Jumaat, 29 Mei 2009

RAJIN TUNJUK RAJIN

Kalau orang sekarang lebih senang dengan perkhidmatan katering, keluarga dan saudara-mara Lada Hijau pula masih selesa memasak cara bergotong-royong di dalam hal berkenduri-kendara. Hmm... bukan isu itu yang Lada Hijau hendak tekankan di sini, tapi tentang sikap mereka-mereka yang rajin datang menolong. Terutama masyarakat di kampung Lada Hijau... (kita semua sepakat, di kampung hai pening lalat... apehal tetiba lagu ni melintas kat kepala lak). Baiklah, kita balik ke tajuk asal.

Memang sudah kebiasaan di kampung Lada Hijau, pagi-pagi lagi... eh tak... paling tepat, subuh belum masuk subuh lagi, sudah kedengaran bunyi mesin memarut kelapa. Bunyi pinggan mangkuk berlaga (cam sengaja dilaga-lagakan je...). Nak tak nak, Lada Hijau pun kenalah bangun dari tempat beradu.

Biasanya waktu begini belum ramai datang menolong. Jadi, banyaklah pisau belum bertuan. Lada Hijau capai satu. Ikut emak dan sepupu-sepapat yang muka masih berbelak dengan mimpi memotong apa-apa yang perlu dipotong dan mengupas apa-apa yang patut dikupas. Terung ke, kacang panjang ke, bawang ke dan lain-lain 'ke' lagi. Sambil itu kami semua berbual-bual kosong. Masih terngiang lagi gurauan salah seorang sepupu Lada Hijau. "Orang kampung kita ni memang rajin. Batang kayu kalau dilonggokkan depan dia orang pun, mesti habis kena hiris. Masing-masing nak tunjuk rajin. Bukan apa, sebenarnya dia orang takut dilihat takde kerja".

Bila subuh menjemput pagi, orang kampung mula datang. Pangkin semakin penuh. Sampai ada yang duduk bersila beralaskan tikar di lantai. Stok pisau semua dah bertuan. Hingga pisau yang Lada Hijau pegang pun di ambil orang. Katanya, Lada Hijau dah penat. Biar dia ganti... (e'eh pepandai je mak cik ni). Biarpun tak rela, terpaksalah pisau tu Lada Hijau lepaskan jua... (yalah... takkan nak berebut lak ngan mak cik tu. Ish, mak cik... nasib baiklah ko mak cik). Dalam kebengangan, Lada Hijau semakin tak keruan bila duduk tak buat apa-apa. Apa nak buat ni?

Sepupu-sepapat Lada Hijau pula, mana-mana yang anak ramai, dapatlah mereka menyibukkan diri dengan anak-anak. Sedangkan anak-anak mereka tak bermasalah pun. Budak-budak itu lebih senang bebas tanpa pemantauan ibu-bapa. Yang umur sebaya-sebaya pula, menyibukkan diri berbual atau keluar berkumpulan menaiki kereta. Dengan alasan, nak beli mana-mana barang yang tidak cukup di pasar. Sambil-sambil itu mereka bersarapan sekali di luar... (abah Lada Hijau selalu guna alasan ni... bijak... bijak). Lada Hijau? Hmm... masih dipinggir pangkin bertemankan mak cik-mak cik yang tidak henti-henti menghiris, memotong, merempah dan bermacam 'me' lagi. Mahu juga beramah dan mencelah tapi susah. Tidak faham hujung dan pangkal cerita mereka... (mentang-mentanglah semer satu geng, satu kepala, satu suara). Tak nak nampak janggal, Lada Hijau senyum, buat-buat faham.

Akhirnya, macam biasa... Lada Hijau yang 'malas' ini terus tercongok di atas pangkin. Melihat gelagat mereka yang rajin tunjuk rajin. Bukan tak nak tolong tapi pisau tak cukup... he he he... Lada Hijau pula bagi alasan!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan