Khamis, 9 Julai 2009

NAK LARI



Muka Eisu masam mencuka. Dahinya ketat mencerut. Liukan cahaya tujuh batang lilin dijelingnya benci. Lilin-lilin itu mewakili jumlah tahun usianya. Kek harijadi yang menjadi batas lilin-lilin itu berdiri juga dipandang Eisu tanpa nafsu. "Apa lagi? Tiuplah cepat. Kawan-kawan dah lama tunggu ni." Lembut sahaja Puan Nisa menutur kata. Rambut anak sulungnya diusap-usap manja. Sudah tiga minit lagu harijadi selesai dinyanyikan oleh tetamu yang terdiri daripada beberapa orang rakan kelas dan sepermainan Eisu. Riak wajah Puan Nisa mula mencerminkan perubahan. Senyumannya ditutup kegusaran bila tujuh lilin berbelang semakin pendek mencair di atas kek.

"Cepatlah Eisu. Kitaorang dah lapar ni." Muiz yang berdiri di belakang Eisu mula bersuara mendesak. Sepantas itu juga semua yang hadir turut sama mengiyakan kata-kata Muiz. Puan Nisa menepuk bahu Eisu. Menyuruhnya meniup lilin segera. Air muka Eisu masih belum berubah. Sambil berpeluk tubuh dan satu kali hembusan, Eisu memadam nyalaan lilin-lilin harijadinya. Serentak itu bunyi tepukan memercik disegenap penjuru ruang tamu Puan Nisa. Adik lelaki Eisu bernama Ery dan Bibik pembantu rumah turut sama bertepuk tangan. Eisu tidak menunggu lama. Dia terus beredar meninggalkan semua orang yang sedang meraikan sambutan harijadinya yang ke tujuh. "Bibik, tolong bagi-bagikan kek ni pada mereka semua. Hah, kamu semua jangan malu-malu ya!" Puan Nisa mempelawa kawan-kawan anaknya walaupun mereka semua sudah terlebih dahulu mencapai pinggan dan menjamu juadah sebaik selesai bertepuk tangan tadi. Puan Nisa sempat memerhati pembantu rumahnya melayan karenah para tetamu kecil itu sebelum beredar dari ruang tamu menuju ke luar rumah. Ery, anak bongsunya ditinggalkan bersama-sama yang lain.

"Kenapa ni?" Tegur Puan Nisa sebaik punggungnya berlabuh di atas sebuah bangku bulat yang diperbuat daripada buluh. Ada lima buah bangku semuanya di situ. Mengelilingi sebuah meja berbentuk bulat. Juga daripada buluh. Di situlah tempat keluarganya bersantai sambil menikmati kesuburan pokok-pokok renek dan bunga-bunga yang menghiasi sekitar laman rumah. Tidak disangkal lagi. Landskap laman yang teratur benar-benar menyerikan persekitaran rumah banglo Puan Nisa. Ditambah pula dengan cahaya lampu yang terpasang di malam hari. Mampu memukau sesiapa yang berada di situ.

"Eisu nak lari!" Eisu memalingkan muka. Tidak mahu memandang ibunya. "Ibu tak adil. Eisu dah pesan lama dah. Eisu nak kek bentuk muka Upin dan Ipin. Tapi ibu beli bentuk Doraemon. Mesti kawan-kawan Eisu gelakkan Eisu besok. Awal-awal lagi Eisu dah bagitau mereka ibu akan tempah kek Upin dan Ipin untuk harijadi Eisu. Kalau macam ni malulah Eisu kena ejek nanti." Bertalu-talu Eisu mengeluarkan segala rasa tidak puas hatinya. Mata Puan Nisa sedikit terbeliak. Masakan kerana sebiji kek, anaknya mahu melarikan diri. Mungkin Eisu cuma menakut-nakutkannya sahaja. Ah, taktik budak-budak sekarang. Puan Nisa cuba menolak apa yang didengari daripada mulut anaknya itu.

"Ibu tahu, ibu silap. Tapi, takkan sampai nak lari pulak?" Puan Nisa memujuk dan mengalah. Dalam hal ini, Puan Nisa sedar akan kesilapannya. Kalau tidak kerana terlalu sibuk dan tertumpu kepada kerjanya di pejabat sahaja pasti dia tidak akan terlupa untuk menempah awal kek harijadi Eisu. Sudah sebulan anaknya menyatakan hasrat tetapi ditangguh-tangguhnya hingga terlupa. Mujur kek berbentuk Doraemon itu dapat dibelinya di saat-saat akhir petang tadi. Itupun setelah suaminya menelefon memberitahu tidak dapat pulang meraikan harijadi Eisu kerana urusan kerja di luar negeri masih belum selesai.

"Eisu nak lari jugak. Eisu malu dengan kawan-kawan. Lagipun ibu ngan ayah memang tak sayang Eisu. Apa yang Eisu mintak semuanya tak dapat. Tapi kalau Ery semuanya dapat." Eisu terheret dengan kemarahan hingga dia mula membanding-bandingkan dirinya dengan adiknya. "Ery mintak kek SpongeBob, ibu belikan. Ery mintak permainan, ibu belikan. Semua Ery mintak, ibu belikan. Kalau Eisu, semua ibu lupa." Eisu masih enggan memandang muka ibunya. Puan Nisa terkedu. Tidak disangka anak yang baru menjejak usia tujuh tahun sudah pandai membuat perbandingan sebegitu rupa. Dia tahu. Anak sulungnya itu hampa bila dia tidak sempat membelikan hadiah kerana kelam-kabut mencari kek. Mujur dia sempat menyuruh Bibik menggorengkan bihun untuk hidangan tetamu anaknya itu. Kalau tidak, pasti anaknya bertambah hampa. "Ibu janji, esok ayah balik, kita sama-sama pergi beli hadiah. Eisu cakap je nak apa. Ibu dan ayah akan belikan." Puan Nisa perlahan memujuk. Hujung-hujung jarinya mengelus rambut Eisu.

"Eisu nak lari jugak!" Cepat Eisu mengilas rambutnya. Tidak mahu rambutnya disentuh. "Masa harijadi Ery, semua ada. Nenek ada. Atuk ada. Pak Cik ngan Mak Cik pun ada. Harijadi Eisu, cuma kawan kelas jer yang datang. Makanan pun tak banyak. Bihun goreng ngan tembikai je. Kalau nenek ngan Mak Cik ada, mesti diaorang masakkan sedap-sedap untuk kawan-kawan Eisu." Semakin dalam Eisu melepaskan rasa hatinya. Puan Nisa terdiam. Kata-kata Eisu tepat mengenai batang hidungnya. Sudah hampir setahun dia tidak bertegur sapa dengan orang tua dan adik-beradiknya.

Fikiran Puan Nisa menyelongkar semula punca dia terputus hubungan dengan ibu-bapa dan adik-beradiknya yang lain. Semuanya berpaksi dengan rasa ego dalam diri. Waktu itu dia hendak mengadakan jamuan bagi meraikan kenaikan pangkatnya sebagai Pengarah Urusan di syarikat tempatnya bekerja. Disebabkan sebelum ini dia selalu mencanang dikalangan teman-teman sepejabat tentang kesedapan masakan emaknya, membuatkan mereka semua ingin merasa sendiri semasa jamuan itu diadakan. Berkali-kali Puan Nisa meminta emaknya memasak namun ditolak. Emaknya memberi alasan tidak larat kerana yang bakal hadir lebih daripada seratus orang. Masih Puan Nisa ingat, emaknya menolak secara baik. Namun kerana panik dan tidak mahu dipandang rendah oleh teman-teman sepejabat dan juga ketua kerana cakap tidak serupa bikin, Puan Nisa telah bertindak melampaui batas. Kata-katanya telah melukakan hati ibunya. "Kalau inipun tak boleh tolong. Buat apa tinggal di sini? Menyusahkan saja. Tak boleh harap langsung. Apa, mak nak tengok anak mak malu depan kawan-kawan? Bukannya saya suruh buat apa pun. Tolong masak je. Semua barang saya dah sediakan. Mak tak perlu keluar satu sen pun!" Kata-kata tersebut terngiang-ngiang di benak fikirannya. Tidak pernah hilang.

Peristiwa tersebut menyebabkan ibu-bapanya membawa diri keluar dari rumah. Puas dia dipujuk adik-beradiknya agar meminta ampun dan menjemput semula orang tuanya kembali. Tetapi tidak diendah Puan Nisa. Kedegilan mengukuhkan lagi keeegoannya. Malah suaminya juga turut diberi amaran supaya tidak masuk campur. Pada anak-anak dia membuat alasan. Kononnya Nenek dan Atuk tidak sayang mereka lagi sebaliknya lebih menyayangi cucu-cucu yang lain. Air mata mula bergenang dan mengaburi pandangan Puan Nisa. Menyukarkannya untuk melihat Eisu yang masih duduk membelakangi dirinya kerana merajuk.

"Eisu, kitaorang semua nak balik! Selamat Hari Jadi! Kek kau sedaplah. Pandai ibu kau beli!" Jerit Muiz. Dia berdiri di muka pintu yang menghadap laman tempat dua beranak itu terhanyut dengan perasaan. Eisu segera menoleh. Mukanya tidak berkerut lagi. Kata-kata Muiz mencuci segala rajuk di hatinya. Puan Nisa cepat-cepat mengesat air mata yang hampir tumpah ke pipi sebelum dilihat anaknya dan para tetamu. Seorang demi seorang datang menghampiri dua beranak itu. Mereka bersilih ganti menghulur dan menyambut salam. "Eisu, sebelum kitaorang balik, bukak la hadiah-hadiah kau. Kitaorang nak tengok." Sekali lagi Muiz menjadi wakil jurucakap. "Yalah, kitaorang nak tengok apa yang Muiz bagi kat kau!" Seloroh kawan-kawan Eisu yang lain. Masing-masing gelak mengusik. Eisu turut sama tergelak. Rajuk seorang anak kecil. Sekejap sahaja sudah lupa setelah di gula-gulakan dengan pujian. Eisu bangun. Bersama kawan-kawannya, dia berlari masuk ke dalam rumah.

Tinggal Puan Nisa seorang diri. Matanya liar memandang persekitaran kawasan laman namun hatinya tergambar sebuah wajah. Lama-kelamaan pandangannya kabur kembali dengan air mata. Puan Nisa menyengetkan sedikit tubuhnya. Tangan kanannya menyeluk saku seluar. Telefon bimbit tergenggam di tangannya sebaik ditarik keluar dari saku. Ibu jarinya menekan butang-butang telefon bimbit. Terpapar satu nama pada skrin. Lama juga dia merenung skrin tersebut sebelum menekan butang dail. Beberapa saat menunggu panggilan dijawab, tiba-tiba Puan Nisa sebak dan suaranya mula tersekat-sekat. Dan akhirnya terlontarlah satu perkataan dari kotak suaranya, "Mak."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan