Khamis, 30 Julai 2009

DIA DATANG LAGI



Dia datang lagi,
Setelah lama menghilang,
Dulu hanya bisikan,
Kini berbeza,
Datangnya berbentuk,
Samar-samar namun kehangatan terasa,
Alunan suara manjanya,
Menegur diri yang tidak mahu percaya,
Tentang kehadirannya,
Yang mahu menatih diri ini keluar,
Dari petak lamunan hitam,
Ruang persembunyian hakiki,
Bila kemurungan,

Khuatir menjadi-jadi,
Bila langkahnya mendekat,
Khayalkah?
Atau itu memang benar-benar dia,
Yang dulu meninggalkan diri ini,
Bersembunyi dibalik dinding,
Sendiri menghitung waktu,
Diam-diam menanti jiwa pulih,
Dalam tempoh yang cukup lama,

Pandangan berterabur,
Melihat dia tersenyum,
Keliru,
Takut,
Menerpa serentak,
Tiada arah untuk berlari pergi,
Terpaksa membatu biarpun tak rela,
Terus dia memaut,
Menangkap dan memeluk,
Selesa,
Tapi keraguan menghalang menikmatinya,

Jeritan dibalasnya dengan satu bisikan padu,
Perlahan tapi menusuk,
Katanya,
Aku semangatmu yang dulu,
Usah kau takut denganku,
Jika kau nekad dan percaya,
Akan aku temani kau seumur hayatmu,
Bukan seperti dulu,
Bila kau sendiri menolakku,
Lari dan bersembunyi di sini,
Mari,
Ikut aku,
Keluar dari sini dan bersama di sana.

Selasa, 28 Julai 2009

YASMIN AHMAD

Terima kasih Yasmin Ahmad untuk iklan seperti ini.



Semoga rohmu dirahmati dan tenang di sana hendaknya. Siapa pula kita untuk mendakwa dan menghukum di sini?

Isnin, 27 Julai 2009

DISAKITI HATI YANG DISAKITI

Kelmarin,
Hati ini disakiti,
Oleh hati yang disakiti hati ini,
Semalam,
Dua hati saling mengubati,
Dengan ramuan insaf agar tidak mati,
Hari ini,
Berikrar dari hati ke hati,
Untuk tidak mengulangi,
Esok,
Enggan menyakiti dan disakiti hati,

Biarpun ditikam lagi berkali-kali,
Dan bila-bila,

Akan sentiasa berhati-hati,
Di saat meniti bicara hati.



Selasa, 21 Julai 2009

MATEMATIK DAN SAINS DALAM BAHASA MELAYU SEMULA?

"Kabinet meluluskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah kebangsaan dan menengah dilaksanakan dalam Bahasa Melayu berkuatkuasa pada 2012."

Apa bendalah? Sekejap Bahasa Inggeris, sekejap Bahasa Melayu. Masa nak buat dulu ada yang menentang tapi diteruskan juga bila lebih ramai angkat ketiak berkobar-kobar menyuarakan sokongan. Sekarang dah berubah. Suara yang menentang pula lebih ramai. Berulang-alik ke balai polis dengan alasan nak menyelamatkan Bahasa Melayu. Mana yang terlebih, siap bergambar depan pintu pagar balai polis sambil memegang kertas laporan. Macamlah kita nampak apa yang tertulis. Tapi mana mereka 6 tahun dulu? Yang kena desak pula satu hal. Senang-senang buat keputusan. Alasannya pun main rekacipta saja. Kononnya dah fikir masak-masak, dah renung dalam-dalam dan ikut suara rakyat. Yalah tu.



Yang kasihannya, budak-budak ini semua! (Sekadar tiga orang saja sebagai wakil. Nak lukis ramai-ramai satu sekolah... tak larat den). Asyik jadi bahan ujikaji. Mentang-mentanglah subjeknya Matematik dan Sains. Lada Hijau buat tinjauan dari blog ke blog. Ada yang sokong dan ada yang menentang Matematik dan Sains dalam Bahasa Melayu. Masing-masing punya pendapat yang berbeza-beza. Pokoknya, kenapa tak diperhalusi sebelum membuat keputusan yang melibatkan pelajaran dan masa depan anak-anak kecil ini? Tidak adakah cerdik-pandai yang dapat meramal dan menganalisis baik-buruk sesuatu keputusan waktu itu? Kenapa bila dah tunggang-terbalik dan tersimpul-terbelit baru nak cakap itu-ini? Kita saja yang beriya-iya membentang hujah sedang yang menjadi mangsa tak tahu apa-apa. Mereka tetap ke sekolah.

Lada Hijau sendiri pun dah tak tahu sama ada nak sokong atau tentang. Keputusan pun dah dibuat. Macam dulu-dulu. Terburu-buru. Mungkin lepas ini, Lada Hijau cuma perhatikan sahaja dan lihat apa pula kisahnya 6 tahun dari sekarang. Siapa pula yang akan bawa rombongan ke balai polis masa itu? Berkumpul dan berarak ramai-ramai sambil memegang kad manila anak-anak.


Sabtu, 18 Julai 2009

SAMPAI MATI KENA SOAL



Soalan untuk yang belum kahwin :
Bila nak kahwin?

Soalan untuk yang dah kahwin:
Bila nak dapat anak?

Soalan untuk yang ada ramai anak:
Bila kamu nak berhenti beranak?

Soalan untuk yang ada satu anak:
Bila nak tambah anak?

Soalan untuk yang tak ada anak:
Bila nak pergi jumpa doktor? Periksa siapa mandul?

Soalan untuk yang ada anak dah bersekolah:
Anak kamu periksa nombor berapa?

Soalan untuk yang ada anak dah tamat tingkatan lima:
Anak kamu tak sambung belajar ke?

Soalan untuk yang ada anak dah masuk Universiti:
Anak kamu ambil kos apa? Kenapa ambil kos itu tak ambil kos ini?

Soalan untuk yang ada anak dah tamat belajar:
Anak kamu dah kerja ke belum?

Soalan untuk yang ada anak dah bekerja:
Berapa gaji anak kamu? Sebulan dia hulur berapa?

Soalan untuk yang ada anak pergi kerja naik bas:
Anak kamu tak mampu beli kereta ke?

Soalan untuk yang ada anak berkereta:
Tunggu apa lagi? Bila nak bermenantu?

Soalan untuk yang ada menantu:
Bila nak timang cucu?

Soalan untuk yang ada cucu:
Bila nak pergi Mekah naik haji?

Bila dah naik haji. Hati pun lega. Rasa dah selesai segala kerja dan tanggungjawab di dunia. Masa ini dah tak kisah orang nak tanya apa pun. Sebab kebanyakan soalan lebih berkisar tentang pengalaman di tanah suci Mekah. Mana pergi senyum memanjang sebab orang tak panggil nama lagi. Tapi panggil pangkat haji atau hajah. Mana yang anak-anak berduit, buat majlis harijadi untuk orang tua besar-besaran. Tempah kek paling mahal. Nyanyi ramai-ramai. Gelak kuat-kuat. Rasa bahagia tak terhingga.

Tet! Maaf ya pak cik dan mak cik. Soalan-soalan dunia memang dah habis jawab. Tapi soalan-soalan kat alam kubur dan barzakh belum lagi berjawab. Soalan-soalan kat sana lagi berat... hehehe.

Nota kaki : Pada yang selalu kena soal. Janganlah asyik merungut. Kalau tak di soal, bermakna populariti kita dah pupus dikalangan masyarakat, kawan-kawan, saudara-mara, adik-beradik dan paling teruk ibu-bapa. Hah, kamu semua tak nak tergolong dalam individu yang dah pupus popularitinya kan?

Rabu, 15 Julai 2009

DAH TERSIAR


"Gemuk nak lembik... gemuk nak lembik..."


Cerpen Lada Hijau bertajuk Gemuk Nak Lembik dah pun tersiar di Penulisan2u pada 12 Julai 2009, tapi baru semalam Lada Hijau tahu. Gembira sangat walaupun secara percuma. Ini satu percubaan dan permulaan buat Lada Hijau. Pernah hantar manuskrip novel sebelum ini disebuah syarikat penerbitan tetapi ditolak. Memang sedih tapi semua ini Lada Hijau anggap sebagai dugaan dan cabaran dalam pembelajaran. Dari penolakan tersebut Lada Hijau berusaha memperbaiki kelemahan dan kesilapan biarpun belum sempurna sepenuhnya.



yeyeh... yeyeh...

(lebih kurang cenggini la Lada Hijau dok hepi sensorang hehehe...)

Selasa, 14 Julai 2009

SUSAHNYA NAK CAKAP



Pipi merah-merah,
Kulit kebas-kebas,
Duduk tak senang,
Berdiri pun lemah,
Mata melilau,
Lari dari renungan,
Jantung berdetak,
Dada berdebar,
Kerongkong tersekat,
Lidah melekat,
Suara nak keluar,
Mulut tak bagi,
Rasa nak pengsan,
Pitamnya tidak,
Berdehem dua tiga kali,
Menjeling berkali-kali,
Susahnya nak cakap,
Aku cinta kamu!

Isnin, 13 Julai 2009

ANDA TERPILIH!



Kring! Kring! (bunyi telefon)

Lada Hijau : Hello!

Kaki Kelentong : Hello, ini rumah Cik Lada Hijau ke?

Lada Hijau : Awak nak cakap ngan rumah ke?

Kaki Kelentong : Eh, tak... tak... saya mahu cakap sama itu Cik Lada Hijau.

Lada Hijau : Ya, bercakap.

Kaki Kelentong : Saya Kaki Kelentong (bukan nama sebenar) dari Syarikat Propa Kaki Kapur (tak tau betul ke tidak). Tahniah! Anda terpilih untuk menerima hadiah istimewa daripada syarikat kami!

Lada Hijau : Wah, ya ke!

Kaki Kelentong : Ya, anda antara yang bertuah.

Lada Hijau : Mana hadiahnya?

Kaki Kelentong : Oh, sila datang ke syarikat kami untuk mengambil hadiah Cik Lada. Ini alamat kami No. 123 Jalan Mati, Taman Tak Berseri, Poskod Tak Ada, Banggunan Tinggal, Padang Jarak Padang Terkukur.

Lada Hijau : Hantar jelah terus ke rumah. Baru saya betul-betul bertuah! Hantar hadiah yang besar-besar ya. Biar jiran saya jeles. Hehehe... Nah, ini alamat saya! Kalau tak dengar, saya boleh ulang. Salin ya... nombor tiga pu...

Kaki Kelentong : (tut... tut... tut... letak telefon)

Lada Hijau : Laa... belum habis cakap lagi. Ces, tak bertuah langsung.

Kerap sangat Lada Hijau dan keluarga terima panggilan seperti di atas. Ada yang menawarkan hadiah berupa tiket penerbangan malah juga sejumlah wang yang hampir-hampir membuatkan Lada Hijau gelap mata sekejap. Ini bukannya cerita baru tapi dah lama diperkatakan di media massa dan media cetak. Hingga ada yang menjadi mangsa. Ditipu, dipukul juga dikurung semata-mata hanya kerana hendak menuntut hadiah yang dijanjikan. Yang peliknya, kenapa syarikat-syarikat seperti ini masih berani dan dibiarkan beroperasi?

Mungkin susah untuk pihak berkuasa memantau mereka. Jalan terbaik, kita sebagai bakal mangsa perlulah berhati-hati. Jangan cepat percaya kepada orang luar yang senang-senang nak bagi kita hadiah. Sedangkan orang tersayang yang sentiasa di sisi pun selalu berkira-kira tiap kali nak belikan hadiah. Takut bajet tak cukup. Jadi, kalau anda dapat panggilan telefon seperti di atas, jangan terus mengelinjang gembira tak tentu pasal. Fikir dan selidik dahulu bagi mengelakkan muka anda terpampang di dada akhbar sebagai mangsa seterusnya.

Ahad, 12 Julai 2009

JALAN TERBAIK



Terperangkap di dua simpang terbaik,
Patutkah sinar mentari dipetik,
Atau cahaya bulan dibelek,
Kata putusku dah tunggang-terbalik,
Tak tahu mana yang elok dan mana yang baik,
Dah tak terdaya lagi menilik,
Kerana seri mentari membuatku cantik,
Bayang bulan membuatku celik,
Memaksa aku yang tak serik-serik,
Untuk membuat pilihan terbaik,
Nada nafas semakin sesak dan pelik,
Bila cakap orang mula menjentik,
Hasut orang mula menyuntik,
Dan kewarasan aku bertambah jelik,
Oh, Tuhan! Tolaklah aku ke jalan terbaik,
Agar aku mampu bernafas balik.

Khamis, 9 Julai 2009

NAK LARI



Muka Eisu masam mencuka. Dahinya ketat mencerut. Liukan cahaya tujuh batang lilin dijelingnya benci. Lilin-lilin itu mewakili jumlah tahun usianya. Kek harijadi yang menjadi batas lilin-lilin itu berdiri juga dipandang Eisu tanpa nafsu. "Apa lagi? Tiuplah cepat. Kawan-kawan dah lama tunggu ni." Lembut sahaja Puan Nisa menutur kata. Rambut anak sulungnya diusap-usap manja. Sudah tiga minit lagu harijadi selesai dinyanyikan oleh tetamu yang terdiri daripada beberapa orang rakan kelas dan sepermainan Eisu. Riak wajah Puan Nisa mula mencerminkan perubahan. Senyumannya ditutup kegusaran bila tujuh lilin berbelang semakin pendek mencair di atas kek.

"Cepatlah Eisu. Kitaorang dah lapar ni." Muiz yang berdiri di belakang Eisu mula bersuara mendesak. Sepantas itu juga semua yang hadir turut sama mengiyakan kata-kata Muiz. Puan Nisa menepuk bahu Eisu. Menyuruhnya meniup lilin segera. Air muka Eisu masih belum berubah. Sambil berpeluk tubuh dan satu kali hembusan, Eisu memadam nyalaan lilin-lilin harijadinya. Serentak itu bunyi tepukan memercik disegenap penjuru ruang tamu Puan Nisa. Adik lelaki Eisu bernama Ery dan Bibik pembantu rumah turut sama bertepuk tangan. Eisu tidak menunggu lama. Dia terus beredar meninggalkan semua orang yang sedang meraikan sambutan harijadinya yang ke tujuh. "Bibik, tolong bagi-bagikan kek ni pada mereka semua. Hah, kamu semua jangan malu-malu ya!" Puan Nisa mempelawa kawan-kawan anaknya walaupun mereka semua sudah terlebih dahulu mencapai pinggan dan menjamu juadah sebaik selesai bertepuk tangan tadi. Puan Nisa sempat memerhati pembantu rumahnya melayan karenah para tetamu kecil itu sebelum beredar dari ruang tamu menuju ke luar rumah. Ery, anak bongsunya ditinggalkan bersama-sama yang lain.

"Kenapa ni?" Tegur Puan Nisa sebaik punggungnya berlabuh di atas sebuah bangku bulat yang diperbuat daripada buluh. Ada lima buah bangku semuanya di situ. Mengelilingi sebuah meja berbentuk bulat. Juga daripada buluh. Di situlah tempat keluarganya bersantai sambil menikmati kesuburan pokok-pokok renek dan bunga-bunga yang menghiasi sekitar laman rumah. Tidak disangkal lagi. Landskap laman yang teratur benar-benar menyerikan persekitaran rumah banglo Puan Nisa. Ditambah pula dengan cahaya lampu yang terpasang di malam hari. Mampu memukau sesiapa yang berada di situ.

"Eisu nak lari!" Eisu memalingkan muka. Tidak mahu memandang ibunya. "Ibu tak adil. Eisu dah pesan lama dah. Eisu nak kek bentuk muka Upin dan Ipin. Tapi ibu beli bentuk Doraemon. Mesti kawan-kawan Eisu gelakkan Eisu besok. Awal-awal lagi Eisu dah bagitau mereka ibu akan tempah kek Upin dan Ipin untuk harijadi Eisu. Kalau macam ni malulah Eisu kena ejek nanti." Bertalu-talu Eisu mengeluarkan segala rasa tidak puas hatinya. Mata Puan Nisa sedikit terbeliak. Masakan kerana sebiji kek, anaknya mahu melarikan diri. Mungkin Eisu cuma menakut-nakutkannya sahaja. Ah, taktik budak-budak sekarang. Puan Nisa cuba menolak apa yang didengari daripada mulut anaknya itu.

"Ibu tahu, ibu silap. Tapi, takkan sampai nak lari pulak?" Puan Nisa memujuk dan mengalah. Dalam hal ini, Puan Nisa sedar akan kesilapannya. Kalau tidak kerana terlalu sibuk dan tertumpu kepada kerjanya di pejabat sahaja pasti dia tidak akan terlupa untuk menempah awal kek harijadi Eisu. Sudah sebulan anaknya menyatakan hasrat tetapi ditangguh-tangguhnya hingga terlupa. Mujur kek berbentuk Doraemon itu dapat dibelinya di saat-saat akhir petang tadi. Itupun setelah suaminya menelefon memberitahu tidak dapat pulang meraikan harijadi Eisu kerana urusan kerja di luar negeri masih belum selesai.

"Eisu nak lari jugak. Eisu malu dengan kawan-kawan. Lagipun ibu ngan ayah memang tak sayang Eisu. Apa yang Eisu mintak semuanya tak dapat. Tapi kalau Ery semuanya dapat." Eisu terheret dengan kemarahan hingga dia mula membanding-bandingkan dirinya dengan adiknya. "Ery mintak kek SpongeBob, ibu belikan. Ery mintak permainan, ibu belikan. Semua Ery mintak, ibu belikan. Kalau Eisu, semua ibu lupa." Eisu masih enggan memandang muka ibunya. Puan Nisa terkedu. Tidak disangka anak yang baru menjejak usia tujuh tahun sudah pandai membuat perbandingan sebegitu rupa. Dia tahu. Anak sulungnya itu hampa bila dia tidak sempat membelikan hadiah kerana kelam-kabut mencari kek. Mujur dia sempat menyuruh Bibik menggorengkan bihun untuk hidangan tetamu anaknya itu. Kalau tidak, pasti anaknya bertambah hampa. "Ibu janji, esok ayah balik, kita sama-sama pergi beli hadiah. Eisu cakap je nak apa. Ibu dan ayah akan belikan." Puan Nisa perlahan memujuk. Hujung-hujung jarinya mengelus rambut Eisu.

"Eisu nak lari jugak!" Cepat Eisu mengilas rambutnya. Tidak mahu rambutnya disentuh. "Masa harijadi Ery, semua ada. Nenek ada. Atuk ada. Pak Cik ngan Mak Cik pun ada. Harijadi Eisu, cuma kawan kelas jer yang datang. Makanan pun tak banyak. Bihun goreng ngan tembikai je. Kalau nenek ngan Mak Cik ada, mesti diaorang masakkan sedap-sedap untuk kawan-kawan Eisu." Semakin dalam Eisu melepaskan rasa hatinya. Puan Nisa terdiam. Kata-kata Eisu tepat mengenai batang hidungnya. Sudah hampir setahun dia tidak bertegur sapa dengan orang tua dan adik-beradiknya.

Fikiran Puan Nisa menyelongkar semula punca dia terputus hubungan dengan ibu-bapa dan adik-beradiknya yang lain. Semuanya berpaksi dengan rasa ego dalam diri. Waktu itu dia hendak mengadakan jamuan bagi meraikan kenaikan pangkatnya sebagai Pengarah Urusan di syarikat tempatnya bekerja. Disebabkan sebelum ini dia selalu mencanang dikalangan teman-teman sepejabat tentang kesedapan masakan emaknya, membuatkan mereka semua ingin merasa sendiri semasa jamuan itu diadakan. Berkali-kali Puan Nisa meminta emaknya memasak namun ditolak. Emaknya memberi alasan tidak larat kerana yang bakal hadir lebih daripada seratus orang. Masih Puan Nisa ingat, emaknya menolak secara baik. Namun kerana panik dan tidak mahu dipandang rendah oleh teman-teman sepejabat dan juga ketua kerana cakap tidak serupa bikin, Puan Nisa telah bertindak melampaui batas. Kata-katanya telah melukakan hati ibunya. "Kalau inipun tak boleh tolong. Buat apa tinggal di sini? Menyusahkan saja. Tak boleh harap langsung. Apa, mak nak tengok anak mak malu depan kawan-kawan? Bukannya saya suruh buat apa pun. Tolong masak je. Semua barang saya dah sediakan. Mak tak perlu keluar satu sen pun!" Kata-kata tersebut terngiang-ngiang di benak fikirannya. Tidak pernah hilang.

Peristiwa tersebut menyebabkan ibu-bapanya membawa diri keluar dari rumah. Puas dia dipujuk adik-beradiknya agar meminta ampun dan menjemput semula orang tuanya kembali. Tetapi tidak diendah Puan Nisa. Kedegilan mengukuhkan lagi keeegoannya. Malah suaminya juga turut diberi amaran supaya tidak masuk campur. Pada anak-anak dia membuat alasan. Kononnya Nenek dan Atuk tidak sayang mereka lagi sebaliknya lebih menyayangi cucu-cucu yang lain. Air mata mula bergenang dan mengaburi pandangan Puan Nisa. Menyukarkannya untuk melihat Eisu yang masih duduk membelakangi dirinya kerana merajuk.

"Eisu, kitaorang semua nak balik! Selamat Hari Jadi! Kek kau sedaplah. Pandai ibu kau beli!" Jerit Muiz. Dia berdiri di muka pintu yang menghadap laman tempat dua beranak itu terhanyut dengan perasaan. Eisu segera menoleh. Mukanya tidak berkerut lagi. Kata-kata Muiz mencuci segala rajuk di hatinya. Puan Nisa cepat-cepat mengesat air mata yang hampir tumpah ke pipi sebelum dilihat anaknya dan para tetamu. Seorang demi seorang datang menghampiri dua beranak itu. Mereka bersilih ganti menghulur dan menyambut salam. "Eisu, sebelum kitaorang balik, bukak la hadiah-hadiah kau. Kitaorang nak tengok." Sekali lagi Muiz menjadi wakil jurucakap. "Yalah, kitaorang nak tengok apa yang Muiz bagi kat kau!" Seloroh kawan-kawan Eisu yang lain. Masing-masing gelak mengusik. Eisu turut sama tergelak. Rajuk seorang anak kecil. Sekejap sahaja sudah lupa setelah di gula-gulakan dengan pujian. Eisu bangun. Bersama kawan-kawannya, dia berlari masuk ke dalam rumah.

Tinggal Puan Nisa seorang diri. Matanya liar memandang persekitaran kawasan laman namun hatinya tergambar sebuah wajah. Lama-kelamaan pandangannya kabur kembali dengan air mata. Puan Nisa menyengetkan sedikit tubuhnya. Tangan kanannya menyeluk saku seluar. Telefon bimbit tergenggam di tangannya sebaik ditarik keluar dari saku. Ibu jarinya menekan butang-butang telefon bimbit. Terpapar satu nama pada skrin. Lama juga dia merenung skrin tersebut sebelum menekan butang dail. Beberapa saat menunggu panggilan dijawab, tiba-tiba Puan Nisa sebak dan suaranya mula tersekat-sekat. Dan akhirnya terlontarlah satu perkataan dari kotak suaranya, "Mak."

Ahad, 5 Julai 2009

PENGSAN SEKEJAP

Takut gak tapi kelakarlah pulak. Tengah hari semalam. Dalam pukul 12:30, Sabtu. Lada Hijau pengsan sekejap. Betul. Adalah dalam 5 minit gitu. Mengikut anggaran masa mak Lada Hijaulah. Lada Hijau masuk dapur. Nak ambik beg duit baru kat dalam kabinet. Beg lama, zip dah rosak. Kabinet jenis melekat kat dinding. Tinggi kabinet, paras kepala Lada Hijau. Bawah kabinet tu ada sinki basuh pinggan mangkuk. Mak Lada Hijau masa tu baru selesai basuh ikan ngan ayam yang baru disiang sebelum simpan dalam peti sejuk. Dalam tengah terdongak-dongak tu, tiba-tiba Lada Hijau rasa pening. Sempat jugak bagitau kat mak yang berdiri betul-betul kat sebelah Lada Hijau.

Lepas tu Lada Hijau dah tak ingat apa dah. Sedar-sedar tengah tertiarap kat atas lantai dapur. Yang kelakarnya, selama 5 minit tulah Lada Hijau dok tertiarap. Pasal mak Lada Hijau tak larat nak angkat. Yang ada pun dua orang budak yang berat tak sampai 10kg hahaha... Masa sedar tu, hidung Lada Hijau dok cium bau hanyir. Mau taknya, habis berlambak ikan-ikan ngan ketulan-ketulan ayam yang terikut jatuh sekali masa Lada Hijau pengsan. Ikan 10 ekor dalam bekas tinggal 3 ekor jer. Ketulan ayam pun camtu gak. Tinggal dua, tiga ketul je dalam penapis. Puaslah mak Lada dok cari balik ikan-ikan dan ketulan ayam yang tercampak kat tepi-tepi sinki dan dinding.

Mak cakap, dia heran kenapa kepala Lada Hijau makin lama makin nak tertumus masuk kat dalam sinki. Masa tulah dia perasan rupanya Lada Hijau dah 'blackout'. Keluarlah jugak tenaga otromen mak nak sambut badan Lada Hijau yang berat tahap raksasa ni. Takut kepala terhentak. Nasib baik pengsan sekejap je. Buatnya 1 jam, tak ke naya. Dah la takde sape yang larat nak angkat. Yang ada pun tak reti bantuan kecemasan. Ish, selisih malaikat 44.

Sebenarnya, sebelum semua ni terjadi, Lada Hijau dah seminggu rasa tak sedap badan. 3 hari perut rase semacam. Tak gi klinik pun. Lada Hijau dok bantai ENO berpaket-paket ngan Panadol berbiji-biji. Mungkin sebab tu kot. Ntah la. Dalam proses mencari ikan-ikannya yang tercampak jauh dari kawasan, mulut mak tak habis-habis dok ngomel. Marah kat Lada Hijau yang tak reti nak gi klinik bila sakit.

Mintak-mintak janganlah kena lagi camni. Takut gak. Nasib baik kat rumah. Kalau kat tengah jalan. Tak ke malu. Masa Lada Hijau kuar dari dapur dan baring kat ruang tamu, mak masih dok membebel lagi. Ikan dia lagi sekor tak jumpa. Lada Hijau pejam mata. Baring diam-diam. Dengar gak mak bagi 'warning' dari dapur. Nanti gi klinik. Lada Hijau diam jer. Buat-buat tidur. Pagi tadi bangun cam rasa takde apa-apa. Cuma nak masuk senja tadi, perut ni senak balik. Kepala pun cam sket berdengung. Kalau tak baik gak hari Isnin gi klinik. Lagi skali mak kasi 'warning'. Alamak... esok Isnin!

Jumaat, 3 Julai 2009

AKU

Aku,
Merasa dengan jari,
Meraba dengan mata,
Mendengar dengan hati,
Menghidu dengan kata,

Aku,
Berjalan dengan mimpi,
Berlari dengan realiti,
Merangkak dengan teliti,
Menari dengan sepi,

Aku,
Memburu dengan derita,
Membina dengan gelita,
Berjanji dengan cinta,
Bernafsu dengan harta,

Aku,
Berbeza dengan dia,
Berjauhan dengan mereka,
Berhutang dengan budi,
Berniat dengan pasti.