Isnin, 3 Ogos 2009

KISAH MEREKA 1

Lada Hijau pernah beritahu tentang manuskrip yang ditolak sebuah syarikat penerbitan pada tahun lepas bukan? Manuskrip tersebut Lada Hijau hantar pada 21 Februari 2008. Akhirnya Lada Hijau buat keputusan untuk siarkan saja manuskrip tersebut di sini daripada terus terperap dalam simpanan. Sementara itu ada beberapa perubahan yang telah Lada Hijau buat bagi mengelokkan lagi jalan cerita. Contoh : minyak wangi telah Lada Hijau tukarkan kepada jam tangan. Namun begitu, Lada Hijau sedar, masih banyak lagi yang perlu diperbaiki. Lada Hijau sangat mengalu-ngalukan komen dan kritikan daripada pembaca blog ini. Memandangkan ia sebuah manuskrip novel dan agak panjang jadi hanya 1 bab akan disiarkan pada setiap minggu. Selamat membaca!

KISAH 1 – MEREKA BERBEZA

“FEEEWIT!” Seperti biasa siulan Fizi dibalas dengan jelingan manja anak-anak gadis yang melintasi bucu simpang tempat rasmi dia dan kawan-kawannya membuang masa. Tidak kurang juga jelingan meluat dari orang-orang tua yang turut berulang-alik di situ. Buang masa! Gerutu mereka di dalam hati. Namun Fizi tidak pernah berhenti dari meneruskan usikan-usikan nakalnya. Baginya aktiviti itu menyeronokkan. Lebih-lebih lagi apabila setiap usikannya dapat menghiburkan kawan-kawan yang turut sama melepak.

“Eh, Asmah la!” Tiba-tiba Manaf mencuit bahu Fizi. Kelihatan dari arah bertentangan dua susuk tubuh berjalan menuju ke arah mereka. Makin lama semakin dekat. Fizi tersenyum. Kata-kata usikan sudah tersedia, hanya tunggu untuk diluahkan. Kali ini mangsanya Asmah, anak ketua kampung.

“Kau tengok Milah, beruk-beruk tu,” kata Asmah sambil memanjangkan muncungnya. “Beruk? Mana? Mana?” Milah tertanya-tanya sambil menoleh kiri dan kanan. “Alah, Fizi dengan geng dia tulah!” Rungut Asmah. “Ish, tak baik kau cakap macam tu. Mereka tu baik.” Asmah menjeling apabila Milah menidakkan kata-katanya.

“Baik? Baik kepala otak kau! Kau tak ingat ke lagi? Fizi tolak kita sampai jatuh dalam sungai dulu.” Asmah mengingatkan Milah. “Itu bukan salah dia. Engkau sendiri yang tergelecek. Dengan aku sekali kau tarik. Nasib baik dia ada. Kan dia yang tolong kita masa tu.” Milah membetulkan kata-kata Asmah. “Tolong apa? Tolong gelak? Sudahlah, malas aku nak cakap dengan kau!” Asmah tidak berpuas hati apabila Milah sedikitpun tidak mengiyakan kata-katanya.

“Assalammualaikum! Cik adik berdua ni dari mana?” Fizi menyapa sebaik saja Asmah dan Milah betul-betul berada di hadapannya. “Buat apa kau nak tahu?” balas Asmah dingin. “Hai, sombongnya cik kak!” Tiba-tiba Sani mencelah. “Fizi, biar aku tanya awek aku ni pulak. Milah dari mana ni?” Sambung Sani menguji nasib. “Kami dari kelas menjahit,” jawab Milah sambil tersenyum. “Hah, macam tulah,” balas Sani dengan matanya memandang Fizi. Asmah mencuka. Geram betul hatinya melihatkan sikap Milah yang rajin melayan karenah Fizi dan kawan-kawannya itu.

“Milah, kenapa buah hati abang ni masam je?” Sekali lagi Fizi cuba mengusik Asmah. Milah hanya menaikkan bahunya, isyarat tidak tahu. Hati Asmah semakin panas. Tanpa berkata apa-apa, tangan kiri Milah ditariknya. Fizi bertindak menghalang Asmah dan Milah. “Nantilah dulu Asmah. Kenapa masam mencuka ni? Senyumlah sikit, macam Milah ni,” pujuk Fizi.

“Kau siapa nak suruh aku senyum? Budak tak ada masa depan. Malas aku nak layan.” Walaupun pedas kata-kata yang diluahkan Asmah, Fizi tetap tersenyum. Geram dihati Asmah semakin menjadi-jadi tatkala melihatkan senyuman itu. “Tepi!” Asmah menolak Fizi dan menarik Milah beredar dari situ.

“Asmah, I love youuuuuu!” Jerit Fizi sambil diiringi hilai tawa kawan-kawannya.

Langkah Asmah semakin laju. Terjengket-jengket Milah ditariknya. Tiba-tiba langkah Asmah terhenti. Rupanya dia tersalah arah. “Tak patut kau cakap kasar dengan Fizi tadi.” Milah bersuara apabila dia merasakan kemarahan Asmah mulai reda. Sepantas kilat Asmah menoleh ke arah Milah dengan renungan mata yang tajam. Terkedu Milah bila direnung begitu. “Habis tu, kau nak suruh aku layan mereka mengarut? Yang kau tu pula, pergi gatal layan mereka buat apa?” Tengking Asmah. Milah hanya diam membisu.

“Aku anak Ketua Kampung. Apa kelas aku layan kutu-kutu kampung macam mereka. Kau lainlah, gatal!” Sambung Asmah membangga diri. “Aku bukannya gatal. Aku cuma jawab pertanyaan mereka. Itu saja,” Milah membela diri. Sambil tersenyum sinis, Asmah menyindir Milah, “Sudahlah Milah. Aku tahu, kau dah lama ada hati dengan Fizikan? Tapi sayang, dia tergila-gilakan aku pulak. Macam nilah, kalau kau dah gatal sangat nak berlaki, biar aku tolong carikan yang lebih baik dari Fizi tu. Yang boleh tanggung makan-minum dan menjamin masa depan kau. Ini tidak, budak melarat tu yang kau nak. Tingkatan tiga pun tak lepas. Lainlah kalau kau sanggup makan pasir.”

Panas telinga Milah mendengarkan sindiran Asmah. “Maksud kau lelaki macam abang kau tu? Lepasan universiti tapi sampai sekarang masih menganggur. Hmm, agaknya boleh buat lauk sijil dan ijazah tu semua ya?” Balas Milah dengan selamba lalu membelok masuk kehalaman rumahnya, meninggalkan Asmah kebengangan.

Fizi adalah anak Mak Esah. Pendidikannya hanya setakat tingkatan tiga. Itupun tidak habis. Dia berhenti sebelum sempat menduduki peperiksaan PMR. Puas emaknya memujuk supaya dia meneruskan persekolahannya namun tidak diendahkan. Alasan yang diberi, dia tidak mahu ibunya terus membazirkan duit membayar yuran sedangkan dia tidak ada minat langsung untuk kesekolah apatah lagi belajar. Kini umurnya sudahpun menjangkau 25 tahun. Tidak ada satu benda berfaedah pun yang dilakukannya sejak berhenti sekolah. Melepak, melepak dan melepak. Itu saja.

“Kamu nak ke mana tu Fizi?” Tegur Mak Esah apabila dilihat anak bujangnya turun menyusuri anak tangga. “Ke mana lagi mak, kalau tak melepak kat tepi simpang depan rumah Haji Brahim tu”, celah Hasnah sambil meletakkan bakul makanan di tempat duduk belakang basikal.

Fizi hanya diam membisu. Badannya membongkok sambil jari-jemarinya sibuk membetul-betulkan hujung seluar. Mak Esah melabuhkan punggungnya di atas pangkin betul-betul di hadapan Fizi. Dia masih menantikan jawapan dari mulut Fizi walaupun soalannya tadi telah dijawab oleh Hasnah.

“Bilalah kamu nak berubah. Cubalah sekali-sekala tolong mak dan kakak kamu kerjakan sawah bendang di belakang rumah tu. Ini tidak, pagi-petang asyik melepak je.” Mak Esah mula membebel setelah bosan menantikan jawapan Fizi.

“Yankan ada. Dia dah tolong cukuplah. Bendang kitapun bukannya besar sangat.” Fizi mula memberi respon kepada pertanyaan emaknya. Dalam Mak Esah menahan geram dengan jawapan Fizi, muncul pula Yan dimuka pintu sambil memegang sabit. Mak Esah mendongak memandang ke arah Yan yang sedang menuruni anak tangga. “Hah, yang kamu ni pulak nak ke mana?” soal Mak Esah setibanya Yan dipangkin. “Yan nak ke rumah Mak Som sekejap. Semalam dia minta tolong tebaskan semak-samun kat belakang rumahnya,” jawab Yan.

“Bendang?” soal Mak Esah pendek. “Lepas menebas, Yan ke bendanglah. Pergi dulu ya mak.” Mak Esah hanya mengangguk. Baginya, Yan seorang anak yang boleh diharap. Apa saja tindak-tanduk Yan tidak pernah merisaukan hatinya. Sayangnya terhadap Yan tetap sama seperti sayangnya dia terhadap kedua-dua anak kandungnya, Hasfizi dan Hasnah.

“Apa lagi yang mak menungkan tu. Marilah ke bendang.” Mak Esah tersentak ditegur anak perempuannya. “Eh, mana Fizi?” Tanya Mak Esah sambil menoleh kiri dan kanan. “Alah, mak ni. Biasalah dia tu, lepa sikit lesaplah,” kata Hasnah sambil menyorong basikal. Mak Esah bingkas bangun lalu mengikut Hasnah dari belakang.

“Mak dah setuju?” Tanya Hasnah sebaik saja Mak Esah berjalan beriringan dengannya. “Setuju pasal apa?” Mak Esah memandang Hasnah. “Pasal cadangan Pak Long nak bawa Fizi dan Yan ke Kuala Lumpur.” Hasnah mengingatkan kembali Mak Esah akan cadangan bapa saudaranya itu. Mak Esah hanya membisu. Dahinya berkerut, seakan memikirkan sesuatu yang rumit. “Mak rasa, elok juga cadangan Pak Long kamu tu. Mungkin di sana nanti, di bawah pengawasannya, Fizi boleh berubah,” jawab Mak Esah setelah lama mendiamkan diri.

“Tapi, takkan Yan sekali. Siapa nak tolong Senah di bendang nanti?” Hasnah mengeluh. Selama ini, adik tirinya itulah yang selalu membantu. Mak Esah mengerti. Selama ini, Yanlah yang paling banyak menolong. Apa saja kerja-kerja yang diberi, diselesaikan Yan dengan baik. Bukan saja Hasnah malah dia juga turut merasakan betapa sukarnya bila ketiadaan Yan nanti.

“Makkan ada.” Mak Esah cuba meringankan hati Hasnah walaupun dia sendiri berat hati. “Kita tak boleh asyik nak harapkan dia saja. Sesekali biarlah dia bertukar angin. Takkan nak suruh dia mengadap bendang tu je. Lagipun, mak tak mahu orang kampung kata yang mak ni berat sebelah. Anak sendiri melepak buang masa, anak tiri pulak dipaksa-paksa buat kerja. Mak sayang dia macam mak sayang kamu dan Fizi. Apa yang Fizi dapat, mak nak dia pun dapat. Jadi biarlah dia ikut sekali ke Kuala Lumpur tu,” terang Mak Esah panjang-lebar. “Senah bukannya apa mak, cuma rasa sunyi pulak bila mereka dah pergi nanti.” Walaupun berat namun Hasnah terpaksa terima akan kebenaran kata-kata emaknya tadi.

“Assalammualaikum!” Yan terus memberi salam sebaik tiba di halaman rumah Mak Som. Muncul di muka pintu seorang wanita pertengahan umur memegang bakul sayur yang masih kosong. Gayanya seperti hendak ke pasar. “Waalaikumussalam. Datangpun kau. Mak Som ingatkan kau dah lupa.” Wanita pertengahan umur itu menyarung selipar dan terus menuju ke arah Yan.

“Kalau dah janji, mestilah saya datang. Mak Som nak ke mana ni?” Tanya Yan. “Nak ke pasar.” Jawab Mak Som sambil membetul-betulkan kain selendangnya. “ Habis tu, kerja menebas ni macam mana? ” Tanya Yan lagi. “Eh... teruskan jelah. Mak Som ke pasar sekejap je. Lagipun Nina ada kat dalam rumah tu”, Mak Som mengizinkan. Yan termenung seketika. “Tapi, apa orang kata nanti?” Soal Yan. “Kata apa pulak?” Mak Som kehairanan. “Saya berdua je dengan Nina,” jawab Yan sambil memandang ke arah rumah Mak Som.

Mak Som tergelak kecil. “Ish, kamu ni Yan. Fikir yang bukan-bukan jelah. Mak Som bukannya suruh kamu masuk dalam rumah pun. Semak-semak yang nak tebas tu kat belakang rumah je. Kamu buat jelah kerja kamu.” Suruh Mak Som. Tapi...,” Yan masih serba-salah. “Dah, jangan fikir-fikir lagi. Sekejap lagi Mak Som balik.” Mak Som menepuk bahu Yan dan terus beredar menuju ke pasar meninggalkan Yan yang masih terpinga-pinga.

Nak tak nak, Yan melangkah berat ke belakang rumah Mak Som. Cepat buat, cepat siap. Yan cuba menyedapkan hati. Dia mula menebas. Sabit dihayunkan. Lalang-lalang yang rebah jatuh ke bumi dilonggokkannya.

PRANGGG!

Yan tersentak. Kerja menebasnya terhenti. Kepalanya menoleh ke arah pintu dapur Mak Som. Hatinya tertanya-tanya. Dari manakah datangnya bunyi seakan-akan benda pecah itu tadi? Yan menyambung semula kerja-kerjanya setelah lama merenung pintu dapur Mak Som.

PRANGGG!

Bunyi benda pecah lagi. Kali ini Yan pasti. Bunyi tersebut datang dari dapur Mak Som. Hatinya tak sedap. Nak pergi tengok atau dibiarkan saja. Kakinya masih terpaku di tempat dia menebas.

PRANGGG!

Ahh! Tak boleh jadi ni. Yan terus melangkah menuju ke pintu dapur. Daun pintu terkuak sebaik saja Yan menolaknya. Serpihan-serpihan kaca bertaburan di lantai dapur. Mana Nina? Mata Yan meliar mencari Nina disekitar dapur. Tanpa berfikir panjang Yan melangkah masuk. Namun kelibat Nina masih tidak kelihatan.

Yan bertindak berani. Langkahnya dipanjangkan menuju ke ruang tamu Mak Som. Matanya masih meliar mencari Nina. Hatinya tertanya-tanya. Mana Nina? “Abang Yan cari Nina?” Tiba-tiba suara manja menegur Yan dari belakang. “Nina... kamu tak apa-apa? Apa yang berlaku tadi? Macam mana pinggan-pingan tu pecah?” Bertalu-talu soalan keluar dari mulut Yan sebaik saja kelibat Nina muncul di hadapannya. Nina hanya tersenyum.

Setelah lama menunggu tanpa jawapan, Yan mengatur langkah menuju semula ke dapur. Kerja-kerja menebasnya masih belum selesai. “Nanti!” Nina terus memeluk Yan dari belakang. “Eh, apa ni?” Yan terkejut. “Sampai hati Abang Yan. Tiga kali Nina pecahkan pingan-pingan tu baru Abang Yan nak ambil peduli.” Yan cuba meleraikan pelukan Nina dari pinggangnya. “Jangan macam ni Nina.”

Nina menolak kasar. Yan jatuh terduduk di atas sofa. “Apa ni Nina? Jangan main-main macam ni, tak elok!” Yan cuba bangun semula. Dengan pantas Nina melabuhkan punggungnya di riba Yan. Leher Yan dirangkulnya. Nina tergelak manja.

“Kenapa? Tak suka? Nina suka Abang Yan.” Tangan Nina ketat merangkul leher Yan sehingga menyukarkan Yan untuk bangun. Nina mula bertindak berani. Pipi Yan diciumnya. Tidak! Ini tak boleh jadi. Yan cuba bangun melepaskan diri. Kali ini dia bertekad. Dia terpaksa bertindak kasar ke atas Nina. Apa nak jadi, jadilah. Nina masih kuat memeluk Yan. Dalam dia cuba melepaskan pelukan Nina dari lehernya, secara tidak sengaja lengan baju Nina terkoyak.

“Mak!” Nina menjerit. “Mak Som...” Yan terkedu. Bila masa orang tua ni balik? Sempat hati Yan bertanya biarpun dalam kebingungan. Nina berlari mendapatkan Mak Som. “Abang Yan... Abang Yan mak. Dia nak usik Nina”, Mak Som dipeluknya sambil menangis. Yan hanya terpaku. Terpinga-pinga melihatkan gelagat Nina. Apa semuanya ni? “Budak bedebah! Aku suruh kau menebas! Yang kau usik anak dara aku kenapa? Bertalu-talu pipi Yan menerima tamparan Mak Som. Yan hanya bertahan. Tak sampai hati dia hendak berkasar dengan orang tua itu. Namun dia masih tertanya-tanya. Mengapa tergamak Nina mengenakannya sebegini rupa. Apa tujuan Nina?

“Abang Fizi!!!” Jeritan seorang budak lelaki berusia dalam lingkungan dua belas tahun menyentak Fizi. “Kenapa si Adi tu?” Fizi kehairanan. “Dia nak sampaikan salam kakak dia kat kau tak?” Sani menyakat. Larian Adi semakin laju menghampiri tempat Fizi dan kawan-kawannya melepak. Mulutnya tak henti-henti menjerit nama Fizi. “Kenapa dengan kau ni Adi? Siapa yang kejar kau?” Tanya Fizi sejurus Adi terpacak di hadapannya sambil tercungap-cungap.

“Ayah... ayah suruh Abang Fizi datang rumah sekarang juga!” Terang Adi sebaik saja nafasnya teratur kembali. “Apa? Habislah kau Fizi. Tulah, siapa suruh kau kacau Asmah semalam?” Manaf menepuk belakang Fizi. “Bukan... bukan... bukan pasal Abang Fizilah. Abang Yan... Abang Yan kena tangkap!” Adi menidakkan kata-kata Manaf sambil menerangkan hal yang sebenar.

“Apa?” Susah untuk Fizi mempercayai kata-kata Adi tadi. Apa Yan dah buat sehingga kena tangkap? Selama ini Yan tidak pernah pun cari pasal dengan sesiapa. “Cepatlah Abang Fizi. Ayah suruh Abang Fizi datang cepat. Teruk Abang Yan kena pukul ngan orang kampung. Nasib baik ayah ada, tolong leraikan,” Adi menarik-narik tangan Fizi. “Pukul? Ish, ini tak boleh jadi. Berani mereka pukul adik aku!” Fizi terus berlari menuju ke arah rumah Ketua Kampung. Diikuti dari belakang, kawan-kawan Fizi.

“Fizi! Kalau lari, bila nak sampai?” Tegur Sani. Larian Fizi terhenti. Baru dia sedar, hanya dia seorang yang berlari sementara kawan-kawannya yang lain menunggang motor. Termasuklah Adi, membonceng motor Hanif. Tanpa berfikir panjang, Fizi terus lompat membonceng motor Sani. “Manaf, kau tolong beritahu mak aku kat bendang. Aku terus pergi rumah Tok Ketua!” Jerit Fizi. Tanpa berlengah, Manaf terus membelok menuju ke bendang.

Kenapa orang kampung pukul Yan? Apa Yan dah buat? Besar sangatkah kesalahan Yan? Fizi tertanya-tanya. Tak dapat dibayangkan kesalahan apa yang telah adiknya lakukan. Motor yang diboncengnya dirasakan bergerak perlahan. Berkali-kali dia menyuruh Sani menekan minyak menambah kelajuan.

Mata, pipi serta mulut Yan bengkak membiru akibat dipukul oleh beberapa pemuda kampung pagi tadi. Kesan-kesan lebam juga terdapat pada tubuhnya. Tangannya tidak henti-henti menuam kesan-kesan lebam tersebut sambil bersandar di dinding. Sesekali dia mengeliat membetulkan bantal di belakang badannya. Marah, benci dan dendam terbuku di hati. Sampai hati Mak Som anak-beranak menganiaya dirinya.

Mujur Asmawi anak Ketua Kampung menyelamatkan keadaan. Pengakuan Asmawi menjalinkan hubungan dengan Nina sehingga menyebabkan satu-satunya anak dara Mak Som mengandung, telah menyelamatkannya.

Berkali-kali Mak Som dan Nina memohon maaf setelah segala-galanya terbongkar. Namun Yan hanya mendiamkan diri. “Maafkan Mak Som, Yan. Mak Som terpaksa rancang semua ni. Mak Som tak tahu nak buat apa bila tahu Nina mengandung. Mak Som malu. Mak Som buntu bila budak bedebah ni tak mahu bertanggungjawab. Hanya kau saja yang boleh menutup malu kami anak-beranak. Maafkan kami, Yan.”

“Yan.” Teguran Mak Esah mematikan lamunan Yan. “Mari mak tuamkan.” Mak Esah mengambil kain yang dipegang Yan. Seperti budak kecil, Yan hanya menurut saja. “Sampai hati mereka semua mak. Mentang-mentanglah saya ni anak yatim piatu. Mereka boleh buat apa saja pada saya.” Mak Esah memandang sayu ke arah Yan. “Mereka pukul saya tanpa usul-periksa.” “Sabarlah nak. Semua yang berlaku ni ada hikmah disebaliknya.” Mak Esah memujuk. Sedih hatinya tatkala Yan membahasakan diri sebagai anak yatim piatu. Janji pada arwah suaminya supaya menjaga Yan seperti anak sendiri masih dipegang kuat. Namun apakan daya, kejadian pagi tadi tidak dapat dielakkan.

“Abang janji. Lepas ni tak ada siapa akan ganggu kau lagi.” Terkejut mereka dua beranak. Entah bila masanya Fizi terpacul di muka pintu. “Kamu ni Fizi. Buat terkejut mak je. Berilah salam dulu kalau ya pun.” Fizi hanya tersengih mendengar teguran emaknya. Dengan muka bersahaja dia melabuhkan pungungnya di sisi Yan. “Adik abang ni baik orangnya. Sebab tulah Mak Som pilih jadi menantu!” Fizi berseloroh sambil merangkul leher Yan. “Aduh, sakit bang!” Jerit Yan. Mak Esah hanya menggeleng kepala melihatkan gelagat Fizi mengusik adik tirinya.

“Hah, dah terlanjur kamu berdua ada ni, ada satu perkara mak nak cakap.” Dahi Yan berkerut. Fizi dengan perlahan melepaskan Yan dari rangkulannya. Muka emaknya ditenung dengan satu persoalan. Penting sangat ke?

“Yahooo... kita pergi KL!” Jerit Fizi sebaik emaknya menceritakan hasrat Pak Longnya untuk membawa mereka dua-beradik tinggal di Kuala Lumpur. “Yan tak nak.” Kata-kata Yan mematahkan kegembiraan Fizi. Dengan dahi yang berkerut Fizi memandang Yan. Gila ke budak ni? Takkan kena pukul sampai jadi gila pulak? Orang kalau boleh nak pergi sekarang, dia pulak tak nak. Kena bawa jumpa doktor budak ni esok.

“Siapa nak jaga mak? Tolong mak kerjakan bendang?” Tanya Yan. Alahai, nak tunjuk baik la pulak. Perli Fizi dalam hati. “Senahkan ada.” Mak Esah menjawab pendek. “Ha’a, Kak Senahkan ada.” Fizi mengiyakan kata-kata emaknya. Pergi ajelah bodoh. Nilah peluang kita mencuba nasib kat kota besar. Takkan nak terus menyorok kat kampung je. Susah-susah sangat biar aku sorang je yang pergi. Geram betul Fizi pada Yan.

“Mak dah fikir masak-masak. Ni untuk kebaikan kamu berdua. Lagipun kamu ke sana bukannya untuk suka-suka. Pak Long nak kamu tolong menguruskan kedai makannya di sana. Daripada tak buat apa-apa, lebih baik kamu berdua bekerja. Lebih-lebih lagi kau Fizi. Mungkin di bawah pengawasan Pak Long nanti, kau boleh berubah.” Mak Esah menyuarakan hasratnya.

Aik, aku pulak. Argh, tak kiralah. Janji aku dapat pergi KL. Mak Esah kehairanan melihatkan Fizi yang tersengih-sengih seorang diri melayan perasaan sementara Yan hanya diam membisu. “Apa yang kau angankan tu Fizi? Dah pukul sepuluh ni. Pergi jemput kakak kau. Kejap lagi kelas berzanji dia habis. Nanti tertunggu-tunggu pulak dia dalam gelap.” Fizi bingkas bangun mencapai kunci basikal dan dia masih tersengih melayan perasaan.

YAHOOO! Dapat pergi KL!!! Jeritnya dalam hati.

nota kaki : masa hantar manuskrip ke syarikat penerbitan tersebut, Lada Hijau guna nama pena ROZ ANDRA ( petikan beberapa huruf daripada nama ROZANah muhammaD RAsip). Nak guna nama glamer le konon hehehehe...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan