Jumaat, 29 Mei 2009

HARGA SEBUAH GEROBOK BURUK

Petang itu Lada Hijau tengah leka tengok budak-budak yang emak jaga bermain di ruang tamu. Jiran depan rumah datang. Beritahu ada orang baru lepas kena ragut. Mangsa ragut itu kebetulan tinggal sederet dengan rumahnya. Apa lagi, bingkas Lada Hijau dan emak meluru ke luar rumah. Termasuklah budak-budak yang tengah seronok bermain tadi. Dah nama pun budak. Pantang tengok pintu jeriji besi terbuka.

Lada Hijau lihat mangsa ragut sedang dikerumuni oleh beberapa orang jiran tetangga yang tinggal berdekatan. Dari cerita si mangsa ragut, waktu kejadian berlaku, dia seorang diri mengheret sebuah gerobok buruk yang tersadai di tepi jalan kawasan kejiranan kami. Tidak semena-mena, dia didatangi dua orang lelaki yang menaiki sebuah motosikal. Berhenti betul-betul di tepi jalan. Dekat dengannya. Pada mula, mereka berdua tidak dihiraukan. Hinggalah pembonceng motosikal tadi turun dan menegur si mangsa ragut. Konon hendak membantunya mengheret gerobok buruk yang agak berat itu.

Semuanya berlaku dengan cepat. Dalam tidak sedar, pantas pembonceng yang 'baik hati' itu meragut rantai emas yang melingkari leher si mangsa dan melompat naik semula ke atas motosikal. Penunggang motosikal terus memecut laju. Meninggalkan si mangsa dengan gerobok buruk dalam keadaan termanggu.

Apakan daya, jeritan minta tolong si mangsa hanya mampu memanggil jiran-jiran berdekatan datang mengerumuninya sahaja. Yelah, sape yang nak pergi mengejar. Takkan nak berlari pulak. Nak guna kereta atau motosikal? Hmm... sempat ker? Nak kena ambik kunci lagi, nak hidupkan enjin lagi, nak bukak pagar lagi... aik, dah terkeluar dari format bercerita la pulak... he he he... (tepuk dahi). Selesai bercerita, si mangsa pulang ke rumah. Gerobok buruk ditinggalkannya sahaja. Sekali lagi ia tersadai di tepi jalan. Kasihan.

Polis datang setelah menerima laporan lalu di bawa si mangsa ke tempat kejadian. Dari jauh Lada Hijau lihat. Si mangsa ragut rancak bercerita sambil polis mencatit sesuatu. Lada Hijau dapat merasakan keralatan hati si mangsa ragut. Terpaksa membayar dengan harga yang mahal untuk sebuah gerobok buruk. Yang pada mula difikirkan si mangsa boleh di ambil secara percuma.

Nota kaki : Sebelum ni selalu gak merungut bila barang yang dibeli tak setimpal dengan harganya. Tapi lebih teruk lagi bila kena bayar sesuatu yang tak layak di beli langsung. Apa pun, benda kalau nak berlaku... berjaga camne pun berlaku jugak...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan