasa saja Fizi. Cukuplah untuk kami tinggal anak-beranak. Rumah kamu di kampung pun besar juga.” Pak Harun menyuap nasi ke mulutnya sebaik saja habis bercakap. “Tapi rumah papan je.” Fizi mengeluh sambil menggaul-gaul nasinya. “Tak baik cakap macam tu Fizi. Sekurang-kurangnya kau ada rumah. Ada keluarga sendiri.” Azam menegur. Tidak setuju dengan keluhan Fizi.

Fizi kehairanan. Kenapa Azam berkata begitu? Betul apa. Kalau nak dibandingkan, mereka jauh lebih mewah. Orang tak pernah rasa susah, senanglah cakap. Sindir Fizi dalam hati. “Betul tu Fizi. Kita kena sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada.” Pak Harun mula bersuara apabila keadaan di ruang makan itu mula sunyi.

“Maaflah kalau kau terasa Fizi.”. Dari riak wajah, Azam tahu yang Fizi terasa dengan kata-katanya tadi. “Antara kau dan aku, kau jauh lebih beruntung. Aku cuma menumpang kasih. Membesar atas nama keluarga orang lain tanpa mengetahui asal-usul diri sendiri.” Azam menyambung kata-katanya. Dahi Fizi berkerut kehairanan sebaik mendengarkan kata-kata Azam.

“Abang... kitakan kembar tak sebulan.” Oly memegang tangan Azam yang duduk di hadapannya. Dia seakan-akan menenangkan Azam sambil memberi isyarat agar memberi muka kepada tetamu baru mereka itu. Kepala Fizi mula diselubungi dengan seribu satu pertanyaan. Apa yang Azam cuba hendak sampaikan pada aku? Apa maksud kembar tak sebulan pula? Macam mana tu? Yang aku pernah dengar kembar tak seiras atau kembar siam je. Ish, tinggi betul pendidikan orang-orang dalam rumah ni. Banyak jenis kembar yang aku tak tahu rupanya. Fizi terus bingung. Satu demi satu persoalan terus menyelubungi fikirannya. Siapa Azam sebenarnya?

“Boleh saya masuk?” Fizi menjengahkan kepalanya ke dalam bilik Azam. Pintu bilik yang dibiarkan terbuka itu tidak menghalang Fizi bertindak demikian. Azam yang sedikit terkejut hanya tersenyum. Dia sekadar mengangguk tanda mengizinkan Fizi masuk ke biliknya.

“Pandai kau hias bilik. Kemas.” Fizi memulakan bicara sebaik duduk di hujung katil. Matanya meliar memerhatikan keadaan bilik tersebut. Keadaan katil, perabot serta buku-buku yang tersusun rapi menyakinkan Fizi bahawa Azam sememangnya seorang yang pembersih. “Adib beritahu, kau yang kemaskan bilik kami. Terima kasih.” Fizi menyambung kata-katanya. “Perkara kecil saja.” Azam yang sedang duduk menghadap komputer membetulkan kedudukannya agar mudah untuk dia memandang Fizi. “Yan mana?” Azam cuba beramah. “Dah tidur.” Fikiran Fizi masih tertanya-tanya apakah maksud kembar tak sebulan yang disebut Oly tadi. “Err... kau dan Oly kembar ya?”

Azam tergelak besar dengan pertanyaan Fizi. “Kembar tak sebulan.” Ish, kembar tak sebulan lagi. Jawablah betul-betul! Fizi melepaskan geramnya di dalam hati. “Aku bukan anak kandung ayah.” Azam berterus-terang sebaik menyedari gelakannya tidak disambut Fizi. Anak angkat? Patutlah muka tak serupa. Tapi apa maksud kembar tak sebulan tu? Fizi tak sabar nak tahu.

Azam memandang ke arah tingkap biliknya yang terbuka sebelum memulakan cerita. “Masa tu aku baru berusia dua hari. Dibuang darah daging sendiri. Dimasukkan dalam beg pakaian dan ditinggalkan kat bawah jambatan. Polis tempatkan aku di rumah kebajikan. Pekerja di rumah kebajikan yang menamakan aku Azam. Azam bin Abdullah. Kononnya semangat aku untuk terus hidup kuat walaupun diperlakukan sedemikian rupa. Genap umur aku sebulan, aku diambil sebagai anak angkat.” Azam menarik nafas menahan sebak.

Hebat jugak dugaan hidup budak ni. Bisik hati Fizi.

“Tiga tahun ayah dan ibu berkahwin, tapi masih gagal mendapatkan zuriat. Ditakdirkan setelah dua minggu mengambil aku sebagai anak angkat, ibu disahkan mengandung tiga bulan. Lahirlah Oly. Kami lahir pada tahun yang sama, hanya bulan yang berbeza. Gelaran kembar tak sebulan tu ibu yang beri. Bagi ibu, kami berdua ibarat kembar. Kami membesar bersama.” Azam tersenyum mengenangkan kebaikan dan jasa kedua orang tua angkatnya. “Tapi sayang, umur ibu tak panjang. Ibu meninggal dunia masa lahirkan Adib. Ayahlah yang bersusah-payah selama ini besarkan kami bertiga. Kemana saja dia pergi, kami bertiga pasti dibawanya sekali.” Azam menarik nafas panjang sebelum menoleh ke arah Fizi.

“Laa... tidur?” Cerita Azam melenakan Fizi. Azam menggelengkan kepala melihatkan Fizi terkapar nyenyak di atas katil empuknya. Dengan perlahan dia menarik selimut dan membentangkannya di atas hamparan bersebelahan katil. Bantal di perut Fizi diangkat dan diletakkannya di atas selimut yang baru dibentangnya itu. Daun pintu dirapatkan. Suis lampu dipetiknya. Lampu terpadam. Azam merebahkan badannya di atas selimut sementara Fizi terus dibiarkan lena dibuai mimpi. Tak sampai hatinya untuk mengejutkan Fizi supaya tidur di bilik sendiri.

Restoran yang diusahakan Pak Harun baru lima bulan beroperasi. Dia dibantu oleh Azam dan Oly sementara Adib pula akan datang membantu pada sebelah malam. Pada mulanya Pak Harun hanya mahu berehat setelah bersara, tetapi fikirannya berubah apabila seorang kenalan lamanya menyuarakan hasrat untuk menjualkan kedai kasutnya kepada Pak Harun. Azam yang memberi cadangan supaya kedai kasut tersebut ditukar menjadi sebuah restoran. Ini kerana mereka lebih arif dalam bidang menjual makanan daripada menjual kasut. Lebih-lebih lagi Pak Harun ialah bekas ketua chef. Sekurang-kurangnya pengalaman Pak Harun bekerja di sebuah hotel lima bintang di Jerman dapat membantu mereka mengendalikan restoran tersebut dengan lebih teratur. Kebetulan pula Azam adalah bekas graduan yang memegang Ijazah Pengurusan Perkhidmatan Makanan. Ini menyakinkan lagi Pak Harun untuk menerima cadangan anak angkatnya itu.

Keputusan Pak Harun menerima cadangan Azam memang tepat. Dua bulan setelah beroperasi, restorannya mula menerima kunjungan pelanggan tidak henti-henti. Keuntungannya memberangsangkan. Restoran yang pada mulanya beroperasi dari pukul dua belas tengah hari hingga enam petang kini telah dilanjutkan sehingga ke pukul dua belas tengah malam. Setiap hari mereka akan berhenti berehat selama empat jam iaitu diantara pukul empat petang hingga lapan malam sebelum memulakan perniagaan di sebelah malam. Tujuan Pak Harun menukar waktu perniagaannya adalah kerana pada waktu-waktu tersebutlah restorannya dikunjungi ramai pelanggan berbanding waktu-waktu yang lain. Hanya pada hari Ahad saja restoran itu ditutup.

“Kita nak kemana ni Pak Long?” Tanya Fizi sebaik saja Pak Longnya membelok. Sudah hampir lima belas minit dia dan Yan berada di dalam kenderaan yang dipandu Pak Harun tetapi tidak diberitahu ke mana destinasi sebenar mereka. “Kita nak ke restoran ke?” Fizi cuba meneka. Yan yang duduk di kerusi belakang hanya mendiamkan diri. Renungannya menembusi cermin tingkap Toyota Avanza milik Pak Longnya itu. Fizi yang duduk di sebelah pemandu masih menantikan jawapan.

“Kita pergi shopping.” Kata Pak Harun sebaik saja dia memberhentikan kenderaannya. “Mari.” Ajak Pak Harun. Fizi dan Yan hanya mengikut saja. Dari kawasan tempat meletak kereta mereka berjalan menuju masuk ke pusat membeli-belah Sogo.

“Pilihlah.” Pak Harun menyelak kemeja-kemeja yang tergantung di bahagian pakaian lelaki. “Hah, warna ni sesuai untuk kamu.” Pak Harun menghulurkan kemeja berwarna biru muda yang dipilihnya kepada Fizi. “Yan, warna coklat muda tu cantik.” Cadang Pak Harun kepada Yan. Fizi membelek-belek kemeja yang dihulurkan Pak Longnya. Matanya terbeliak. RM 105. Terkejut Fizi melihatkan harganya. Mana dia ada duit. Emaknya cuma beri RM 300 seorang sahaja buat belanja. Yan memandang Fizi. Dia juga terkedu melihatkan harga kemeja yang dipilih Pak Longnya. Macam mana ni?

“Err ... Fizi nak tengok t-shirt dululah Pak Long.” Fizi menggantungkan semula kemeja yang dipegangnya. Begitu juga Yan. “T-shirt di sebelah sana tu. Marilah.” Fizi dan Yan mengikut Pak Harun dari belakang. Pucat muka Fizi tatkala melihatkan harga sehelai t-shirt mencecah sehingga RM 90. Dipilihnya yang lain. RM 86.90. Diletaknya semula. Dia menoleh ke arah adiknya. Yan menggelengkan kepala. “Kamu berdua pilihlah. Pak Long nak ke tandas dulu.” Pak Harun terus meninggalkan mereka dua-beradik terpinga-pinga.

“Macam mana ni bang?” Yan bersuara sebaik Pak Harun hilang dari pandangan matanya. “Duit kita bukannya banyak.” Keluh Yan. Fizi menarik nafas. “Takpe, kita cari dulu. Mungkin jumpa yang murah nanti.” Fizi cuba menyedapkan hati adiknya. Mereka berlegar-legar di bahagian menjual pakaian tersebut. Jari-jemari mereka menyelak satu-persatu pakaian yang bergantungan di situ. RM 79... RM 84... RM 97... RM 116. Tiada satupun yang mereka jumpa berharga bawah RM 30. Sales girl yang dari tadi mengekori mereka mula bertanya. “Encik nak baju yang macam mana?” Fizi hanya tersenyum. “Yang murah ada tak?” Tanya Yan spontan. Alamak, malunya. Getus Fizi di dalam hati. “Ooo... ada. Mari ikut saya ke sebelah sana.” Sales girl tadi membawa mereka ke tempat yang dimaksudkan. RM 58.90. Fizi membaca tanda harga pada baju sebaik tiba di tempat yang dituju. Ini bukan murah cik adik oii. 20 ringgit baru murah. Geram Fizi dalam hati.

“Hah, kat sinipun kamu berdua. Macam mana? Dah pilih?” Fizi serba-salah. Malu betul dia hendak berterus-terang. Dia tidak mampu. Baju yang dipakainya sekarang pun baru berharga RM 15. “Laa ... belum pilih lagi? Eh, cepatlah sikit. Nanti kita ke kedai kasut pulak.” Desak Pak Harun. Hah? Kedai kasut. Habislah. Fizi mengeluh di dalam hati.

“Pilih saja mana yang kamu berdua suka. Hah, jangan lupa seluar sekali. Ambil empat, lima helai seorang. Dah pilih nanti letak saja di kaunter. Pak Long bayar.” Apa?! Laa... kenapa tak cakap dari tadi Pak Long oii. Fizi dan Yan memandang antara satu sama lain. Seronok betul Fizi. Tidak sabar dia hendak menggayakan pakaian-pakaian yang baru dibelinya tadi. Kini mereka berada di bahagian menjual kasut. Tanpa disuruh mereka berdua mencuba beberapa pasang kasut di situ. Lebih-lebih lagi Fizi. Berkotak-kotak kasut dicubanya. Pak Harun tersenyum melihat gelagat anak saudaranya yang seorang itu.

“Pak Long, Yan pergi tengok-tengok kedai sebelah tu kejap.” Yan meminta kebenaran. Bosan dia menunggu abangnya yang tidak sudah-sudah mencuba kasut. “Jangan jauh-jauh sangat. Susah nak cari nanti.” Pesan Pak Harun. Yan mengangguk. Keluar sahaja dari kedai kasut Yan terus menuju ke sebuah kedai yang menjual CD. Tujuannya bukan hendak membeli. Dia hanya membelek CD-CD yang tersusun rapi di rak sementara menunggu abangnya memilih kasut. Setelah bosan, Yan keluar meninggalkan kedai CD tersebut. Matanya mengerling ke arah kedai kasut. Kelibat Fizi dilihatnya masih mencuba-cuba kasut sementara Pak Longnya sabar menunggu.

Pandangan Yan tiba-tiba terhenti di sebuah kedai. Yan membaca papan tanda di atas pintu masuk kedai itu di dalam hati. Sebuah kedai menjual pelbagai jenis jam. Tanpa sebarang tujuan dia menuju ke arah kedai tersebut. Sebaik sahaja dia melangkah masuk, dia dilanggar oleh seorang gadis. Tidak sempat Yan bersuara, gadis tersebut terus berlari dicelah-celah kesibukan orang ramai. Dalam keadaan terpingga-pingga Yan mula menyedari beg kain berwarna merah jambu milik gadis itu jatuh betul-betul di atas kakinya. Tiba-tiba kedengaran satu jeritan. “Tangkap dia! Tangkap dia! Tu, kawan dia yang seorang lagi dah lari!” Tengkuk Yan dicekak seseorang sebaik dia mengangkat beg yang jatuh di kakinya itu. Yan termanggu. Kelibat budak perempuan yang melanggarnya hilang dari pandangan.

“Beli dua bayar satu. Pandai ya. Cermin jam tangan ni dah calar. Awak bayar sekarang. Kalau tidak kami report polis.” Tengking perempuan cina di hadapannya. Dua orang lelaki bersaiz sederhana menarik-narik baju Yan. “Report saja sama polis. Budak jahat ni. Nanti dia curi lagi.” Kata salah seorang dari mereka.

“Saya tak curi. Budak perempuan yang langgar saya tu. Dia yang curi.” Yan cuba menerangkan perkara sebenar. “Jangan bagi alasan. Tak mahu bayar, saya report polis.” Perempuan cina tersebut terus mencapai telefon bimbitnya. Yan cuak. Apa dia hendak jawab dengan Pak Longnya kalau ditangkap polis nanti. “Tolonglah. Jangan telefon polis.” Yan merayu. “Mahu bayar ke tidak?!” Jerit salah seorang lelaki yang memegangnya. Baju Yan ditarik-tarik mereka. “Haiya, telefon polis sajalah.” Perempuan cina itu mula bosan menunggu keputusan Yan. “Jangan! Baiklah... baiklah, saya bayar.” Yan terpaksa mengalah.

“RM 299.50.” Terkedu Yan sebaik perempuan cina itu memberitahu harga sebuah jam tangan yang calar tadi. Hendak tak hendak dia mengeluarkan enam keping wang kertas RM 50. Itu sajalah duit yang ada di dalam dompetnya. Duit yang diberi oleh emaknya sebelum bertolak ke KL. Baki sebanyak 50 sen diserahkan perempuan cina itu kepadanya. “Saya telefon polis kalau nampak awak di sini lagi.” Ugut perempuan cina itu.

“Apa yang kau beli tu Yan.” Tegur Fizi sebaik kelibat Yan muncul di hadapan kedai kasut sambil memegang sebuah beg sandang berwarna merah jambu. Ni semua abang punya pasal. Bentak Yan di dalam hati. Fikirnya kalau Fizi tidak mengambil masa yang lama di kedai kasut mungkin kejadian tadi dapat dielakkan. Yan mengambil keputusan untuk merahsiakan saja apa yang telah berlaku ke atas dirinya tadi.

“Ada apa-apa lagi yang kamu nak Yan?” Tanya Pak Harun. Yan hanya menggeleng. Fikirannya masih diganggu oleh kejadian tadi. Apa dia nak buat dengan dua buah jam tangan ni? Soal Yan di dalam hati. Budak perempuan tu. Siapa dia? Kenapa dia mencuri? Yan terus tertanya-tanya. Kedua jam tangan itu terlalu mahal dan berjenama. Tidak sesuai untuk Yan pakai semasa bekerja di restoran nanti. Lebih-lebih lagi sebagai budak pengangkat pinggan dan gelas kotor.

Malam itu selepas makan Yan terus masuk ke bilik. Sementara Fizi pula sibuk menggayakan pakaian-pakaian yang baru dibelinya siang tadi di hadapan sepupu-sepupunya. Lepas satu, satu dicubanya. “Bila ayah nak bawa Adib pulak?” Tanya Adib sambil membelek kasut baru Fizi. “Hai, tak cukup-cukup lagi ke? Minggu lepaskan ayah dah bawa.” Oly memintas. Adib hanya mencebik mengejek kakaknya.

“Terima kasih Pak Long.” Kata Fizi sebaik habis semua baju dicubanya. “Sama-sama.” Jawab Pak Harun ringkas. “Tapi, kenapa Pak Long belikan semua ni untuk kami? Mahal-mahal pulak tu.” Tanya Fizi. Teringin sangat dia hendak tahu tujuan Pak Longnya. Apakah Pak Longnya malu kalau dia dan Yan pakai pakaian yang sudah sedia ada. Yang mereka bawa dari kampung?

“Kamu berdua dah jadi tanggungjawab Pak Long sejak tiba dari kampung semalam. Apa saja baik dan buruk kamu lakukan di sini akan jadi tanggungjawab Pak Long. Tiada beza antara kamu dua-beradik dengan anak-anak Pak Long. Faham tu?” Terang Pak Harun. “Faham.” Tapi apa kena-mengena dengan pakaian ni semua. Tanya Fizi di dalam hati.

“Pakaian-pakaian tu semua hadiah dari Pak Long untuk kamu dua-beradik. Itu saja.” Terharu Fizi mendengarkan kata-kata Pak Longnya. Tidak disangka bapa saudaranya sebaik itu. Sanggup berbelanja untuk mereka dua-beradik yang hanya berasal dari kampung. Sekurang-kurangnya dia tahu yang kedatangan mereka dua-beradik bukan hanya sebagai pekerja.

Lama Yan meniarap di dalam biliknya sambil merenung dua buah jam tangan di hadapannya. Satu dalam keadaan baik sementara satu lagi calar pada permukaan cerminnya. Yang bercalar itulah yang terpaksa dibelinya bagi mengelak dari ditahan polis. Kini duit sakunya hanya tinggal 50 sen. Terpaksalah dia mengikat perut sebulan sementara menunggu gaji pertamanya. Mujurlah dia datang ke KL bersama abangnya dan menetap di rumah bapa saudara. Kalau tidak, tentu mati akal dia memikirkan bagaimana hendak meneruskan hidup di tengah kota besar dalam masa sebulan dengan hanya berbekalkan 50 sen.

nantikan sambungannya minggu hadapan...