Isnin, 31 Ogos 2009

KISAH MEREKA 5

KISAH 5 - MEREKA TERPERANGKAP DAN MEMERANGKAP

Sesekali Adib mengerling jarum jam tangannya. Pagi itu dia bangun lebih awal dari biasa. Sebaik selesai menunaikan solat subuh dia terus bersiap untuk ke sekolah. Jam enam empat puluh lima minit pagi Adib sudahpun terpacak di tempat yang dijanjikan. Penat berdiri dia bertinggung. Lenguh bertinggung dia berdiri. Sekali lagi dia mengerling ke arah jam tangan. Baru pukul enam lima puluh lima minit pagi. Sudah hampir sepuluh minit dia menunggu di simpang itu. Adib mengeluh dan bertinggung semula. Pusingan saat dirasakannya amat perlahan. Tepat jam tujuh barulah kelibat Aki muncul dan menamatkan penantiannya. Dia bingkas bangun sambil membetul-betulkan baju dan seluarnya. Jari-jemarinya menyisir-nyisir rambut hadapan yang lurus lembut menutupi dahi sebelah kanan.

“Assalammualaikum,” tegur Aki sebaik menghampiri Adib. “Waalaikumussalam,” jawab Adib sambil tersenyum meleret. “Dah lama tunggu?” Tanya Aki. “Eh, taklah. Baru je sampai ni.” Jawab Adib spontan. Sedangkan sudah hampir lima belas minit dia di situ. “Err, kenapa dengan mata kamu?” Adib mula menyedari akan mata Aki yang agak sembab sebaik sahaja Aki mengangkat muka memandang tepat ke arahnya. “Jom! Nanti lambat,” sengaja soalan Adib dibiarkan Aki.

Mereka berdua beriringan menuju ke sekolah. “Kurang tidur ke malam tadi?” Adib cuba meneka. Aki masih mendiamkan diri. Cuma sesekali dia menggosok-gosok matanya. “Jangan gosok. Nanti tambah bengkak,” kata-kata Adib membuatkan Aki tersenyum. Prihatin jugak si lembut ni. Puji Aki dalam hati.

Adib memberikan senyuman apabila Aki sesekali menoleh ke arahnya. “Awak tak de kawan lain ke?” Tiba-tiba Aki menyoal. Langkah Adib terhenti. “Yalah, sebelum ni awak gi sekolah ngan siapa?” Tanya Aki sambil memperlahankan langkahnya agar seiringan dengan Adib.

“Sendiri.” Adib menjawab pendek dan menyambung langkahnya semula. “Sendiri? Kenapa? Tak de orang nak kawan ngan awak ke? Perangai awak teruk sangat ya?” Aki mengusik. Adib tersenyum. Walaupun kata-kata Aki itu berbaur sindiran namun tidak sedikit pun Adib terasa. Kini kawan yang baru dikenalinya itu sudah mula berbalas cakap dengannya. Berbeza dengan keadaan semalam, hanya dia seorang saja yang sibuk bercerita.

“Awak nak kenal ngan kawan-kawan saya ke?” Aki terpaku mendengarkan soalan Adib. “Kenapa diam? Tadi nak tahu sangat.” Giliran Adib pula menyindir apabila soalannya tadi tidak dijawab. “Petang ni senang tak?” Adib terus menyoal. “Lepas sekolah nanti, ikut saya balik. Saya tunjukkan pada awak ngan siapa saya berkawan.” Perasaan serba-salah mula menyelubungi diri Aki. Patutkah dia menerima pelawaan Adib? Kawan yang baru dua hari dikenalinya. Itulah, siapa suruh sibuk sangat nak tahu dengan siapa si lembut ni berkawan. Aki memarahi dirinya sendiri.

“Adib, awak serius ke nak kenalkan saya pada kawan-kawan awak?” Kerisauan Aki menjadi-jadi. Fikirnya Adib akan lupakan hasrat itu tetapi sangkaan Aki jauh meleset. Sebaik saja loceng akhir sessi pagi berbunyi Adib terus mengingatkan Aki tentang pelawaannya pagi tadi. “Ya la. Nanti awak tahulah saya ni teruk ke tidak. Kenapa? Takut? Alah... saya bukannya nak ajak awak buat benda yang bukan-bukan. Saya cuma nak jawab soalan-soalan yang awak tanya pagi tadi. Itu je.” Jawapan Adib yang berhias dengan senyuman seribu makna membuat hati Aki berbelah bagi. “Cerita je tak boleh ke?” Aki masih was-was. “Nak ikut ke tak?” Tanya Adib. Aki bingung. Sama ada mahu ikut atau tidak. Entah kenapa dia memberi anggukan setuju bila lama direnung Adib. Mungkin kerana tidak mahu kawan barunya itu terasa. Adib tersenyum. Membiarkan Aki mengikut langkahnya dalam seribu keraguan.

“Jemput minum,” Fizi menghulurkan segelas air kepada Oly. “Eh, terima kasih. Baik hati awak.” Walaupun sedikit hairan, Oly menerima minuman yang dihulurkan. Setelah menyedut beberapa kali, dia meletakkan gelas tadi di sebelah mesin kira-kira sambil tersenyum pada Fizi yang tersengih- sengih memandang. “Fizi tak minum sekali?” Oly mengajukan soalan bila Fizi masih mengeliang-ngeliut di hadapannya. “Eh, takpe... dah minum kat belakang tadi.” Fizi menjawab sambil tangannya mengelap-ngelap meja kaunter tanpa sebab. “Pak Long rasa bukan meja kaunter ni yang patut kamu lap.” Pak Harun menepuk bahu Fizi dari belakang. Dengan muka cuak Fizi menoleh memandang Pak Harun. Yan yang sedang mengelap meja memerhatikan mereka bertiga. Padan muka. Nak menggatal tak kena tempat. Aku adik dia yang penat gila ni tak dikasinya air... yang dok tercongok kat kaunter tu pulak yang dia sibuk-sibuk. Yan mengejek Fizi dalam hati bila niat abangnya hendak mengurat Oly dihalang teguran Pak Harun. Sedang Yan mengejek dan merungut sendirian tiba-tiba perhatiannya teralih pada kelibat yang baru melangkah masuk ke dalam restoran.

“Ayah...” Adib menghulurkan salam sambil mencium tangan Pak Harun sebaik melangkah masuk ke dalam restoran. Perkara yang sama dilakukannya pada Oly dan Fizi. Namun bukan kelibat Adib yang mencuri perhatian Yan tetapi seorang gadis yang berjalan masuk bersama Adib.

“Ini Aki. Kawan sekolah Adib. Aki, ini ayah saya. Ini Fizi sepupu saya dan itu kakak saya Oly.” Aki menghulurkan salam kepada Pak Harun, Fizi dan Oly. “Hah, abang Yan! Mari saya kenalkan kawan baru saya ni.” Seperti pucuk dicita ulam mendatang bila namanya dipanggil Adib. Dia bertekad, kali ini peluang kedua takkan dilepaskan untuk mendapatkan semula duitnya. Kain buruk di tangan dihempas Yan ke atas meja.

Berderau darah Aki bila Yan menuju ke arahnya. Mukanya pucat serta-merta. Apa yang mamat ni buat kat sini? Kecil betul dunia ni. Macam mana aku boleh terserempak lagi dengan dia? Hati kecil Aki terus berkata-kata. Jantungnya berdegup semakin kencang tatkala Yan semakin hampir dengannya. Mata Aki melilau mengelak dari renungan tajam Yan.

“Aki, ini Yan. Sepupu Adib. Adik abang Fizi.” Suara Adib menyentakkan Aki. Yan sudah pun berdiri betul-betul di hadapannya. “Saya Aki.” Dalam keadaan teragak-agak dan suara tersekat-sekat, Aki menghulurkan salam kepada Yan. Salamnya disambut dengan gengaman yang agak keras.

“Mari, jemput duduk. Kamu nak minum apa? Minuman panas atau sejuk?” Pelawaan Fizi mematahkan hasrat Yan untuk bersuara. Aki terasa kembali aliran darah di urat-urat mukanya. “Err... limau... limau ais.” Pucat di muka Aki beransur hilang namun suaranya masih tersekat-sekat. “Yan, pergi ambik air untuk tetamu kita ni. Suruh Azam buat sedap-sedap tau!” Perintah Fizi. Lagaknya tak ubah seperti tuan empunya restoran. Tanpa banyak soal, Yan menuju ke dapur.

“Eh, air untuk siapa tu?” Tegur Azam kehairanan apabila melihatkan Yan membancuh sendiri air minuman sebaik tiba di dapur. “Adib bawak kawan dia. Kat depan tu. Biar saya bancuh air ni. Azam pergilah kenalkan diri. Kitaorang semua dah kenal.” Habis sahaja ayat Yan, Azam terus begerak ke bahagian hadapan restoran. Sejak berpindah, adiknya tidak pernah membawa pulang walau seorang kawan sekalipun. Membuatkan Azam teringin benar berjumpa dengan kawan baru Adib itu.

Salam Azam disambut Aki dengan senyuman. “Hah! Mereka ini semualah kawan-kawan saya.” Adib memandang Aki. “ Awak tipu! Ini keluarga awak.” Aki tidak puas hati dengan jawapan Adib. “Kenapa? Keluarga sendiri tak boleh jadi kawan ke? Esok giliran awak pulak kenalkan saya pada kawan-kawan awak.” Geli hati Adib melihatkan Aki tersipu-sipu malu dikelilingi ahli keluarganya. Pelanggan-pelangan yang sedang menjamu selera sesekali mengerling ke arah mereka semua.

“Saya baru pindah kat sini. Mana ada kawan lagi.” Nada suara Aki rendah. Baru dia sedar yang Adib cuba mengenakannya. “Sudah Adib.” Pak Harun menegur anak lelakinya apabila melihatkan perubahan pada air muka Aki. “Maafkan anak Pak Cik. Dia memang macam ni, suka mengusik.” Pak Harun cuba menenangkan anak gadis yang sedang duduk di hadapannya itu.

“Kamu tinggal di kawasan ni jugak ke?” Tanya Pak Harun. Aki mengangguk. “Saya baru pindah kat Jalan Merbok,” beritahu Aki. “Jalan Merbok? Yang mana satu rumah kamu?” Pak Harun terus menyoal. “No. 33,” jawab Aki pendek. “ No. 33?” Ulang Pak Harun. “Itukan rumah Pak Cik Dali kawan ayah.” Azam tepat meneka. “Betul kamu tinggal kat situ? Apa hubungan kamu dengan dia?” Pak Harun cuba mendapatkan kepastian. Aki memandang satu-persatu wajah yang mengelilinginya sebelum menjawab, “Dia ayah tiri saya.”

“Jadi, kamu ni adik Joe ya? Kita orang jumpa dia kat masjid ari tu... ngan Pak Cik Dali.” Tekaan Azam tepat lagi. Aki tercengang. Kini sah baginya yang dunia ini benar-benar kecil. “Jemput minum.” Tiba-tiba Yan muncul membawa minuman. “Yan, kau buat air ke jerang air? Lama betul.” Lawak basi Fizi tidak diendah Yan. Matanya terus merenung Aki. “Hah, minumlah.” Pelawa Pak Harun. Aki sedaya-upaya mengelak matanya dari bertembung dengan renungan tajam Yan. Gelas di hadapannya dicapai. Air limau ais itu dikacau-kacaunya dahulu dengan penyedut minuman sebelum disedut.

Yan yang merenung tajam ke arah Aki dari tadi tiba-tiba tersenyum sinis. “Macam mana? Sedap tak?” Tanya Yan dengan sopan-santunnya. Dalam keadaan terkedu dan terpaksa, Aki menelan air limau ais yang baru disedutnya itu. Bodoh punya mamat. Kau kenakan aku depan dia orang ni semua ya. Menggigil Aki menahan marah kerana terpaksa menelan air limau ais yang dibancuh Yan dengan garam.

“Sedap. Pandai awak buat air.” Aki cuba menahan kemasinan yang masih melekat ditekaknya. Seboleh-boleh dia mempamerkan senyuman mesra. “Makan tengah hari di sini ya. Yan, sediakan hidangan untuk tetamu kita ni.” Arah Pak Harun. “Eh, tak pe. Tak payah susah-susah. Lagipun saya tak boleh lama kat sini. Saya kena balik.” Cepat Aki menolak pelawaan Pak Harun. Hakikatnya perut Aki sedang mendidih kelaparan. Namun dia tidak mahu terkena lagi. Entah apa pula yang bakal dimasukkan ke dalam makanannya itu nanti.

“Kalau ya pun, habiskanlah minuman tu dulu. Tak elok membazir tau.” Yan terus berlagak sopan. Menambah kegeraman di hati Aki. “Betul tu. Habiskanlah minuman tu dulu. Bila-bila senang singgahlah lagi.” Pak Harun mengiyakan kata-kata Yan. “Anggaplah kami ni semua kawan-kawan kamu. Jangan malu-malu.” Oly pula cuba beramah. Dengan senyuman kelat Aki menghabiskan air limau aisnya dengan satu nafas. Sejurus isi dalam gelas tersebut kosong disedut, Aki bangun bersalaman dan melangkah keluar meninggalkan “kawan-kawan” yang baru dikenalinya itu.

“Aki, tunggu!” Belum jauh Aki melangkah meninggalkan restoran, namanya diteriak seseorang. Dilihatnya Adib berlari-lari anak menghampirinya. “Dah puas tipu saya?” Sindir Aki sebaik Adib berhenti di hadapannya. “Awak marah?” Tanya Adib. “ Taklah, saya suka.” Aki terus menyindir. Melepaskan geram yang ditahannya dari tadi sewaktu dikelilingi keluarga Fizi. Sebab Adib, dia berjumpa semula dengan Yan. Sebab Adib juga, dia kena minum air limau ais bercampur garam.

“Saya tak tipu. Saya ikhlas ngan awak. Merekalah kawan-kawan saya. Kalau awak nak tahu, saya baru setahun lebih je kat sini. Belum ada kawan lagi. Yang ada pun teman-teman sekelas dan ahli-ahli kelab sejarah yang selalu ketawa dan ejek saya tiap kali saya bercakap. Saya nak cuba nasib je berkawan ngan awak. Sebab awak orang baru kat sini. Itupun kalau awak sudi. Maaflah kalau awak tak suka semua ni.” Adib yang tidak tahu punca kemarahan Aki menerangkan maksud hatinya dengan panjang lebar. Aki hanya diam berpeluk tubuh mendengar alasan kawan barunya itu. Membuatkan Adib rasa tambah bersalah. Dengan berat hati dia meninggalkan Aki bila kata-katanya tidak dihiraukan. Cuma kedua-dua mata Aki sahaja yang berulang-ulang memandangnya dari atas ke bawah. Menambahkan lagi kehibaan hati Adib yang jelas terpampang di wajah.

Memang sah si lembut ni sensitif. Baru acah sikit dah nak terasa. Perli Aki dalam hati. “Hei, kawan!” Jerit Aki. Langkah Adib terhenti. Dia menoleh ke arah Aki. “Esok jangan lupa tunggu saya kat tempat yang sama jam tujuh. Kalau lambat saya tinggal!” Aki sempat mengusik dalam memujuk. Serentak itu juga rasa hiba di hati Adib lenyap. Melahirkan bunga kegembiraan. Lantas dia terlompat-lompat manja seorang diri. Aki membiarkan sahaja Adib sendirian meraikan kegembiraan itu. Langkahnya yang terhenti tadi disambungnya semula.

Tersenyum-senyum Aki bila mengenangkan semula kata-kata Adib tadi. Nasib kaulah Aki, berkawan ngan si lembut. Aki mengejek dirinya sendiri. Sekurang-kurangnya, dia dah ada tempat lain untuk dituju selepas tamat waktu sekolah. Dari pulang terus ke rumah dan berdua-duaan dengan Jasmin, lebih baik dia bersama Adib. Lagipun abangnya Joe selalu pulang lewat. Paling kurang dalam pukul lima petang baru Joe pulang dari kolej.

“Dah gila ke? Senyum sorang-sorang.” Sekali lagi langkah Aki terhenti. Dia menoleh kiri dan kanan. Mencari suara yang menegurnya itu. “Awak!” Jerit Aki sebaik menoleh ke arah suara yang mengganggu lamunannya tadi. “Limau ais campur garam. Awak nak bunuh saya ke?” Bentak Aki. Yan segera meluru ke arah Aki lalu menariknya berlindung dibalik dinding agar perlakuannya tidak dapat dilihat oleh orang yang lalu-lalang di situ.

“Lepaskan saya!” Aki meronta. Dia terus lari sebaik gengaman Yan pada tangannya terlepas. “Larilah! Biar aku cerita kat Adib siapa kau sebenarnya!” Yan mengugut. Kata-kata Yan tadi menghalang hasrat Aki untuk melarikan diri. Tidak! Adib tak boleh tahu. Kalau Adib tahu nanti, Pak Harun dan yang lain-lain pun tahu. Mereka semua kenal ayah tiri aku. Tak mustahil abang juga akan tahu. Tidak! Ini tak boleh jadi. Aku tak nak sesiapa pun tahu. Aki terfikir sejenak kebarangkalian yang bakal berlaku jika Yan menceritakan segala-galanya pada Adib.

“Jangan!” Aki berlari semula ke arah Yan. “Tolonglah, jangan ceritakan pada sesiapa.” Aki mencabut keegoannya. Dalam keadaan terdesak dia merayu agar Yan tidak menceritakan tentang kejadian dia mencuri di Sogo.

Yan tergelak kecil tatkala melihat Aki beriya-iya merayu agar dia merahsiakan segala-galanya. “Hmm... tau pun takut.” Perli Yan. Meluat Aki melihat Yan yang tidak mengendahkan rayuannya itu.

“Aku nak duit aku balik.” Yan bersuara sebaik gelaknya reda. Riak cemas semakin terukir di wajah Aki. Bagaimana dia hendak mendapatkan wang sebanyak itu? Hendak diminta pada mamanya, hubungan mereka agak dingin kebelakangan ini. Lebih-lebih lagi apabila mengenangkan pertengkaran antara dia dan mamanya yang baru meletus malam tadi. Tak sanggup dia hendak menebal muka. Minta pada abang pula, pasti kena soal macam-macam.

“Oii! Dengar tak?” Tempik Yan apabila soalannya tidak berjawab. “Saya tak de duit,” balas Aki. “Hmm... tak nak bayarlah ya. Lepas ni jangan marah kalau semua tau...” Yan bertindak meninggalkan Aki yang ketandusan ikhtiar untuk membayar hutang.

“Nanti!” Aki berlari menahan Yan. “Tolonglah! Jangan buat saya macam ni.” Aki mengoncang-goncang lengan Yan. Lengan tersebut segera dilepaskannya apabila Yan merenung tajam.

“Nak bayar ke tak?” Soal Yan. “Saya boleh bayar tapi bukan sekarang,” jawab Aki. “Jangan main-main ngan aku,” nada suara Yan keras. Geram dengan gadis yang berdiri di hadapannya itu. “Saya nak bayar tapi sekarang saya takde duit.” Aki cuba menerangkan pada Yan agar faham akan keadaannya.

“Bagilah saya masa.” Pinta Aki walaupun dia tidak pasti sama ada dapat mengumpulkan duit sebanyak RM 299.50 itu atau tidak. Setiap bulan dia hanya menerima RM 100 untuk duit saku. Ini bermakna mulai sekarang dia terpaksa mengikat perut di sekolah. Itupun memakan masa selama tiga bulan baru cukup untuk dia membayar hutang tersebut.

“Berapa lama nak kena tunggu?” Tanya Yan. “Beri saya masa tiga...,” Aki menunjukkan tiga jari tangannya. “Tiga hari? Baik.” Yan terus bersetuju. “Eh! Bukan. Tiga... tiga bulan.” Aki segera membetulkan tekaan Yan. “Tiga bulan? Kau ingat aku bodoh? Kau nak larikan? Kau jangan memain ngan aku. Hmm... nampaknya kau tak serius langsung nak bayar balik duit aku tu. Maaflah kalau lepas ni keluarga kau tahu yang anak gadis mereka pencuri.” Tanpa membuang masa Yan terus meninggalkan Aki.

Geram betul Aki melihatkan sikap Yan yang tidak henti-henti mengugutnya. “Oii, bodoh! Gunalah otak sikit! Saya ni kan budak sekolah. Mana nak cari duit sebanyak tu. Bagi jelah saya masa.” Akhirnya geram Aki terlepas. Dari tadi dia cuba menahan geram, melupakan keegoannya hingga sanggup merayu meminta simpati. Namun dirasakan sia-sia bila rayuannya tidak diendah langsung.

Berdesing telinga Yan tatkala dirinya digelar bodoh. Sekali lagi dia berpusing dan meluru ke arah anak gadis yang menggelarkan dirinya bodoh itu. Ketakutan mula menyelubungi diri Aki. Dia cuba hendak lari namun kakinya seperti melekat di jalan bertar itu.

“Sebulan. Aku beri kau masa sebulan.” Tegas Yan sebaik tangannya mencapai lengan kiri baju sekolah Aki. “Tak boleh. Saya tak cukup duit. Saya perlukan masa tiga bulan untuk kumpul duit sebanyak tu. Tolonglah faham. Jangan desak saya lagi. Saya janji akan bayar semula duit awak tu.” Sekali lagi Aki cuba merayu.

“Tapi kenapa sampai tiga bulan? Lama tu...” Yan terus menyoal tanpa melepaskan Aki. “Setiap bulan saya dapat seratus ringgit untuk duit saku. Nanti saya bayar awak guna duit tu. Sebab tu saya perlukan masa tiga bulan.” Terang Aki mengharap Yan memahami keadaannya.

Lama Yan mendiamkan diri. Sedikit demi sedikit gengamannya pada lengan baju Aki terlerai. Aki membetul-betulkan lengan bajunya yang berkedut. Wajah Yan yang berkerut memikirkan sesuatu diperhatikannya. Aki tertanya-tanya apa yang sedang difikirkan oleh lelaki di hadapannya itu. “Macam mana? Setuju?” Aki cuba mendapatkan kepastian setelah agak lama Yan mendiamkan diri.

“Hello...,” Aki melambai-lambaikan tapak tangannya di muka Yan. “Apa ni?” Yan mula bersuara apabila pandangannya terganggu. “ Saya tanya, setuju ke tak? Saya janji akan bayar dalam masa tiga bulan.” Aki mengulangi semula kata-katanya tadi.

“Hmm... tiga bulan... lama tu.” Yan masih tidak puas hati. Tiga bulan adalah satu jangka masa yang agak panjang baginya. Fikirnya berbagai kemungkinan boleh berlaku dalam tempoh masa itu.

“Habis tu, awak ada cara lain?” Aki cuba mencabar Yan. Sempat dia menjeling sambil berpeluk tubuh. “Rasanya ada. Tadi aku terfikir satu cara untuk kau bayar balik duit aku dalam tempoh satu bulan.” Yan memberi pandangan sambil menghadiahkan senyuman sinis pada Aki. “Macam mana?” Dahi Aki berkerut kehairanan melihatkan senyuman yang terukir di bibir Yan.

“Berapa yang kau ada sekarang?” Tanya Yan. “Hah?” Aki kabur. “Kau kata tadi setiap bulan kau terima seratus ringgit. Bagi aku seratus tu dulu,” arah Yan. “Err... tapi saya dah guna duit tu. Tak sampai seratus pun, cuma ada lapan puluh lima ringgit je,” Aki cuba memberi alasan.

“Bagi aku duit tu cepat!” Yan benar-benar serius. Dia tidak mahu terlepas peluang lagi untuk mendapatkan duitnya semula. Hendak tak hendak Aki mengeluarkan wang yang dimaksudkan dari beg duitnya. Berat hati Aki untuk menyerahkan wang saku tapi apakan daya bila memikirkan rahsianya akan terbongkar jika tidak memenuhi permintaan tersebut.

Wang yang dihulurkan segera diambil Yan. Aki hanya memerhatikan saja gelagat Yan mengira-ngira wang itu. “Err... boleh tak amik lapan puluh dulu?” Pinta Aki. Kiraan Yan terhenti. Wang kertas bernilai RM 5 dihulurkannya kepada Aki. “Sekarang baki hutang kau pada aku tinggal dua ratus sembilan belas ringgit lima puluh sen dan kau mesti selesaikan dalam masa satu bulan. Ikut aku sekarang. Aku akan tunjukkan kau caranya.” Tanpa berfikir panjang Aki mengikut Yan dari belakang. Dia tertanya-tanya apakah yang sedang bermain difikiran Yan.

“Hah, Yan. Kau dari mana ni?” Tegur Fizi sebaik Yan melintas di hadapannya. “Buang sampah,” jawab Yan pendek. “Eh, Aki. Ada barang tertinggal ke?” Tanya Fizi kepada Aki yang sedang berdiri di belakang Yan. “Err...,” Aki kebuntuan jawapan untuk soalan Fizi. Dia sendiri tertanya-tanya mengapa Yan membawanya berpatah balik ke restoran. Apakah sebenarnya rancangan Yan?

“Aki... tak balik lagi?” Kali ini Adib pula menegurnya. Aki semakin cemas. Adakah dia akan dikenakan Yan sekali lagi? Mungkinkah Yan akan memalukannya dengan menceritakan segala-galanya. Tidak! Tidak dapat dibayangkannya bagaimana anggapan Adib terhadapnya bila tahu perkara sebenar. Bagaimana pula dia hendak berhadapan dengan keluarganya jika perkara ini tersebar? Betapa sedih abangnya nanti setelah dapat tahu yang adiknya seorang pencuri. Fikiran Aki berkecamuk dengan kemungkinan yang akan berlaku sekiranya mereka semua tahu yang dia pernah mencuri.

“Pak Long,” Yan menegur Pak Harun yang sedang berehat di meja sambil membaca surat khabar. Melihatkan Yan berbisik-bisik dengan Pak Harun membuatkan Aki bertambah risau. Mahu saja dia lari meninggalkan restoran tersebut.

“Betul ke apa yang Yan beritahu pada Pak Cik?” Tanya Pak Harun sebaik saja mendekati Aki yang serba tak keruan. Aki tergamam. Soalan Pak Harun menyesakkan nafasnya. Dia bersedia untuk lari sekiranya terjadi sebarang kemungkinan. Dalam kesesakan nafas itu matanya sempat memandang Yan yang sedang tersenyum sinis di belakang Pak Harun.

“Beritahu apa ayah?” Tanya Adib. Nafas Aki semakin sesak. “Yan kata kamu nak kerja part time kat sini.” Kata-kata Pak Harun membuatkan Aki terkedu seketika. Sedikit demi sedikit nafasnya kembali teratur. Kerisauan di hati beransur hilang namun geramnya pada Yan semakin menebal. Pandai betul mamat ni kenakan aku. Jadi ini rupanya rancangan dia. Tak pasal-pasal aku kena kerja kat sini pulak. Gerutu Aki sendirian. Kecil saja matanya memandang Yan. Rasa hendak diterkam saja tetapi hasratnya itu terbatal apabila difikirkan yang rahsianya masih elok tersimpan. Walaupun terasa dirinya diperangkap, dengan perlahan Aki mengangguk.

“Betul ke Aki? Kenapa tak beritahu tadi?” Adib cuba mendapatkan kepastian walaupun Aki sudah menjawab dengan satu anggukan. “Tadi dia tak tahu. Bila terbaca kertas iklan kat depan tu, baru dia tahu yang Pak Long nak cari pekerja lagi,” Yan segera mencelah. Aki yang sedang terpinga-pinga mencari jawapan terus mengiyakan kata-kata Yan. “Pak Cik boleh ambil kamu bekerja tapi kamu mesti minta izin orang tua kamu dulu,” Pak Harun memberi peringatan. Sekali lagi Aki mengangguk.

Setelah segalanya dipersetujui, Aki meminta izin untuk pulang. Mulai esok dia akan mula bekerja di restoran itu pada sebelah malam. Pak Harun akan membayarnya sebanyak RM 250 sebulan. Cukup-cukup untuk membayar baki hutangnya kepada Yan. Sewaktu melangkah keluar restoran, Aki sempat menjeling ke arah Yan yang tersenyum-senyum seorang diri. Aki tahu, Yan sedang mentertawakannya dalam hati. Tunggu kau. Bila aku dapat peluang nanti, aku gelakkan kau balik. Perasaan dendam pada Yan mula terbit di hati Aki.


nantikan sambungannya minggu hadapan...

SELAMAT HARI MERDEKA KE 52

Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Merdeka!

Jumaat, 28 Ogos 2009

ZANI PENCURI RAMBUTAN


Tiada tempat lain lagi dituju Zani selain belakang rumah Tok Akob setiap kali pulang dari sekolah. Kalau tidak berteman, dia akan menyelusup ke sana seorang diri dan memanjat pokok rambutan yang selalu menjadi sarang pilihannya membuat nakal. Suka betul dia bertenggek atas dahan pokok rambutan yang satu itu walaupun terdapat empat batang pokok rambutan lagi di dalam dusun kecil Tok Akob. Mungkin kerana pokok yang satu itu paling dekat dengan pagar dan kawasan rumah beberapa penduduk kampung. Senang untuk dia lari kalau-kalau terlihat dek Tok Akob. Mungkin juga kerana pokok itu paling lebat buahnya. Daun-daunnya yang rimbun dapat meneduhkan Zani daripada terkena tembakan sinar mentari yang pastinya terik di kala tengah hari.

Selain pokok-pokok rambutan, ada lima batang pokok durian, empat batang pokok mangga, empat batang pokok manggis, tiga batang pokok cempedak, dan tiga batang pokok nangka di dusun kecil itu. Masing-masing masih berbuah dan sesetengahnya mengikut musim tetapi hasilnya tidak serancak masa Tok Akob muda dan tengah kuat. Dulu Tok Akob boleh jaga sendiri dusun kecilnya itu dan hanya menggaji orang untuk menjaga sepenuhnya bila dia keluar bekerja berbulan-bulan lamanya. Tapi setelah bersara sebagai Kapten kapal, Tok Akob terpaksa mengupah sahaja dua-tiga orang pemuda kampung membersihkan sekitar kawasan dusun kecilnya. Itu pun seminggu sekali.

Bagi Zani, dia lebih suka menghabiskan dua hingga tiga jam masanya di atas pokok kerana tiada siapa yang menunggunya di rumah. Yang ada cuma nasi dan lauk-lauk sejuk yang terhidang bawah tudung saji. Dihidang ibunya sebelum keluar bekerja. Ayah Zani adalah seorang pegawai perubatan yang berkhidmat di klinik desa sementara ibunya membuka kedai jahit. Dua orang kakaknya pula bersekolah di sebelah petang. Seorang di tingkatan satu dan seorang lagi di tingkatan dua.

Kenakalan Zani di usia sebelas tahun semakin hari semakin menjadi-jadi. Dengan lengkap berpakaian sekolah dia ligat memanjat pokok kegemarannya itu. Rambutan-rambutan yang bergayutan dan masak ranum dipetiknya satu-satu. Setelah isi masuk ke mulut, kulit dan biji dibuang ke bawah. Bertaburan di sekitar pangkal pokok. Sudah kerap kali dia ditangkap Tok Akob. Mulut ayah dan ibunya pun sudah berbuih-buih memesan agar tidak menceroboh dusun Tok Akob namun langsung tidak diendah Zani. Hari ini kena tangkap, esok dia datang dan panjat lagi. Tak pernah serik. Pening ayah dan ibu Zani memikirkan sikapnya itu. Walaupun marah dan geram, ayah dan ibunya belum sampai lagi ke tahap memukul. Habis ikhtiar, mereka berdoa. Agar satu-satunya anak lelaki mereka itu berubah.

Bukan kemanisan buah rambutan sebenarnya yang Zani gilakan tapi kedamaian yang dinikmatinya semasa berada di atas pokok itu. Tenang. Sesekali terhibur juga dengan pelbagai ragam tingkah-laku jiran tetangganya yang Zani dapat lihat dengan jelas. Dari pandangan atas, Zani dapat curi tengok kegiatan dua orang remaja yang sedang asyik bercinta. Kak Odah dan abang Bari. Sudah masuk minggu kedua kak Odah dan abang Bari berjumpa senyap-senyap di belakang balai raya. Bergurau-senda melepas rindu dendam setiap kali kelas menjahit manik yang kak Odah hadiri tamat. Zani juga tahu siapa yang mendajalkan Mak Irah. Meninggalkan najis yang masih panas di bawah tempurung betul-betul depan anak tangga paling bawah di bahagian dapur. Sampai mulut Mak Irah berkicau-kicau marah bila tersepak tempurung yang berisi itu. Bukan orang lain pun. Burhan, cucu Mak Irah sendiri yang baru berusia empat tahun yang punya kerja. Dari atas pokok rambutan itu juga, Zani terkekek-kekek ketawa melihat lurah punggung Pak Salam bila orang tua berbadan gempal itu terbongkok-bongkok membersih kawasan reban ayamnya yang bersebelahan dengan dusun kecil Tok Akob.

Bila penat mengendap, Zani duduk di atas dahan dengan kedua-dua kakinya berjuntai. Kadang-kadang sempat juga dia membaca komik di atas pokok itu. Pernah juga dia hampir-hampir terlena tetapi sedar semula bila Tok Akob menjerit-jerit menghamunnya di bawah pokok. Bukannya nak takut, sebaliknya dibaling-balingnya Tok Akob dengan putik-putik rambutan. Bertubi-tubi mengenai kepala orang tua yang berusia tujuh puluh tiga tahun itu. Dan Zani terhibur di atas pokok dengan perlakuan nakalnya sendiri. Dia sudah masak sangat dengan perangai Tok Akob. Bila dah penat marah-marah nanti, orang tua itu akan beredar pergi sambil mengomel. “Pencuri rambutan! Nanti kau... nanti kau!” Dalam terkengkang-kengkang bertongkat, mulut Tok Akob tak henti-henti memarahi Zaini. Bila Tok Akob sudah jauh meninggalkan kawasan dusun, barulah Zani turun dari pokok dan pulang ke rumah dengan berbekalkan lima-enam biji rambutan untuk dimakan dalam perjalanan.

Tok Akob terkenal dengan sikap perengus dan kedekutnya dikalangan penduduk Kampung Pahat. Dia tinggal seorang diri setelah kematian isterinya lima tahun lalu akibat sakit tua. Keadaan Tok Akob pun tidak berapa sihat. Jalannya bertongkat dan badannya selalu sakit-sakit. Banglo kayu yang dihuni sejak dulu dah tak terlarat lagi hendak dijejak Tok Akob keseluruhannya. Dia hanya menghabiskan masa di ruang tamu hadapan yang dekat dengan bilik tidur dan dapurnya sahaja. Ruang-ruang lain di rumahnya itu sudah lama terbiar tidak berkemas. Punca belanja hariannya pula dari duit pencen, hasil jualan buah-buahan kepada pemborong dan duit tabungannya semasa sihat. Pendek kata Tok Akob bukan orang susah tetapi kehidupannya sunyi. Sunyi akibat dari perbuatannya sendiri yang gemar memarahi orang-orang kampung yang mendekati dusun kecilnya tanpa kebenaran. “Tau mintak je. Tanam sendiri malas!” Itulah ayat yang dirungutkan Tok Akob tiap kali ada orang kampung datang meminta sedikit hasil dusun kecilnya itu. Bukannya dapat sebaliknya dimarahi Tok Akob. Dan sekarang hidup Tok Akob tak senang sejak dusun kecilnya itu didatangi penceroboh licik bernama Zani.

Hari berganti hari. Zani tetap bertengek di atas pokok rambutan. Tidak pernah jemu. Kawan-kawan sekepalanya sudah seminggu tidak ikut sama kerana telah dimarahi orang tua masing-masing. Cuma Zani sahaja yang liat. “Oii, budak! Turun kau... turun! Tak kembung-kembung ya perut kau curi buah aku hari-hari. Kau turun cepat... kau turun cepat... cepat!” Tok Akob berteriak di bawah pokok. Mengengkang kedua belah kaki Tok Akob menyeimbangkan badan sambil tongkat di tangan di angkat dan di acah-acahnya. Teriakan Tok Akob di balas Zani dengan ejekan. “Alah, Tok... wakaf jelah pokok ni kat Zani. Tok kan banyak pokok lain.” Zani menyakat. Ranting-ranting pokok digegar-gegar Zani menyebabkan beberapa biji rambutan jatuh berguguran menimpa kepala Tok Akob. Terketar-ketar orang tua itu mengelak. “Kau tak tau ke mencuri ni berdosa?!” Jerkah Tok Akob bila kepalanya tak dihujani putik dan buah rambutan lagi. “Tau... kedekut pun berdosa jugak Tok!” Zani petah menjawab. “Bertuah punya budak! Kalau nak, kau mintaklah. Buat apa curi?” Tok Akob mengetap-ngetap gigi menahan geram. “Mintak? Ek’elleh... macam dapat...,” sindir Zani.

Kali ini Tok Akob bertekad. Tidak mahu mengalah. Kepalanya menoleh kiri dan kanan mencari sesuatu. “Baik kau turun cepat! Kalau tak, aku baling dengan bruti ni.” Ugut Tok Akob sebaik dia memungut seketul kayu reput. Zani bertindak memanjat ke dahan yang lebih tinggi. Bersedia kalau-kalau kayu reput itu dibaling ke arahnya. Melihatkan tindakan Zani yang tidak mahu mengalah, Tok Akob tidak teragak-agak lagi dengan keputusannya. Ugutan tadi akan dilaksanakannya. “Allah!” Belum sempat dilontar kayu reput itu, Tok Akob tiba-tiba jatuh melutut sambil memegang dada sebelah kiri. Kayu reput serta-merta terlepas jatuh ke rumput. Zani yang memandang dari atas pokok tertanya-tanya bila melihat Tok Akob dalam keadaan melutut sambil kepala tertunduk. Aik... takkan sembahyang lak orang tua ni. Zani kehairanan. “Tok... ooo Tok!” Zani cuba memanggil. Tok Akob masih tunduk tanpa jawapan. Ish... ni mesti taktik nak suruh aku turun ni. Hati Zani mengagak. Dari satu dahan ke satu dahan dia memijak turun dengan hati yang was-was sambil tangannya sempat memetik dua-tiga biji rambutan. Buat senjata kalau-kalau dia diserang mengejut oleh Tok Akob bila turun nanti.

“T... t... tolong. Ubat... a... atas TV... ru... ru... ruang tamu.” Pinta Tok Akob sejurus Zani melompat turun dari pokok. Tanpa banyak soal Zani terus berlari menuju ke rumah Tok Akob. Arahan orang tua itu diturutinya. Dia terus menuju ke peti televisyen sebaik masuk ke ruang tamu Tok Akob. Ada sebungkus plastik mengandungi beberapa botol ubat di atas peti televisyen itu. Tak tahu Zani botol yang mana satu. Lantas diangkut kesemuanya. Dibawa berlari mendapatkan Tok Akob yang sedang berpeluh-peluh menahan sakit di dada. Tok Akob duduk bersandar pada batang pokok rambutan setelah menelan beberapa biji pil. Botol-botol ubat yang bertaburan atas rumput dikutip Zani satu persatu. Bertaburan kerana digeledah Tok Akob yang panik mencari ubat lemah jantungnya. Sesekali Zani menoleh ke arah Tok Akob yang sedang mengatur nafas di bawah pokok.

“Tok tak apa-apa?” Tegur Zani. Tangkai plastik mengandungi botol-botol ubat disimpulnya sebelum diserahkan kepada Tok Akob. Zani duduk mengadap Tok Akob. Tuala putih yang tersangkut di bahu Tok Akob di tarik Zani perlahan-lahan. “Tok tak apa-apa ke? Nak Zani panggilkan Pak Salam?” Tanya Zani. Dahi dan pipi Tok Akob dilap-lapnya dengan tuala putih tadi. “Zani panggil Pak Salam tolong Tok ya?” Zani bingkas bangun tetapi ditahan Tok Akob. “Tak payah... tak payah... tolong pimpin aku je. Aku nak masuk rumah.” Tok Akob cuba bangun sambil berpaut pada tangan kiri Zani. Cepat Zani memeluk dan memapah orang tua itu. Tongkat Tok Akob dipungut Zani sekali sebelum dia dan Tok Akob melangkah perlahan-lahan menuju ke rumah.

“Dah, kau pergi balik. Jangan datang dan curi buah kat dusun aku lagi.” Rupanya marah Tok Akob belum hilang. Dalam keadaan lemah, Tok Akob memberi amaran sejurus dia berbaring di atas katil dalam bilik tidurnya. Terkebil-kebil mata Zani mendengar amaran itu. Dah macam ni pun nak kedekut lagi. Kang aku tebang pokok rambutan tu baru tau. Zani melawan dalam hati. “Dah, pergi. Aku nak rehat. Sebab kau aku jadi macam ni.” Tok Akob menghalau Zani yang masih tercegat berdiri di sebelah katilnya. “Tutup pintu depan tu bila keluar nanti.” Suruh Tok Akob bila Zani melangkah keluar dari bilik tidur. Zani mencebikkan bibir. Meluat dengan sikap Tok Akob yang tidak tahu berterima kasih. Zani sempat mencuri pandang keadaan ruang tamu sebelum keluar dari rumah Tok Akob. Hatinya tersentuh tatkala melihat sisa makanan di atas meja makan Tok Akob. Ikan kering dan nasi tinggal separuh di dalam pinggan. Dalam mangkuk pula, ada lauk asam rebus peria. Juga tinggal separuh kuahnya. Biar betul. Takkan ni je lauk orang kaya kedekut tu? Bisik hati Zani.

Keesokan harinya Zani ke dusun kecil Tok Akob lagi. Tapi kali ini dia tidak terus memanjat pokok rambutan. Sebaliknya dia menuju ke rumah Tok Akob. “Assalammualaikum! Tok ooo Tok!” Zani berteriak memberi salam. Hari ini keadaannya lain sedikit. Dia tidak berpakaian sekolah seperti selalu kerana dia telah pulang ke rumahnya terlebih dahulu sebelum datang ke rumah Tok Akob. “Apa kau nak hah? Kan aku da bilang jangan datang lagi? Kau nak kena betul-betul dengan aku ya?” Salam Zani dijawab dengan gertakan. “Relaks arr Tok... Zani datang nak melawat je. Ni, Zani bawak makanan skali untuk Tok.” Zani tersenyum sambil menunjuk mangkuk tingkat keluli di tangan kanannya. Belum dipelawa, Zani terus naik ke beranda rumah Tok Akob. Berkerut dahi orang tua itu. “Mana pulak kau curi makanan-makanan ni?” Tok Akob bersangka buruk. “Ish... Tok ni. Zani pencuri rambutan je. Makanan ni Zani tak curi. Ibu Zani yang masak. Selalu Zani makan sensorang je kat rumah. Hari ni Zani bawak sini. Kita makan sama-sama ya.” Jelas Zani. Tanpa segan-silu, dia menarik tangan Tok Akob masuk ke dalam rumah. Terpinga-pinga Tok Akob diperlakukan Zani sedemikian rupa. Biasanya orang yang datang ke rumahnya atas alasan hendak meminta itu dan ini. Tetapi berbeza pula dengan hari ini. Dia didatangi seorang budak yang membawa makanan.

“Erkkk!” Zani sendawa sambil bersandar dan menggosok-gosok perut. Tok Akob yang masih melayan selera hanya menggeleng kepala. “Besar rumah Tok ni. Tak takut ke duduk sensorang? Rumah besar macam ni selalunya ada han...,” belum lagi habis ayat Zani, pipi kirinya pantas ditunjal telunjuk Tok Akob. “Mulut tu jaga sikit. Kang aku jolok dengan tongkat ni.” Tok Akob bersuara setelah nasi di dalam mulutnya melepasi kerongkong. Zani memegang pipinya yang ditunjal sambil menjeling. Tok Akob menyambung makannya semula. Biarpun tidak selesa dengan kehadiran Zani diterataknya itu namun makanan yang dibawa Zani menggoda nafsunya.

Zani bangun. Berjalan mengelilingi ruang tamu Tok Akob. Dia leka mengamati setiap gambar lama yang tergantung di dinding. Satu-persatu diamatinya. Kebanyakannya gambar kenangan Tok Akob semasa bekerja sebagai Kapten kapal. Juga dua-tiga bingkai gambar arwah isteri Tok Akob. Kemudian pandangannya beralih pula pada gambar-gambar di atas almari hias Tok Akob. Zani mengangkat salah-satu daripadanya. Perlakuan Zani dapat dilihat Tok Akob dari meja makan. “Letak balik! Jangan usik barang-barang aku!” Jerkah Tok Akob. Tangan kanannya dicelup ke dalam sebuah mangkuk berisi air sebelum mencapai tongkat dan bangun. “Dah... dah... pergi balik! Bawak bekas kosong tu sekali. Lepas ni jangan datang lagi!” Bingkai gambar ditangan Zani dirampasnya sebaik mendekati budak nakal itu. Bingkai gambar tadi tegak kembali di atas almari hias setelah diletak oleh Tok Akob. Zani meluat melihat perlakuan Tok Akob. Bukannya dia hendak memecahkan bingkai gambar itu. Dia cuma hendak tengok dengan dekat gambar disebalik kaca bingkai tersebut. Tidak pernah dilihatnya lelaki di dalam gambar itu. “Ini gambar anak Tok Akob ya?” Tanya Zani.

“Aku kata pergi balik! Aku nak tidur!” Tok Akob berdalih. Bahu Zani ditolak-tolak. Memaksa budak itu keluar dari rumahnya. “Ish, Tok ni. Baru makan dah nak tidur. Tak elok untuk kesihatan tau.” Tegur Zani. Bahunya yang ditolak-tolak Tok Akob dikeraskannya. Berdegil tidak mahu pergi. “Aku dah tua. Memang dah sakit pun. Bila-bila boleh mati!” Tok Akob terus menolak. “Tak baik cakap macam tu Tok. Tuhan marah...,” Zani menjawab. Membuatkan marah Tok Akob membuak-buak. “Aku pukul kau dengan tongkat ni kalau kau tak pergi. Bawak balik bekas-bekas kosong tu sekali!” Kali ini kepala Zani ditunjalnya. “Pergi! Pergi! Jangan datang lagi!” Tok Akob mula mengamuk menjerit-jerit. Zani yang tidak mahu keadaan menjadi semakin buruk pantas menuju ke meja makan. Menyusun semula mangkuk-mangkuk tingkatnya sebelum keluar dari rumah. Dia bengang dilayan sebegitu rupa tetapi enggan melawan kerana tidak mahu Tok Akob diserang sakit jantung seperti semalam.

“Assalammualaikum!” Esoknya Zani datang lagi. Dengan mangkuk tingkat yang sama. “Assalammualaikum!” Zani memberi salam lagi bila salamnya yang pertama tidak berjawab. “Assa...,” Zani menghentikan salamnya. Dia tidak mahu memberi salam yang ketiga kerana dia kena beredar dari situ kalau tidak dijawab Tok Akob. Itu yang di ajar ibunya. Kalau tiga kali beri salam orang tak jawab, jangan tunggu lagi. Balik saja. Zani tidak mahu balik jadi Zani bertindak masuk ke dalam rumah terus. Kebetulan pintu tidak berkunci. “Tok... ooo Tok.” Zani menjengahkan kepalanya dibalik daun pintu. “Tok... ooo... Tok.” Langkahnya dipanjangkan hingga ke muka pintu bilik Tok Akob bila Zani terdengar batuk kecil orang tua itu. “Eh, Tok sakit ke?” Tanya Zani yang berdiri di ambang pintu bilik tidur. Tok Akob yang baring mengiring di atas katil tidak menjawab. Batuk kecilnya semakin menjadi-jadi. Tanpa disuruh Zani masuk dan duduk atas katil. Di sisi Tok Akob. Mangkuk tingkat ditangan diletaknya di atas meja sebelah katil. “Tok dah makan ubat?” Tanya Zani sambil mengurut-ngurut dada Tok Akob. Cuba untuk menghilangkan batuk orang tua itu.

“Kenapa kau datang lagi? Kan aku dah bilang jangan datang.” Lemah sahaja suara Tok Akob. “Zani bosanlah makan kat rumah sensorang.” Zani memberi alasan. “Zani hidangkan makanan untuk Tok ya.” Belum sempat Tok Akob menolak, Zani pantas keluar dari bilik sambil membawa mangkuk tingkatnya menuju ke dapur. Sepuluh minit kemudian dia kembali dengan sepinggan makanan dan segelas air kosong. “Tok makan ya.” Pinggan dan gelas diletak Zani di atas meja. Dia cepat membantu Tok Akob bangun dan duduk di atas katil. Sebiji bantal ditegakkan Zani pada kepala katil. Buat alas belakang Tok Akob supaya tidak sakit bila bersandar. “Tok makan dulu ya. Zani pergi ambik nasik Zani dulu.” Sekali lagi Zani keluar dari bilik sebelum sempat dibalas Tok Akob. Dan dia kembali lagi dengan pinggan dan gelas yang berisi. Sebuah bangku kecil di tepi dinding bilik ditarik Zani dengan kakinya. Diseret ke tepi katil lalu dia duduk. “Naper tak makan lagi Tok?” Tanya Zani sambil menyuap nasi ke dalam mulutnya sendiri. “Mak kau masak tak sedap!” Tok Akob mengutuk masakan ibu Zani. “Memang tak sedap pun... ehehe,” akui Zani. Terangkat-angkat bahunya gelak seorang diri. Tok Akob pelik memandang budak yang seorang ini. Sudah dikutuk pun boleh gelak lagi. “Tapi... kalau makan sama-sama... jadi sedap. Masuk mulut... kunyah... telan. Masuk mulut... kunyah... telan.” Zani membuat demontrasi sambil bercakap. Serentak itu tawa Tok Akob terhambur keluar. Tercuit dengan kata-kata dan muka selamba Zani. Makan Zani terhenti. Aik... gelak pulak orang tua ni. Zani kehairanan. “Kau ni tak tau ke orang tengah marah kau?” Tanya Tok Akob setelah baki tawanya habis. “Laa... Tok tengah marah Zani ke tadi?” Tanya Zani kekaburan. Tok Akob tergelak kecil. Perlahan tangannya mencapai pinggan berisi makanan yang diletak Zani di atas meja sebelah katil tadi.

“Zani balik dulu ya Tok.” Pinta Zani setelah selesai mencuci pinggan-pinggan dan gelas-gelas kotor di dapur. Bekas-bekas mangkuk tingkat turut dicucinya sekali. “Botol-botol ubat ngan air minum Zani dah letak atas meja tu. Tok jangan gerak-gerak sangat kalau rasa pening. Nanti jatuh.” Nasihat Zani. Macam dia pula yang lebih tua dari Tok Akob. Memandangkan tiada riak balas dari Tok Akob, Zani tidak menunggu lama lagi. Dia pergi meninggalkan Tok Akob seorang diri di dalam bilik. “Nanti.” Tok Akob tiba-tiba menahan. Pantas Zani berundur ke belakang. Berdiri di ambang pintu bilik semula. Tok Akob melambai. Memberi isyarat supaya Zani duduk di bangku kecil sebelah katilnya itu. “Kau selalu sangat datang sini. Curi buah kat dusun aku tu. Kat rumah kau takde orang ke?” Tok Akob mula berkata-kata setelah lama berdiam. “Ibu ngan ayah kerja. Kakak-kakak Zani sekolah petang. Malam baru semua ada kat rumah.” Jawab Zani. “Dulu kau bawak kawan-kawan kau. Kenapa sekarang kau curik sorang-sorang?” Tok Akob mula rancak bertanya. “Diaorang takut kena marah ngan mak bapak.” Terang Zani. “Mak bapak kau tak marah ke?” Tanya Tok Akob. Kening sebelah kanannya terangkat. Zani memandang wajah orang tua yang sedang memandang sinis ke arahnya. “Marah gak...,” perlahan sahaja nada suara Zani. “Habis tu, kenapa kau curik jugak?” Tok Akob terus menekan Zani dengan soalan sinis. “Alah... bukannya curik. Zani ambik je. Bukan habis satu pokok pun.” Zani mempertahankan perbuatannya yang terang-terang memang salah.

Tok Akob berhenti menyoal. Dia termenung seketika. Seperti mengenangkan sesuatu. “Buah-buah kat dusun tu untuk anak aku. Kalau kau tak habis-habis mencuri, dah takde apa yang tinggal bila anak aku balik nanti.” Tok Akob menuturkan kata-katanya tanpa memandang Zani. “Laa... kan dalam dusun Tok tu ada banyak pokok lain. Manalah habis Zani makan semua Tok oii...,” Zani menepuk dahi. Tok Akob diam tunduk. Tidak dapat menafikan kebenaran yang terkandung di dalam kata-kata Zani tadi. “Tapi... anak Tok tu pergi mana? Zani tak pernah nampak pun.” Zani memberanikan diri bertanya. Mengengsot sedikit punggungnya dari bangku supaya lebih dekat dengan Tok Akob. “Penyibuk!” Rengus Tok Akob. Zani mencebik muka. “Kalau macam tu Zani balik dulu jelah.” Zani bingkas bangun. “Ada ke aku suruh kau balik?” Tok Akob menyoal. Mukanya masih dalam riak sinis. Mata Zani terkebil-kebil. “Duduk.” Arah Tok Akob. Seperti budak mamai Zani menurut. “Kau tanya macam-macam kat aku ni sebab nak cerita kat mak bapak kau kan? Nak cerita kat kawan-kawan kau kan? Biar satu kampung ni tau pasal aku kan?” Lagak Tok Akob tak ubah seperti seorang peguam menyoal si tertuduh di kandang salah. Badan Zani terundur-undur ke belakang mengikut urutan soalan. Namun duduknya masih kemas di bangku.

“Sama je macam yang lain-lain. Bukan aku tak tau. Semua orang kampung cakap macam-macam pasal aku. Macamlah diaorang tau semua benda!” Tok Akob terus membebel. Bertemu kedua-dua pangkal kening Zani ditengah-tengah bila dahinya berkerut ketat. Tak tahu biji butir yang dibebelkan Tok Akob. Apsal Tok ni? Aku tanya salah. Aku nak balik tak kasi. Menurun ke orang tua ni? Hati Zani berdegup laju. Tiba-tiba Tok Akob berhenti membebel. Matanya tajam merenung mata Zani. Menambahkan lagi kelajuan degupan jantung Zani. Alah Tok, janganlah buat Zani takut camni. Kang tak pasal-pasal Zani lak kena serangan jantung. Zani merayu dalam hati. Lidahnya kelu untuk menutur sebarang kata. Tok Akob mematahkan renungan matanya pada Zani bila tangan kanannya menyapu muka. Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya dengan satu bunyi keluhan. “Tok tak apa-apa ke?” Zani memberanikan diri bertanya lagi. “Anak aku pun benci kat aku.” Lain disoal lain yang dijawab. Cepat Zani memasang telinga. “Kalau aku tak marah dia dulu, mesti dia tak pergi.” Suara Tok Akob tenggelam timbul menahan sebak. Kena marah pun nak lari ke? Aku ni hari-hari kena marah. Tak lari pun. Sempat hati Zani berkata-kata dalam dia memasang telinga.

Tok Akob sebenarnya ada seorang anak lelaki bernama Yusran. Sudah tiga puluh lima tahun anak Tok Akob pergi meninggalkannya. Waktu itu umur anaknya baru lapan belas tahun. Merajuk membawa diri entah ke mana. Tak tahan dipaksa dan dimarahi Tok Akob. Gara-gara kedegilan Tok Akob yang mahu satu-satu anak lelakinya itu mengikut jejaknya sebagai Kapten kapal. Sedangkan anaknya lebih suka berniaga. Langkah pertama Yusran berjinak-jinak dalam bidang perniagaan waktu itu ialah dengan menjual sendiri hasil-hasil dusun Tok Akob. Tetapi Tok Akob kerap mempersendakan usaha anaknya itu. Dia lebih senang menjual sahaja hasil-hasil dusun kecilnya itu kepada pemborong yang datang dari pekan tiap kali musim buah tiba. Baginya hasil yang diperolehi dari dusun kecil itu tidak seberapa. Tidak layak untuk dijadikan punca utama pendapatan. Bagi Tok Akob, kerja makan gaji sepertinya lebih mewah. Tidak perlu bersusah-payah dengan usaha yang belum tentu membuahkan rezeki. Tok Akob tidak pernah memberi peluang pada anak lelakinya itu untuk membuktikan kebolehan. Sebaliknya perancangan anaknya untuk menambah keluasan dusun dan membuat itu dan ini ditolak Tok Akob bulat-bulat. Sehingga sampai satu tahap anak lelakinya itu hilang sabar bila disabotaj ayah sendiri yang tidak mahu mengalah.

“Kalau aku tak sogok pemandu-pemandu lori tu semua supaya jangan angkut buah-buahan dari anak aku, mesti dia ada di sini dan jaga aku sekarang ni.” Sebak Tok Akob bertukar tangisan sesal. Terlopong mulut Zani dengan rentetan cerita dari mulut Tok Akob. Kejam orang tua ni. Mintak-minta ayah aku tak macam ni. Hati Zani tidak dapat mengelak daripada membuat andaian sebegitu rupa. Geram ada kasihan pun ada. “Dah... dah... pergi! Tak guna kau ada kat sini. Buat aku sedih je!” Fikiran Tok Akob mula bercelaru. Dia bertempik menghalau Zani yang masih duduk melopong. E’eh... suka-suka dia je nak halau. Tadi aku nak balik tak kasi. Apa bendalah. Zani bengang. Dia bangun dari bangku dengan muka yang masam. Keluar dari bilik meninggalkan Tok Akob menangis seorang diri. Kali ini pergi Zani tidak dihalang orang tua itu.

Sudah tiga minggu Zani tidak ke rumah Tok Akob. Ke dusun kecil orang tua itu pun tidak. Tok Akob tidak kisah walaupun kadang-kadang dia terkenangkan Zani. Selama tiga minggu itu jugalah Tok Akob tidak dapat marah-marah. Amalannya untuk menghilang rasa sunyi. Mungkin dia sudah terbiasa begitu. Sifat marah-marah itu seperti sudah sebati dalam dirinya. Tak mungkin dapat dikikisnya sifat buruk itu dalam usia senja begini. Sejak Zani tidak datang mencuri lagi, Tok Akob menghabiskan masanya dengan merenung pokok rambutan sarang Zani bertenggek. Di atas pokok itu jugalah anaknya Yusran pernah bertenggek masa kecil-kecil dulu. Tak turun-turun selagi tak dicari arwah isterinya. Gurau-senda dan gelak-tawa arwah isteri dan anaknya terngiang-ngiang di telinga. Gambaran dua-beranak itu bermain-main semula dalam renungan khayal Tok Akob. Membuat orang tua itu tergelak tanpa sedar. Rasa bersalah pada arwah isteri dan anaknya silih berganti menghentak hati Tok Akob. Terfikir juga dibenaknya agar dihentikan sahaja detak jantungnya yang lemah itu. Tidak mahu hidup dalam keadaan di benci semua orang lagi. Mungkin kerana ego Tok Akob sudah semakin pudar mengikut bilangan usia tuanya.

“Assalammualaikum!” Tersentak Tok Akob. Salam seseorang mengejutkan Tok Akob dari lamunannya. Perlahan Tok Akob menoleh ke belakang. Seorang lelaki berpakaian kemas tegak berdiri di hadapan. Tok Akob menggosok-gosok kedua-dua matanya. Berkerut-kerut dahinya cuba mengecam wajah lelaki itu. “Tok...,” lelaki tadi melutut bersalam dan mencium tangan Tok Akob yang sedang duduk di atas sebuah pangkin usang. Serentak itu, jelas dipandangan Tok Akob beberapa orang lagi sedang menyusun langkah menghampirinya. Mereka semua datang dari arah hadapan terataknya. Ada tiga orang perempuan bertudung, dua orang lelaki dan beberapa orang kanak-kanak yang tak dapat dikira Tok Akob dengan tepat. “Kau ni siapa? Apa kau orang semua nak datang ramai-ramai ni.” Tanya Tok Akob bila pandangannya kembali pada lelaki yang masih berlutut itu. “Tok... saya Yusdan,” lelaki itu mengenalkan diri. Belum sempat Tok Akob berkata apa-apa, dia diterjah pelawat-pelawat yang asing bagi dirinya itu. Seorang demi seorang melutut menghulur salam termasuk anak-anak kecil yang mengikut. Baru Tok Akob dapat mengira bilangan tepat kanak-kanak itu semua. Lima orang kesemuanya. Terdongak-dongak Tok Akob bila tetamu-tetamu asingnya berdiri kembali. Dia masih kabur.

“Ini Yuslah... ini Yusman. Kami bertiga anak Yusran... cucu Tok.” Yusdan mengenalkan adik-adiknya. “Ini isteri saya dan yang itu isteri Yuslah. Yang kecil-kecil ni anak-anak saya dan Yuslah. Cicit-cicit Tok.” Yusdan terus memperkenalkan setiap orang yang datang bersama-samanya. Membuatkan Tok Akob tergamam. “Y... y... yang itu...,” suara Tok Akob tenggelam timbul. “Ini mak saya... isteri Yusran... menantu Tok.” Yusdan memperkenalkan wanita yang berusia lima puluh dua tahun itu kepada Tok Akob. Suasana sepi seketika. “Y... Y... Yus... Yusran mana?” Suara Tok Akob bergetar. Air mula bergenang di kedua-dua birai mata. Cepat Tok Akob kesat. “Ayah dah takde Tok. Dah meninggal dua tahun lepas. Sakit jantung.” Jelas Yusdan. Terus pecah tangisan Tok Akob. Air mata yang ditahan-tahannya dari tadi mencurah membasahi pipi. Yusdan menggosok-gosok belakang Tok Akob. Cuba menenangkan kesedihan datuknya. “Macam mana kamu semua dapat cari aku?” Tanya Tok Akob setelah tangisannya reda sedikit. “Saya terbaca dalam suratkhabar ni. Tok cari ayah. Baru kami semua tahu yang arwah ayah masih ada keluarga. Selama ni arwah ayah tak pernah cerita pada kami pasal Tok.” Yusdan menunjukkan keratan akhbar yang dihulur isterinya kepada Tok Akob. Tertera pada keratan akhbar itu tentang seorang bapa yang sedang sakit merayu supaya anaknya pulang. Jelas nama Tok Akob dan Yusran dicetak dengan huruf tebal.

“Saya telefon nombor yang disertakan tu. Encik Adnan yang jawab. Dia yang tunjukkan kami semua jalan ke mari.” Terang Yusdan bila dilihat datuknya merenung keratan akhbar itu dalam keadaan bingung. “Tu dia Encik Adnan. Tengah tunggu dengan isteri dan anaknya kat depan tu.” Perlahan Tok Akob mengangkat kepala. Memandang ke arah yang ditunjukkan Yusdan. Baru Tok Akob perasan ada tiga susuk tubuh sedang berdiri tidak jauh dari tempat dia dikerumuni keluarga anak lelakinya yang telah lama menghilangkan diri. Terketar-ketar Tok Akob bangun dari pangkin. Bertongkat mengatur langkah. Menghampiri tiga susuk tubuh yang sedang menanti. “Macam mana gambar Yusran boleh ada dalam ni?” Tanya Tok Akob bila dia berdiri betul-betul di hadapan tiga susuk tubuh yang tidak asing lagi bagi dirinya. Keratan akhbar ditangan ditunjukkannya pada Encik Adnan. “Err... err... Zani amik senyap-senyap gambar yang kat almari Tok tu.” Zani yang berdiri di antara ayah dan ibunya mencelah. Tolong jawab bila ayahnya teragak-agak. Mata Tok Akob beralih arah. Memandang tepat ke arah Zani. Habislah. Mesti orang tua ni nak hamun aku lagi. Ya Allah, selamatkanlah hambamu yang hina-dina ini. Zani berdoa dalam hati. Dia tak senang bila Tok Akob merenungnya tajam. Biarpun dia sudah biasa direnung begitu. “Kamu curi?” Pantas bahu kanan Zani di tepuk ayahnya. “Kamu bagi tau ayah, Tok Akob yang bagi gambar tu. Mintak tolong kita iklankan dalam suratkhabar!” Marah ayah Zani. “Kenapa dengan kamu ni Zani? Nak ibu ngan ayah pukul kamu teruk-teruk ke baru kamu faham? Dahlah mencuri... menipu pulak lagi!” Ibu Zani mencelah sambil menepuk-nepuk bahu Zani. Kali ini bahu sebelah kiri. Zani terperangkap. Tidak berani hendak menjawab. “Siap kamu balik nanti.” Bahu Zani dicubit-cubit ibunya. Mengeliat Zani menahan bisa.

“Maafkan kami Tok Akob. Kalau saya tahu si Zani ni tipu saya, taklah saya pandai-pandai iklankan semua ni di akhbar.”Ayah Zani merendah diri meminta maaf. Rasa bersalah menyelubungi dirinya kerana masuk campur dalam hal orang tua itu tanpa kebenaran. “Mintak maaf cepat!” Bahu Zani ditolak ibunya. Mendorong Zani ke depan. “Tok... Zani mintak maaf. Nanti Zani pulangkan balik gam...,” ayat Zani terhenti bila dia dipeluk Tok Akob. “Maafkan Tok...,” Tok Akob diam sekejap. Cuba menyusutkan rasa hiba di hatinya. “Maafkan Tok ya Zani.” Dakapan Tok Akob semakin erat. Zani kaku. “Kamu memang budak baik. Tok yang jahat. Selalu marah-marah kamu. Maafkan Tok.” Tangisan Tok Akob semakin jelas ditelinga Zani. Budak baik? Ehehe... tau takpe. Gembira hati Zani. Tambah pula, Tok Akob tidak lagi beraku engkau dengannya. Ayah dan ibu Zani bertukar pandangan. Hairan. “Dahlah Tok. Jangan nangis-nangis. Tak hensem cicit-cicit Tok tengok nanti.” Zani berseloroh. Sebenarnya dia mahu dilepaskan kerana sudah mula lemas dalam dakapan orang tua itu. Seloroh Zani menyebabkan Tok Akob, ayah dan ibunya tergelak kecil. “Bertuah kamu ada anak macam Zani ni.” Tok Akob memuji sambil memandang Encik Adnan. Ayah Zani yang sebak dengan pujian itu hanya mengangguk sambil tersenyum. Tok Akob menggosok-gosok rambut Zani sebelum berpatah-balik menuju ke arah keluarga yang sedang menunggunya.

“Tok!” Teriakan Zani menghentikan langkah Tok Akob. “Pesan cucu-cucu ngan cicit-cicit Tok, jangan habiskan rambutan-rambutan tu. Tinggalkan Zani sikit.” Zani tidak bergurau. Dia serius dengan kata-katanya itu. Tok Akob tersenyum. “Pokok rambutan yang satu tu dah jadi milik kamu. Tok hadiahkan.” Beritahu Tok Akob. Terbeliak mata Zani. “Eh, betul ke Tok?” Zani inginkan kepastian. Kedua-dua bahu Zani ditunjal ayah dan ibunya serentak. Tok Akob mengangguk. “Kalau Zani bawak kenkawan skali Tok tak marahkan?” Zani bertindak berani. “Suka hati kamulah.” Balas Tok Akob sebelum menyambung langkah. Tiada apa yang hendak dirugikan bila Tok Akob menghadiahi Zani pokok rambutan yang satu itu. Budi Zani padanya tidak mampu dibayar kalau dihadiahkan dengan sedusun buah-buahan sekalipun. Itu Tok Akob pasti dan tidak akan lupa. Sepanjang hari senyuman tidak pernah lekang dari bibir Tok Akob. Wajahnya mencerminkan kesyukuran. Tidak disangka cucunya yang bongsu bernama Yusman adalah seorang Leftenan Muda dalam Tentera Laut Diraja Malaysia. Sementara Yusdan dan Yuslah pula menyambung usaha arwah Yusran dalam bidang perladangan. Dalam kegembiraan Tok Akob melayani keletah cicit-cicitnya, wajah Zani tidak putus-putus bermain dibenak fikiran. Hatinya juga tidak henti-henti berterima kasih pada si pencuri rambutan yang licik itu. Senyap-senyap Tok Akob memanjatkan doa buat Zani. Memohon kepada Tuhan agar dipelihara hati murni anak itu dari dinodai orang-orang yang keras hati sepertinya.

Isnin, 24 Ogos 2009

KISAH MEREKA 4

KISAH 4 - MEREKA MULA BERTEGUR - SAPA

Selesai mengunci pintu restoran, Oly berlari anak menghampiri Fizi, Yan dan Azam yang sedikit jauh ke depan. Langkahnya dipercepatkan agar dapat berjalan seiringan. Mereka akan pulang dengan berjalan kaki kerana restoran tersebut berada di dalam kawasan kejiranan mereka dan jarak antara restoran dan rumah tidak jauh. Setiap hari mereka akan pulang untuk berehat selama empat jam sebelum memulakan operasi di sebelah malam. Pak Harun pula pada waktu rehat begini akan keluar untuk menyelesaikan urusan-urusan yang lain.

“Malas betul nak sambung kerja malam ni,” Fizi mengeliat sambil menanggalkan bajunya sebaik tiba di rumah. Dia menuju ke dapur. Mencari air untuk diminum bagi menghilangkan dahaga. Azam pula terus naik ke tingkat atas. Setibanya di bilik tidur, Azam tidak membuang masa lantas mencapai tuala dan terus ke bilik air. Yan seperti biasa berkurung di bilik sementara menunggu gilirannya untuk mandi. Dia, Fizi dan Azam berkongsi sebuah bilik air. Bilik air tersebut mempunyai dua pintu di antara biliknya dan Azam. Terdapat tiga buah bilik tidur semuanya di tingkat atas. Di mana yang satu lagi adalah bilik Adib. Dia tidak perlu berkongsi kerana ada bilik mandi di bilik tidurnya itu.

Di tingkat atas itu juga terdapat sebuah ruang tamu tempat bersantai. Namun ruangnya tidaklah seluas ruang tamu utama di tingkat bawah. Ruang santai tersebut di hias ringkas dengan sofa panjang berwarna hijau muda dan dua buah kerusi rotan serta hamparan yang diperbuat daripada buluh. Terdapat beberapa bantal kecil berwarna-warni di atas hamparan buluh itu. Televisyen pula di sudut kiri ruang tamu, terletak di atas sebuah almari berpintukan kaca. Bersebelahannya ada sebuah rak kecil yang diperbuat daripada rotan yang penuh dengan buku dan majalah yang tersusun rapi. Terdapat sebuah replika kereta lumba di atas rak buku tersebut. Dinding yang bercat kuning air pula digantung dengan beberapa keping gambar yang berbingkai. Gaya susunannya di dinding seakan sedang bercerita tentang rentetan kenangan keluarga yang menghuni rumah tersebut. Oly jarang ke tingkat atas kerana biliknya dan Pak Harun terletak di tingkat bawah. Kalau di tingkat atas kebanyakan perabotnya berasaskan rotan, berlainan pula di tingkat bawah. Kebanyakan perabot-perabot di situ diperbuat daripada kayu jati. Mengikut citarasa tuan empunya rumah iaitu Pak Harun.

Sementara yang lain-lain masih di tingkat atas, Oly yang berada di tingkat bawah baru sahaja selesai membancuh air kopi untuk minum petang. Pisang goreng yang dibelinya semasa dalam perjalanan pulang tadi dihidangkan di meja makan bersama seteko air kopi panas. “Mana yang lain kak?” Tegur Adib. Potongan pisang abu goreng dicapai, digigit dan dikunyahnya. Beg sekolah yang digalas diletakkan di atas kerusi sebelum duduk. “Ada kat atas tu. Lambat kau balik hari ni.” Oly mencapai sebiji cawan dan menuang air kopi untuk adiknya. “Gi MPH cari buku.” Adib mengambil satu lagi pisang goreng di piring. “Sorang?” Tanya Oly pendek. Adib hanya mengangguk. Sibuk menghembus kopi panasnya. “Naper tak ajak kawan-kawan temankan? Kan ayah dah pesan banyak kali. Nak pergi mana-mana bagitau dulu. Jangan pergi sorang-sorang.” Oly mula membebel. Adib mengalihkan perhatiannya dari Oly dengan menghirup kopi panasnya sikit-sikit. Oly yang kebengangan beredar membiarkan Adib menikmati minum petang seorang diri bila bebelannya tidak mendapat tindak-balas dari si adik.

“Minum sorang nampak.” Azam yang muncul dari belakang menarik kerusi dan duduk di hadapan Adib. Teguran Azam hanya dibalas dengan senyuman kerana mulut Adib sibuk mengunyah. “Bang, hari Ahad nanti kita gi KLCC nak?” Bicara Adib sebaik mulutnya lega untuk berkata-kata. “Hmm boleh gak... abang pun tak gi mana-mana,” Azam menghirup air kopi yang baru dituangnya. “Hah, Yan... meh minum skali,” ajak Azam sambil menuang kopi. Yan yang baru turun terus menuju ke ruang makan lalu duduk di sebelah Adib. Azam menghulurkan kopi yang dituangnya itu kepada Yan. Kopi tersebut disambut dengan kemas. “Bang, Ahad ni kita orang nak gi KLCC. Abang nak ikut?” Pelawa Adib. Yan tidak segera menjawab sebaliknya menikmati dahulu air kopi panasnya. “Boleh gak. Abang pun teringin nak ke sana. Selama ni asyik tengok dalam TV je,” Yan mencapai teko dan menambah lagi air kopinya ke dalam cawan. Mereka bertiga terus rancak berbual kosong di meja makan sementara menunggu Fizi yang belum turun-turun lagi.

Seperti dirancang, pagi-pagi lagi mereka sudah bersiap. Azam, Adib, Yan, Fizi dan Oly mengambil keputusan untuk ke KLCC dengan menggunakan perkhidmatan LRT. Beriya-iya Fizi meminta mereka menunaikan hasratnya untuk menaiki LRT. “Hah, inilah KLCC yang selalu kita tengok dalam TV tu Yan.” Kata Fizi sebaik melangkah keluar dari LRT yang berhenti di tingkat bawah KLCC. Yan hanya diam. Malas hendak dilayan perangai abangnya yang kadang-kadang terlebih mengada-ngada dan macam budak-budak.

“Hah, dah tahu ni, lain kali boleh pergi sendiri,” Oly memandang Fizi. “Pergi sendiri? Tak de masalah tapi lagi best kalau Oly temankan,” Fizi terus mengada-ngada. Oly hanya tersenyum. Kadang-kadang perangai Fizi yang selamba dan tak tahu malu itu menghiburkannya. “Kita pergi tengok pakaian dulu,” ajak Azam. Langkahnya mendahului yang lain. Yan dan Adib mengikut dari belakang sementara di belakang mereka pula Oly leka mendengar Fizi yang tidak habis-habis bercakap.

Fizi tanpa di ajak terus mengikut Oly ke bahagian menjual pakaian wanita. Meninggalkan Yan bersama Azam dan Adib. Terpaksalah Yan dengan sabar menunggu Azam dan Adib memilih pakaian. Sekali-sekala Yan menyelak-nyelak beberapa pakaian yang tergantung berdekatan dengannya walaupun tidak menarik perhatian langsung. Dalam dia leka membelek, seorang gadis melintas di hadapannya. Sekilas pandang susuk tubuh yang membelok dan membelakanginya itu mengingatkan kembali Yan pada kejadian yang berlaku sebulan yang lalu. Sewaktu dia dan Fizi mengikut Pak Harun membeli-belah di Sogo. Susuk tubuh yang semakin jauh dari pandangan mata diekori Yan. Semakin dekat dia mengekori, semakin jauh dia meninggalkan abang dan sepupu-sepupunya yang lain.

“Hei, apa ni?” Jerit Aki apabila seseorang memegang tangannya sewaktu tiba di tingkat tiga KLCC. Disebabkan terkejut kakinya tersandung anak tangga escalator. Mujur tangan yang memegang menyelamatkan dirinya dari terjatuh. “Apa ni? Awak siapa? Lepaskan saya!” Aki cuba melepaskan tangannya dari gengaman tersebut tetapi dia terus ditarik ke tepi. “Lepaskan saya!” Aki menarik kuat tangannya. Gengaman tersebut terlepas. “Gila ke?” Marah Aki sambil mengurut-ngurut pergelangan tangannya. Orang ramai yang berlegar-legar di sekeliling tidak mengendahkan mereka.

“Awak siapa? Apa awak nak?” Aki terus menyoal. “Aku nak duit,” Yan mula bersuara setelah disoal bertubi-tubi. “Duit? Ooo... nak mencuri ya. Kalau berani ambillah, saya jerit nanti,” cabar Aki. “Aku bukan pencuri. Aku nak duit aku balik,” Yan menerangkan tujuannya. “Duit awak? Hei, duit apa pulak ni? Saya tak pernah berhutang ngan awak. Saya tak kenal awak pun,” Aki kehairanan. Adakah lelaki dihadapannya ini gila atau ini salah satu taktik baru untuk mencuri?

“Kau memang tak kenal aku pun, tapi aku ingat lagi muka kau. Kau yang langgar aku ari tu. Pastu tinggalkan beg kau sampai aku tertangkap. Aku pulak kena bayar barang yang kau curi!” Terang Yan panjang lebar dengan suaranya sengaja di keraskan bila menyebut perkataan curi. Kening Aki berkerut mengingatkan semula kejadian yang dimaksudkan. Jadi inilah orang yang menghalang laluannya sewaktu dia cuba melarikan diri di Sogo tempoh hari.

“Hmm... itu bukan salah saya. Nasib awaklah. Siapa suruh awak halang laluan saya?” Aki membela diri. Tanpa membuang masa Aki bergerak meninggalkan Yan tetapi terus dihalang. Yan menarik semula Aki ke tepi dinding. “Jangan main-main ngan aku,” Yan mengertak. Aki terkedu seketika. Adakah lelaki di hadapannya itu akan mencederakannya. Setelah agak lama merenung tajam, Yan mengangkat tangan kirinya dan memegang bahu Aki. “Saya cuma nak duit saya balik. Itu saja...,” Yan merendahkan suara sambil menarik nafas panjang. Kata ganti diri ‘aku’ digantikannya dengan ‘saya’. Aki sedikit tenteram bila Yan menukar nada percakapan. Dia pasti lelaki di hadapannya itu tidak berniat untuk mencederakannya. Yan pula mula merasakan yang dia punya peluang untuk mendapatkan duitnya kembali bila riak wajah Aki mula menunjukkan keselesaan. Namun sikap degil Aki betul-betul mencabar kesabaran Yan. “Saya takkan bayar. Kalau saya nak bayar, tak payah saya susah-susah mencuri. Tepi!” Aki menepis tangan yang masih memegang bahunya itu.

Geram di hati Yan tidak dapat ditahan lagi. Kini dia memegang pula kedua-dua bahu Aki. Kali ini agak kuat cengkamannya. Mengeliat Aki disebabkan cengkaman keras Yan. “Kenapa ni?” Serta-merta Yan melepaskan kedua-dua bahu Aki bila dia ditegur seseorang dari belakang. “Abang!” Aki terus meluru mendapatkan Joe yang berdiri di belakang Yan. Dengan perlahan Yan berpusing. Bertentang pandang dengan seorang lelaki yang memerhatikannya dengan penuh kehairanan. Gadis tadi dilihatnya memeluk erat lengan kiri lelaki itu. Geram hatinya tatkala melihatkan senyuman sinis gadis yang seakan menyindir dan mencabar keberaniannya.

“Encik ada masalah?” Sekali lagi Joe menyoal apabila soalan pertamanya tidak dijawab. “Aku nak...,” belum sempat Yan menghabiskan ayatnya tiba-tiba kedengaran satu pengumuman bergema diseluruh ruang legar KLCC. “PERHATIAN! ENCIK SUFIYAN ADIK KEPADA HASFIZI. BERSELUAR JEANS BIRU DAN BERKEMEJA PUTIH BERLENGAN PENDEK. SILA KE KAUNTER PERTANYAAN SEKARANG. ABANG ANDA SEDANG MENUNGGU!” Yan pasti pengumuman tersebut ditujukan kepadanya. Tanpa menghabiskan ayat, Yan terus berlari meninggalkan Joe dan Aki.

“Siapa budak tu dik? Apa yang dia nak?” Tanya Joe sejurus Yan hilang dari pandangan matanya. “Hmm... err... tak ada apa-apa. Cuma nak tanya tandas kat mana,” Aki cuba berselindung. Dia tidak mahu Joe tahu perkara sebenar. “Mari...,” Aki memimpin Joe beredar dari situ. Joe masih ragu-ragu. Dia tidak puas hati dengan jawapan Aki. Mustahil disebabkan tandas, budak lelaki tadi boleh berani memegang bahu adiknya. Lagipun bukankah mereka tadi berada di tepi pintu masuk ke tandas. Tambah meragukan lagi, kenapa pula Aki tergagap-gagap bila menjawab pertanyaannya?

Hmm... Sufiyan. Bisik Aki di dalam hati. Rasa bersalah mula menyelubungi dirinya walaupun dia lega bila rahsianya yang hampir terdedah masih elok tersimpan.

“Mana kau pergi?” Tanya Fizi sebaik Yan muncul di kaunter pertanyaan. Azam, Oly dan Adib turut berada di situ. “Tempat ni besar. Bukan macam kedai runcit. Kau jangan memandai-mandai. Apa abang nak bagitau kat mak ngan kakak kat kampung tu kalau kau hilang nanti.” Bebel Fizi bagaikan adiknya seorang kanak-kanak berusia enam tahun.

Gelak tawa memenuhi ruang tamu rumah Pak Harun. Terbatuk-batuk Pak Harun menahan gelaknya mendengarkan peristiwa yang berlaku siang tadi. “Abang ni... panik sangat. Saya bukannya budak-budak lagi. Buat malu je. Satu KLCC tahu nama saya,” jelas Yan. Pak Harun bingkas bangun dari sofa sebaik ketawanya habis. “Sudahlah, mari bersiap. Kita sembahyang Isyak di masjid malam ni,” ajak Pak Harun. Tanpa berlengah mereka semua beredar ke bilik masing-masing untuk bersiap.

“Assalammualaikum!” Sapa Encik Dali. “Waalaikumussalam,” Pak Harun menjawab. Mereka bersalaman di hadapan pintu pagar masjid. “Apa khabar kau sekarang Dali? Yalah, sejak berkahwin ni?” Tanya Pak Harun sambil menepuk bahu Encik Dali. “Alah, biasa-biasa saja. Mari saya kenalkan. Ini Syed Johan, anak tiri saya.” Encik Dali menunding ibu jari ke arah anak tirinya lantas Joe menghulurkan salam pada Pak Harun sebaik dikenalkan Encik Dali. Salamnya turut disambut Azam, Fizi dan Adib. Joe terpaku tatkala memandang wajah Yan. Inilah budak yang dia jumpa bersama adiknya siang tadi. Lama juga Joe dan Yan berpandangan antara satu-sama lain. Salam yang bertaut masih belum terlepas.

“Joe.” Tersentak Joe dipanggil Encik Dali. Serta-merta salamnya dengan Yan putus. “Ini Oly, yang itu Adib dan di sebelahnya tu Azam. Mereka ni semua anak Pak Harun. Hmm... yang berdua ni...,” Encik Dali memandang Pak Harun. Setahunya Pak Harun cuma ada tiga orang anak.

“Mereka berdua ni anak saudara saya. Ini Hasfizi dan yang itu...,” belum sempat Pak Harun menghabiskan ayat, Joe mencelah, “Sufiyan kan?” Pak Harun, Encik Dali, Fizi, Azam, Oly dan Adib berpandangan antara satu sama lain. Yan hanya membisu. “Bukankah kamu yang hilang di KLCC siang tadi?” Mendengarkan kata-kata Joe, tanda tanya dibenak kepala mereka terjawab kecuali Encik Dali yang tidak tahu hujung pangkal. Joe masih memandang tepat ke muka Yan.

“Tengok Fizi. Betul kata Yan. Sebab kamu, semua orang yang datang KLCC siang tadi dah tahu nama dia.” Derai tawa terhambur keluar sebaik Pak Harun menghabiskan ayatnya. Encik Dali yang masih kabur dengan maksud Pak Harun hanya tersenyum kosong. Joe dan Yan tidak mengendahkan keadaan sekeliling. Mereka saling bertukar pandangan antara satu sama-lain. Pandangan Joe berselirat dengan seribu pertanyaan sementara pandangan Yan terikat dengan satu rahsia. Joe rasa tidak senang selagi tidak tahu apa sebenarnya yang diinginkan oleh Yan dari adiknya. Yan pula khuatir kalau-kalau Joe membuka mulut mengenai sebab kehilangannya di KLCC siang tadi.

“Selamat sejahtera Puan Latifah!” Ruang kelas tingkatan 4 Jiwa bergema dengan ucap selamat sebaik guru kelas melangkah masuk. Setiap pelajar saling berpandangan antara satu-sama lain. Siapakah gadis yang sedang berdiri di sisi kiri guru mereka? “Baiklah, hari ini kelas kita menerima kedatangan seorang pelajar baru. Sila perkenalkan diri,” Puan Latifah mempersilakan pelajar yang sedang berdiri di sebelahnya itu. “Assalammualaikum dan selamat sejahtera. Nama saya Syarifah Sakinah Binti Syed Dhani,” Aki memperkenalkan dirinya. “Saya harap anda semua dapat menerima kehadiran saya di sini,” sambung Aki.

“Panjang nama kamu. Saya panggil Sakinah saja ya,” Aki mengangguk. “Tempat kamu di sebelah Suhaidib ya.” Puan Latifah menunjuk ke arah yang dimaksudkan. Secara kebetulan hanya meja di sebelah Adib sahaja yang kosong. Adib berdiri sebaik namanya disebut Puan Latifah. Aki menuju ke meja barunya. Beberapa pelajar memandang Adib sambil tersenyum-senyum. Ada yang mengenyit mata ke arah Adib. Biarpun Adib nampak tersipu-sipu bila diusik rakan-rakan kelas namun Aki sedikit pun tidak menunjukkan sebarang riak. Dia terus duduk memandang ke arah papan hitam sebaik menyandarkan begnya di kerusi. Riak mukanya kosong. Manis tidak masam pun tidak.

Separuh jadual pembelajaran pada hari itu sudah pun selesai sejurus loceng rehat berbunyi. Tidak kira pelajar itu lama atau baru pasti akan mengorak langkah ke kantin bila loceng rehat kedengaran. Seperti yang lain-lain Aki juga turut beratur sementara menunggu gilirannya membeli makanan tiba. Dia terus mendapatkan tempat duduk di tengah-tengah ruang kantin sebaik selesai membeli semangkuk mi udang dan segelas sirap. Sedang Aki menikmati mi udang, telinganya menangkap satu suara yang memanggil-manggil namanya. Semakin lama suara tersebut semakin jelas. Dia menoleh ke belakang. Air mukanya berubah. Meluat melihatkan susuk tubuh yang sedang berdiri di belakangnya itu. “Dah dapat kawan baru?” Tanpa dipelawa Jasmin melabuhkan punggungnya di sebelah Aki. Soalannya tidak berjawab. Aki terus menikmati mi udangnya. “Kalau belum, Min boleh kenalkan Aki pada kawan-kawan Min. Kami makan di meja belakang tu,” pelawa Jasmin sambil mengunyah roti sardin.

Aki terus menghirup mi udang. “Hmm... Min jumpa kawan-kawan dulu ya. Nanti bila dah habis makan, joinlah kami,” Jasmin bangun. Melangkah perlahan meninggalkan Aki yang tidak mengendahkannya. Usia Jasmin lebih setahun dari Aki. Pelajar tingkatan lima dan mengikuti kelas aliran Sains. Sejak dari sekolah rendah hinggalah ke menengah pelajarannya sentiasa cemerlang. Dengan keputusan membanggakan setiap kali peperiksaan namanya sentiasa tersenarai antara pelajar terbaik sekolah.

Hari pertama di kelas, Aki lebih banyak mengelamun. Ada ketika kedengaran dia mengeluh kecil. Adib yang duduk di sebelah sesekali mencuri pandang ke arahnya dengan ekor mata. Loceng berbunyi menandakan berakhirnya sessi pagi. Aki menggalas beg sekolahnya lalu melangkah keluar dari kelas.

“Sakinah!” Jerit Adib. Langkah Aki terhenti. Adib merapati Aki. “Err... sebenarnya saya nak tanya, Sakinah dah sertai mana-mana kelab di sini?” Tanya Adib. “Belum. Kenapa?” Jawab Aki pendek. “Saya Bendahari Kelab Sejarah di sekolah ni.” Adib memperkenalkan dirinya. “Jadi?” Aki tidak menunjukkan kemesraan. “Kalau Sakinah berminat, ikutlah saya pergi daftar nama. Petang ni kelab kami adakan mesyuarat,” Adib mempelawa.

“Hmm... tak minat sejarahlah,” Aki menolak. “Oh, takpe... saya tak paksa. Mungkin Sakinah boleh fikirkan dulu,” Adib memberi cadangan. “Hmm... tengoklah,” Aki berlalu meninggalkan Adib. Belum jauh jarak Aki dari Adib, Jasmin pula muncul di hadapannya. “Aki, meh balik sama-sama,” ajak Jasmin. “Aku belum nak balik lagi. Err... Suhaidib tunggu!” Langkah Adib terhenti. Dia menoleh dan kelihatan Aki berpatah balik mengejarnya. “Jom, saya nak daftar jadi ahli,” Aki menarik tangan Adib. Keliru Adib dibuatnya. Cepat betul dia ni ubah fikiran. Fikir Adib dalam hati.

Hampir dua jam Aki terseksa barulah mesyuarat ahli Kelab Sejarah selesai. Dia terpaksa mendaftar semata-mata untuk mengelak dari Jasmin. Akibatnya dia terperangkap dalam kelab yang tidak diminatinya langsung. “Macam mana? Seronok?” Tanya Adib. “Hmm... boleh tahan,” Aki melemparkan senyuman hambar. “Baru hari pertama. Nanti bila kamu dah betul-betul terlibat dengan aktiviti kami, pasti seronok. Percayalah...,” Adib cuba menyuntik semangat.

Adib dan Aki jalan beriringan. Setiba di depan pintu pagar sekolah, langkah mereka terhenti. “Macam mana awak balik?” Tanya Adib. “Jalan kaki,” Aki menjawab pendek. “Tinggal di mana?” Tanya Adib lagi. “Taman Sangkar,” jawab Aki tanpa memandang muka Adib. “Eh, saya pun tinggal kat situ. Rumah saya kat Jalan Pipit. Awak?” Adib tidak menyangka yang mereka tinggal di kawasan perumahan yang sama. Muka Aki berubah. Fikirnya setelah selesai mesyuarat yang membosankan itu dia boleh membebaskan dirinya daripada Adib. “Jalan Merbok,” Aki cuba menyembunyikan kebengangannya.

“Dah terlanjur rumah kita berdekatan, apa kata kalau kita balik sama-sama?” Cadang Adib. Argh!!! Aki menjerit dalam hati. Mereka berjalan tanpa sebarang bicara. Sesekali kedengaran Adib bercerita tetapi disebabkan tiada tindak balas, Adib memendekkan ceritanya.

Setiba di simpang Jalan Merbok, Aki menghentikan langkah. “Okay, sampai sini je.” Beritahu Aki. Belum sempat Adib membalas, Aki membelok ke simpang menuju ke rumahnya. “Awak tak suka saya ya?” Soalan Adib menghentikan langkah Aki. Dia sedar, sikap dinginnya itu mungkin membuatkan satu-satu kawan yang baru dikenalinya kecil hati. Dengan perlahan Aki memusingkan badan. Langkahnya lemah menghampiri Adib.

“Maaflah, kalau saya menyusahkan awak,” kata Adib sebaik mata Aki bertentang dengan matanya. Sensitif jugak si lembut depan aku ni. Aki berkata dalam hati. Tiba-tiba terukir senyuman di wajah Aki. Senyuman yang benar-benar ikhlas.

“Siapa kata saya tak suka awak? Esok pukul tujuh pagi kita jumpa kat sini. Kita gi sekolah sama-sama. Macam mana?” Terkejut Adib dengan pelawaan Aki. “Err... betul ke atau Sakinah cuma...,” belum habis bercakap ayat Adib dipotong, “Mulai esok panggil saya Aki je. Lagi satu, bahasa tu jangan formal sangat. Macam baca buku teks je. Ingat, kalau lambat saya tinggal. Saya balik dulu. Jumpa lagi esok!” Aki melambai sebelum meninggalkan Adib.

“Err... Adib!” Jerit Adib. “Apa?!” Disebabkan jarak mereka agak jauh, Aki tidak dengar apa yang cuba dikatakan kawan barunya itu. “Adib... panggil saya Adib!” Jerit Adib. “Okay!” Balas Aki sambil menunjuk ibu jarinya.

Pada hari yang sama juga Joe meneruskan pembelajarannya di kolej swasta Cosmopoint cawangan Kuala Lumpur. Dia adalah pelajar sepenuh masa Diploma Jualan Dan Pemasaran. Hari itu dia agak lewat tiba di kelas. Kurang arif dengan masa dan jarak dijadikan alasan kelewatannya. Kalau dia tahu bas dari rumah barunya ke kolej akan tiba setengah jam sekali, tentu dia keluar awal. Berbeza dengan adiknya yang terpaksa menyesuaikan diri di sekolah baru, Joe menjalani harinya seperti biasa kerana dia bukannya pelajar baru di situ. Dia kini berada di semester akhir.

Malam itu mereka sekeluarga makan bersama. Encik Dali dan Puan Sabiah cuba melengangkan kerja di pejabat pada hari itu agar mereka dapat pulang sebelum jam tujuh dan menikmati makan malam bersama anak-anak. Dalam keadaan terpaksa Aki juga turut serta setelah tiga malam dia makan di biliknya seorang diri. “Hmm, macam mana anak-anak mama hari ini?” Tanya Puan Salbiah sambil menceduk lauk ke pinggan. Sunyi, tiada jawapan yang diterima. Biarpun teruja hendak menceritakan segala aktivitinya pada hari itu, Jasmin terpaksa kunci mulutnya kerana dia pasti soalan Puan Salbiah tidak ditujukan kepadanya.

“Joe,” tegur Puan Salbiah apabila pertanyaannya tidak dijawab. “Biasa-biasa je mama,” jawab Joe. “Kamu pulak macam mana?” Puan Salbiah memandang Aki. Tanpa mengendahkan pertanyaan mamanya Aki terus mengunyah. Puan Salbiah merenung Aki. Sakit dadanya menahan marah melihatkan sikap Aki. Keadaan di ruang makan menjadi sunyi kembali. Sesekali Puan Salbiah memandang Encik Dali suaminya dan Jasmin anak tirinya.

“Sedap betul lauk malam ni,” pujian Encik Dali memecahkan kesunyian di ruang makan. Bekas air basuh tangan dicapainya. “Kalau sedap, kenapa tak tambah lagi?” Soal Puan Salbiah manja. “Saya dah tambah dua kali. Awak tu yang tak perasan.” Encik Dali menjirus air ke tangan kanannya. “Yalah mama. Biasanya papa tak makan banyak. Mama memang pandai masak,” Jasmin mencuri peluang bercakap. “Kalau macam tu kamu kenalah makan banyak sikit.” Sambil tersenyum Puan Salbiah menambah lauk ke pinggan anak tirinya walaupun tidak diminta.

Aki meluat melihat mamanya yang tidak henti-henti mengambil hati Encik Dali dan Jasmin. Bekas air basuh tangan yang di letak kembali Encik Dali di sauk Aki. Dia bingkas bangun sebaik selesai membasuh tangan. “Aki! Angkat pinggan kamu tu ke sinki. Malam ni kamu mesti tolong mama basuh pinggan. Asyik Jasmin saja yang tolong,” tegur Puan Salbiah. Kali ini dia bertekad untuk menegur Aki yang tidak sudah-sudah bersikap dingin. Joe memandang mamanya. Di hati dia berdoa agar tidak berlaku apa-apa yang tidak diingini. Seperti biasa dia pasti tersepit di antara mama dan adik kesayangannya itu. “Aki! Kamu dengar tak apa yang mama suruh?” Puan Salbiah meninggikan suaranya apabila Aki cuba beredar dari situ tanpa mengendahkan arahannya.

“Kenapa mama ni?” Akhirnya Aki bersuara. “Dulu Aki tak perlu buat semua ni. Kita ada orang gaji.” Menggigil Puan Salbiah melihatkan sikap Aki yang semakin biadab terhadapnya.

“Itu dulu. Sekarang ni kamu menumpang. Cuba kamu sedar diri tu sikit. Papa dah buang kamu! Kamu bukan macam dulu lagi. Kamu dah tak ada apa-apa. Jadi jangan nak mengada-ngada. Mama dah lama sabar dengan sikap kamu. Mama masih boleh sabar kalau kamu biadab dengan mama tapi tidak dengan papa Dali dan Jasmin. Ini rumah mereka. Kamu kena hormat mereka! Kamu tak malu ke tunjuk perangai macam ni depan mereka?”

Menyirap darah Aki mendengarkan kata-kata Puan Salbiah. “Bukan Aki yang nak tinggal kat sini. Mama yang paksa,” Aki terus berdegil. “Kalau tak di sini, kamu nak tinggal di mana? Tepi jalan? Dalam longkang? Syarifah Sakinah! Sedarlah diri tu sikit. Kamu cuma tinggal nama saja, selain tu kamu dah tak ada apa-apa! Kamu anak terbuang! Papa kamu dah buang kamu!” Perasaan marah Puan Salbiah tidak terbendung lagi. Joe terkedu mendengarkan kata-kata mamanya.

“Mama yang salah. Mama curang pada papa. Semuanya sebab mama. Aki malu ada ibu macam mama!” Tamparan Puan Salbiah terus hinggap ke pipi Aki. “Sal!” Jeritan Encik Dali menyedarkan Puan Salbiah. Keadaan kembali sunyi. Puan Salbiah terduduk. “Joe, bawa adik kamu ke atas. Min, kamu kemaskan semua ni,” arah Encik Dali. Joe menarik tangan adiknya.

“Apa yang saya dah buat?,” Puan Salbiah menangis di bahu suaminya. En. Dali memeluk isterinya. Sementara Jasmin mengemas meja makan, Encik Dali membawa isterinya ke ruang tamu. “Sudahlah, sayang. Jangan ikutkan rasa marah. Dia masih mentah lagi. Kita tak boleh paksa dia. Berikan dia masa untuk terima saya dan Jasmin. Yang penting kita dapat hidup dalam satu keluarga. Saya dan Jasmin tak kisah kalau dia perlu ambil masa satu atau sepuluh tahun sekalipun untuk terima kami.” Encik Dali memujuk Puan Salbiah.

“Dia makin biadab. Dulu dia tak macam ni,” Puan Salbiah terus menangis. “Biarkan. Jangan berkasar dengannya,” Encik Dali mengesat air mata isterinya. “Janji dengan saya. Jangan paksa dia lagi. Jangan marah-marah dia. Saya dan Jasmin akan cuba ambil hati dia. Saya percaya, dia bukan sengaja hendak bersikap biadab,” Encik Dali mengingatkan Puan Salbiah.

“Saya dah penat dengan karenah dia bang. Tengoklah, saya cuma minta dia angkat pinggan dan tolong saya di dapur saja tapi dia cakap macam-macam pulak.” Puan Salbiah cuba memancing simpati suaminya. “Macam ni lah. Biar abang upah pembantu rumah untuk tolong kamu ya.” Encik Dali bertindak mencari jalan penyelesaian. Dia tidak lagi menggaji pembantu rumah sejak Jasmin pandai berdikari dan tahu memasak sendiri. Hal-hal mengemas rumah, Encik Dali serahkan pada pekerja syarikat pembersihan yang diupahnya untuk datang mengemas setiap dua minggu sekali. Kesedihan Puan Salbiah reda sejurus Encik Dali bercadang untuk mengambil pembantu rumah. Tidak perlulah lagi dia bertungkus-lumus membuat kerja-kerja rumah yang jarang dilakukannya sejak dulu.

Rasa kasihan menyelubungi hati Joe. Dia buntu. Bagaimana caranya untuk dia mendapatkan semula adiknya yang dulu seorang yang penyayang, periang, dan manja. Kini menjadi pemarah, biadab dan sensitif. Namun kasihnya terhadap Aki masih belum pudar. “Dik,” Joe memanggil perlahan adiknya yang sedang menangis. Aki yang sedang meniarap sambil menekup mukanya dengan bantal perlahan-lahan memusingkan badan. Joe terus memeluk apabila adiknya bangun dan bersila di atas katil. “Sudah dik, mama tak sengaja. Jangan nangis lagi. Abang tak boleh tengok adik nangis. Maafkan abang dik. Abang tak dapat tolong adik tadi.” Dalam tidak sedar air mata Joe mengalir. Dengan perlahan Aki meleraikan pelukan Joe. Air mata Joe dikesatnya. Pipi Joe diciumnya. “Maafkan adik. Adik janji, takkan buat abang nangis. Adik sayang abang. Cuma abang je yang adik ada sekarang ni. Abang pun janji jangan tinggalkan adik ya. Mesti slalu sokong adik tau.” Aki mengingatkan Joe. “Ya, abang janji.” Sekali lagi mereka berpelukan.


nantikan sambungannya minggu hadapan...

Jumaat, 21 Ogos 2009

SEDIH?

Sedih,
Kau sedih bila tak punya ramai teman?
Syukurlah,
Kerana kau belum punya ramai musuh.

Sedih,
Kau sedih bila hidupmu sunyi?
Syukurlah,
Kerana kau dapat berdendang dengan detak jantungmu sendiri.

Sedih,
Kau sedih bila kata-katamu disekat?
Syukurlah,
Kerana kau bukannya tak punya peluang untuk bersuara lagi.

Sedih,
Kau sedih bila usahamu asyik bersua kegagalan?
Syukurlah,
Kerana kau masih belum gagal untuk mencuba.

Sedih,
Kau sedih bila hartamu tak mewah?
Syukurlah,
Kerana kau belum dipaksa untuk mengemis.

Sedih,
Kau sedih bila sihatmu dilanda sakit?
Syukurlah,
Kerana kau punya masa lagi untuk bertaubat.

SELAMAT BERPUASA!

Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak dan Selamat Berpuasa buat kawan-kawan semua! Sahur apa nanti? ahaks...

Khamis, 20 Ogos 2009

DAH TERSIAR


"Eisu nak lari jugak. Eisu malu dengan kawan-kawan."



Kali ini cerpen Lada Hijau bertajuk Nak Lari pula dah tersiar di Penulisan2u pada 19/8/2009. Macam biasa, mestilah suka sangat ahaha...





yeyeh... yeyeh...


(cam biasa gak Lada Hijau dok hepi sensorang hehehe...)

Oh, ya! Novel Kisah Mereka tulisan Lada Hijau pun dah mula tersiar di Penulisan2u secara bersiri. Lada Hijau tak perasan. Rupanya dah seminggu tersiar pada 12/8/2009.

Isnin, 17 Ogos 2009

KISAH MEREKA 3

KISAH 3 – MEREKA KERAS HATI

“Terima kasih. Sila datang lagi.” Ucap Oly kepada seorang pelanggan sebaik memulangkan duit baki. Macam biasa, restoran Pak Harun pasti dipenuhi pelanggan di antara jam dua belas setengah hingga tiga setengah. Waktu inilah ramai yang datang untuk makan tengah hari. Hidangan pula disediakan dalam bentuk bufet. Pelanggan-pelanggan datang dan melayan diri sendiri. Sambil menjamu selera mereka berbual-bual dengan rakan-rakan lain yang makan semeja. Selesai makan masing-masing akan membawa sekeping kertas kecil bertulis harga ke kaunter. Mereka akan membayar mengikut jumlah yang telah ditulis.

Sebelum ini tugas menulis harga dilakukan oleh Azam tetapi kini diambil - alih oleh Fizi sementara Yan ditugaskan untuk mengangkat dan mengutip pinggan-pinggan dan cawan-cawan kotor. Pak Harun pula yang dulu seorang diri menguruskan dapur kini dibantu oleh Azam. Dengan kehadiran Fizi dan Yan operasi di restoran Pak Harun sedikit lancar.

Sudah sebulan Fizi dan Yan bekerja. Waktu kerja mereka bermula dari awal pagi lagi. Jam lima mereka berempat sudah pun berada di pasar borong. Pak Harun biasa melanggan bahan-bahan mentah di situ. Fizi, Yan dan Azam yang mengikut sama membantu mengangkat dan memasukkan barang-barang tersebut ke dalam van. Menurut Pak Harun, kalau datang awal pagi dapatlah dia membeli bahan-bahan mentah dengan harga yang murah. Setelah selesai memborong, mereka terus menuju ke restoran dan memunggah barang-barang melalui pintu belakang. Masing-masing sudah arif dengan tugas sendiri. Mereka bekerja tanpa berkata apa-apa. Cuma sesekali terdengar gelak tawa mengisi ruang dapur restoran tiap kali mereka terhibur dengan lawak spontan Fizi.

Jam tujuh setengah pagi, mereka sudah mula menyiang dan membasuh bahan-bahan mentah berpandukan arahan daripada Pak Harun. Jam sembilan pagi, barulah Oly tiba sambil membawa sarapan yang disediakannya dari rumah. Sudah menjadi tugasnya memastikan rumah dalam keadaan bersih dan kemas sebelum datang membantu yang lain di restoran. Mereka berhenti menyiang dan membasuh sebaik Oly menghidangkan sarapan. Sementara menunggu yang lain mengalas perut, Oly yang sudah bersarapan di rumah terus mencapai penyapu dan mop berserta baldi berisi air untuk membersihkan lantai di bahagian hadapan restoran yang dipenuhi dengan susunan meja dan kerusi.

Jam sepuluh pagi, Pak Harun sudah mula memasak mengikut menu yang telah disusunnya. Azam dan Oly membantu sementara Fizi dan Yan mengelap dan menyusun bekas-bekas untuk mengisi lauk-pauk. Jam sebelas setengah pagi, satu-persatu hidangan diangkat dari bahagian dapur dan disusun di atas meja hidangan. Setiap bekas mempunyai lilin yang dinyalakan api di bawahnya bagi memastikan lauk-pauk sentiasa panas.

Tepat jam dua belas tengah hari restoran dibuka untuk pelanggan. Oly sudahpun bersedia duduk di kaunter menunggu kehadiran pelanggan sehinggalah restoran mereka ditutup pukul empat petang.

Berbeza pula pada sebelah malam. Setelah empat jam berehat, restoran mereka beroperasi semula hingga jam dua belas tengah malam. Kali ini lain pula caranya. Pak Harun hanya akan memasak makanan yang dipesan oleh pelanggan-pelangannya saja. Tiada lagi hidangan dalam bentuk bufet. Bagi mempercepatkan kerja, Oly dan Azam turut menjadi tukang masak di dapur sementara Adib menjaga kaunter menggantikan tempat kakaknya. Tugas Fizi dan Yan tetap sama. Begitulah rutin hidup mereka setiap hari.

“Ayah nak ke bank kejap. Jaga kedai.” Pesan Pak Harun kepada anak perempuannya. Oly hanya mengangguk. Jam menunjukkan pukul tiga petang. Keadaan restoran agak lengang. “Pak Long nak ke mana tu?” Tanya Fizi sambil memegang sebatang mop. “Bank,” balas Oly pendek. Fizi menyambung semula kerjanya mengemop lantai. “Fizi, mana Yan?” Soal Oly sebaik menyedari hanya Fizi seorang diri mengemop lantai. “Buang sampah. Kenapa? Rindu ke?” Tanya Fizi mengusik.

Oly hanya membalas dengan jelingan. “Tanya sikit boleh?” Oly meminta kebenaran. Fizi menoleh ke arah Oly. Badannya sedikit membongkok dengan kedua-dua gengaman kedap memegang tangkai mop. “Kenapa Yan lain? Tak macam Fizi?” Tanya Oly sambil berjalan ke arah Fizi. Dia menarik dan duduk di kerusi. Berdekatan dengan tempat Fizi mengemop. “Yan tu peliklah. Tak banyak cakap. Habis kerja terus masuk bilik. Tak bercampur orang.” Komen Oly panjang lebar. “Ooo... suka orang yang banyak cakap ya. Macam abang?” Jawab Fizi berseloroh. “Ish, Fizi ni. Jawablah betul-betul.” Oly mencubit lengan Fizi.

Fizi menoleh kiri dan kanan sebelum menarik kerusi dan duduk di sebelah Oly. Mukanya didekatkan sedikit ke telinga Oly. Gaya orang hendak berbisik. Oly bersedia untuk mendengar jawapan walaupun sedikit menyampah dengan gaya Fizi melengah-lengahkan jawapan. Sekejap membetulkan rambut. Sekejap membetulkan baju. Sekejap berdehem membetulkan suara. Tapi masih belum ada jawapan yang dibisikkan. “Lepas tutup kedai nanti kita kuar jalan-jalan nak? Gi dating...,” bisik Fizi bersahaja. “Hei, orang tanya lain dia jawab lain!” Pantas Oly menepuk bahu Fizi lalu bangun menuju ke kaunter semula. Meninggalkan Fizi ketawa terhenjut-henjut seorang diri.

Jam sudah pun menunjukkan pukul satu setengah pagi. Fizi yang baru selesai berbual-bual kosong dengan Azam di ruang tamu tingkat atas berjalan menuju ke biliknya untuk tidur. “Apa yang kau tenung tu Yan?” Tegur Fizi setelah masuk ke dalam bilik tidur. Yan terkejut. Dengan pantas dia memasukkan kedua-dua jam tangan ke dalam beg berwarna merah jambu yang dimilikinya secara tidak sengaja.

“Apa je la kau ni Yan. Abang tengok kau ni lain macam je sejak datang sini.” Fizi menarik bantal di sisinya. “Lain apa pulak bang?” Balas Yan sambil mendekati Fizi. “Yalah, kau menyendiri je. Bercampur la ngan dia orang. Kita ni menumpang. Tak elok la kalau asyik berkurung je.” Fizi merebahkan badannya di atas katil sementara Yan duduk di sebelah. “Mana ada bang. Saya okay je ngan mereka. Ngan Pak Long, ngan Azam, ngan Adib...,” jelas Yan. “Hmm ... dengan Oly?” Pintas Fizi. Kening sebelah kirinya ternaik mengiring soalan.

Yan terdiam. Memang benar, dia kurang selesa dengan Oly. Lebih tepat lagi dengan perempuan. Dia tidak sedar sejak bila perasaan kurang selesa itu muncul. Yang dia tahu nasibnya kebelakangan ini selalu malang bila bersama perempuan. Dengan kejadian di kampung yang masih menjadi igauan ngeri, ditambah pula kejadian dirinya hampir ditangkap polis, membuatkan Yan menjadi serik dengan perempuan. Mata Fizi terkelip-kelip memandang adiknya yang khayal mengelamun. Dia masih menunggu jawapan. Kerap sangat dia ditanya tentang sikap adiknya itu. Siang tadi Oly dan baru sebentar tadi, sebelum dia masuk ke bilik tidur, Azam sempat mengajukan soalan yang serupa. Mungkin Oly yang suruh tanya agaknya. Sedangkan dia sendiri tidak pasti apa yang membelengu diri Yan.

Walaupun sikap dia dan Yan amat ketara tetapi adiknya itu tidaklah sependiam sekarang masa di kampung dulu. Dengan semua orang dia ramah bertegur-sapa biarpun tak banyak cakap. Rindu kampung kot budak ni. Entah-entah kejutan budaya. Hati Fizi mengagak bila adiknya masih mengelamun tanpa jawapan. Yan tiba-tiba bingkas bangun sebaik fikirannya keluar dari lingkaran lamunan. Dia mematikan suis lampu dan merebahkan badan di sisi abangnya setelah seluruh ruang bilik menjadi hitam. Fizi pula terus terkelip-kelip dalam kegelapan dengan seribu satu tekaan rambang.

Keesokan harinya seperti biasa restoran dibuka. Dalam kesibukan menjalankan tugas masing-masing, kelihatan sebuah kereta pacuan empat roda Toyota Unser berwarna keemasan meluncur laju melintasi hadapan restoran sebelum membelok ke kanan memasuki Jalan Merbok. Setibanya di destinasi, Unser tersebut berhenti betul-betul di hadapan sebuah banglo. Selang beberapa minit, pintu pagar dibuka secara automatik dan Toyota Unser tersebut terus dipandu masuk.

“Kita dah sampai. Inilah rumah baru kita,” Puan Salbiah bersuara sebaik mematikan enjin. “Mari,” ajak Puan Salbiah. Sebaik dia turun dari kereta, seorang gadis berlari mendapatkannya. “Mama!” Jasmin memeluk Puan Salbiah. “Hai, sayang... mari mama kenalkan kamu pada anak-anak mama.” Puan Salbiah memimpin tangan Jasmin menuju ke keretanya. “Eh, kenapa tak turun lagi ni?” Puan Salbiah mengetuk cermin kereta.

“Hai sayang... hmm, kenapa ni?” Tegur Encik Dali sambil memeluk pinggang Puan Salbiah dari belakang. Dia yang baru muncul adalah pemilik banglo tersebut, ayah kepada Jasmin. “Papa, mereka tak nak turun.” Adu Jasmin sambil merangkul tangan kanan Encik Dali.

Encik Dali tersenyum. “Kamu tak pelawa mereka turun...,” usik Encik Dali. “Sudah, mama dah ajak,” balas Jasmin manja.

“Err... abang, ajak Jasmin masuk dulu. Biar saya pujuk mereka,” minta Puan Salbiah. “Baiklah sayang. Perlahan-lahan... jangan paksa mereka,” nasihat Encik Dali sebelum masuk ke dalam rumah.

Sebaik saja kelibat Encik Dali dan Jasmin hilang dari pandangan, pantas tangan Puan Salbiah membuka pintu belakang keretanya. Dalam keadaan menahan marah, Puan Salbiah berkata, “Apa kena dengan kamu berdua ni?” Kecil mata Puan Salbiah merenung anak-anaknya. “Mama kata turun... turunlah. Jangan tunjuk perangai kat sini. Jangan cuba nak malukan mama ya.” Menggigil Puan Salbiah menahan marah melihatkan karenah anak-anaknya.

“Kamu berdua bukan budak-budak lagi. Joe, ajak Aki turun... cepat.” Puan Salbiah mengawal suara agar tidak terpamer kemarahan. Dia tidak mahu mengejutkan keluarga barunya yang sedang menanti di dalam rumah. Seboleh-boleh Puan Salbiah cuba untuk menunjuk dan mengekalkan imej yang baik di mata suami baru dan anak tirinya. Sesekali Puan Salbiah mengerling ke muka pintu utama rumah Encik Dali bagi memastikan yang perbualan antara dia dan anak-anaknya tidak kedengaran hingga ke dalam rumah.

“Ini bukan rumah kita!” Bentak Aki. “Diam... jangan tinggikan suara. Kamu nak malukan mama ya?” Puan Salbiah merenung Aki. “Baik, ikut suka kamulah,” Puan Salbiah terus berlalu meninggalkan mereka yang masih berkeras tidak mahu turun.

“Abang rasa, elok kita turun,” Joe mula bersuara sebaik mamanya masuk ke dalam rumah. Aki hanya mendiamkan diri. “Ini bukan rumah kita,” Aki mengulangi semula kenyataannya setelah lama mendiamkan diri. Joe serba-salah. Dia tersepit di antara kehendak mamanya dan kedegilan adiknya. “Kita kena terima dik. Mama dan Pak Cik Dali dah bernikah dan kita kena ikut mereka,” Joe cuba memujuk. “Aki tak nak tinggal kat sini. Aki nak balik. Aki nak balik rumah papa. Rumah papa kita,” Aki terus berkeras. “Papa tak sayangkan kita lagi. Dia tak nak terima kita,” Joe cuba menyedarkan adiknya.

“Semuanya mama punya pasal!” Tuduh Aki. “Tapi papa pukul mama. Aki tak ingat ke?” Joe menyoal. “Papa pukul mama sebab mama jahat!” Aki mempertahankan tindakan papanya. “Adik! Tak elok cakap macam tu. Baik atau jahat, dia tetap mama kita. Kita tak ada pilihan,” suara Joe agak tinggi. Aki terdiam. Joe menarik nafas panjang sebelum menyambung kata-katanya. “Jangan macam ni dik,” Joe merendahkan suaranya sambil memeluk Aki.

“Benda dah jadi. Kita kena belajar terima kenyataan. Kalau boleh, abang pun tak nak mama kahwin lain. Tapi apa yang kita boleh buat dik?” Pujuk Joe. “Abang tahukan... mama buat papa marah dan benci kita semua,” Aki menangis dalam pelukan abangnya. Joe hanya membisu. Di dalam hati dia mengiyakan segala kata-kata adiknya. Memang mama mereka yang bersalah. Membuatkan papa tersayang hilang sabar dan menghalau mereka anak-beranak. Kalau ikutkan hati hendak saja dia memberontak dan lari meninggalkan mamanya yang menjadi punca utama keluarga bahagianya musnah tapi apakan daya, dia masih tidak mampu untuk hidup berdikari lebih-lebih lagi berpisah dengan adik kesayangannya Aki.

“Pak Cik tahu, kamu berdua masih sukar untuk menerima Pak Cik dan Jasmin sebagai keluarga, tapi sebagai tuan rumah, Pak Cik tak boleh biarkan tetamu terus berada di luar,” tiba-tiba Encik Dali muncul di pintu kereta. Joe dan Aki tersentak.

“Kamu menangis?” Tanya Encik Dali. Aki menundukkan muka sambil mengesat-ngesat air matanya. Joe dengan perlahan turun dari kereta dan menghulurkan salamnya kepada Encik Dali. Salamn Joe disambut dengan pelukan Encik Dali. Joe tergamam. Adakah pelukan tersebut ikhlas atau lakonan semata-mata? “Mari, kamu berdua tentu letihkan,” pelawa Encik Dali sambil menoleh ke arah Aki yang masih terpaku di dalam kereta.

Joe menarik perlahan tangan adiknya. Akhirnya Aki akur. Dengan perlahan dia turun dari kereta. Pintu kereta ditutup Encik Dali. “Mari, barang-barang kamu berdua semalam lagi dah sampai. Semuanya ada di bilik kamu. Nanti papa tunjukkan,” Encik Dali cuba bermesra. “Awak bukan papa saya.” Aki merenung tajam ke arah Encik Dali. “Maaf, maafkan Pak Cik,” Encik Dali merendah diri.

Sejak tengah hari tadi Aki terus berkurung di dalam bilik barunya. Mengelamun jauh di atas katil sambil memeluk patung beruang panda, hadiah harijadi daripada papanya dua tahun yang lalu. Papa... papa kat mana? Bisik hati Aki. Tanpa disedari, air matanya mengalir. Lamunan terus membawanya mengimbau kembali tragedi yang melanda keluarganya.

“Jadi, mereka bukan anak saya? Bukan darah daging saya? Sampai hati awak tipu saya!” Bertubi-tubi Encik Dhani menyoal Puan Salbiah. “Selama ni anak-anak yang berbin dan berbintikan saya bukan dari benih saya sendiri?” Encik Dhani terus mendapatkan kepastian daripada isterinya. Jari telunjuknya menunding-nunding ke arah Joe dan Aki yang sedang berpelukan dan menggigil ketakutan. Tidak pernah mereka lihat Encik Dhani dalam keadaan begitu marah.

“Awak yang bersalah. Awak yang menyebabkan saya terlanjur!” Puan Salbiah menyalahkan suaminya. Tidak mahu mengalah. “Saya kesunyian!”

“Perempuan tak guna!” Tanpa disedari, tamparan Encik Dhani hinggap di pipi Puan Salbiah. “Sembilan belas tahun awak tipu saya. Selama ni anak-anak yang saya peluk dan sayang sebenarnya anak awak dengan jantan-jantan lain! Hasil perbuatan terkutuk awak!” Encik Dhani cuba menerkam Puan Salbiah. Marahnya tidak tertahan-tahan lagi.

“Papa, jangan!” Joe melepaskan Aki yang berada dalam pelukan dan terus meluru ke arah Encik Dhani. Dia cuba menghalang. Papanya dipeluk kuat. “Lepaskan aku anak haram! Jangan panggil aku papa!” Joe tersungkur ditolak. “Papa, kami anak papa. Joe dan Aki anak papa. Mama... bagitau papa, Joe dan Aki anak papa. Anak mama dan papa,” Joe merayu.

“Papa, Aki sayang papa. Aki anak papa,” Aki merangkul tangan Encik Dhani. “Bukan, kau bukan anak aku!” Encik Dhani mengoncang-goncang bahu Aki sebelum menolaknya ke arah Puan Salbiah. “Itu mama kau!” Sayang Encik Dhani terhadap anak-anaknya hilang sekelip mata setelah mengetahui kedudukan sebenar.

Segalanya terdedah apabila Encik Dhani mengalami kemalangan dan kehilangan banyak darah. Semasa dia bertarung nyawa di bilik kecemasan, Joe dan Aki gagal menjadi penderma darah untuknya. Setelah berjaya diselamatkan dan pulih, persoalan demi persoalan bermain difikiran Encik Dhani mengenai kegagalan kedua-dua anaknya menjadi penderma. Dalam diam dia mula menyiasat sehinggalah malam itu, segala-galanya terbongkar. Tanpa mengendahkan rayuan anak-anaknya Encik Dhani menceraikan Puan Salbiah dan menghalau mereka tiga beranak. Sejak itu Aki terus terputus hubungan dengan papa kesayangannya. Encik Dhani pula membawa diri entah ke mana.

Empat bulan selepas bercerai, Puan Salbiah bernikah dengan Encik Dali. Seorang duda yang telah sepuluh tahun kematian isteri. Jasmin Dalia satu-satunya anak hasil perkongsian hidup dengan arwah isterinya. Kesunyian Puan Salbiah terubat setelah mengahwini Encik Dali tetapi tidak anak-anaknya. Jiwa mereka terus menderita, bukan sahaja kerana penceraian tetapi kerana gelaran anak haram yang diberikan oleh papa tersayang.

“Dik,” Joe menepuk bahu Aki. Lamunan Aki terhenti. “Abang,” Aki terus merangkul Joe. Patung beruang panda yang dipeluknya terlepas bergolek jatuh ke lantai. “Betul ke kita ni anak haram?” Suara Aki tengelam-timbul dalam tangisan. Air mula bergenang di mata Joe. Dia faham. Cukup faham dengan kesedihan adiknya. Papa yang selama ini tempat mereka bermanja menghalau mereka begitu sahaja. Dihina dan dikeji tanpa pembelaan. Gedung kasih sayang yang terbina runtuh sekelip mata. Tiada lagi papa untuk mereka bermanja dan mengadu. Hanya mama tempat mereka bergantung hidup. Seorang mama yang hanya mementingkan diri. Mengejar kebahagian sendiri tanpa mengendah rintihan hati anak-anak.

“Aki tetap adik abang. Biarlah papa bencikan kita. Buang kita, asalkan kita berdua tetap bersama. Kita kena bersabar dik. Abang janji, bila abang dah mampu suatu hari nanti, abang akan bawa adik pergi jauh dari sini. Kita mula hidup baru. Hanya abang dan adik.” Joe menanam harapan di hati adik kesayangannya.

“Abang, Aki nak cuba cari papa lagi. Aki nak pujuk papa. Aki tahu, papa kalau marah sekejap je. Aki percaya, satu hari nanti papa mesti terima kita semula,” Aki bersungguh-sungguh menyatakan harapannya.

“Hai, bual apa tu? Macam mana... selesa tak dengan bilik ni?” Joe dan Aki terkejut dengan sapaan Jasmin. Entah bila masanya Jasmin terpacul di muka pintu. Aki yang tidak senang dengan sikap Jasmin bingkas bangun. “Kau tak reti hormat orang ke? Curi dengar perbualan kami...,” Aki menolak bahu Jasmin. Tolakan tadi menyebabkan Jasmin terundur ke belakang. “Aki... jangan,” Joe melarang. Dia tidak mahu kejadian yang tidak diingini berlaku disebabkan panas baran adiknya. Lagipun Jasmin anak tuan rumah dan mereka adik-beradik hanya menumpang.

Aki merenung tajam ke arah Jasmin. “Maaf... Min tak bermaksud nak mengganggu, cuma papa dan mama suruh Min ajak kamu berdua turun. Kita minum petang bersama,” Jasmin menerangkan tujuan sebenar.

“Beritahu mereka, kita orang tak lapar,” tegas Aki lalu terus menutup pintu. Jasmin terkedu seorang diri di luar bilik. Setelah agak lama menanti, Jasmin bergerak menuju ke anak tangga. Sebaik dia menuruni anak tangga ketiga, pintu bilik Aki terbuka. Langkah Jasmin terhenti. Dia menoleh, dilihatnya Joe melangkah keluar. Pintu bilik ditutup. Joe menghampiri Jasmin. “Maaf, adik saya tak bermaksud nak sakitkan hati awak,” Joe cuba melindungi adik kesayangannya.

Jasmin tersenyum. “Takpe... saya faham. Hmm... mari kita turun. Papa dan mama dah lama tunggu,” Jasmin cuba mempelawa sekali lagi. Tanpa membalas senyuman Jasmin, Joe menggeleng. “Takpe... terima kasih je. Saya tak lapar. Cuma letih. Saya nak berehat,” Joe terus meninggalkan Jasmin dan menuju ke biliknya. Sekali lagi Jasmin terkedu. Pelik dengan sikap dua-beradik itu.

“Geram betul saya dengan perangai budak-budak tu. Mereka tak tahu nak bersyukur. Saya kahwin dengan awak supaya kehidupan mereka lebih terjamin.” Puan Salbiah melepaskan geramnya sambil menyiat kuih donat lantas menyuap ke mulutnya. Encik Dali menghirup tehnya dengan tenang. Sebaik meletakkan cawan dia bersuara, “Biarlah... berikanlah mereka masa. Dalam hal ini kita tak boleh memaksa.”

“Kalau Jasmin boleh terima saya, kenapa mereka tak boleh? Susah sangat ke nak terima awak sebagai papa mereka?” Puan Salbiah memandang suaminya. Encik Dali hanya tersenyum. “Sayang, Jasmin tu dah sepuluh tahun dahagakan kasih-sayang seorang ibu tapi anak-anak awak tidak. Papa mereka masih hidup lagi. Tentu sukar untuk mereka terima saya secara mendadak,” terang Encik Dali sambil menggengam tangan Puan Salbiah.

“Hah, mana Joe dan Aki?” Tanya Encik Dali kepada Jasmin yang sedang menuruni anak tangga. Jasmin terus menuju ke meja makan, menarik kerusi dan duduk di sebelah Puan Salbiah. “Mereka tak lapar. Mereka letih dan nak rehat dulu,” Jasmin menjawab sambil menuang air teh ke dalam cawannya. Petang itu Puan Salbiah buat pertama kalinya menikmati hidangan minum petang bersama keluarga baru tanpa kehadiran anak-anak yang sedang merajuk atas tindakannya berkahwin sekali lagi.

nantikan sambungannya minggu hadapan...