Jumaat, 23 Oktober 2009

SENYUMLAH SIKIT

Susah sangatkah nak senyum? Kerja paling senang. Tak perlu guna tenaga yang banyak sampai berpeluh-peluh. Bukankah senyum itu juga satu sedekah? Tak perlu keluarkan duit sesen pun. Tapi, kenapa pekerja-pekerja di kaunter (bukan semua) susah sangat nak senyum? Majikan tak suruhkah? Gaji sikit sangatkah? Bengang sebab duit yang diterima tak masuk poket sendirikah? Tak kiralah yang bekerja di kaunter pertanyaan ke, bank ke, pusat membeli-belah ke, kedai makan ke atau di mana-mana saja yang ada kaunter.





Senyumlah sikit.





Bukannya suruh senyum sampai semua orang takut.

Mintak senyum sikit je.


Bukannya apa, Lada Hijau seganlah bila senyum orang tak balas.

Isnin, 19 Oktober 2009

KISAH MEREKA 6

KISAH 6 - MEREKA BELUM SERASI LAGI

Bunyi ketukan pintu membantutkan bacaan Joe. Sebelum bangun untuk membuka pintu bilik, sempat Joe menyelitkan pen dicelah buku. Menandakan muka surat bacaan yang terhenti. Fikir Joe adiknya Aki yang mengetuk tetapi sebaik terkuak luas daun pintu kelihatan Jasmin yang berdiri di hadapannya sambil menatang pinggan berisi beberapa potong buah oren yang tersusun rapi.

“Maaf mengganggu. Min bawakan ini.” Piring di tangan dihulur Jasmin berserta senyuman manis. Malangnya tiada ucapan terima kasih. Hanya sebuah wajah tanpa senyuman saja yang membalas usaha baik Jasmin untuk merapatkan tali saudara yang baru terikat. Pintu ditutup setelah piring disambut. Macam biasa Jasmin terpinga-pinga seorang diri di muka pintu. Dia menghela nafas hampa sambil mencongak kalau-kalau ada lagi silap yang terselit dalam usahanya untuk mengeratkan siratulrahim. Langkah lemah Jasmin ditemani setiap helaan nafas hampanya. Tapak demi tapak dia menuju ke arah anak-anak tangga. Entah bila agaknya saudara-saudara tirinya itu akan menerima kehadirannya di dalam rumahnya sendiri. Berbagai cara sudah dicuba untuk mengambil hati mereka namun tidak berhasil.

Langkah Jasmin terhenti bila dia terasa ada sesuatu yang memaksanya berbuat begitu. Perlahan Jasmin menoleh ke belakang. Terus matanya terbuntang luas lantas tersengih bila dilihat Joe sedang berdiri di muka pintu bilik. Cepat Jasmin berpatah balik mendekati Joe. “Kenapa? Nak oren lagi ke?” Dengan penuh rasa teruja Jasmin bertanya. Joe yang pada mulanya berdiri perlahan-lahan duduk melutut. Kepalanya tunduk sambil kedua-dua tangan menekan perut. Titik-titik peluh mula terbit satu-persatu di dahi Joe.

“Eh, kenapa ni?” Jasmin ikut sama melutut. Dia cuba memandang muka Joe yang masih menundukkan kepala sambil menekan-nekan perut. “O... o... oren... oren... lupa... perut ni... alah. Kamu punya pasal lah!” Pada akhir ayat yang terputus-putus itu Joe menengking. “Hah?" Jasmin terkedu. Pada masa yang sama dia cuak. Usaha baiknya telah mengundang malang pada Joe. Lain yang diharap lain yang jadi. Joe rebah. Bergolek ke kiri dan kanan kerana tidak dapat menahan kepedihan di perut. Kulit mukanya semakin merah, titisan peluhnya semakin banyak dan badannya mula menggeletar menahan sakit. Mujur Jasmin tidak panik tatkala melihatkan keadaan Joe sebegitu. "Habis tu macam mana ni? Ada ubat tak?" Soal Jasmin. Joe menggeleng. "Tolong, bawa saya ke klinik." Keadaan cemas itu akhirnya memaksa Joe untuk mengalah. Dia terpaksa meminta pertolongan daripada Jasmin memandangkan yang lain tiada di rumah. Puan Salbiah dan Encik Dali masing-masing belum pulang dari pejabat. Aki pula tanpa pengetahuan keluarga keluar bekerja di restoran Pak Harun setiap malam. "Cepatlah, nak tunggu mati ke baru nak tolong?" Joe cuba mengekalkan keegoan bagi menutup rasa malu. Dalam keadaan terpinga-pinga Jasmin memapah Joe menuruni anak tangga.

“Eh, nak bawak sampai mana ni?” Tanya Joe bila Jasmin terus memapahnya keluar dari rumah menuju ke pintu pagar. “Klinik.” Balas Jasmin. “Jalan kaki?” Tanya Joe. Cepat Jasmin mengangguk. Terus Joe mengeluh. “Perut ni tengah sakit menyucuk. Mana larat nak jalan?” Joe menyapu keseluruhan mukanya dengan tapak tangan kanan. Menahan kesakitan juga geram. “Sengaja nak kenakan saya kan?” Joe mula menuduh. Jasmin mengeleng. “Sukalah buat saya macam ni kan?” Joe menyapu mukanya lagi. Dalam hati dia beristighfar berkali-kali. Supaya geramnya tidak bertukar marah lantas menelan kesabarannya. “Mana ada. Min takde niat nak buat abang Joe macam ni. Min tak tau abang Joe alah dengan buah oren. Hmm... tapi, kenapa abang Joe makan jugak kalau dah tau alah.” Tiada sebarang jawapan yang diterima. Hanya kedengaran bunyi keluhan Joe menahan sakit. Dalam diam Joe terpaksa akur yang kesilapan sebenar datang dari dirinya sendiri. Mana mungkin Jasmin tahu yang perutnya alah dengan buah-buahan yang masam sedangkan dia sendiri tidak pernah memberi peluang untuk Jasmin mengenali dirinya dengan lebih dekat.

“Nak pegi klinik ke tidak ni?” Tanya Jasmin bila Joe lama mendiamkan diri. “Klinik tak jauhlah. Dekat depan tu je.” Jasmin memandang Joe yang diam seribu bahasa. “Nak ke tak?” Jasmin minta kata putus. “Perut ni sakit lagilah!” Joe menengking. “Kalau sakit, jomlah cepat kita pegi klinik.” Jasmin menarik tangan Joe. “Kamu tak sakit senanglah cakap. Nak kena jalan kaki pulak lagi. Silap-silap mati tengah jalan!” Bisa yang menyucuk-nyucuk di perut membuatkan tutur kata Joe agak kasar. Melihatkan keadaan Joe yang semakin derita menahan sakit di perut, Jasmin megambil keputusan untuk berdiam sahaja. Tidak mahu berbalas kata lagi. Menjadikan keadaan sunyi seketika. “Nak tunggu papa ngan mama balik ke?” Jasmin bersuara semula. Joe terus diam. Cuma riak mukanya saja yang membuktikan dia masih dalam kesakitan lagi. "Janganlah macam ni. Biar Min papah abang Joe. Kita jalan perlahan-lahan ya." Jasmin cuba memujuk Joe lagi. Suaranya dilunakkan seboleh mungkin dalam proses memujuk itu sambil kedua-dua tangan kedap memaut lengan dan bahu Joe. Sebaik mungkin dia memapah Joe dengan kemas. Mengerah tenaga agar larat dia menampung berat badan Joe masa berjalan nanti. “Dah... dah... tak payah nak pegang-pegang.” Joe menolak bantuan Jasmin. Dengan perlahan dia mengatur langkah. Kedua-dua tangannya masih menekan-nekan perut. Hati Jasmin lega bila abang tirinya itu sudah mula berganjak dari kedegilan.

Di klinik Jasmin sabar menanti Joe yang sedang dirawat doktor. Biarpun lega setelah berjaya sampai tetapi rasa bersalah sekejap-sekejap menghantui diri. Buah oren yang diberinya untuk mengambil hati telah menyebabkan saudara tirinya itu kesakitan. Hampir lima belas minit dirawat, barulah kelibat Joe kelihatan melangkah keluar dari bilik doktor. Jasmin bingkas bangun sebaik terpandang Joe yang sedang menghampirinya. “Tak pe. Saya boleh jalan sendiri.” Joe menarik tangannya apabila Jasmin cuba memapah. Mereka duduk sementara menunggu giliran untuk mengambil ubat. Sesekali Jasmin menoleh ke arah Joe yang duduk di sebelahnya. “Sakit lagi?” Tanya Jasmin walaupun pasti yang soalannya itu tidak akan berjawab. “Maaf... Min betul-betul tak tahu.” Cubaan Min masih gagal apabila Joe terus diam membisu. “Syed Johan!” Mereka segera bangun menuju ke kaunter ubat sebaik nama Joe dipanggil. “Semuanya tujuh puluh lapan ringgit.” Ingatkan semuanya telah selesai tetapi kedua-dua mereka tergamam sebaik menyedari yang tiada seorang pun dari mereka membawa duit mahupun telefon bimbit. Sekali lagi mereka berdua terpaksa menunggu kerana tiada pilihan. Menunggu kehadiran Encik Dali dan Puan Salbiah. Itupun setelah mereka berdua menebal muka merayu-rayu agar dibenarkan mengguna telefon di klinik tersebut.

Keadaan rumah Encik Dali dan Puan Salbiah kecoh seketika malam itu. Aki mengamuk sebaik saja mendapat tahu tentang kejadian yang berlaku ke atas abang kesayangannya. Teruk Jasmin dimarahi Aki dan seperti biasa Puan Salbiah akan melindungi Jasmin. Ini menambahkan lagi kebencian Aki terhadap Jasmin. Aki tidak henti-henti menyalahkan Jasmin walaupun berkali-kali Encik Dali memohon maaf di atas kesalahan yang tidak disengajakan anak gadisnya itu. Kemarahan Aki hanya reda setelah dipujuk abangnya. “Sudahlah dik. Abang tak apa-apa pun.” Joe mententeramkan emosi adiknya sebaik masuk ke dalam bilik. Aki yang sedang duduk di tepi katil tunduk tanpa berkata apa-apa. Dia cuba meredakan kemarahannya dengan menarik nafas panjang berulang-kali. Joe melutut sambil memandang Aki. “Janganlah macam ni dik. Jangan cepat marah. Apa pulak mereka fikir nanti.” Joe mengingatkan adiknya. Dia khuatir sekiranya Aki berterusan bersikap dingin dan marah-marah begini akan membuatkan adiknya itu dibenci. Aki mengangkat kepalanya perlahan-lahan. Wajah abangnya direnung dalam. Dia kasihan melihatkan abangnya yang terheret bersama sikap marahnya itu. Aki sendiri keliru dengan emosinya. Sejak tragedi malang yang menimpa keluarganya perasaan marah terlalu cepat menguasai dirinya. Joe menatap wajah si adik. “Kenapa dik?” Tanya Joe apabila Aki merenung mukanya tanpa berkata apa-apa. Aki hanya menggeleng.

“Sakit lagi?” Setelah lama merenung akhirnya Aki bersuara. Joe tersenyum sebaik adiknya mula bercakap. “Tak lagi.” Jawab Joe sambil membetulkan kedudukannya. Kali ini dia duduk di atas lantai sambil bersandar di tepi katil adiknya. “Dik, kebelakangan ni adik selalu tak ada kat rumah? Abang tengok, lepas maghrib je adik keluar. Adik pergi mana?” Aki tergamam mendengarkan soalan Joe. Malam itu adalah malam ke empat dia bekerja di restoran Pak Harun. “Bang, kalau adik cakap, janji jangan beritahu mama ya.” Joe kehairanan dengan permintaan adik kesayangannya itu. Aki pula yang tadi duduk di atas katil kini sedang bersila di lantai mengadapnya. “Apa dia?” Tanya Joe. “Janji dulu.” Pinta Aki. “Ya la... ya la.” Aki tersenyum sebaik mendengar jawapan Joe. “Adik kerja part time.” Beritahu Aki sambil berbisik di telinga abangnya. “Apa?” Aki segera menekup mulut Joe. “Kenapa? Adik tak cukup duit ke? Kenapa tak minta abang je? Kenapa mesti kerja? ” Joe merendahkan nada suaranya. Aki menggeleng. Otaknya ligat mencari sebab. “Kalau kerja dan balik lewat malam macam ni bila masanya kamu nak belajar? Tak letih ke? Tak mengantuk ke kat sekolah nanti?” Joe tak henti-henti menyoal. “Abang... tenang.” Aki memegang kedua-dua bahu Joe. Membuatkan abangnya itu terdiam. Joe tidak suka dengan tindakan adiknya bekerja part time.

Setelah lama otaknya ligat mencari alasan Aki mula bersuara. “Adik kerja bukan sebab duit.” Aki menipu abangnya dalam keadaan terpaksa. Riak wajahnya cuba dikawal agar sentiasa tenang. “Adik nak tenteramkan perasaan adik ni. Rumah ni panas untuk adik. Buat masa ni adik nak elak dari selalu bertembung dengan mama, Pak Cik Dali dan Jasmin.” Aki menyambung helahnya. “Abang tahukan, setiap kali adik bersama mereka pasti sesuatu yang tak diingini berlaku. Sekurang-kurangnya bila adik sibuk bekerja, adik dapat lupakan seketika marah adik ni pada mereka. Abang pun tak sukakan kalau adik abang ni asyik marah-marah?” Aki menunjukkan air muka menagih simpati. Walaupun dia kesal kerana menipu tetapi apakan daya. Dia terpaksa bagi mengelakkan perkara sebenar diketahui.

“Tapi... kalau mama dapat tahu macam mana?” Joe khuatir. “Kalau mama tanya ke mana adik pergi setiap malam, nak jawab apa?” Joe menyambung soalan. Sekali lagi otak Aki ligat mencari jawapan. “Hah! Abang cakap saja yang adik ada kelas malam. Lagipun mama tu selalu sibuk. Selalu balik lewat. Dia bukannya sedar pun sama ada adik balik atau tidak.” Pandai Aki mereka alasan demi alasan. Joe hanya diam mendengar kata-kata adiknya. “Tapi... abang tak sukalah adik kerja malam.” Joe masih ragu-ragu untuk membiarkan adiknya bekerja. “Baiklah, macam ni. Adik cuba kerja sebulan je. Lepas hati adik ni dah tenteram dan tak marah-marah lagi, adik berhentilah.” Aki berusaha mendapatkan kepercayaan Joe. Aki berani membuat jaminan kerana dia bekerja hanya semata-mata hendak membayar hutang. Dia akan berhenti sebaik hutangnya dengan Yan selesai. Sepanjang tempoh itu dia berdoa agar rahsia sebenar dia bekerja tidak sampai ke pengetahuan sesiapa terutama mamanya.

“Baiklah kalau macam tu. Tapi kalau adik tak tahan, tak perlu tunggu sampai sebulan tau. Berhenti je. Ada banyak cara lain untuk tenteramkan fikiran. Abang tak nak pelajaran adik merosot sebab semua ni.” Joe mengingatkan adiknya sebelum keluar dari bilik. Aki hanya tersenyum mengangguk. Lega hatinya setelah berjaya mendapatkan kepercayaan abangnya.

Dua malam sudah berlalu sejak Joe dikejarkan ke klinik. Seperti biasa Joe menghabiskan masa di bilik menelaah pelajaran. Sesekali matanya mengerling ke arah jam. Selagi Aki tidak pulang hatinya tidak tenteram. Walaupun sudah seminggu adiknya itu bekerja malam kerisauan masih bermain-main di hatinya. Dia bimbang dengan keselamatan Aki yang pulang seorang diri lewat tengah malam. Pernah dia menyuarakan untuk menemani adiknya itu bekerja tetapi dihalang Aki. Kerisauan Joe diganggu oleh bunyi ketukan pintu. Pintu bilik dibuka. Dia ni lagi. Joe mengeluh dalam hati sebaik melihat Jasmin berdiri di muka pintu. “Maaf... Min bawa ini.” Tiga potong tembikai susu yang tersusun di atas pinggan dihulurnya. “Nak kenakan saya lagi?” Jerkah Joe. Daun pintu ditutupnya. Jasmin terpaku sambil memegang pinggan berisi tembikai susu yang tidak bersambut. Nampaknya mereka semakin membenci aku. Keluh Jasmin. Apa lagi cara yang harus dilakukan agar dia diterima oleh saudara-saudara tirinya itu.

Semakin dia cuba untuk dekat semakin jauh mereka darinya. Berbagai cara mereka lakukan demi mengelak dari terserempak dengannya. Aki lewat malam baru pulang sementara Joe terus berkurung di dalam bilik selepas makan malam. Tinggal dia seorang diri seperti selalu. Tiada beza seperti sebelumnya. Sama dengan keadaan semasa papanya masih menduda. Fikirnya dengan kehadiran saudara-saudara tirinya itu kesunyiannya akan terisi. Namun segala-galanya tidak berjalan seperti yang diimpikan. Jasmin duduk di atas sofa yang bertentangan dengan bilik Joe. Suis televisyen 29 inci ditekannya. Sebaik televisyen itu terpasang dia mencapai sepotong tembikai susu yang pada mulanya hendak diberikan kepada Joe tetapi ditolak. Mulutnya mengunyah-ngunyah sambil matanya terpaku di kaca televisyen. Tiada apa lagi perkara berfaedah yang boleh dilakukannya sementara menunggu papa dan mamanya pulang dari pejabat. Kerja sekolah sudah diselesaikannya petang tadi. Dapur pun sudah dikemas sebaik selesai makan malam. Sesekali matanya mengerling pada pintu bilik Joe. Kunyahannya terhenti apabila Joe membuka pintu dan menuju ke arahnya.“Pekak ke?” Jasmin terkelip-kelip memandang muka Joe yang serius. Joe mencapai alat kawalan jauh yang terletak di atas meja dan memperlahankan suara televisyen. Joe kembali masuk ke bilik meninggalkan Jasmin. “Terima kasih sebab bawa saya ke klinik tempoh hari.” Belum sempat Jasmin membalas, Joe terus menutup pintu. Sekali lagi Jasmin hampa juga hairan. Apa tujuan Joe keluar dari bilik tadi? Hendak marah atau berterima kasih? Jasmin kebingungan seorang diri.

Sebaik menutup pintu tadi Joe terus berbaring di atas katil. Perasaan serba-salah menerjah ke dalam diri. Tidak patut dia melayan Jasmin sebegitu rupa. Apatah lagi bila memikirkan tindakan Jasmin membantunya tempoh hari. Walaupun ia terjadi gara-gara buah oren yang diberikan Jasmin, Joe tahu yang adik tirinya itu tidak sengaja malah tidak tahu langsung tentang alahan perutnya. Kalau dia sendiri yang tidak gopoh pasti semua itu tidak berlaku. Joe tahu yang Jasmin berkali-kali cuba untuk beramah-mesra dengannya. Dia juga sedar yang Jasmin cukup bersabar dengan sikap mereka adik-beradik. Pernah terlintas difikirannya untuk menerima Jasmin apabila mengenangkan layanan Jasmin terhadapnya. Namun hasratnya terhalang tiap kali memikirkan tentang Aki. Pasti Aki akan marah dan jauh hati padanya. Tidak! Dia tidak sanggup menghadapi semua itu. Biar seburuk mana perangai Aki, itulah satu-satu adik kesayangannya. Dia percaya, adiknya akan berubah seperti dulu setelah emosi adiknya itu kembali tenang dan dia akan sabar menunggu tanpa sebarang rungutan.

Badan Joe tersentak. Dalam lamunan tadi rupanya dia terlelap. Matanya segera menangkap jarum jam. “Dah dua belas suku.” Joe bingkas bangun dari katilnya. Dijengahnya ke tingkap. Malam semakin pekat. Segera dia keluar menuju ke bilik Aki untuk menjenguk sama ada adiknya itu sudah pulang atau tidak. Jasmin dilihatnya tertidur di atas sofa dengan televisyen masih terpasang. Tanpa dihiraukannya Joe terus menuju ke bilik Aki yang bersebelahan dengan biliknya. Setelah beberapa kali diketuk masih tiada jawapan. Tombol pintu Aki dipulasnya. Pintu tersebut ditutup semula setelah mendapati Aki tiada di dalam bilik. Sekali lagi dia memandang Jasmin yang sedang lena di atas sofa. Dengan perlahan dia mematikan suis televisyen. Jasmin masih nyenyak. Tembikai susu di atas meja tinggal sepotong. Joe melangkah masuk ke biliknya. Tidak lama kemudian dia keluar semula sambil tangannya memegang selimut. Dengan berhati-hati dia menyelimuti adik tirinya itu. Jasmin mengeliat selesa. Matanya masih terpejam. Sebelum Joe menuruni anak tangga sekali lagi dia menoleh memandang Jasmin.

Aki masih belum pulang. Begitu juga Encik Dali dan Puan Salbiah tetapi itu tidak merisaukan dirinya. Sejak dulu lagi mamanya sudah biasa pulang lewat. Mamanya membuka perniagaan sebagai wakil stokis pada satu syarikat jualan langsung sejak Aki berumur lima tahun. Papa Dhaninya pula jarang berada di rumah. Selalu ke luar negeri atas urusan kerja. Sebagai abang dialah yang menemani adiknya sementara kerja-kerja rumah diuruskan oleh orang gaji yang diupah kedua orang tuanya. Joe keluar menuju ke arah buaian di halaman rumah. Sambil berbuai dia menanti kepulangan Aki. Hatinya tidak henti-henti mendoakan keselamatan adiknya. Kelibat Aki melegakan hati Joe. Segera dibuka pintu pagar kecil di sebelah pintu pagar utama untuk adiknya. “Kenapa lambat?” Tanya Joe sebaik selesai mengunci semula pintu pagar. “Pelanggan ramai malam ni. Inikan malam Ahad. Esok cuti.” Jawab Aki sambil mengeliat membetulkan urat-uratnya. Aki tidak segera masuk ke rumah sebaliknya duduk di buaian tempat Joe menunggunya tadi. Joe mengikut dari belakang. “Abang tak perlulah tunggu adik tiap malam.” Tegur Aki sebaik Joe duduk mengadapnya di atas buaian. “Risaulah. Abang nak jemput, adik tak bagi.” Joe memandang adiknya. “Kan adik dah cakap. Budak-budak kat restoran tu temankan adik sampai kat simpang depan tu.” Sekali lagi Aki mengingatkan abangnya. Joe memandang adiknya tanpa berkata apa-apa.

“Adik bawak sotong goreng tepung.” Aki mengeluarkan bekas polisterina warna putih dari plastik yang dibawanya. “Abang suka makan ni kan?” Aki membuka bekas tersebut lalu dihulurkan kepada abangnya. Joe tergelak kecil akan gelagat Aki yang cuba mengambil hatinya dengan sotong goreng tepung itu. Dengan sudu plastik yang tersedia ada, Joe menyuap satu-persatu sotong goreng tepung ke dalam mulutnya. Memang kegemaran Joe meratahnya tanpa nasi. “Abang janganlah risau sangat. Adik tahu jaga diri. Jangan sebab adik, abang pulak tak cukup tidur.” Joe tidak membalas kata-kata Aki sebaliknya mulutnya sibuk mengunyah. “Ish, kalau ya pun takkan makan sorang!” Tegur Aki lalu berpindah duduk di sisi abangnya. Joe tergelak. Dia mengusik dengan mengacah-ngacah sudu berisi makanan itu kepada Aki. “Sikitlah!” Kesunyian malam itu pecah dengan gelak tawa mereka dua-beradik. Tanpa disedari gelagat mereka diperhatikan Jasmin dari beranda tingkat atas sebaik dia terjaga dari tidur yang tidak sempurna. Kain selimut Joe masih menyelubungi tubuhnya. Dari paras bahu hingga ke bawah. Saja Jasmin berselubung begitu bagi mengelakkan kesejukan angin malam. Kegembiraan dua-beradik itu dapat dirasai Jasmin. Dalam tidak sedar hatinya terhibur walaupun dengan hanya memandang dari jauh. Di masa yang sama Jasmin merasakan dia terasing di rumahnya sendiri.



nantikan sambungannya minggu hadapan...

Jumaat, 16 Oktober 2009

AMARAN BERGAMBAR

Nak letak ke tidak? Nak letak ke tidak? Nak letak ke tidak? Nak letak ke tidak? Nak letak ke tidak? Nak letak ke tidak? Nak letak ke tidak? Apa yang nak letak ke tidak tu Lada Hijau oii?




Gambar ni hah! Nak letak ke tidak dalam blog ni?



AAAAAAAAA!

Ehehe... siapa suruh tanya tadi? Sekarang gambar-gambar itu menghiasi kotak-kotak rokok di Malaysia. Satu gambar pada satu kotak rokok. Tujuannya untuk memberitahu orang ramai tentang bahaya rokok. Pada masa yang sama mengajak mereka supaya berhenti atau tidak merokok. Memang menakutkan. Tapi adakah penghisap tegar yang sanggup membuang 14 atau 20 batang rokok yang baru dibeli dan belum dibuka plastiknya lagi tatkala terpandang amaran bergambar tersebut? Letaklah macam mana ngeri sekalipun gambar pada kotak-kotak rokok itu, penghisap tegar tetap membelinya. Mereka bukannya tenung gambar itu lama-lama pun. Lainlah kalau dijatuhkan hukuman bunuh serta-merta.





Alah, bang... rokok tu saya beli untuk suami saya bang.

Kerajaan Malaysia taklah sekejam ini kan? Bila difikirkan balik, buat apalah nak membazir cetak amaran bergambar sebegitu. Apa tujuan sebenarnya? Nak takutkan budak-budak atau orang tua? Sibuk sangat nak mengajar. Berkempen sana-sini. Entah-entah yang berkempen pun merokok juga. Yang dimaksudkan bukanlah dari kalangan pembuat roti canai, pembancuh simen, pemandu bas sekolah dan kelendan lori saja tetapi dari kalangan doktor, peguam, ahli politik, polis dan guru sendiri berkepul-kepul menghembus asap rokok tanpa segan-silu. Ajar orang suruh jaga kesihatan tapi sendiri berpesta dengan rokok. Malah, nenek pun ada yang merokok juga. Bila melihat keadaan yang semacam itu, budak-budak pun mula bertanya kenapa saya tak boleh merokok?



Apa kau susah? Kalau nak, hisap jelah.




Ha'a, ajal maut tu kan di tangan Tuhan.


Kepada yang sudah berhenti dan tidak pernah merokok langsung, kamu semua memang bagus macam Lada Hijau. Syabas! Tak perlu nak tunggu orang ajar baru nak buat kan?



Eee... tak malu. Puji diri sendiri.





Suka hatilah.

Khamis, 15 Oktober 2009

CUBA TEKA

Hah, tahu tak gambar apa ni?

Mmm... tak tahu.

Gambar apa tu? Tak jelaslah.


Kabur sangat. Dah tengok dekat-dekat pun susah nak teka.



Muka Lada Hijau kot.


Ya ke? Alah, beritahu jelah. Malaslah nak teka-teka.

Beritahulah... beritahulah...



Baiklah, jawapan sebenarnya ialah...

10

9

8

7

6

5

4

3

2

1

Ini dia!



Gambar kucing pakai helmet!


Ehehe... apalah.


Macam-macamlah. Tengok, tak boleh berhenti gelak dah.

Apa bendalah. Malas nak layan.

Rabu, 14 Oktober 2009

BUKTI KEPANASAN GLOBAL

Makin hari cuaca makin panas. Pandang ke langit, matahari terik memancar. Siapa suruh pandang? Boleh rosak mata tau. Dah mandi pun badan rasa berlengas dan melekit. Tak selesa langsung. Kulit pun dah naik ruam sebab asyik berpeluh. Sekali-sekala hujan turun tapi tetap rasa panas membahang. Neraka lagi panas. Menyampah betul bila ada yang bagi 'statement' macam itu diwaktu begini. Buat tambah panas saja. Lada Hijau tahulah neraka itu panas. Semua orang pun tahu. Masalahnya kepanasan yang dihadapi sekarang ini. Bisa membataskan pergerakan kerana ketidakselesaan yang ditanggung.



Alangkah nyamannya kalau di waktu begini dapat berendam lama-lama.



Tetapi apakan daya, besen di bilik air hanya sebesar ini. Nak tak nak kenalah bersabar dengan tahap kepanasan penuh membahang. Barangkali ada hikmah disebaliknya. Satu 'statement' positif buat menyejukkan diri. Lada Hijau akhiri cerita tentang kepanasan global ini dengan menunjukkan satu bukti sahih yang bumi kita semakin panas.

l

l

l

l

l

l

l

l

l


Tak nak percaya sudah.

KERTAS BEROMBAK

Ya betul. Kertas berombak. Bukan rambut berombak. Dada berombak pun bukan. Semua orang mesti pernah nampak kertas jenis berombak ini dijual dimana-mana. Terutama di kedai-kedai buku dan alat tulis. Masa sekolah dulu Lada Hijau selalu beli kertas ini. Macam-macam Lada Hijau buat. Bingkai gambarlah, kad hari jadilah, beg kertaslah atau untuk hiasan pada papan kenyataan di belakang kelas. Kertas berombak ini dikenali sebagai "corrugated paper". Ada banyak jenis. Dari yang nipis hingga tebal. Biasa digunakan untuk buat kotak.


Macam ni... tadaa!




Sebenarnya Lada Hijau bukan nak cerita pasal jenis-jenis kertas pun. Tapi nak kongsi satu video yang ada kena-mengena dengan kertas berombak ini.


Masa sekolah dulu, baru setakat buat benda yang lebih kurang macam gambar di atas, hidung Lada Hijau dah kembang-kempis bila asyik kena puji. Banggalah konon. Dikatakan kreatif. Tapi bila tengok video yang satu ini. Ternganga sekejap mulut Lada Hijau. Fuyoh! Genius gila budak jepun tiga orang ini. Mari kita tengok sama-sama. Maaf, tak ada sarikata. Tapi mesti boleh faham punya.



Susu apa dia minum ya?

Selasa, 13 Oktober 2009

COKE & AJINOMOTO TAK BOLEH KAHWIN?

Ahaha... saja bikin gempak sekejap dengan tajuk di atas. Semalam Lada Hijau terima satu e-mail daripada kawan Lada Hijau. Pasal taktik terbaru kaki rogol. Kononnya campuran air Coca-Cola dan Ajinomoto boleh menyebabkan si peminum terasa amat mengantuk dan berkeinginan untuk melakukan seks. Tak tahulah kesahihan maklumat e-mail itu tapi tak salahkan kalau kita berwaspada sentiasa. Jangan sesekali minum air yang diberi oleh orang yang tak dikenali. Tak kiralah air berkarbonat ke, air teh ke, air sirap bandung ke, air lychee kang ke atau pun air mineral sumber asli dari gunung. Kita tetap tak boleh minum sesuka hati.

Kalau tak percaya atau rasa was-was masih menyelubungi diri, pergilah dapur. Cuba buat ujikaji lima minit. Ikut panduan di atas. Apa? Nak Lada Hijau cuba dulu? Hah, jangan harap. Apa ke halnya nak minum Coke campur Ajinomoto tak pasal-pasal. Kalau campur susu bolehlah. Apa yang nak dikongsikan di sini, kita kenalah berjaga-jaga sebab orang yang nak mengenakan kita ada dimana-mana. Kadang-kadang yang disangka kawan pun boleh aniaya kita. Pendek kata, berhati-hatilah ya.


Isnin, 12 Oktober 2009

LINGKARAN HITAM DI MATAKU

Bulan September cuma ada tiga entri saja yang Lada Hijau pos di sini. Bulan Oktober langsung tak ada. Hah, dah bosan nak berblog la tu. Ish, mana ada. Biarpun lama tak mengepos entri di sini tapi Lada Hijau selalu jenguk-jenguk blog kawan-kawan sambil mengedit cerita sendiri. Sebenarnya banyak yang nak ditulis tapi sikap terlampau perfeksionis Lada Hijau ini buat semua jadi tak kena. Sambungan Kisah Mereka pun Lada Hijau 'hold' dulu. Asyik tak puas hati dengan jalan cerita yang ada. Insya'Allah minggu depan sambung balik.

Eh, betul ke Lada Hijau perfeksionis? Entah-entah lembab buat kerja kot. Itu yang Lada Hijau bengang sangat. Bayangkan untuk pos satu entri macam ni saja Lada Hijau ambil masa sampai satu hari. Lepas taip edit. Kemudian simpan. Edit balik. Simpan balik. Edit. Simpan. Edit. Simpan. Edit. Simpan. Sampai ke sudah, tak pos-pos lagi. Urat mata pun dah naik kejang. Asyik mengadap skrin laptop. Sampaikan setiap satu perkataan Lada Hijau tilik takut salah eja. Edit tak habis-habis. Pos sajalah. Bukannya tulis untuk suratkhabar atau majalah pun. Sedar-sedar, lingkaran hitam di mata dah semakin gelap. Memang dari dulu gelap pun. Tapi, sekarang lagi gelap.


Dah macam mata Cik Rakun.
Alah, mak aii!

Dan Lada Hijau cuba cara di bawah untuk hilangkan lingkaran hitam di mata.

Hmm... sampai ke sudah mata Lada Hijau tetap begini. Baik timun tu Lada Hijau potong nipis-nipis. Makan dengan nasi lemak. Puas hati.