Isnin, 15 Jun 2009

GEMUK NAK LEMBIK

Biba duduk di meja makan. Bebola matanya ke kiri ke kanan. Mengikut pergerakan Puan Hamidah yang berulang-alik dari dapur ke ruang makan. "Mak, boleh tak temankan Biba ke sekolah hari ni?" Biba pantas mengajukan soalan sebaik emaknya selesai menghidang makanan di atas meja. Soalan Biba tidak dijawab terus. Sebaliknya Puan Hamidah menarik kerusi dan duduk bertentang muka dengan anaknya. "Boleh tak mak? Dah lama mak tak temankan Biba ke sekolah." Puan Hamidah diam sahaja sambil mencedok nasi ke dalam pinggan. "Mak, boleh tak?" Biba terus bertanya. Dalam hati, dia mahu emaknya menjawab BOLEH.

"Dah, jangan nak mengada-ngada. Tak nampak adik kamu tengah tidur tu?" Puan Hamidah menjawab keras bila bunyi pertanyaan anaknya berubah bunyi rengekan. Pinggan berisi nasi dihulurkan kepada anak sulungnya itu. Biba menyambut hampa. "Sekolah kamu tu dekat je. Dari sini pun mak boleh nampak kamu. Dah, makan cepat. Nanti lambat ke sekolah." Puan Hamidah bingkas bangun meninggalkan Biba yang terkebil-kebil keseorangan di meja makan.

Seperti biasa, waktu tengah hari, Biba sendirian melangkah ke sekolah. Bezanya, hari ini langkah Biba pendek-pendek. Seakan mengheret benda berat yang terikat dipergelangan kaki. Semakin hampir dia dengan sekolah, semakin perlahan dia berjalan. "Hah, ini ya budak yang cubit Zarina semalam? Berani kamu cubit anak mak cik ya! Ooo... mentang-mentang kamu gemuk, kamu ingat kamu boleh buli anak mak cik?" Sergahan seorang mak cik menyambut ketibaan Biba di hadapan sekolah. Beberapa orang murid yang juga sekelas dengan Biba dan Zarina turut sama berkerumun.

"Tapi, dia ejek saya dulu." Biba memberanikan diri. Hanya ini sahaja cara untuk dia membela diri. Dan ini jugalah sebab utama dia beria-ia sangat meminta Puan Hamidah menemankannya ke sekolah. Kalau mak temankan, mesti mak Zarina tak berani marah. Biba berkalau di dalam hati. Sempat Biba mengerling ke arah Zarina yang sedang tersenyum sinis dibalik punggung mak cik yang menyergahnya itu. "Kalau dia ejek, kamu ejeklah dia balik. Kenapa cubit pulak!" Mak cik itu terus mengeluarkan kegarangannya di hadapan budak-budak. Matanya tajam merenung Biba.

Nak ejek apa? Takkan nak ejek kurus? Semua orang suka jadi kurus. Biba hanya berani menjawab senyap-senyap. Ingatannya berpatah balik pada kejadian yang berlaku di waktu rehat semalam. "Oii, kawan-kawan! B... A... B... I... bunyinya apa?" Jerit Zarina sambil memandang Biba yang sedang mengunyah keropok lekor. "BIBA!" Dengan pantas beberapa orang murid menyahut soalan Zarina. Deraian tawa mengiringi jawapan mereka. Sepantas itu jugalah Biba membalas dengan cubitan di lengan Zarina. Terus tawa berganti tangisan Zarina. " Nanti kau... aku bagi tau mak aku! Habislah kau besok!"

Dan sekarang Biba terperangkap di sini. Masih berdiri kaku di hadapan emak Zarina. Rasa takut, tidak adil, tidak puas hati bercampur-aduk bersama perasaan Biba. "Ingat ya, kalau kamu usik anak mak cik lagi... mak cik bagi tau cikgu besar. Biar dia rotan kamu!" Emak Zarina memberi amaran keras sambil jari telunjuk kanannya digegar-gegarkan ke muka Biba. Zarina masih tersenyum sinis. Puas melihat Biba kena marah. Guru besarlah. Biba membetulkan kata-kata emak Zarina di dalam hati. Dia pura-pura tunduk akur.

Kejadian Biba dimarahi emak Zarina sudah dua hari berlalu. Namun tidak diceritakan Biba kepada Puan Hamidah. Dia tahu, emaknya pasti akan menyalahkannya jika perkara itu disampaikan. "Boleh main sekali?" Biba menegur sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain 'galah panjang'. "Alah, tak boleh. Kau gemuk. Tak pandai menyelit. Mesti asyik tak lepas punya. Kau pergi main kat sanalah." Jawab salah seorang dari mereka. Boleh main sekali?" Biba menegur pula sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain tali gelang-getah. "Kau boleh lompat ke?" Sekali lagi jawapan yang diterima negatif.

"Hoi, Biba! Jom, main ngan kita orang!" Biba segera mencari arah datangnya suara positif yang mengajaknya bermain. "Main apa?" Tanya Biba sebaik mendekati sekumpulan budak lelaki yang mengajaknya tadi. "Main 'Police and thieves'. Kau jadi polis. Kita orang jadi pencuri. Kau kejar kita orang semua." Kedua-dua mata Biba mengecil. Wajah mereka dipandangnya satu-persatu. Adakah mereka benar-benar ikhlas atau sengaja hendak mengenakannya seperti biasa.

"Gemuk... gemuk... gemuk...," gelaran rasmi buat Biba. Dia lebih suka pulang sendirian ke rumah dari ditemani kawan-kawan yang tidak henti-henti mengejeknya. Biba sedaya-upaya menahan diri dari melawan balik. Dia tidak mahu ada lagi ibu-bapa yang datang menyergahnya di sekolah lagi. "Gemuk... gemuk... gemuk...," Biba terus diejek. Biba terus melangkah. Biba tidak mengendahkan mereka. Tiba-tiba langkah Biba terhenti. Ada sesuatu berlaku di hadapannya. Budak-budak yang mengejek turut sama berhenti.

"Hei, lembik. Kau ni mesti tersalah pasang masa lahir dulu." Farid menarik-narik baju Dani. Dahi Dani ditunjal-tunjalnya. "Meh, bukak seluar tu. Aku nak tengok, kau ada 'burung' ke tak?" Kali ini pinggang seluar Dani ditarik-tarik Farid. Dani menolak-nolak tangan Farid. Air matanya mengalir bila Farid berkeras juga hendak membuka seluarnya. Keletuk! Seketul batu mencium tepat ke dahi Farid. Segera Dani dilepaskannya. Farid menekup dahi dengan kedua belah tangan. Darah meleleh dicelah jari-jemari Farid. Dani tergamam. Juga kehairanan.

"Kenapa kau kacau dia? Kan dah kena. Padan muka." Biba bersuara tidak jauh dari tempat Farid membuli Dani. "Kau... kau... aku cakap mak aku!" Farid menangis sambil berlari pulang ke rumah. Budak-budak yang mengejek Biba tadi turut sama mengikut Farid. "Habislah kau Biba. Mesti mak Farid jumpa mak kau. Teruklah kau kena bantai nanti." Salah seorang dari mereka sempat berteriak menakut-nakutkan Biba. Dani memandang Biba. Kedua-dua mereka membalas renungan. Masing-masing tidak mengenali antara satu sama lain. Agak lama merenung tanpa suara, Biba bergerak meninggalkan Dani keseorangan. Dani yang kekal diam, berterima kasih dalam hati.

Keesokan harinya, tersebar berita tentang Biba dipukul emaknya. Dipukul kerana melontar batu ke dahi Farid. Puan Hamidah memang cukup pantang kalau ada yang mengadu tentang kenakalan anaknya. Depan-depan orang yang mengadu itu jugalah dia membantai Biba. Sepanjang waktu persekolahan pada hari itu, Biba tidak habis-habis diejek. Ditertawakan.

"Semalam teruk awak kena pukul." Dani menyapa Biba sebaik kelibat budak berbadan gempal itu muncul di hadapan pagar sekolah. Biba diam. Terkejut dengan sapaan Dani. "Sakit?" Tanya Dani. " Tak." Biba menjawab pendek. Dahinya berkerut. Mungkinkah hari ini bertambah seorang lagi yang akan mengejeknya? "Mak awak garang ya." Dani mendekati Biba yang masih dalam keadaan ragu-ragu. "Sebab saya, awak kena pukul. Maafkan saya." Dani menghulur salam. Biba teragak-agak. "Alah, dah biasalah. Semalam kena pukul ngan getah paip je. Selalu ngan tali pinggang." Biba berlagak lali.

Dani masih menghulurkan salamnya. Menanti Biba menyambut. "Saya Danial. Awak?" Dani mendekatkan lagi salamnya pada Biba. "Err... saya Habiba." Akhirnya salam Dani disambut. "Saya darjah tiga Mawar." Dani masih memaut salam Biba. " Saya darjah tiga Dahlia." Perlahan Biba meleraikan salamnya. Mereka bertukar senyuman. "Saya baru pindah kat sini. Awak nak kawan ngan saya tak?" Beritahu Dani sambil mempelawa. "Nak." Tanpa fikir panjang Biba menerima pelawaan Dani.

Akhirnya, ada juga yang sudi berkawan dengan Biba. Namun begitu, budak-budak lain masih belum berhenti mengejek Biba. Cuma bunyi ejekan mereka sahaja yang berubah. "Gemuk nak lembik... gemuk nak lembik...," Biba tidak kisah. "Oh, ya... saya suka melukis." Dani menceritakan minatnya. "Saya pun." Biba pantas membalas. "Mulai hari ni kita pergi dan balik sama-sama ya." Cadang Dani. Biba mengangguk senang hati. "Gemuk nak lembik... gemuk nak lembik...," Biba dan Dani terus berbual sesama sendiri. Mereka membiarkan sahaja budak-budak itu terus mengejek.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan