Memaparkan catatan dengan label lakaran lada hijau. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label lakaran lada hijau. Papar semua catatan

Khamis, 17 September 2009

SALAM AIDILFITRI


Sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba ini, Lada Hijau ucapkan Salam Aidilfitri dan selamat beraya. Di hari baik bulan baik ini eloklah kita bermaaf-maafan. Selain kad raya di atas, Lada Hijau lampirkan sekali video lagu raya terbaru hasil kolaborasi kumpulan Raihan & Hujan. Satu lagi lagu raya baru yang bagus bagi Lada Hijau.

Salam Aidilfitri Ayahanda dan Bonda


Khamis, 3 September 2009

SUSAH?


Kenapa susah sangat?
Berkali-kali cuba,
Salah,
Berkali-kali buat,
Silap,
Akal jadi beku,
Fikir sampai buntu,
Apa yang kurang?
Tak tahu,
Idea?
Tak kering,
Cara?
Tak haram,
Usaha?
Tak padam,
Niat?
Tak pesong,
Doa?
Tak henti,
Tukang sorak?
Tak ramai,
Tukang ejek?
Berlonggok,
Hah!
Dah jumpa pun jawapan,
Taklah susah sangat,
Ikhtiar lagi sampai dapat!

Jumaat, 21 Ogos 2009

SEDIH?

Sedih,
Kau sedih bila tak punya ramai teman?
Syukurlah,
Kerana kau belum punya ramai musuh.

Sedih,
Kau sedih bila hidupmu sunyi?
Syukurlah,
Kerana kau dapat berdendang dengan detak jantungmu sendiri.

Sedih,
Kau sedih bila kata-katamu disekat?
Syukurlah,
Kerana kau bukannya tak punya peluang untuk bersuara lagi.

Sedih,
Kau sedih bila usahamu asyik bersua kegagalan?
Syukurlah,
Kerana kau masih belum gagal untuk mencuba.

Sedih,
Kau sedih bila hartamu tak mewah?
Syukurlah,
Kerana kau belum dipaksa untuk mengemis.

Sedih,
Kau sedih bila sihatmu dilanda sakit?
Syukurlah,
Kerana kau punya masa lagi untuk bertaubat.

Sabtu, 8 Ogos 2009

CINTA + SERASI = KEKAL

Ye ke? Betul ke formula di atas? Cinta itu semua orang tahu. Ada yang kata cinta itu buta.


Macam mereka berdua. Tak kisah dan terima seadanya rupa pasangan masing-masing. Tapi serasi itu apa? Bagaimana dikatakan serasi? Adakah pasangan itu dikatakan serasi bila...



Asyik melekat 24 jam?


Tak jemu memandang tiap kali berjumpa?


Ke mana saja warna pakaian pasti sedondon?


Berkongsi minat dan aktiviti yang serupa?


Sedia terima tabiat buruk pasangan tanpa sebarang rungutan?

Selasa, 4 Ogos 2009

ANDA SAYANG NEGARA ANDA?

Tahniah buat mereka yang menyertai Demontrasi Mansuhkan ISA pada 1/8/2009. Anda berjaya menunjukkan perasaan BODOH anda dan seperti biasa menyalahkan pihak lain di atas kebodohan diri sendiri. Syabas!



Tak kuasa Lada Hijau nak "copy & paste" tindakan bodoh mereka di sini. Jadi Lada Hijau gantikan dengan gambar di atas. Lambang kanak-kanak yang melihat bapa, emak, abang dan kakak mereka terjerit-terpekik macam orang bodoh di jalanan! Jangan contohi perangai mereka ya anak-anak.

Khamis, 30 Julai 2009

DIA DATANG LAGI



Dia datang lagi,
Setelah lama menghilang,
Dulu hanya bisikan,
Kini berbeza,
Datangnya berbentuk,
Samar-samar namun kehangatan terasa,
Alunan suara manjanya,
Menegur diri yang tidak mahu percaya,
Tentang kehadirannya,
Yang mahu menatih diri ini keluar,
Dari petak lamunan hitam,
Ruang persembunyian hakiki,
Bila kemurungan,

Khuatir menjadi-jadi,
Bila langkahnya mendekat,
Khayalkah?
Atau itu memang benar-benar dia,
Yang dulu meninggalkan diri ini,
Bersembunyi dibalik dinding,
Sendiri menghitung waktu,
Diam-diam menanti jiwa pulih,
Dalam tempoh yang cukup lama,

Pandangan berterabur,
Melihat dia tersenyum,
Keliru,
Takut,
Menerpa serentak,
Tiada arah untuk berlari pergi,
Terpaksa membatu biarpun tak rela,
Terus dia memaut,
Menangkap dan memeluk,
Selesa,
Tapi keraguan menghalang menikmatinya,

Jeritan dibalasnya dengan satu bisikan padu,
Perlahan tapi menusuk,
Katanya,
Aku semangatmu yang dulu,
Usah kau takut denganku,
Jika kau nekad dan percaya,
Akan aku temani kau seumur hayatmu,
Bukan seperti dulu,
Bila kau sendiri menolakku,
Lari dan bersembunyi di sini,
Mari,
Ikut aku,
Keluar dari sini dan bersama di sana.

Isnin, 27 Julai 2009

DISAKITI HATI YANG DISAKITI

Kelmarin,
Hati ini disakiti,
Oleh hati yang disakiti hati ini,
Semalam,
Dua hati saling mengubati,
Dengan ramuan insaf agar tidak mati,
Hari ini,
Berikrar dari hati ke hati,
Untuk tidak mengulangi,
Esok,
Enggan menyakiti dan disakiti hati,

Biarpun ditikam lagi berkali-kali,
Dan bila-bila,

Akan sentiasa berhati-hati,
Di saat meniti bicara hati.



Selasa, 21 Julai 2009

MATEMATIK DAN SAINS DALAM BAHASA MELAYU SEMULA?

"Kabinet meluluskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah kebangsaan dan menengah dilaksanakan dalam Bahasa Melayu berkuatkuasa pada 2012."

Apa bendalah? Sekejap Bahasa Inggeris, sekejap Bahasa Melayu. Masa nak buat dulu ada yang menentang tapi diteruskan juga bila lebih ramai angkat ketiak berkobar-kobar menyuarakan sokongan. Sekarang dah berubah. Suara yang menentang pula lebih ramai. Berulang-alik ke balai polis dengan alasan nak menyelamatkan Bahasa Melayu. Mana yang terlebih, siap bergambar depan pintu pagar balai polis sambil memegang kertas laporan. Macamlah kita nampak apa yang tertulis. Tapi mana mereka 6 tahun dulu? Yang kena desak pula satu hal. Senang-senang buat keputusan. Alasannya pun main rekacipta saja. Kononnya dah fikir masak-masak, dah renung dalam-dalam dan ikut suara rakyat. Yalah tu.



Yang kasihannya, budak-budak ini semua! (Sekadar tiga orang saja sebagai wakil. Nak lukis ramai-ramai satu sekolah... tak larat den). Asyik jadi bahan ujikaji. Mentang-mentanglah subjeknya Matematik dan Sains. Lada Hijau buat tinjauan dari blog ke blog. Ada yang sokong dan ada yang menentang Matematik dan Sains dalam Bahasa Melayu. Masing-masing punya pendapat yang berbeza-beza. Pokoknya, kenapa tak diperhalusi sebelum membuat keputusan yang melibatkan pelajaran dan masa depan anak-anak kecil ini? Tidak adakah cerdik-pandai yang dapat meramal dan menganalisis baik-buruk sesuatu keputusan waktu itu? Kenapa bila dah tunggang-terbalik dan tersimpul-terbelit baru nak cakap itu-ini? Kita saja yang beriya-iya membentang hujah sedang yang menjadi mangsa tak tahu apa-apa. Mereka tetap ke sekolah.

Lada Hijau sendiri pun dah tak tahu sama ada nak sokong atau tentang. Keputusan pun dah dibuat. Macam dulu-dulu. Terburu-buru. Mungkin lepas ini, Lada Hijau cuma perhatikan sahaja dan lihat apa pula kisahnya 6 tahun dari sekarang. Siapa pula yang akan bawa rombongan ke balai polis masa itu? Berkumpul dan berarak ramai-ramai sambil memegang kad manila anak-anak.


Sabtu, 18 Julai 2009

SAMPAI MATI KENA SOAL



Soalan untuk yang belum kahwin :
Bila nak kahwin?

Soalan untuk yang dah kahwin:
Bila nak dapat anak?

Soalan untuk yang ada ramai anak:
Bila kamu nak berhenti beranak?

Soalan untuk yang ada satu anak:
Bila nak tambah anak?

Soalan untuk yang tak ada anak:
Bila nak pergi jumpa doktor? Periksa siapa mandul?

Soalan untuk yang ada anak dah bersekolah:
Anak kamu periksa nombor berapa?

Soalan untuk yang ada anak dah tamat tingkatan lima:
Anak kamu tak sambung belajar ke?

Soalan untuk yang ada anak dah masuk Universiti:
Anak kamu ambil kos apa? Kenapa ambil kos itu tak ambil kos ini?

Soalan untuk yang ada anak dah tamat belajar:
Anak kamu dah kerja ke belum?

Soalan untuk yang ada anak dah bekerja:
Berapa gaji anak kamu? Sebulan dia hulur berapa?

Soalan untuk yang ada anak pergi kerja naik bas:
Anak kamu tak mampu beli kereta ke?

Soalan untuk yang ada anak berkereta:
Tunggu apa lagi? Bila nak bermenantu?

Soalan untuk yang ada menantu:
Bila nak timang cucu?

Soalan untuk yang ada cucu:
Bila nak pergi Mekah naik haji?

Bila dah naik haji. Hati pun lega. Rasa dah selesai segala kerja dan tanggungjawab di dunia. Masa ini dah tak kisah orang nak tanya apa pun. Sebab kebanyakan soalan lebih berkisar tentang pengalaman di tanah suci Mekah. Mana pergi senyum memanjang sebab orang tak panggil nama lagi. Tapi panggil pangkat haji atau hajah. Mana yang anak-anak berduit, buat majlis harijadi untuk orang tua besar-besaran. Tempah kek paling mahal. Nyanyi ramai-ramai. Gelak kuat-kuat. Rasa bahagia tak terhingga.

Tet! Maaf ya pak cik dan mak cik. Soalan-soalan dunia memang dah habis jawab. Tapi soalan-soalan kat alam kubur dan barzakh belum lagi berjawab. Soalan-soalan kat sana lagi berat... hehehe.

Nota kaki : Pada yang selalu kena soal. Janganlah asyik merungut. Kalau tak di soal, bermakna populariti kita dah pupus dikalangan masyarakat, kawan-kawan, saudara-mara, adik-beradik dan paling teruk ibu-bapa. Hah, kamu semua tak nak tergolong dalam individu yang dah pupus popularitinya kan?

Selasa, 14 Julai 2009

SUSAHNYA NAK CAKAP



Pipi merah-merah,
Kulit kebas-kebas,
Duduk tak senang,
Berdiri pun lemah,
Mata melilau,
Lari dari renungan,
Jantung berdetak,
Dada berdebar,
Kerongkong tersekat,
Lidah melekat,
Suara nak keluar,
Mulut tak bagi,
Rasa nak pengsan,
Pitamnya tidak,
Berdehem dua tiga kali,
Menjeling berkali-kali,
Susahnya nak cakap,
Aku cinta kamu!

Ahad, 12 Julai 2009

JALAN TERBAIK



Terperangkap di dua simpang terbaik,
Patutkah sinar mentari dipetik,
Atau cahaya bulan dibelek,
Kata putusku dah tunggang-terbalik,
Tak tahu mana yang elok dan mana yang baik,
Dah tak terdaya lagi menilik,
Kerana seri mentari membuatku cantik,
Bayang bulan membuatku celik,
Memaksa aku yang tak serik-serik,
Untuk membuat pilihan terbaik,
Nada nafas semakin sesak dan pelik,
Bila cakap orang mula menjentik,
Hasut orang mula menyuntik,
Dan kewarasan aku bertambah jelik,
Oh, Tuhan! Tolaklah aku ke jalan terbaik,
Agar aku mampu bernafas balik.