Selasa, 30 Jun 2009

TIGA NAMA TAKDIR

Berkali-kali aku tertanya,
Tentang tiga nama takdirku,
Rezeki, jodoh dan ajal,
Tahap mana kedudukanku?
Adakah aku di tempat paling bawah,
Di antara semua kejadian Tuhan?

Rezeki,
Berapa nilai rezekiku?
Adakah senilai titisan darah,
Atau senilai titisan peluh?
Semua mahukan darah,
Tak siapa inginkan peluh,
Tapi, di mana lubuk rezekiku?
Di sini atau di sana?
Seorang diri di sini,
Atau beramai-ramai di sana?
Mereka minta murah rezeki,
Aku pula mahu rezeki yang mahal,
Keterlaluankah aku?
Bukankah maksudnya serupa?

Jodoh,
Ini memang berat,
Keliru pun ada,
Bila aku duduk,
Mereka bilang jodoh harus dicari,
Bila aku bangun,
Mereka bilang jodoh itu di tangan Tuhan,
Bila aku duduk semula,
Mereka bilang mesti berusaha,
Bila aku bangun semula,
Mereka bilang mesti jual mahal,
Gila!
Bukan mereka,
Tapi aku!
Baru mereka pujuk,
Suruh aku sabar,
Kata mereka,
Setiap yang hidup ada pasangan,
Ada jodohnya,
Kata aku,
Mungkin jodohku dah tak ada,
Dah dimakan bumi,
Sebelum sempat menemui aku,
Gila!
Balas mereka serentak.

Ajal,
Hanya Tuhan yang tahu,
Ya, itu aku akur,
Tak pernah aku persoalkan,
Cuma kadang-kadang,
Akal logikku menyongsang,
Mungkinkah rezekiku melimpah-ruah,
Tatkala tubuhku berselimutkan kain putih,
Mungkinkah jodohku akan muncul,
Tatkala tubuhku dijolok ke liang lahad,
Menakutkan?
Tidak!
Kalau itu noktah tiga nama takdirku,
Aku redha.

Jumaat, 26 Jun 2009

MICHAEL JACKSON

'KING OF POP DIES'. Berita pertama yang Lada Hijau baca di MSN pagi tadi. Terkejut. Sedih. Memang Lada Hijau sedih sangat. Biarlah apa orang nak kata. Nak kutuk dia. Nak hina dia. Nak keji dia. Lada Hijau tetap mengagumi Michael Jackson dari dulu hingga kini dan sampai bila-bila. Hmm... sejahat-jahat manusia ada baiknya dan sebaik-baik manusia ada jahatnya. Samalah kita semua, seluruh hamba Allah s.w.t.







MICHAEL JACKSON
1958 - 2009


Rabu, 24 Jun 2009

JAHAT DIA DAN JAHAT AKU

Jahatnya dia
Mengikat aku
Dengan keprihatinan
Memasung aku
Dengan kesetiaan
Memperdaya aku
Dengan kata sumpah
Kalimah suci kepercayaan


Jahatnya dia
Menutup mataku
Dikala mengecam
Menekup mulutku
Disuruh diam
Menyumbat telingaku
Ditegah mendengar
Lurus telunjuknya
Menyuruhku patuh
Bengkok kelinkingnya
Agar aku terkait sama
Dengan cara halus
Dia memerangkap
Hinggaku terjerat
Meronta-ronta
Menolak hakikat sebenar


Jahatnya dia
Menyuap aku
Dengan rezeki muslihat
Kenyang mindaku
Dengan tipu helah
Yang salah aku benarkan
Yang benar aku salahkan
Bergurindam dia
Menepuk belakangku
Menyendawakan aku
Dengan angin bisikan
Sayup menghembus keberanianku
Keberanian yang songsang
Menentang yang lemah
Memijak yang kalah


Jahatnya dia
Melucut pingat ketaatan
Setelah semuanya terikat
Jahilnya aku terpukau
Menyempurnakan segala
Susun atur
Agenda jahatnya
Menghalau penggugat
Kedudukannya
Sesudah luput jampi pukaunya
Aku kebingungan
Memerhati keadaan sekeliling
Terduduk aku tertunduk
Hiba
Sepi
Kesal
Argh... jahat dia, jahat lagi aku!

Ahad, 21 Jun 2009

ABAH

Muhammad Rasip Bin Mad Noh. Selamat Hari Bapa dari anakmu yang kuat melawan. Terima kasih kerana menjadi seorang bapa yang penyabar.

JANGAN TANYA!

Soalan-soalan yang Lada Hijau tak berapa gemar nak jawab. Kalau jawab pun, sekadar mengambil dan menjaga hati si penyoal.

1 . Hello, boleh saya tahu siapa yang bercakap di sana?
Luar hati : Awak nak cakap ngan siapa?
Dalam hati : Sendiri telefon, sendirilah tahu nak cakap ngan siapa. Lagi mahu tanya!

2 . Hello, kenal tak saya? Cubalah teka.
Luar hati : Samdul? Badigol? Babun? (sekadar menyebut beberapa nama)
Dalam hati : Cipan betul dia ni. Kau ingat, kau sorang je ke ada tone suara camtu? Nombor pun tak kuar kat skrin. Kenalkan jelah diri tu... tut...tut...tut... (bukan mencarut la... tut3x tu bunyi panggilan telefon yang Lada Hijau putuskan... hahahaha)

3 . Dah kahwin?
Luar hati : Belum.
Dalam hati : Sibuk je.

4 . Kenapa belum kahwin? Bila nak kahwin? Janganlah memilih sangat...
Luar hati : Belum ada jodoh.
Dalam hati : Kau sudi berkongsi laki ngan aku ke? Nak test madu asli?

5 . Berapa tambangnya, ya?
Luar hati : Entah.
Dalam hati : Kau ingat aku hafal ke semua tambang kenderaan awam kat Malaysia ni?

6 . Kita nak makan di mana, ya?
Luar hati : Kat sini. (tak boleh sebut nama restoran... nanti promosi percuma la pulak... hehehehe)
Dalam hati : Kau ni ada duit ke tak? Nak aku belanja, cakap jelah. Tak habis-habis nak berlagak! (lepas 1 jam berpusing-pusing, dia masih tertanya-tanya nak makan kat mana)

7 . Tak sedaplah makan kat sini, kan?
Luar hati : Ya ke?
Dalam hati : Macamlah kau masak sedap sangat. Sikit-sikit nak komplen.

8 . Hei, kau orang jangan makan banyak sangat. Nak jadi macam dia ni ke? (menunjuk ke arah aku sambil gelak ramai-ramai)
Luar hati : (senyum kelat)
Dalam hati : Nak aku lempang kau orang laju-laju ke?

10. Aku rasa aku dah gemuklah. Kan Lada?
Luar hati : Mana ada?
Dalam hati : Kalau cekeding cam ni kau da bilang gemuk. Habis aku ni apa? Nak suruh aku kata tidaklah tu. Pastu puji lebih-lebih... piiirahhh!

11. Eh, air ni panas ke sejuk?
Luar hati : Tak pastilah pulak.
Dalam hati : Cuba celup lidah kau dalam air tu. Panas ke sejuk?

12. Blog tu apa?
Luar hati : (menerangkan dengan penuh kesabaran)
Dalam hati : Yaaa Tuhannn... (minta ditambahkan kesabaran)

13. Kau tak faham hati dan perasaan orang bercinta, Lada. Kau pernah bercinta ke?
Luar hati : Yelah... yelah...
Dalam hati : Hek elleh...

14. Kita kerja ni kena profesional. Kita tak boleh tunjuk rasa marah kita. Kan Lada?
Luar hati : Profesional ke tu?
Dalam hati : Cet... profesional konon. Tu hipokrit! Depan kau cakap lain.
Belakang kau cakap lain. Tang mengampu bos, kau yang lebih.
Tang mengutuk bos pun kau jugak yang lebih!
(nak buat camne... dah bos sendiri ba... alif... ngang)

Sebenarnya ada banyak lagi. Tapi cukuplah contoh-contoh yang ada di atas. Jadi buat sesiapa yang sudah lama atau baru nak kenal Lada Hijau, hindarilah dari terus-menerus mengajukan soalan-soalan yang sebegitu rupa. Jangan sampai jawapan dalam hati bertukar ke luar hati. Hahahahahaha...


Rabu, 17 Jun 2009

KATANYA ... JELASKU ...

Katanya mahu mengubah dunia
Fikirku perlukah dunia diubah
Kiraku dari mana ke mana harus ubah
Tanyaku jujurkah dia dalam mengubah
Jelasku dia sendiri tidak pantas berubah

Katanya mahu membetulkan yang salah
Fikirku perlukah salah itu dibetul
Kiraku dari mana ke mana harus betul
Tanyaku jujurkah dia dalam membetul
Jelasku dia sendiri tidak pernahnya betul

Katanya mahu mengkritik yang silap
Fikirku perlukah silap itu dikritik
Kiraku dari mana ke mana harus kritik
Tanyaku jujurkah dia dalam mengkritik
Jelasku dia sendiri menolak bila dikritik

Katanya mahu membela nasib orang
Fikirku perlukah nasib orang dibela
Kiraku dari mana ke mana harus bela
Tanyaku jujurkah dia dalam membela
Jelasku dia sendiri tidak layak dibela

Katanya mahu membuktikan segala yang benar
Fikirku perlukah benar itu dibukti
Kiraku dari mana ke mana harus bukti
Tanyaku jujurkah dia dalam membukti
Jelasku dia sendiri memutar-belitkan segala yang terbukti

Katanya aku bebal dan bingai
Fikirku mungkin lantas tersenyum menyeringai
Kiraku bukan semua aku pandai
Tanyaku patutkah aku memandai-mandai
Jelasku cukuplah kau memandirkan si Malang dan menjeninkan si Luncai!

Isnin, 15 Jun 2009

GEMUK NAK LEMBIK

Biba duduk di meja makan. Bebola matanya ke kiri ke kanan. Mengikut pergerakan Puan Hamidah yang berulang-alik dari dapur ke ruang makan. "Mak, boleh tak temankan Biba ke sekolah hari ni?" Biba pantas mengajukan soalan sebaik emaknya selesai menghidang makanan di atas meja. Soalan Biba tidak dijawab terus. Sebaliknya Puan Hamidah menarik kerusi dan duduk bertentang muka dengan anaknya. "Boleh tak mak? Dah lama mak tak temankan Biba ke sekolah." Puan Hamidah diam sahaja sambil mencedok nasi ke dalam pinggan. "Mak, boleh tak?" Biba terus bertanya. Dalam hati, dia mahu emaknya menjawab BOLEH.

"Dah, jangan nak mengada-ngada. Tak nampak adik kamu tengah tidur tu?" Puan Hamidah menjawab keras bila bunyi pertanyaan anaknya berubah bunyi rengekan. Pinggan berisi nasi dihulurkan kepada anak sulungnya itu. Biba menyambut hampa. "Sekolah kamu tu dekat je. Dari sini pun mak boleh nampak kamu. Dah, makan cepat. Nanti lambat ke sekolah." Puan Hamidah bingkas bangun meninggalkan Biba yang terkebil-kebil keseorangan di meja makan.

Seperti biasa, waktu tengah hari, Biba sendirian melangkah ke sekolah. Bezanya, hari ini langkah Biba pendek-pendek. Seakan mengheret benda berat yang terikat dipergelangan kaki. Semakin hampir dia dengan sekolah, semakin perlahan dia berjalan. "Hah, ini ya budak yang cubit Zarina semalam? Berani kamu cubit anak mak cik ya! Ooo... mentang-mentang kamu gemuk, kamu ingat kamu boleh buli anak mak cik?" Sergahan seorang mak cik menyambut ketibaan Biba di hadapan sekolah. Beberapa orang murid yang juga sekelas dengan Biba dan Zarina turut sama berkerumun.

"Tapi, dia ejek saya dulu." Biba memberanikan diri. Hanya ini sahaja cara untuk dia membela diri. Dan ini jugalah sebab utama dia beria-ia sangat meminta Puan Hamidah menemankannya ke sekolah. Kalau mak temankan, mesti mak Zarina tak berani marah. Biba berkalau di dalam hati. Sempat Biba mengerling ke arah Zarina yang sedang tersenyum sinis dibalik punggung mak cik yang menyergahnya itu. "Kalau dia ejek, kamu ejeklah dia balik. Kenapa cubit pulak!" Mak cik itu terus mengeluarkan kegarangannya di hadapan budak-budak. Matanya tajam merenung Biba.

Nak ejek apa? Takkan nak ejek kurus? Semua orang suka jadi kurus. Biba hanya berani menjawab senyap-senyap. Ingatannya berpatah balik pada kejadian yang berlaku di waktu rehat semalam. "Oii, kawan-kawan! B... A... B... I... bunyinya apa?" Jerit Zarina sambil memandang Biba yang sedang mengunyah keropok lekor. "BIBA!" Dengan pantas beberapa orang murid menyahut soalan Zarina. Deraian tawa mengiringi jawapan mereka. Sepantas itu jugalah Biba membalas dengan cubitan di lengan Zarina. Terus tawa berganti tangisan Zarina. " Nanti kau... aku bagi tau mak aku! Habislah kau besok!"

Dan sekarang Biba terperangkap di sini. Masih berdiri kaku di hadapan emak Zarina. Rasa takut, tidak adil, tidak puas hati bercampur-aduk bersama perasaan Biba. "Ingat ya, kalau kamu usik anak mak cik lagi... mak cik bagi tau cikgu besar. Biar dia rotan kamu!" Emak Zarina memberi amaran keras sambil jari telunjuk kanannya digegar-gegarkan ke muka Biba. Zarina masih tersenyum sinis. Puas melihat Biba kena marah. Guru besarlah. Biba membetulkan kata-kata emak Zarina di dalam hati. Dia pura-pura tunduk akur.

Kejadian Biba dimarahi emak Zarina sudah dua hari berlalu. Namun tidak diceritakan Biba kepada Puan Hamidah. Dia tahu, emaknya pasti akan menyalahkannya jika perkara itu disampaikan. "Boleh main sekali?" Biba menegur sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain 'galah panjang'. "Alah, tak boleh. Kau gemuk. Tak pandai menyelit. Mesti asyik tak lepas punya. Kau pergi main kat sanalah." Jawab salah seorang dari mereka. Boleh main sekali?" Biba menegur pula sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain tali gelang-getah. "Kau boleh lompat ke?" Sekali lagi jawapan yang diterima negatif.

"Hoi, Biba! Jom, main ngan kita orang!" Biba segera mencari arah datangnya suara positif yang mengajaknya bermain. "Main apa?" Tanya Biba sebaik mendekati sekumpulan budak lelaki yang mengajaknya tadi. "Main 'Police and thieves'. Kau jadi polis. Kita orang jadi pencuri. Kau kejar kita orang semua." Kedua-dua mata Biba mengecil. Wajah mereka dipandangnya satu-persatu. Adakah mereka benar-benar ikhlas atau sengaja hendak mengenakannya seperti biasa.

"Gemuk... gemuk... gemuk...," gelaran rasmi buat Biba. Dia lebih suka pulang sendirian ke rumah dari ditemani kawan-kawan yang tidak henti-henti mengejeknya. Biba sedaya-upaya menahan diri dari melawan balik. Dia tidak mahu ada lagi ibu-bapa yang datang menyergahnya di sekolah lagi. "Gemuk... gemuk... gemuk...," Biba terus diejek. Biba terus melangkah. Biba tidak mengendahkan mereka. Tiba-tiba langkah Biba terhenti. Ada sesuatu berlaku di hadapannya. Budak-budak yang mengejek turut sama berhenti.

"Hei, lembik. Kau ni mesti tersalah pasang masa lahir dulu." Farid menarik-narik baju Dani. Dahi Dani ditunjal-tunjalnya. "Meh, bukak seluar tu. Aku nak tengok, kau ada 'burung' ke tak?" Kali ini pinggang seluar Dani ditarik-tarik Farid. Dani menolak-nolak tangan Farid. Air matanya mengalir bila Farid berkeras juga hendak membuka seluarnya. Keletuk! Seketul batu mencium tepat ke dahi Farid. Segera Dani dilepaskannya. Farid menekup dahi dengan kedua belah tangan. Darah meleleh dicelah jari-jemari Farid. Dani tergamam. Juga kehairanan.

"Kenapa kau kacau dia? Kan dah kena. Padan muka." Biba bersuara tidak jauh dari tempat Farid membuli Dani. "Kau... kau... aku cakap mak aku!" Farid menangis sambil berlari pulang ke rumah. Budak-budak yang mengejek Biba tadi turut sama mengikut Farid. "Habislah kau Biba. Mesti mak Farid jumpa mak kau. Teruklah kau kena bantai nanti." Salah seorang dari mereka sempat berteriak menakut-nakutkan Biba. Dani memandang Biba. Kedua-dua mereka membalas renungan. Masing-masing tidak mengenali antara satu sama lain. Agak lama merenung tanpa suara, Biba bergerak meninggalkan Dani keseorangan. Dani yang kekal diam, berterima kasih dalam hati.

Keesokan harinya, tersebar berita tentang Biba dipukul emaknya. Dipukul kerana melontar batu ke dahi Farid. Puan Hamidah memang cukup pantang kalau ada yang mengadu tentang kenakalan anaknya. Depan-depan orang yang mengadu itu jugalah dia membantai Biba. Sepanjang waktu persekolahan pada hari itu, Biba tidak habis-habis diejek. Ditertawakan.

"Semalam teruk awak kena pukul." Dani menyapa Biba sebaik kelibat budak berbadan gempal itu muncul di hadapan pagar sekolah. Biba diam. Terkejut dengan sapaan Dani. "Sakit?" Tanya Dani. " Tak." Biba menjawab pendek. Dahinya berkerut. Mungkinkah hari ini bertambah seorang lagi yang akan mengejeknya? "Mak awak garang ya." Dani mendekati Biba yang masih dalam keadaan ragu-ragu. "Sebab saya, awak kena pukul. Maafkan saya." Dani menghulur salam. Biba teragak-agak. "Alah, dah biasalah. Semalam kena pukul ngan getah paip je. Selalu ngan tali pinggang." Biba berlagak lali.

Dani masih menghulurkan salamnya. Menanti Biba menyambut. "Saya Danial. Awak?" Dani mendekatkan lagi salamnya pada Biba. "Err... saya Habiba." Akhirnya salam Dani disambut. "Saya darjah tiga Mawar." Dani masih memaut salam Biba. " Saya darjah tiga Dahlia." Perlahan Biba meleraikan salamnya. Mereka bertukar senyuman. "Saya baru pindah kat sini. Awak nak kawan ngan saya tak?" Beritahu Dani sambil mempelawa. "Nak." Tanpa fikir panjang Biba menerima pelawaan Dani.

Akhirnya, ada juga yang sudi berkawan dengan Biba. Namun begitu, budak-budak lain masih belum berhenti mengejek Biba. Cuma bunyi ejekan mereka sahaja yang berubah. "Gemuk nak lembik... gemuk nak lembik...," Biba tidak kisah. "Oh, ya... saya suka melukis." Dani menceritakan minatnya. "Saya pun." Biba pantas membalas. "Mulai hari ni kita pergi dan balik sama-sama ya." Cadang Dani. Biba mengangguk senang hati. "Gemuk nak lembik... gemuk nak lembik...," Biba dan Dani terus berbual sesama sendiri. Mereka membiarkan sahaja budak-budak itu terus mengejek.

Sabtu, 13 Jun 2009

TETAMU TERHORMAT

Terima kasih buat AIN AFIFAH dan D-BA kerana menjadi dua orang TETAMU TERHORMAT terawal di sini. Untuk mereka yang berkemungkinan bakal memenuhi kerusi TETAMU TERHORMAT, Lada Hijau ucap selamat datang dan terima kasih banyak-banyak.

Khamis, 11 Jun 2009

KENAPA SOMBONG SANGAT?

Kenapa sombong sangat?
Sampai tak boleh kena tegur
Bangkang sikit dah bertekak
Leher berurat-urat
Tangan di pinggang bercekak
Tak boleh kata tidak
Takkan nak ikut saja
Aku juga punya suara
Mana boleh dengar kau saja melalak
Macam ini keraslah aku kalau tak mengelak
Kena serang sampai mengerang
Dan dipaksa tunduk pada telunjuk kengkang


Kenapa sombong sangat?
Sampai tak boleh tegur aku
Bila aku tegur dulu
Kau buat tak tahu
Macamlah aku ini batu sungai
Hijau dek lumut dan kulat
Tak ada nilai macam emas berkilat
Kau jangan lupa
Masa aku senang
Duit aku juga kau tala
Bukan nak mengungkit
Tapi jenis macam kau
Memang padan hal ini dibangkit


Kenapa sombong sangat?
Sampai mengelak bila ditegur
Bukannya aku nak minta apa-apa
Aku cuma nak bermesra
Macam dulu-dulu
Masa aku senang kau susah
Masa aku berjenaka kau terbahak-bahak
Masa aku mengusik kau senyum lebar-lebar
Masa aku bersedih kau nangis-nangis (heh)
Sekarang, bila bayang-bayang pun tak sudi temankan aku
Kau pun terang-terang angkat kaki
Depan-depan kau koyak wasiat sahabat
Tapi tak apa
Roda sentiasa berputar
Sekejap di atas sekejap di bawah
Jadi, sementara aku di bawah
Kau teruslah menyombong
Jangan sampai mata pandang ke bumbung
Kaki terperosok ke lombong!

Isnin, 8 Jun 2009

ALEXANDER MAHONE

Watak yang Lada Hijau suka dalam Prison Break. Alexander Mahone lakonan William Fichtner.


Sabtu, 6 Jun 2009

HMM... FAHAM SENDIRILAH...

Lain kali jangan ajak kalau rancangnya bodoh!

Jumaat, 5 Jun 2009

TUNJUK PANDAI

Bila yang berkasih tunjuk pandai
Nafsu diturut selera dicanai
Tahu-tahu benih haram tersemai
Pucat-lesi bila cinta terlerai
Si panjang akal ajak berdamai
Si pendek akal buang zuriat ke sungai
Yang ini pula merpati bebal nak tunjuk pandai
Dah elok sah istihar cerai
Padah bila yang wajib jadi lalai
Mulalah anak-anak bersepah terabai
Paling teruk dia yang tertekan anak pula kena cabai


Bila yang berkuasa tunjuk pandai
Negara merdeka terjual tergadai
Bangsa berdaulat berulat tersadai
Maruah diri terkoyak terbarai
Tak sedar musuh datang beramai-ramai
Bawa senjata sambil melambai
Bangunan gah hancur-berkecai
Rakyat lintang-pukang sembunyi dibalik pokok serai
Dan bila semua dah mati terkulai
Isi perut habis terburai
Baru nak berhenti tunjuk pandai.

Khamis, 4 Jun 2009

MANA YANG ANDA MAHU?

Jika sikap seseorang boleh dipilih, mana yang anda mahu jadikan sebagai kawan, sahabat, teman hidup atau diri sendiri?


- Yang peramah tapi tak henti-henti dia berceramah.

- Yang cantik tapi perangainya pelik.

- Yang nakal tapi berakal.

- Yang pemurah tapi asyik marah-marah.

- Yang pendiam tapi sikit-sikit nak berdendam.

- Yang bijak tapi bongkak.

- Yang tenang tapi semua dia nak menang.

- Yang sopan tapi tak tampan.

- Yang tak mengarut tapi kuat mencarut.

- Yang tak marah-marah tapi kuat mengarah.

- Yang berterus-terang tapi suka tikam orang dari belakang.

- Yang pemalas tapi bila cakap pandai beralas.

- Yang tak suka meminjam tapi tersangatlah kejam.

- Yang comel tapi mulut tak berhenti mengomel.

- Yang kurus tapi tak terurus.

- Yang tak pandai mengamuk tapi gemuk.

- Yang tak menyibuk tapi hari-hari dia mabuk.

- Yang sangat kedekut tapi jarang dengar dia merungut.

- Yang patuh menurut tapi pengecut.

- Yang manis tapi baru cakap sikit dah nak nangis.

- Yang mewah tapi rupanya tak lawa.

- Yang liat sangat tapi tak jahat.

- Yang hatinya lembut tapi otaknya asyik berserabut.

- Yang cekap tapi banyak cakap.

- Yang sengkek tapi tak lokek.

Yalah... mana ada manusia yang sempurna selain ALLAH s.w.t. Setiap manusia yang dilahirkan ke muka bumi ni ada baik buruknya. Jadi yang mana satu anda mahu?

Selasa, 2 Jun 2009

SAMA TAK SERUPA

Baru muat turun beberapa klip video yang Lada suka dari dulu hingga sekarang. Ada yang Lada suka sebab melodinya. Ada yang kerana lirik dan tak dinafikan juga cara klip video itu dipersembahkan. Sememangnya kreativiti manusia berulang-ulang dari zaman ke zaman. Ia sama tapi tak serupa.

Antara deretan klip video yang Lada suka, yang satu ini betul-betul bikin Lada kagum dan tersenyum. Chubby Checker... tanpa kesan khas yang berdentam-dentum. Hanya suara, senyuman dan tempurung lututnya yang kuat... ha ha ha ha!

Isnin, 1 Jun 2009

RINDU BISU

Saat terbuai dek hembusan bayu
Minda khayal terjenguk silamku
Jiwa nyilu ditiup sayu
Aliran darah sejuk membeku
Dalam sedar realiti dan sejarahku bersatu
Apa khabar kau di situ?
Adakah kau juga seperti aku?
Sering teringat di antara waktu
Tentang kita yang pernah cemburu
Tak kenal putus asa tika memburu
Berlumba-lumba menjadi sesuatu
Membuktikan siapa yang lebih mampu
Hingga terlupa yang menang bakal jadi arang berabu


Makin diingat makin terpilu
Tanpa sedar mula tersendu
Mengenangkan takhta akal dah dikuasai raja nafsu
Hati yang lembut mengeras serupa batu
Diam-diam aku tersangat malu
Berubah sikap sampai begitu
Sambil meraung aku menyeru
Tidak mahu lagi seperti itu


Lantas aku mengibar bendera kalah dulu
Meninggalkan medan serang dengan langkah lesu
Ramai ketawa lihat aku berundur dan berlalu
Mereka bertepuk serta berlagu
Gendang ejekan tak henti-henti dipalu
Sempat mereka bekalkan hempedu
Memang pahit tapi ku telan satu-satu
Biarlah semangat juangku lelap beradu
Asal aku tak lagi menyakiti dan menyekutu
Apa yang aku mahu cuma maafmu
Sebetulnya aku sedang sangat merindu
Kini aku sendirian meniti jalan berliku
Usah kau ke sini membantu
Kerana aku lebih suka membisu
Mencari ruang baru yang sangat bisu.